BAYANGKAN 2.0

Bab 9

“Siapa kat bilik air tu?” tanya Pija. Aku dan Azie angkat bahu.

“Pergilah tengok,” kata Haiza.

“Taknaklah aku. Entah apa pula yang keluar dari bilik air tu nanti,” kata Azie.

“Habis tu, kita ni nanti takkan pergi bilik air ke?” kata Haiza sambil bangun.

“Kau nak ke mana Haiza?” tanya Pija.

“Nak pergi tengok la, apa yang ada kat sana sampai berdentum pintu bilik air kita,” kata Haiza sambil melangkah ke arah bilik air. Azie ikut dia. Aku tinggal dengan Pija. Tuhan je la yang tahu betapa takutnya masa tu. Apa kerja pun tak jadi.

Tengah aku dengan Pija duduk rapat-rapat tu, tiba-tiba pintu pejabat ditolak perlahan. Berkeriut bunyinya. “Siapa tu Wani?” Pija pulak yang tanya aku.

“Manalah saya tahu. Takde dengar bunyi orang tekan nombor laluan pun?” jawab aku memandang ke arah pintu pejabat yang terbuka sedikit. Menanti-nanti apa yang akan muncul dari pintu tu. Setahu aku, pintu tu ada magnet yang akan membuatkan pintu tu tertutup sendiri jika tiada orang yang menahannya. Tapi kenapa pula pintu tu boleh terbuka macam tu sedangkan tiada sesiapa di situ?

Aku bangun, melangkah perlahan ke pintu. Pija memaut tangan aku, buatkan aku rasa rimas. Tapi aku tahu dia takut sebab aku pun takut. Dah la takde lelaki kat dalam office tu. Tapi kalau si Amirul tu ada sekalipun, dia pun ikut belakang kami yang perempuan ni juga, penakut budak tu. Nampak je berani. Kalau En Loqman bolehlah diharap juga. Tapi benda-benda pelik ni tak jadi masa En Loqman ada. Pelik aku. Ke En Loqman yang bela hantu kat office ni. Hish! Astaghfirullah, minda aku sedang menfitnah.

Aku merapati pintu. Aku lihat di celahan pintu yang terbuka, tiada sesiapa dan tiada apa yang menahannya. Aku jenguk keluar, melihat ke tangga di sebelah kiri, tiada sesiapa. Aku lihat ke sebelah kiri, aku melompat terkejut. Ada seorang perempuan di sana, berdiri hampir dengan pintu, hampir dengan aku. Wajahnya pucat, memandang tepat ke arah aku. Aku terdiam di situ. Dia adalah Ina. Aku tak mampu bersuara, Pija pula masih memaut tangan aku di belakang aku, tak tahu bahawa aku dah kejang kat situ.

“Wani, dah la tu. Jom masuk balik, tutup je pintu ni,” katanya sambil menarik tangan aku.

“Takde apa pun, angin kot,” tiba-tiba terdengar suara Haiza keluar dari arah bilik air.

“Korang buat apa kat pintu tu?” dan terdengar suara Azie menjerit ke arah kami.

Pija tarik tangan aku. Dia terus tutup pintu sebaik sahaja aku dah masuk.

“Kau dah kenapa Wani? Pucat semacam muka kau?” tanya Pija.

“Ina ada kat luar tu,” kataku terketar ketar. Pija membulatkan matanya memandang ke arah aku. Ahh sudah!

Pija pegang tangan aku, kami berjalan seiringan ke meja kami semula.

“Wani kata, Ina ada kat luar pintu,” kata Pija.

“Hah!” Haiza dan Azie serentak memandang ke arah kami.

“Korang jangan nak buat kelakar masa ni. Tolonglah,” kata Azie.

Aku tak jawab. Pija pun diam.

Kami masing-masing duduk di tempat sendiri. Cuba untuk memulakan tugas. Aku ni pulak, tak tahulah macammana nak buat kerja dah. Tadi nampak Ina kat luar tu. Lepas tu, kat meja aku ni terbayang-bayang pulak keyboard bergerak sendiri, laci terbuka sendiri dan teringat pula kat bungkusan kain yang aku jumpa kat dalam laci tu. Entah apa benda tu, dah sebulan lebih tersimpan kat laci tu. Kalau itu bungkusan itulah punca pejabat tu jadi macam tu, bayangkan dah berapa lama benda tu duduk dekat dengan aku.

Sedang aku gigih juga nak tekan keyboard tu, tiba-tiba pintu terbuka besar. Aku melompat dari kerusi aku. Semua orang tengok aku. Amirul melangkah masuk.

“Kau dah kenapa Wani? Tengok aku macam tengok hantu?” tanyanya bersahaja sambil melangkah ke mejanya.

“Mirul, kat luar tu ada sesiapa ke?” tanya Pija.

“Mana ada siapa,” jawab Amirul. Kami semua diam.

Dan seketika kemudian En Loqman masuk. Kami buat kerja kami masing dan segalanya berjalan lancar selepas itu. Tiada lagi gangguan atau jelmaan sesiapa.

Masa balik, aku keluar dulu. Biasalah, ayah aku sampai je kat tingkat bawah terus message aku beritahu dia dah ada menunggu. Aku pun serba salah nak biar ayah tunggu lama-lama. Cukup pukul 5.30 aku tutup komputer dan beredar. Masa aku nak melangkah ke pintu, aku lambailah mereka yang masih berada di office tu. Masa tu la aku nampak ‘Ina’ tu lagi, dia berdiri di sebelah Haiza yang sedang leka menaip di komputer.

“Haiza,” aku panggil. Haiza pandang aku, ‘Ina’ pun pandang aku. Senget je kepala dia. Seram aku tengok dia. Macammana kepala dia boleh terletak elok kat atas bahunya sendiri, tak patah ke leher dia. Lidah aku kelu dah.

“Kau ni Wani. Panggil orang, lepas tu taknak cakap,” kata Haiza merungut, dan terus menyambung kerjanya. ‘Ina’ masih pandang aku. Aku tak tunggu lama, takde daya. Aku melangkah keluar. Masa nak turun tangga, terasa-rasa macam ‘Ina’ ikut aku kat belakang. Berat je rasanya kaki aku. Tingkat 3 rasa macam tingkat 13. Masa ni la aku boleh teringatkan cerita yang aku tulis tu, ada budak turun tangga dalam keadaan terbalik. Budak tu pernah wujudkah di pejabat ini? Lupa aku nak tanya Pija atau Azie. Sebab watak mereka yang dikejar hantu masa tu.

Sampai kat tingkat bawah, ayah dah tunggu. Aku terus masuk kereta.

“Siapa yang turun dengan kamu tadi?” tanya ayah sebaik sahaja aku masuk kereta.

“Wani turun seorang diri ayah. Diorang semua masih kat dalam office, ada kerja lagi sikit,” sahutku.

“Ada orang ikut belakang kamu tadi. Ayah nampak. Pakai baju kurung warna putih kot. Rambut panjang. Setahu ayah kawan kamu semuanya pakai tudung, kecuali Amirul la. Dia ikut rapat belakang kamu. Bila ayah pusing kejap ke lain, dia dah takde. Tu yang ayah tanya kamu tu. Bukan kawan pejabat kamu rasanya,” kata ayah lagi buatkan aku kecut perut.

“Ada orang dari pejabat atas kot. Dah la ayah, jalanlah.” Kataku malas nak layan ayah.

Kat dalam kereta, aku message Haiza. Aku kata tadi aku nampak ‘Ina’ kat sebelah dia. Haiza tak jawab. Aku message Azie dan Pija perkara yang sama, tiada siapa jawab juga. Ah, biarlah. At least aku dah beritahu. Mereka nak percaya atau tak, itu mereka punya pasal.

Malam tu, Azie balas message aku. Katanya lepas aku balik, Haiza menjerit-jerit dan menggelupur. Yang tinggal lagi masa tu ialah Azie dan Pija je. Mereka pun tak tahu nak buat apa, panik. Nak tak nak mereka call En Loqman. Mujur En Loqman masih berada di kawasan itu kerana berjumpa klien, kelam kabut lah dia balik office.

“Kau simpan barang aku. Pulangkan…. Pulangkannnnnn!!!!” Haiza meracau, mengulang ayat yang sama sejak dia tak kerasukan. Tak tahulah En Loqman buat apa, dia baca sesuatu dan hembus ke dahi Haiza, terus Haiza pengsan.

Bila dia sedar balik, En Loqman tanya dia ada ambil barang orang tak? Haiza kata takde. Lepas tu En Loqman suruh kami tutup semua komputer dan balik.

“Azie, aku rasa bungkusan kain kecil yang kita jumpa kat dalam laci aku pagi tadilah kot,” kataku.

“Aku pun rasa macam tu. Mana bungkusan tu sekarang?” tanya Azie.

“Kan Haiza terus masukkan kat beg dia lepas kita dengar bunyi pintu bilik air berdentum tu,” kata aku lagi.

“Takpe, esok kita tanya dia balik.” Kata Pija.

Esok harinya, Haiza tak datang kerja. Call dia, mak dia kata dia pulak demam. Kami minta izin dari En Loqman untuk pergi melawatnya lepas lunch. Dan En Loqman dengan baik hati suruh kami tutup office lepas lunch. Yes!

Masa sampai kat rumah Haiza, mak Haiza nampak macam risau sangat. Haiza pula terbaring lesu kat katil dalam bilik dia. Dia cuba nak bangun tapi kami suruh dia berehat. Aku pegang tangannya, panas.

“Makcik tak tahulah kenapa dengan dia. Sejak balik kerja semalam, matanya melilau tengok keliling. Macam takutkan sesuatu.” Kata mak Haiza.

“Makcik, boleh kami tengok beg Haiza?” tanya Pija. Mak Haiza terus mengambil beg Haiza dan menyerahkan kepada kami.

Haiza yang sedang berbaring pun memandang ke arah kami macam dia pun sama nak tengok apa yang ada kat dalam begnya. Azie buka beg Haiza, memang ada bungkusan kain kecil tu di dalam begnya.

“Apa tu?” tanya Mak Haiza.

“Kami pun tak tahu makcik. Kami jumpa kat dalam laci di pejabat pagi tadi. Kami rasa bungkusan ni bukan benda elok. Mungkin itu yang buat Haiza macam ni,” kata Azie.

“Habis tu, kamu nak buat apa dengan bungkusan tu?” tanya Mak Haiza.

“Kami nak buang.” Kata Azie.

“Buang macam tu je? Kamu betul-betul dah tahu ke apa kat dalam bungkusan tu? Bukannya boleh dibuang macam tu je,” kata mak Haiza.

“Habis tu?” tanya Azie.

“Sekejap lagi ayah Haiza balik dari masjid. Nanti kita tanya dia. Memang dia ada kata nak ajak Pak Imam datang tengokkan Haiza,” kata mak Haiza. Dan kami akur.

Selang 15 minit, ayah Haiza balik dengan Pak Imam. Ayah Haiza pun terkejut bila melihat kami semua berada di rumahnya. “Office tak bukak ke hari ini?” tanyanya.

“En Loqman tutup setengah hari sebab kami nak ziarah Haiza ni,” sahut Pija.

“Ni budak-budak ni jumpa bungkusan kain kecil kat dalam beg Haiza. Mereka kata jumpa kat dalam laci office. Haiza pula simpan kat dalam beg. Cuba tengokkan apa benda dalam bungkusan tu? Mana tahu ada benda tak elok ke. Nak buang ke macammana?” kata mak Haiza.

“Mana bungkusan tu?” Tanya Pak Imam.

Azie menyerahkan bungkusan tu kepada Pak Imam. Pak Imam pejamkan mata dan menggenggam bungkusan tu.

“Tuanpunya bungkusan ini mahu kamu hantarkan bungkusan kepada warisnya,” kata Pak Imam.

“Waris siapa?” tanya Azie sambil memandang aku dan Pija. Aku macam biasa, angkat bahu.

“Kamu tak tahu siapa punya bungkusan ni?” tanya Pak Imam. Kami menggelengkan kepala.

“Tapi kami jumpa kat dalam laci kawan kami yang dah meninggal dunia. Kami pun tak pasti betul tak dia punya,” jawab Pija.

“Kalau macam tu, cuba hantarkan kepada ibunya. Kita ikhtiarkan. Mana tau segalanya akan ok,” kata Pak Imam. Kami anggukkan kepala. Pak Imam menyerahkan bungkusan tu kepada Azie semua tapi Azie takut nak mengambilnya.

“Ambillah, dia takkan kacau kamu. Dia cuma nak pastikan barang ini sampai kepada warisnya,” kata Pak Imam lagi.

Melihatkan Azie masih takut-takut, aku ambil bungkusan tu dari tangan Pak Imam.

Pak Imam merapati Haiza lalu mengambil segelas air masak, membacakan sesuatu dan menyerahkan kepada mak Haiza. “Sapukan sedikit air ni di kepalanya dan selebihnya bagi dia minum dengan selawat nabi. Takde apa, cuma terkejut sikit,” kata Pak Imam.

Aku jadi kaget sekejap. Pak Imam tu nampak tenang je. Kami yang  melihat ni jantung macam nak gugur ke tanah, tapi Pak Imam tu cool sangat. Macam takde apa je. Aku rasa Pak Imam tu dah tau apa benda tu. Atau dia sedang menyembunyikan sesuatu dari kami. Hishh… Sekali lagi minda aku menfitnah. Astaghfirullah.

Kami minta diri untuk balik. Kami bukan nak balik sebenarnya. Kami nak pergi ke rumah Ina. Kami kena hantar bungkusan tu hari ni juga. Kami taknak ada apa-apa gangguan lagi.

Dalam perjalanan ke rumah Ina, aku nampak Ina beberapa kali di jalanan. Selang satu kilometer, aku nampak lagi dia di depan, dia seolah mengikut perjalanan kami. Takut? Mestilah takut. Kalau korang lah, nampak seseorang yang korang tahu dah mati, tapi dia berada dekat dengan korang, memerhati korang, bertentang mata dengan korang, korang tak takut?

-Bersambung-

2 thoughts on “BAYANGKAN 2.0

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s