BAYANGKAN 2.0

Bab 6

Dalam gelap tu, masing-masing termasuk Amirul diam terpaku. Tiada siapa yang bergerak. Azie pula setiap kali lampu handphonenya semakin kelam, dicerahkannya balik.

“Amirul, kau pergilah tengok fius utama tu. Aku rasa fius tu terjatuh. Kau tolak je ke atas balik, ada la elektrik nanti,” kata Pija.

“Apa aku pulak, korang la,” sahut Amirul masih berdiri rapat di kalangan kami, dah takde segan silu dah dia. Nampak sangat dia takut.

“Weh Mirul, kau tu lelaki. Kau la pergi buat kerja tu. Tak malu ke suruh perempuan yang buat? Lelaki jenis apa la kau ni?” kata Haiza agak keras.

Dalam masa mereka masing-masing bertolak-tolak untuk betulkan fius tu, tiba-tiba aku perasan sesuatu. Aku dapat rasakan, dalam kumpulan kami ada enam orang. Aku angkat kepala, memandang ke arah kami lima orang yang sedang berkumpul dalam gelap tu. Aku, Haiza, Pija, Azie, Amirul dan ada seorang lagi! Seram aku weh. Dah la aku baru je tahu bahawa perempuan yang aku nampak semalam adalah orang yang dah mati, sekarang dalam gelap ada pula tambahan ahli kumpulan. Aku tunduk kembali.

“Korang, aku nampak ada orang lain dalam kumpulan kita ni.” Kataku berbisik perlahan membuatkan semuanya memandang aku hanya dengan bantuan lampu handphone Azie.

“Kat mana?” sahut Haiza, turut berbisik.

“Korang, janganlah main-main masa ni.” Amirul pula bersuara terketar-ketar.

“Dia di sebelah Pija.” Kata aku sambil menjeling sedikit ke arah perempuan asing itu. Aku tak berani lihat wajahnya, aku hanya melihat pada paras bawahnya sahaja sebab dia berdiri sama dengan kami semua.

Mereka perlahan-lahan menggerakkan kepala masing-masing untuk melihat ke arah perempuan sebelah Pija dan tiba-tiba, “Apa korang buat dalam gelap ni? Kenapa tak on balik suis utama tu?” terdengar kuat suara En Loqman berdiri di belakang kami.

“Opocot mak kau!” Azie melatah, handphonenya tercampak tinggi dan jatuh ke bawah, terus gelap.

“Kamu semua ni, dah tahu suis jatuh, pergilah on balik. Yang duduk berkumpul dalam gelap tu dah kenapa? Kamu ingat kamu sedang berkhemah kat hutan ke apa?” En Loqman membebel.

“Amirul, pergi on suis tu,” kata Pija. Amirul tak menjawab.

Tak sampai 2 saat kot, tiba-tiba lampu menyala semula. Kami memandang keliling, semua ada di situ termasuk Amirul dan En Loqman.

Kami pandang ke papan utama elektrik, tiada siapa di sana.

“Kau on suis ke Amirul?” tanya Pija dan dengan laju Amirul gelengkan kepala.

Kami pandang En Loqman yang berdiri di depan pintu biliknya sambil memandang kami.

“En Loqman ke yang on suis utama tu?” tanya Haiza.

“Dari tadi saya berdiri di sini,” kata En Loqman.

“Tadi En Loqman berdiri belakang kami kan?” tanya Pija.

“Saya baru je keluar dari bilik saya bila lama sangat kamu tak on suis balik. Saya ingat saya nak pergi on, tapi baru sampai sini dah menyala balik,” kata En Loqman.

“Habis tu, siapa yang on suis tu?” tanya Haiza. Masing-masing angkat bahu.

“Wani, orang yang kau nampak sebelah Pija tadi, ada lagi ke? Siapa? Ina?” tanya Haiza.

Aku angkat kepala pandang keliling. “Sekarang dah takde. Saya tak nampak muka. Cuma masa kita berkumpul di sini tadi, saya nampak ada susuk tubuh selain kita berdiri di sebelah Pija,” sahut aku.

“Dah dah tu. Tak payah panjangkan cerita. Korang jangan bagi pengaruh tak elok pulak kat Wani tu. Dia baru je kerja sini. Pergi sambung kerja masing-masing,” kata En Loqman sambil berpusing kembali ke biliknya.

“En. Loqman, saya panggilkan orang elektrik untuk tengokkan suis utama kita ye. Takut jugak kalau ada apa-apa yang bahaya.” Kata Haiza.

“Haah, panggillah. Repair apa-apa yang perlu,” kata En Loqman.

Kami semua kembali ke meja masing-masing. Cuma Amirul masih terpaku dekat meja Azie.

“Kau dah kenapa Mirul? Pergilah balik ke meja kau,” kata Azie.

“Korang tahu tak, aku nampak seseorang berdiri kat papan suis utama tu tadi,” kata Amirul membuatkan kami semua berpusing melihatnya.

“Kau nampak siapa?” tanya Haiza.

“Masa korang suruh aku pergi on suis tu, aku pandang kat papan suis tu. Aku nampak benda tu tinggi, besar, hitam dan macam berbulu-bulu. Dia berdiri kat tepi suis utama tu sambil memandang kita,” kata Amirul, wajahnya memang ketakutan.

“Dalam gelap tu macammana kamu nampak? Kamu berangan je ni? Atau kamu nak takutkan kami? Jangan main-main Mirul,” kata Haiza memandang tepat wajah Amirul.

“Aku nampak la dari cahaya luar yang yang masuk sikit-sikit dari sebalik tirai office ni,” kata Amirul.

“Dah la tu. Mungkin perasaan kamu je Mirul. Tu la, cakap besar sangat, saka la, arwah tok la. Dah, pergi meja kau. Takde apa tu,” kata Azie cuba menurunkan kegusaran hati semua yang ada di situ. Aku memang dah takde suara la. Amirul melangkah ke mejanya.

Selepas itu, tiada perkara pelik berlaku di pejabat kami. Semuanya kembali seperti sediakala. Aku pun dah makin suka dengan suasana bekerja di pejabat ini, dengan kawan-kawan yang sekepala. Haiza pun dah panggil orang untuk repair segala hal berkaitan elektrik di pejabat kami. Moga segalanya akan semakin ok.

Orang paling gembira mak dan ayah aku la. Seronok mereka mendengar aku bersembang setiap malam pasal hal kat tempat kerja baru aku. Setiap pagi, aku akan tunggu di tingkat bawah bangunan itu. Sampailah aku terima message dari salah seorang kawan tempat kerja aku bahawa mereka sudah ada di pejabat, barulah aku naik ke pejabat aku. Itu je caranya supaya aku tak masuk ke pejabat dan terserempak dengan ‘Ina’. Dan pada setiap masa, aku akan pastikan aku tak seorang. Walaupun ke tandas, aku akan ajak seseorang teman aku.

Hinggalah pada satu pagi, masa aku sampai pejabat, aku dengar Azie membebel-bebel seorang diri. “Kenapa Azie?” tanyaku.

“Semalam aku rasa Pija yang last tinggalkan office ni. Dia tak tutup aircond, lampu, mesin semua. Dia tak kunci office juga. Dia tinggalkan office macam tu je. Apa masalah dia ni,” Rungutnya lagi.

“Pija dah masuk ke belum?” aku tanya.

“Belum lagi. Selalunya masa ni dia dah sampai. Dia ada call kau ke Haiza, bagitahu dia cuti ke apa?” tanya Azie.

“Takde pun,” sahut Azie sambil mengadap komputernya.

“Cuba kau call dia,” kata Haiza.

Azie membuka telefonnya lalu mendail nombor telefon Pija. Mak Pija yang jawab telefon, katanya Pija demam, tak dapat datang ke pejabat.

“Tiba-tiba je demam? Semalam nampak dia ok je? Nak kata kena hujan, semalam tak hujan pun,” kata Azie masih tak puas hati sebab Pija tinggalkan office begitu je semalam hingga pagi ni.

“Manalah kita tahu. Nanti dia datang kita tanyalah,” kata Haiza.

Tak lama lepas tu Amirul sampai.

“Aku laparlah, belum sarapan lagi. Bangun lambat. Aku ambil biskut kat pentri tu ye,” katanya sambil berlalu ke pentri.

“Ambillah, bukan kami punya. Semuanya office punya,” sahut Azie.

Lima belas minit lepas tu, Amirul datang semula ke mejanya.

“Kenapa Pija tu?” tanyanya.

“Pija? Kau tengok dia kat mana?” tanya Haiza, dah mula kaget.

“Tu kat pentri tu. Duduk diam je tenung aku dari mula aku masuk pentri, aku bancuh air milo cicah biskut. Aku tegur pun dia buat tak tahu je. Matanya hitam je macam orang tak cukup tidur.” Kata Amirul.

“Bila kau tengok Pija?” tanya Azie.

“Laa… Yang korang banyak tanya ni dah kenapa? Kejap tadi la masa aku minum kat pentri tu. Dia marah kot aku makan biskut korang banyak, dekat setengah tin la aku bedal,” kata Amirul sambil ketawa kecil.

Aku, Haiza dan Azie berpandangan sesama sendiri. Pija kan cuti? Macammana pula Amirul boleh nampak dia kat pentri.

Haiza bangun, melangkah perlahan ke pentri. Menjenguk dari luar pintu.

“Mana ada siapa kat pentri tu Mirul,” kata Haiza.

“Dia dah pergi tandas kot. Takkanlah dia nak duduk kat situ sampai petang. Dia pun kena buat kerja juga.” Sahut Amirul sambil menulis rekod di bukunya.

Haiza merapati Amirul. Amirul memandang Haiza dengan wajah pelik.

“Kau dah kenapa Haiza?” tanyanya.

“Mirul, Pija cuti hari ini. Dia tak masuk kerja. Dia demam,” kata Haiza separuh berbisik.

“Jangan tipu akulah. Aku nampak jelas tadi Pija kat sana,” kata Amirul.

“Aku takde masa nak main tipu-tipu dengan kau Mirul. Ke kau yang nak main-main tipu dengan kami? Sebenarnya kau tak nampak Pija, tapi kau teringatkan dia sangat kan? Kau suka dia ek?” tanya Azie pula mengusik Amirul.

Amirul tak jawab, tapi wajahnya agak resah.

Dua hari berlalu, Pija masih tak datang pejabat. Bila ditelefon, maknya kata dia masih demam.

“Esok cuti. Aku nak pergi lawat Pija kejap. Macam teruk je demamnya.” Kata Haiza.

“Aku ikut,” sahut Azie.

“Wani, kau nak ikut?” tanya Haiza.

“Saya nak ikut tapi saya takde kenderaan. Kalau ayah saya tak guna kereta esok, bolehlah saya ikut sekali?” sahutku.

“Kalau kau nak ikut, tumpang aku je la. Nanti aku ambil kau dari rumah dan hantar kau balik,” kata Azie. Dan aku setuju je.

-Bersambung-

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s