BAYANGKAN 2.0

Bab 7

Pagi Sabtu Azie ambil aku dari rumah. Mak dan ayah aku dah pesan jangan balik lewat sangat. Dari rumah aku. Azie terus ke rumah Pija sebab dah janji dengan Haiza supaya masing-masing terus ke rumah Pija dan berjumpa di sana saja.

Sepanjang perjalanan ke rumah Pija, aku dan Azie tak banyak bersembang. Aku asyik sangat melihat jalan ke rumah Pija. Segalanya seperti pernah kulihat. Ladang getah, jalan tar yang penuh debuan tanah merah, segalanya pernah terbayang di kepala aku. Segalanya sebiji sama dengan apa yang aku pernah tulis.

Aku pejamkan mata aku kuat-kuat. Dalam cerita aku, masa kat dalam ladang getah ni la enjin kereta terhenti dan masa ni la Ina duduk dalam kereta. Aku gelengkan kepala, tampar pipi kau sendiri.

“Kau dah kenapa pula Wani? Jangan buat hal kat sini, tengah-tengah ladang getah ni,” kata Azie sambil memandang ke arah aku.

“Jauh lagi ke rumah Pija tu?” tanyaku.

“Tak jauh dah, lima minit lagi sampai la,” sahut Azie.

Sesampai kami di rumah Pija, Haiza dah menunggu di sana. Mak Pija menjemput kami masuk ke bilik Pija. Kami nampak Pija berbaring di katil. Tapi dia bangun bila nampak kami datang.

“Kau demam lagi ke Pija?” tanya Azie.

“Makin kebah dah. Cuma kepala aku masih berdesing dan sakit.” Sahut Pija.

“Dia tak lalu makan, makan pun sikit je, itupun sebab nak makan ubat. Tengoklah muka pun pucat je,” kata mak Pija yang menghantar sedulang air dan sedikit biskut kering kepada kami.

“Kau sebenarnya kenapa Pija? Tiba-tiba je demam? Padahal hari last tu kau ok je. Siap buat overtime lagi,” kata Haiza.

“Dan yang aku nak sangat tahu, kenapa kau tinggalkan office tak berkunci, komputer lampu semua tak bertutup. Semalaman tau. Nasib baik aku yang masuk dulu keesokan harinya. Kalau En Loqman yang masuk dulu, tak tahulah sampai bernanah telinga la kena dengar dia membebel,” kaa Azie lagi.

Pija mengeluh panjang sambil menyapu mukanya dengan tangan.

“Haritu kan aku kata nak balik lewat sikit sebab ada dokumen urgent aku kena email kat klien? Masa korang semua dah balik, aku pergilah ke bilik air, aku kunci tandas semua sebab aku pun dah nak balik. Masa aku datang balik ke tempat aku, aku nampak Wani ada duduk kat tempat dia. Tempat dia kan kat belakang aku. Aku tegur dia, kenapa tak balik lagi? Dia tak jawab. Pandang aku semacam je. Masa tu aku pun tak perasan sebab aku nak siapkan kerja aku dan nak balik. Mak aku pun dah call masa tu.” Pija berhenti bercerita sekejap untuk minum air.

“Hari tu kau balik dengan kami kan Wani?” tanya Haiza.

“Iye, buat masa ni, saya orang pertama balik sebab ayah dah tunggu. Tak pernah lagi saya balik lewat sejak saya masuk kerja kat pejabat ni,” sahutku. Menggeletar jugak aku rasa sebab ‘benda’ tu duduk kat tempat aku.

“Lepas aku siap emel kat klien, baru aku teringat bahawa semua orang dah balik. Masa tu aku menoleh ke tempat Wani, dan dia masih di situ, memandang aku macam mula-mula tadi. Dia bukannya buat kerja apapun. Tapi masa tu memang bulu roma aku dah meremang. Tu yang aku call kau Haiza. Aku tanya siapa lagi ada kat office? Kau kata semua dah balik. Bila aku tanya Wani dah balik ke? Kau kata Wani orang pertama balik. Lepas tu aku terus letak phone kan?”

Haiza mengangguk. Memang Pija ada call dia petang tu. Tapi pada sangkaan dia, mungkin sebab Pija nak tahu kot-kot ada orang lain belum balik sebab dia nak kunci pintu.

“Masa aku bercakap dengan kau tu Haiza, mata aku memang tak lepas dari memandang Wani kat belakang aku. Dan dia pun pandang aku semacam. Lepas aku letak phone, Wani tu berdiri. Dia datang dekat dengan aku. Tapi masalahnya aku tak nampak kaki dia melangkah. Dia macam berdiri di atas satu roller blade pulak, jalan je tanpa melangkah. Aku dah keras kat situ. Masa dia hampir dengan aku, dia tanya ‘Call siapa tu?’ suara dia garau, bukan suara Wani. Korang bayangkanlah apa perasaan aku masa tu?” Pija berhenti bercerita. Dia menekup mukanya, dia menangis.

Kami yang mendengar pun meremang bulu roma weh. Aku lagi la. Memang aku tulis cerita hantu tapi yang sebenarnya aku ni penakut beb.

“Lepas tu, lampu terpadam. Gelap satu office. Aku nak menjerit, suara tak keluar. Dan aku dengar bunyi satu suara ketawa. Mula-mula perlahan tapi lama kelamaan makin kuat. Aku dengan bunyi mesin fotostat dihidupkan padahal dah black out. Aku dengar bunyi tapak kaki, aku dengar bunyi cawan di pentri berlaga-laga, aku dengar bunyi paip air dipasang, sekejap kuat sekejap perlahan. Korang bayangkan, aku di office seorang diri masa tu, jam dah pukul 6 petang! Kawasan kita tu pukul 5.30 pun dah sunyi,” kata Pija.

“Lepas tu?” Haiza bertanya tak sabar. Air yang mak Pija hidang, kami tak sentuh pun.

“Lepas tu apa lagi? Aku kumpul kekuatan aku, aku lari keluar la dari office tu. Tempat aku la paling dekat dengan pintu tapi punyalah berat kaki aku nak melangkah, macam disekat-sekat je kaki aku. Aku berpaut kat dinding untuk sampai ke pintu. Ya Allah, aku tak tahu nak explain betapa takutnya aku masa tu. Masa dah keluar, boleh pulak aku nampak si Wani ni berdiri kat tengah tangga. Korang tau lah kan, tangga office kita tu besar mana je. Kalau aku nak lalu, memang aku kena tolak la tubuh Wani yang kat tengah tangga tu. Tapi aku tak peduli dah, aku langgar je dia, Aku menjerit dah macam orang gila terus berlari turun tangga sampai kedai Ah Seng kat bawah tu. Dia pun pelik tengok aku menjerit-jerit macam tu.” Kata Pija menghabiskan ceritanya.

“Balik dari pejabat tu, masa aku sampai rumah, badan aku dah panas dah. Badan lemah je, loya nak termuntah. Pergi klinik, doktor kata aku demam tinggi sebab suhu aku 42 darjah. Dia bagi aku cuti sehari tapi lepas tu demam aku tak kebah, tu yang dia bagi lagi MC dua hari.” Kata Pija.

“Habis tu sekarang dah ok ke?” tanya Azie.

“Tak berapa ok. Sesekali aku macam terpandang arwah Ina. Tak tahulah itu imaginasi aku atau memang realiti Ina cari aku. Mungkin ada sesuatu yang dia nak beritahu aku,” kata Pija.

“Kau cubalah pergi berubat kampung pula. Mana tau kau lemah semangat,” kata Haiza memberi pendapat.

“Haah, mak aku kata petang ni ada orang nak datang, nak buat tertemas.” Kata Pija.

“Pelik juga ye, kenapa semua ni terjadi lepas Ina meninggal dunia. Tapi sejak akhir-akhir ni, memang macam-macam jelmaan kat pejabat tu. Bukan jelmaan Ina je, jelmaan orang lain pun ada. Hari first kau MC tu, Amirul nampak kau kat pentri, siap teman dia makan biskut cicah milo lagi,” kata Azie sambil tersenyum gelihati.

“Hah! Amirul nampak jelmaan aku kat pentri?” tanya Pija. Dan kami semua mengangguk.

“Kita minta la En Loqman carikan ustaz untuk tengok-tengokkan office kita tu. Kalau berterusan macam ni, macammana la kita nak kerja?” kata Haiza.

“Saya nak tanya sikit boleh?” tiba-tiba aku menyampuk. Tak tahulah kenapa aku rasa seperti ada satu batu besar kat bahu aku selagi aku tak ceritakan bahawa segala yang berlaku adalah sama seperti apa yang aku tulis sebelum aku masuk kerja di pejabat ni. Bukan aku taknak cerita tapi aku yakin akan ditertawakan macammana mak aku selalu gelakkan aku. Buat cerita kat buku tapi berangan sampai bawa ke dunia nyata.

Semua mata bertumpu ke arah aku.

“Tanya je la Wani. Sejak bila pula nak bertanya kena minta izin?” kata Azie.

“Ina tu meninggal sebab eksiden ke?” tanyaku.

Mereka bertiga memandang aku tanpa berkelip. “Haah, pandai kau meneka,” kata Haiza.

“Ina tu tunangan Rohiman?” tanyaku. Dan mereka terus memandang aku tanpa berkelip.

“Eh eh, ini bukan teka ni. Kalau siap boleh mention nama Rohiman lagi. Kau kenal mereka ke?” tanya Pija.

“Ina eksiden bersama dengan Rohiman dan kedua-dua mereka meninggal. Rohiman meninggal dunia di tempat kejadian dan Ina meninggal di hospital, betul tak?” tanya aku lagi.

Dan kali ini mereka buka mata luas-luas memandang aku.

“Mana kau tahu ni Wani? Kau kenal mereka ke?” sekali lagi Azie bertanya soalan yang sama.

“Begini. Sebelum saya masuk kerja di pejabat ni, saya suka menulis buku cerita seram. Menulis sebagai hobi, sekadar untuk suka-suka.” Kataku.

“Apa kena mengena dengan keadaan office kita sekarang?” Tanya Azie, tak sabar. Macam aku dah buka cerita lain sedangkan mereka sedang berbual dengan hal pejabat.

“Cerita terakhir yang saya tulis, sama sebiji macam apa yang terjadi di pejabat kita. Pasal Ina, pasal Rohiman. Pada hari Rohiman meninggal, Pija masuk office dan Ina ada di sana sedangkan pada masa tu Ina sedang bertarung nyawa di hospital,” kata aku dan buat Pija menganggukkan kepalanya laju mengakui apa yang aku cakap tu.

“Kau tulis cerita hantu dan cerita tu betul-betul terjadi kat office kami? Kau ni telepati ke apa Wani?” tanya Azie memandang aku sambil membeliakkan matanya.

“Kenapa tak jamah air dan biskut tu? Tak sudi ke?” tiba-tiba terdengar suara mak Pija menegur dari pintu bilik. Terkejut kami yang sedang dalam keadaan tegang tu.

“Maaf makcik, kami sibuk bergosip,” kata Haiza sambil membetulkan duduk dan mengangkat secawan air lalu meneguknya. Diikuti oleh Azie dan aku sambil di perhatikan oleh mak Pija.

“Minggu depan Pija ok la tu. In Shaa Allah. Petang nanti makcik nak bawak dia tertemas. Kot ada benda lain mengganggu. Selalunya Pija ni kuat juga, tapi mana tau kan. Kot ada mulut terlepas cakap sampai ada yang kecil hati ke. Kot dia ada mengganggu sesiapa ke,” kata mak Pija, masih berdiri di muka pintu.

“Iye makcik, silalah bawa dia berubat kampung pula. Mana tau akan lebih baik,” kata Haiza.

“Pija, kami balik dulu. Kau berubat dulu. Nanti hari isnin kau datang kerja, kita fikirkan bagaimana nak selesaikan hal ni. Kita minta tolong En Loqman. Mesti ada jalan dan mesti ada sebab kenapa jelmaan Ina masih berada di pejabat tu,” kata Azie.

Pija menganggukkan kepala. Dan kami meminta diri untuk pulang.

-Bersambung-

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s