BAYANGKAN 2.0

Bab 10 (AKHIR)

Masa sampai kat rumah mak Ina, kami tengok ada ramai orang kat rumah dia. Macam baru lepas kenduri pun ada. Takdelah khemah semua, cuma ada ramai orang, ada orang masjid, ada orang kampung dan nampak orang ramai basuh pinggan yang banyak kat bahagian luar dapur rumah.

Pija dan Azie terjenguk-jenguk mencari orang yang mereka kenal. Aku memang la tak kenal Ina sejak mula. Dalam cerita aku, Ina dah pun jadi arwah.

“Kau yakin ke mak dia masih tinggal kat sini?” tanya Pija.

“Iyelah, takkan pindah pulak.” Sahut Azie masih terjenguk-jenguk mencari orang yang dia kenal.

“Assalamualaikum,” tiba-tiba terdengar suara lelaki memberi salam. Kami bertiga menoleh.

Seorang lelaki muda, hensem. Memakai jubah berwarna kelabu, berkopiah hitam, berkaca mata. Lupa sekejap tujuan kedatangan kami ke rumah tu.

“Waalaikumussalam.” Jawab kami bertiga serentak.

“Akak bertiga ni cari siapa?” tanya lelaki muda tu. Aduh! Spoil betul panggil akak pulak.

“Ini rumah Makcik Zaleha ke?” tanya Pija.

“Iye, sekejap ye saya panggilkan,” kata lelaki itu.

“Mak! Ni ada orang cari mak,” kata lelaki itu sambil menggamit seseorang di bahagian dapur.

“Mak? Maknanya itu adik Ina?” bisik Azie kepada Pija dan aku.

“Iyelah agaknya. Tak tahu pun Ina ada adik lelaki sehensem itu. Tapi Ina tu sendiri pun memang cantik. Memang keluarga mereka lawa-lawa,” kata Pija.

“Eh, Pija, Azie. Marilah masuk, jemput makan tengok apa yang ada lagi rezeki untuk kamu. Ni ada bawa kawan, ajaklah masuk sekali,” tiba-tiba mak Ina, Makcik Zaleha muncul di depan kami. Terharu rasanya bila mak Ina masih kenal dan ingat nama kami. Kami bersalaman dengan mak Ina.

“Ada kenduri ke makcik?” tanya Pija.

“Iye. Makcik buat tahlil sikit untuk arwah Ina. Tiba-tiba teringat kat dia, dah beberapa hari mimpikan dia.” Sahut mak Ina sambil melangkah ke satu sudut yang ada kerusi dan meja. Kami mengikutnya.

“Anas, tolong buat satu hidang. Hantar ke sini ye. Hidangkan untuk kawan-kawan arwah Kak Ina ni,” kata mak Ina kepada lelaki yang menegur kami mula-mula tadi. Oooo… Anas namanya.

“Makcik, kami tak tahu makcik ada buat kenduri. Minta maaf kalau kami mengganggu. Sebenarnya kami datang ni ada hal sikit,” kata Azie memulakan perbualan mengenai tujuan kami datang pada petang hari begitu.

“Eh takpe. Takde ganggu pun. Makcik pun seronok sebab ada kawan arwah datang. Makcik tahu macammana nak jemput kamu semua. Majlis memang dah start lepas solat Jumaat tadi. Sekarang dah selesai dah, tinggal nak kemas-kemas barang je,” kata mak Ina sambil menurunkan lengan baju kurungnya yang dilipat sampai ke siku. Mungkin dia sedang buat kerja kat dapur tadi.

“Macam ni makcik. Perkara yang kami nak cakap ni agak besar. Jadi, kalau makcik rasa tak sesuai hari ini, kami datang lagi lain kali,” kata Azie.

“Eh, takpe. Cakap aje, makcik takde masalah,” kata mak Ina lagi sambil memandang wajah kami silih berganti. Azie pandang aku dan Pija.

“Macam ni makcik. Sejak hari Ina meninggal dunia, kami ada terserempak dengan jelmaan Ina kat pejabat tu. Tak tahulah apa sebabnya. Dan baru-baru ni kami terjumpa satu bungkusan kain kecil kat dalam laci dia. Kami tak tahu apa dia. Mungkin sebab ini kami selalu nampak jelmaan dia,” kata Pija.

Mak Ina terdiam. Senyumannya tadi dah bertukar menjadi sedih. Dia macam terkejut.

“Kami minta maaf kalau makcik tersinggung dengan kata-kata kami. Kami cuma nak selesaikan apa yang belum selesai. Kami juga nak Ina bersemadi dengan tenang di sisi Allah.” Kata Pija, panik sekejap bila tengok muka mak Ina berubah.

“Sebenarnya, kami kat rumah ni pun ada terserempak dengan jelmaan menyerupai Ina. Mula-mula tak selalu, tapi makin lama makin kerap. Sebab itu juga makcik buatkan tahlil ni untuk dia,” kata mak Ina.

“Bungkusan tadi mana?” tanya Pija. Eh, iyelah, mana bungkusan tadi?

“Bukan kau ke yang ambil tadi Wani?” tanya Azie. Aku pula macam baru tersedar. Seluk tangan dalam beg, cari bungkusan tu. Takde. Tapi memang aku yang ambil dari tangan Pak Imam tadi. Ah.. Sudah! Mana pulak perginya. Aku dah cuak.

“Ada tak Wani?” tanya Pija lagi. Dah semua mata dok pandang aku, lagi la aku panik.

Lastnya aku tonggengkan beg aku, habis semua berterabur keluar. Pen, buku, tisu, lipstick, bedak, keronsang, pen drive, biskut peket, hahaha….. sampai pad pun ada. Adoiiii….. Apa punya panik attack la aku ni.

“Mana bungkusan tadi?” tanya Pija bila tengok segala barang dah berterabur pun masih tak nampak bungkusan tu.

Aku tak jawab, masih termangu melihat barang-barang aku yang berterabur kat atas meja. Dan masa tu jugaklah si Anas datang bawa sedulang lauk pauk dan nasi. Kelam kabut aku kutip semua barang aku masukkan balik dalam beg.

“Apa tu?” tiba-tiba Anas bersuara dan menunjukkan sesuatu di atas pagar di belakang aku. Kami semua menoleh memandang dan kami nampak bungkusan kain kecil yang kami cari tadi.

“Kau letak kat situ ke Wani?” tanya Pija.

“Takdelah. Aku tak keluarkan dari beg lagi,” kata aku. Memang aku tak buka lagi beg aku sejak sampai rumah mak Ina.

“Habis tu, macammana dia ada kat sana?” tanya Azie. Aku angkat bahu. Memang aku tak keluarkan lagi dari beg aku. Musykil gak aku ni.

Pija bangun. Dia mengambil bungkusan kain kecil tu lalu menyerahkan kepada mak Ina. Anas masih berdiri di belakang mak Ina.

“Anas, pergi panggilkan Pakngah sekejap,” mak Ina menyuruh dan Anas bergegas berlari meninggalkan kami.

“Makcik kenal ke bungkusan ni?” tanya Azie. Mak Ina menggelengkan kepala sambil membelek bungkusan kain kecil itu.

Seketika kemudian, Anas datang semula bersama dengan seorang lelaki dalam usia 70an.

“Apa halnya ni?” tanya lelaki tersebut sambil memandang kami semua di situ yang berwajah penuh masalah.

“Ni semua kawan-kawan arwah Ina. Mereka datang nak serahkan bungkusan ni yang mereka jumpa kat dalam laci Ina. Mereka kata selalu juga nampak jelmaan arwah kat pejabat tu. Abang rasa jelmaan tu ada kaitan dengan bungkusan ni ke?” tanya mak Ina kepada lelaki tu yang kami rasa abang kepada mak Ina dan bapa saudara kepada Ina.

Menurut Pija yang agak rapat dengan Ina dulu, Ina memang dah takde ayah. Mereka hidup sangat sederhana, bukan orang senang sangat. Ina selalu datang kerja naik bas dulu. Dia rajin, awal pagi dia dah bangun, siapkan nasi lemak dan kuih untuk dihantar kat kedai-kedai makan. Ada satu kedai makan cina kat bawah pejabat kami tu pun dia hantar. Memang tokeh kedai tu nak, sebab katanya ada orang melayu boleh beli dari kedai dia. Maklumlah kawasan tempat kerja kami tu majmuk. Semua bangsa ada.

Ina jarang bercerita hal keluarga dia kepada rakan sekerja. Dia seorang yang pendiam. Tapi dia tak sombong, bahkan dia murah dengan senyuman. Selalu je makan bersama kawan-kawan, tapi dia bawa bekal siap-siap. Dia selalu mendengar cerita kawan-kawan tapi dia tak pernah ceritakan pasal dirinya. Dan tak tahulah macammana Rohiman berjaya mengorat dia sampai mereka berkawan dan bertunang. Cuma jodoh mereka tak kesampaian bila mereka sama-sama meninggal dunia dalam kemalangan.

Pakngah mengambil bungkusan tu dari tangan mak Ina. Dia pun buat berkara sama macam Pak Imam semalam, pejamkan mata dan genggam bungkusan tu lama. Seketika kemudian, dia serahkan semua bungkusan tu kepada mak Ina.

“Bukalah,” katanya.

Kami pula buat muka cuak. Dah berapa kami cuba buka bungkusan tu di pejabat, macam-macam hal yang timbul. Kerusi berpusing sendiri lah, pintu terhempas la, air paip terpasang sendiri la, fotostat mesin berfungsi sendiri, macam-macam la. Sekarang Pakngah tu suruh buka bungkusan tu macam tu je? Tak ke kena doa ke hembus sana hembus sini dulu?

Mak Ina meletakkan bungkusan tu di atas meja. Dia membuka ikatan bungkusan kain kecil tu. Perlahan-lahan, penuh hati-hati. Sampailah akhirnya kami nampak ada kotak kecil kat dalam bungkusan tu. Mak Ina ambil kotak kecil tu, lalu membukanya perlahan. Sebaik sahaja kotak itu terbuka, wajah mak Ina terkejut, dan air matanya mengalir deras.

Kami pun menyibuklah nak tengok apa bendanya. Kami nampak ada seurat rantai emas kat dalam kotak tu. Dan kami berpandangan sesama sendiri. Tak paham.

“Rantai apa tu mak?” tanya Anas sambil mengusap bahu maknya yang teresak-esak menahan tangis.

“Ini rantai yang mak gadaikan ke pajak gadai masa nak bayar kos pembedahan kamu Anas. Mak memang takde duit masa tu. Ni satu-satunya rantai peninggalan arwah abah kamu buat mak. Mak takde pilihan sebab masa tu giliran untuk pembedahan kamu dah sampai. Kalau mak tolak, giliran tu akan lambat lagi. Jadi mak gadaikan rantai emas ni. Mak tak sangka kakak kamu berusaha untuk tebus balik rantai ni. Patutlah dia asyik muncul dalam mimpi mak,” cerita mak Ina masih lagi teresak-esak menangis.

“Pembedahan apa?” tanya aku ingin tahu.

“Anas ni ada penyakit jantung berlubang. Mereka ni memang dua beradik je. Ayah dah takde, hidup pula tak sesenang mana. Jadi mereka memang rapat. Masa nak cari kos pembedahan tu, memang kami sama-sama kumpul duit, mak Ina ni pula gadai apa yang ada.” Kata Pakngah yang masih lagi berdiri di situ.

“Sekarang Anas dah ok?” tanya Pija.

“Alhamdulillah, saya beransur sihat,” sahut Anas.

“Jadi, jelmaan Ina tu muncul sebab nak kami bagi barang ni kat makcik la ye?” tanya Azie.

“Wallahua’lam. Mungkin juga. Segalanya rahsia Allah,” kata Pakngah.

“Habis tu, yang jelmaan lain-lain tu pulak muncul kenapa?” tiba-tiba je Pija bersuara. Kami memandangnya tanpa berkelip. Tak sangka dia akan bertanya hal itu pada masa ni.

“Jelmaan apa lagi?” tanya Pakngah.

“Kami selalu nampak jelmaan kawan-kawan kami yang masih bekerja di office tu pada masa mereka tiada di tempat tu. Kawan tu cuti, tiba-tiba muncul kat pentri. Despatch kami dah keluar, tiba-tiba duduk terconggok kat tepi kami sedang buat kerja. Bos kami belum masuk office tapi dalam bilik dia ada orang. Takkanlah jelmaan-jelmaan tu ada kena mengena dengan hal Ina dengan rantai emas ni juga,” kata Pija lagi. Dia macam dah hilang sabar.

“Pejabat kamu kat mana?” tanya Pakngah. Kami pun maklumkan lokasi pejabat kami.

“Ooooo…. Itu bangunan lama tu, dah puluhan tahun rasanya,” kata Pakngah.

“Haah, memang bangunan lama. Tapi kenapa pula dengan bangunan tu?” tanya Azie lagi.

“Kamu carilah orang yang lebih arif pasal tu. Saya rasa, jelmaan-jelmaan tu takde kena mengena dengan Ina ni. Ina ni mungkin hanya sebab dia nak sampaikan rantai emas ibunya sebab itu hasratnya dan Allah mengizinkannya,” kata Pakngah.

“Maknanya kami kena cari orang lain untuk tengokkan pejabat kami tu?” tanya Pija. Dan Pakngah mengangguk. Kami gelengkan kepala, maknanya hal pejabat kami tu belum selesai. Aduhhh….

“Kita kena ingat, selain alam kita, ada alam lain yang ada makhluk lain di dalamnya. Ada jin, ada syaitan. Semua tu hamba Allah. Jin dan syaitan ni memanipulasi minda kita supaya kita bergaduh dan berburuk sangka sesama kita. Memang itulah yang iblis dah janji dengan Allah,” kata Pakngah lagi. Kami tunduk mendiamkan diri. Ingatkan dah selesailah bila dah bagi barang Ina ni. Rupanya ada masalah lain lagi.

“Eh, jemputlah makan. Dah sejuk makanan ni.” Kata mak Ina yang masih merah matanya.

Kami pun memang lapar, sejak keluar dari pejabat tadi kami belum makan, cuma jamah biskut kering dan air teh kat rumah Haiza tadi.

“Kita makan dulu. Kalau tak makan pun, bukannya selesai masalah. Sekurang-kurangnya kita dah penuhi hasrat Ina untuk serahkan barang tu kepada emaknya. Isnin nanti kita bincang dengan En Loqman, tengok macammana,” kata Azie. Kami ikut je.

Lepas makan kami meminta diri untuk pulang. Mak Ina tak putus-putus mengucapkan terima kasih kepada kami dan berpesan agar datang lagi. Masa kereta bergerak dan masa kami melambai mak Ina, Anas dan Pakngahnya, kami nampak Ina berada bersama mereka, tersenyum memandang kami. Kali ini kami melihat dia tanpa rasa takut bahkan kami rasa bangga kerana berjaya penuhi hasrat Ina. Memang itu hasrat terbesarnya.

Hari Isnin, Haiza dah sihat, dia pun datang ke office. Kami dah ceritakan semuanya kepada dia. Dan seterusnya target kami ialah En Loqman. Kami memang menunggu dia datang. Dan sebaik sahaja wajahnya muncul di pintu, kami terus terkam dia.

“Dah kenapa kamu semua ni?” tanya En Loqman dengan wajah cuak bila empat orang gadis jelita mengelilinginya.

“En Loqman, tolong panggilkan sesiapa untuk tengokkan pejabat En Loqman ni. Dah banyak hantu kat sini. Kami nak kerja pun susah, asyik takut dan terkejut je,” kata Azie.

“Mana ada hantu,” kata En Loqman sambil melangkah ke biliknya tanpa pedulikan kami. Kami dah naik geram. Risau kalau-kalau kami yang naik hantu nanti.

Kami ikut dia sampai ke biliknya. Tapi aku berdiri kat luar pintu je sebab aku bukan orang lama kat office tu. Jadi tak bolehlah nak masuk campur sangat. Amirul yang tak tahu apa-apa tu pun ikut sekali, bukan sebab dia nak tahu apa jadi, tapi dia takut tinggal sorang-sorang.

“En Loqman tahu tak? Kami selalu nampak jelmaan En Loqman la, Amirul la, semua kat sini la. Kami nampak jelmaan arwah Ina juga,” kata Azie dengan nada yang agak geram kerana En Loqman macam tak ambil peduli dengan aduan kami.

“Kamu semua berangan je ni. Masa kerja pun nak berangan, tu la jadi macam tu,” kata En Loqman sambil meletakkan begnya, duduk di kerusinya dan memasang laptopnya. Seolah kami takde kat situ.

“En Loqman, kami tak berangan. Pasal hal arwah Ina, kami dah selesaikan. Tapi hal jelmaan lain kat pejabat ni, En Loqman kena ambil tahu. En Loqman tak selalu berada dalam office, kami yang nak duduk lama kat sini, dari pagi hingga petang,” kata Pija.

En Loqman buat tak tahu je. Sampai aku pun dah naik geram. Kenapa dia buat tak tahu macam tu? Sedangkan selama ini En Loqman seorang bos yang mengambil berat hal pekerjanya.

“Kalau En Loqman taknak selesaikan hal pejabat ni, saya berhenti kerja sajalah.” Kata Haiza bengang melihat En Loqman buat tak tahu dan asyik mengatakan kami yang berangan.

“Saya pun. Tak tahan dah kerja dalam ketakutan macam ni. Tengok kawan pun dah tak tahu itu orang ke hantu,” kata Azie pula.

Masa ni barulah En Loqman angkat mukanya memandang kami semua. Satu keluhan berat keluar dari mulutnya. Dia mengusap wajahnya dengan tangan.

“Sebenarnya saya tahu. Saya pun selalu nampak. Ada masa saya datang sebelah malam nak ambil barang, saya nampak kamu semua berada di office, merenung saya dengan pandangan menakutkan.” Kata En Loqman.

“Jadi, En Loqman nak biarkan saja?” tanya Haiza.

“Macam ni, sebenarnya yang kita sewa ni adalah bangunan lama, yang dah dibina sebelum kita Negara kita merdeka. Saya sewa di sini sebab sewa bulanannya murah. Kamu semua tahulah keadaan ekonomi kita sekarang. Tapi lepas kita pindah ke sini, barulah saya tahu kenapa tempat ni murah sewanya. Barulah saya tahu bahawa ada perjanjian di antara pembina asal bangunan ni dengan jin kononnya bahawa setiap 5 tahun mesti diserahkan korban. Sekurang-kurang darah kambing hitam perlu dialirkan di setiap lubang di penjuru bangunan ni. Masa pembinaan tu bolehlah mereka nampak lubang untuk dititiskan darah tu tapi sekarang segalanya dah bersimen padat, berbatu marmar, kat tingkat bawah tu dah ditar. Lagipun siapa yang nak buat kerja tu semua? Dan paling malang ialah, tahun ni adalah tahun ke lima selepas korban sebelum ini. Maka seseorang perlu buat korban tu. Masalahnya sekarang, tak siapa tahu dah siapa empunya asal bangunan ni, kalau tahu pun dah tentu-tentu dah mati. Nak kena cari warisnya pulak. Siapa nak buat kerja tu semua?” Kata En Loqman membuatkan kami semua yang mendengar melopong dan terbeliak biji mata.

“Maknanya En Loqman tahulah pasal semua ni? Dan En Loqman sorokkan dari kami?” kata Azie dengan nada yang agak marah. En Loqman diam.

“Jadi, En Loqman nak buat apa sekarang? Biarkan? Atau nak tunggu ada yang jadi korban?” tanya Haiza pula, juga dengan nada marah.

“Bukan saya taknak beritahu kamu semua, saya taknak kamu takut. Dan saya berusaha untuk mencari tempat baru. Masalahnya kita terikat dengan perjanjian sewa dimana kita tak boleh tamatkan perjanjian sebelum setahun. Kalau tamatkan, saya kena bayar balik dua bulan sewa kepada tuanpunya premis ni.” Kata En Loqman.

“En Loqman nak kehilangan sewa dua bulan atau nak kehilangan kami?” tanya Haiza seolah mengugut.

“Baiklah, sebenarnya saya memang sedang cari tempat baru. Dan saya dah jumpa. Pejabat lama kita. Belum ada orang sewa tempat tu. Dan kita pun tak perlu nak ubahsuai bagai sebab memang tempat kita dulu,” kata En Loqman.

“Hari ini juga kami akan kemaskan tempat ni En Loqman. Esok kita pindah,” kata Amirul tiba-tiba membuatkan kami semua menoleh ke arahnya.

“Kamu kemaskan barang dulu. Minggu depan kita pindah. Sementara tu, cubalah kamu bertahan ye. Haiza carikan lori ye,” kata En Loqman memandang wajah kami semua.

“Boleh En Loqman. Kami akan uruskan semua. Kami tak kisah penat berpindah randah asalkan kami dapat keluar dari tempat ni,” kata Azie.

Azie, Pija dan Haiza melangkah keluar dari bilik En Loqman. Puas hati sebab dapat lari dari masalah tempat ni, tak payah lagi nak terkejut sampai nak tercabut jantung sebab takutkan hantu. Ini bukan perkara mudah untuk kami selesaikan masalah satu bangunan ni. Kalau pejabat je boleh jugak panggilkan ustaz ke apa, tapi kalau dah satu bangunan dan jinnya pun dah entah berapa keturunan dah, memang susah nak dihalau. Kami datang kerja bukan nak halau hantu, kami buat akaun je kot.

Aku pandang En Loqman, termenung panjang dia. Kesian juga kat dia, bukan senang jadi bos ni rupanya.

Aku tak boleh nak masuk campur. Elok juga mereka nak pindah, takdelah kami bekerja dalam ketakutan. Dah tahu cerita macam tu, kalau tak pindah, aku pun akan berhenti kerja juga kot. Siapa nak kerja kat tempat macam tu? Bila berhenti kerja nanti, bolehlah aku sambung tulis buku. Tapi takut pula bila mengenangkan respon mak aku kalau dia tahu aku nak berhenti kerja, nak pulak alasannya sebab takut kat hantu. Korang rasa mak aku akan naik hantu tak?

– T A M A T –

One thought on “BAYANGKAN 2.0

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s