BAYANGKAN 2.0

Bab 3

Aku pandang keliling aku. Aku lihat Haiza, Azie dan Pija. Mereka berada di tempat masing-masing dengan wajah biasa, seperti tiada apa perkara pelik pernah berlaku di pejabat itu. Aku berdiri. Haiza pandang aku.

“Kenapa muka kamu macam takut je Wani?” tanyanya.

“Takde apa,” sahut aku menyembunyikan perasaan aku. Aku duduk kembali.

Kalaulah cerita yang aku tulis tu betul, kat depan aku Pija, sebelah aku sebelah aku Haiza dan depan Haiza ialah Azie, maka, tempat yang aku duduk ni, tempat Ina? Tadi Haiza ada cakap bahawa aku masuk sini gantikan tempat Qistina, maknanya Ina? Kebetulan apakah ini? Atau aku masih bermimpi? Nak lari balik? Takut Ina atau takut mak aku? Rasanya aku takut kat mak aku lagi. Takpe, baru sejam aku kat pejabat ni. Mungkin khayalan aku je, sebenarnya takde apa.

Aku buka komputer menggunakan password yang Haiza bagi tadi. Aku buka fail-fail akan yang berada di depan aku. Banyak juga syarikat luar yang mengupah pejabat ni untuk buat perakaunan syarikat mereka. Patutlah penuh fail kat meja dan kat lantai. Ni kalau masuk stor, mahu penuh stor jugak ni.

Pukul 9.30 pagi, muncul seorang lelaki, nampak baya baya-baya kami jugak. “Wani, inilah dia despatch kita, namanya Amirul. Dia baru sebulan kerja kat sini. Dia akan menghantar dan mengambil dokumen-dokumen dari pejabat klien-klien kita. Maknanya dia macam posmen la kat dalam pejabat ni. Kadang-kadang tolong belikan lunch jugak, tapi kenalah kita hulur untuk lunch dia sekali.” Kata Haiza menerangkan.

“Wow, ada awek baru, comel,” usik Amirul.

“Dah dah Mirul, kau pergi buat kerja kau. Aku dah letak barang kat atas meja kau. Tengoklah sendiri nak hantar kat mana,” kata Pija kat depan aku.

“Baik Bos!” sahut Amirul lalu melangkah pergi ke meja kecilnya di bahagian belakang sekali, dekat dengan mesin fotostat.

Aku pula terasa lega. Amirul tiada dalam cerita aku, bermakna bukanlah macam cerita yang aku buat tu. Aku je yang berfikir banyak sangat. Haish… Patutlah mak aku selalu marah aku.

Lebih kurang pukul 10 pagi, seorang lagi masuk. Seorang lelaki dalam usia 50 berpakaian kemas dengan cermin mata hitam dan berkopiah. Aku kenal lelaki tu, dia yang interview aku dulu.

“Wani, inilah bos kita, En Loqman.” Kata Haiza memperkenalkan En Loqman kepada aku. Aku bangun dan memberi tanda hormat kepadanya.

“Haiza, awak dah beritahu semua tugasan dia, apa kerja dia di sini, waktu bekerja semua?” tanya En Loqman lagi.

“Sudah En Loqman,” sahut Haiza.

“Selamat datang ke A to Z Accounting Management Sdn Bhd. Kita bekerja dalam pasukan, jadi apa-apa yang rasa perlu untuk kebaikan pejabat ini, sila maklumkan. Kami kat sini sporting, boleh berbincang semua hal,” kata En Loqman.

“Baik En Loqman,” sahutku.

En Loqman berjalan masuk ke biliknya.

“Haiza, kau dah minta En Loqman betulkan suis utama elektrik office ni? Dah lama suis tu kejap ok kejap tak ok. Aku takut bab elektrik ni,” kat Pija kepada Haiza.

“Aku dah cakap banyak kali dah. Dia buat dek je,” sahut Haiza.

“Aku kalau lampu tertutup sendiri, aku lari keluar dulu,” sahut Azie yang sedang menaip di komputernya.

“Hish kau ni Azie, siang-siang buta pun nak takut. Kita ni ramai kot, ada 6 orang,” kata Haiza.

“Kau tak kena bolehlah cakap. Aku dengan Pija ni dah macam tunggu malaikat maut je punyalah takut.” Kata Azie seperti merungut.

“Haaa… dah dah, tak payah nak cakap hal tu lagi. Benda dah lepas kan?” Pija pula bersuara.

“Yang lepas tu orangnya, tapi yang tinggal kat sini kita tak tahu apa bendanya?” sahut Azie.

“Eheeemmmmmmmmm….!” Pija berdehem kuat. Matanya mengerling ke arah aku seperti memberi isyarat kepada Haiza dan Azie agar tak bercerita lagi di hadapan aku. Haiza dan Azie terus diam.

“Ok semua, saya keluar dulu hantar barang ni semua. Apa-apa hal nanti whatsapp je saya. Saya tak boleh jawab call, saya kat atas motor tau,” kata Amirul sambil melangkah ke pintu.

“Dah habis hantar dokumen tu semua, balik ke pejabat tau. Kau jangan nak mengulat kat mana-mana pula. Jenuh kami nak menjawab bila En Loqman bertanya,” kata Azie kepada Amirul.

“Baik Bos!” sahut Amirul.

Dalam lebih kurang pukul 11 pagi, Pija dan Azie pergi ke pentri kot, bancuh air. Haiza pula masuk bilik En Loqman. Aku sorang-sorang kat situ. Tiba-tiba pintu pejabat tu terbuka. Masuk seorang perempuan. Dia terus memandang aku. Aku bangun.

“Ye cik, cari siapa?” tanyaku.

Perempuan tu hanya berdiri di depan aku dan memandang aku.  Pelik sangat rupanya. Mungkin dia adalah salah seorang klien pejabat ni. Dan dia tak kenal aku kerana aku baru masuk kerja hari ini.

“Haiza, Pija dan Azie ada hal sekejap. Cik duduk dulu, sekejap lagi mereka datang,” kataku berlemah lembut. Kadang tu aku kagum dengan diri aku, aku ni jenis kasar, semua orang cakap macam tu termasuk mak dan abang-abang aku. Tapi aku mampu je cakap lemah lembut kalau aku nak. Tengoklah dengan siapa aku bercakap kan.

Perempuan itu duduk di kerusi yang diletakkan di tepi pintu. Kerusi tu memang tempat klien menunggu kalau nak jumpa En Loqman. Dan perempuan itu terus duduk di situ, bermakna dia dah biasa dengan pejabat tu. Aku pun kembali duduk di tempat aku, sambung kerja aku tadi, masih masukkan data akaun.

Lebih kurang 5 minit kot, Haiza keluar dari bilik En Loqman.

“Haiza, tu ada seorang perempuan tunggu. Saya dah tanya dia cari siapa tapi dia diam je. Mungkin sebab dia tak kenal saya kot,” aku beritahu Haiza.

“Perempuan? Perempuan mana? Tunggu kat mana?” kata Haiza terjenguk-jenguk mencari perempuan yang aku cakap tu.

Aku bangun. Memang tiada siapa duduk di situ. “Aik! Tadi dia duduk kat situ,” kataku bila aku tak nampak sesiapa di situ. Dan masa tu Azie dan Pija pun datang dari arah pentri sambil masing-masing membawa segelas air kopi panas.

Bila melihatkan keadaan aku dan Haiza yang tercari-cari dengan muka terpinga-pinga, Pija tanya kami cari apa.

“Entah si Wani ni. Tadi aku masuk bilik En Loqman. Korang berdua pula kat pentri. Katanya ada seorang perempuan duduk kat kerusi depan tu tunggu kita.” Kata Haiza.

“Perempuan? Dia masuk ikut mana?” tanya Pija memandang aku.

“Masuk ikut pintu tu la,” jawab aku.

“Makcik Hasnah ke?” tanya Azie sambil memandang Pija dan Haiza.

“Hari ini Isnin la weh. Makcik Hasnah datang hari Rabu. Korang ni!” kata Haiza. Aku kat situ memerhati sambil pasang telinga je la.

“Kau salah pandang tak Wani?” tanya Haiza.

“Memang ada perempuan masuk tadi,” sahutku. Aku yakin dengan apa yang lihat. Takkanlah nampak orang pun aku tak tahu.

“Wani, pejabat ni ada nombor pin untuk kita tekan bila nak masuk. Yang tahu nombor pin tu cuma staf sini je. Kamu pun kami belum beritahu nombor pin. Kalau orang lain nak masuk, mereka kena tekan loceng kat luar macam yang kamu buat pagi tadi dan kita akan buka dari dalam. Pintu tu tak boleh terbuka sendiri macam tu je,” kata Haiza kepada aku.

“Kamu yakin kamu nampak perempuan tu?” tanya Pija lagi. Dan aku menganggukkan kepala.

“Muda ke tua?” tanya Pija pula.

“Dalam umur kita juga,” sahutku.

“Maknanya bukan Makcik Hasnah la,” sahut Azie.

“Takkanlah dia datang lagi?” Pija bercakap sendirian.

“Siapa?” tiba-tiba terpacul soalan dari mulut aku.

“Takpe, lupakan aje. Mungkin kamu tersalah tengok,” kata Haiza. Aku diam juga. Mustahillah aku tersalah tengok. Tapi takpelah, hal kecil je. Lupakan saja.

Pija, Haiza dan Azie kembali ke  tempat masing-masing. Tapi jelas di muka masing-masing ada perasaan yang penuh tandatanya. Aku mana tahu, aku cakap apa yang betul je.

Masuk pukul 1 tengahari, Haiza, Pija dan Azie mengambil dompet masing-masing. “Wani, kami nak pergi beli makanan, kamu nak ikut tak?” tanya Pija.

“Takpelah, saya ada bawa bekal makan,” sahutku.

“Oklah, kalau macam tu, kalau kamu nak makan dulu, makan je kat pentri tu. Kami turun ke tingkat bawah kejap, kami bungkus makanan tengahari. Kalau nak tunggu kami pun takpe, nanti kita makan sama-sama,” kata Pija. Dan aku anggukkan kepala.

Lepas mereka keluar, En Loqman pun keluar. “Tak keluar makan ke Wani?” tanya En Loqman. “Saya ada bawa bekal En Loqman,” sahutku. En Loqman anggukkan kepala dan terus keluar. Tinggal aku seorang. Sebenarnya aku tak lapar lagi. Selalunya cepat je aku lapar tapi kerja hari ini buat aku tak rasa lapar. ‘Tunggulah mereka beli makanan dan masuk ke pejabat balik, nanti aku makan la dengan mereka sama-sama’ desis hati kecilku. Aku mengadap komputer aku semula.

Tak lama lepas tu, agak-agak dua minit je kot, aku terasa seperti ada benda bergerak kat pintu masuk. Aku angkat kepala aku dan aku nampak perempuan tadi masih duduk di kerusi tu. Eh eh, tadi dia takde, sekarang ada pula. Dah la aku sorang kat pejabat ni.

“Cik, tadi cik yang datang kan? Masa mereka semua ada kat sini tadi cik pergi mana?” tanyaku memandang perempuan itu dengan pelik. Sebab cara dia pandang aku pun pelik.

Perempuan tu bangun dari duduknya. Bergerak menghampiri aku. Berdiri di depan aku. Lepas tu berjalan ke tempat duduk aku. Matanya melilau melihat ke meja aku seperti mencari sesuatu. “Cik cari apa?” tanyaku. Rasa nak naik marah pun ada.

Lepas tu pintu terbuka, aku pandang ke pintu. Pija, Haiza dan Azie masuk sambil berbual bising.

“Haiza, ni perempuan tadi,” kataku sambil menunjukkan ke arah belakang aku sebab perempuan tu ada kat belakang aku.

Haiza menjenguk belakang aku.

“Perempuan mana pula ni Wani? Mana ada siapa kat belakang kamu tu,” kata Haiza.

Aku berpusing melihat ke arah perempuan tadi. Iyelah, memang tiada sesiapa. Tapi tadi memang dia ada di situ.

“Kamu lapar ni Wani. Jom kita makan. Lepas makan nanti nak solat lagi.” Kata Azie sambil memandang ke arah Haiza dan Pija, padahal sedang cakap dengan aku. Aku pun akur, ambil bekalan makanan yang mak aku bagi pagi tadi dan berjalan menuruti langkah mereka ke pentri.

Masa makan, mereka banyak bertanyakan pasal aku. Tinggal di mana, datang naik apa, dulu sekolah mana, semualah. Bising pentri tu. Sampailah tiba-tiba terdengar bunyi pintu utama pejabat dibuka.

“Siapa tu? Takkan Amirul datang masa ni. En Loqman dah keluar kan?” tanya Haiza. Aku mengangguk memberitahu bahawa En Loqman dah keluar.

Mereka semua diam kat pentri. Kedengaran fail diangkat dan diletak semula. Dan terdengar bunyi tapak kaki melangkah ke arah pentri. Kami semua kat pentri berhenti makan dan bercakap, masing-masing memasang telinga.

“Kenapa ni?” tanyaku.

Mereka menutup mulut aku menyuruh aku diam.

– Bersambung –

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s