BAYANGKAN 2.0

Bab 2

Pagi Isnin, Aku dah bersiap awal dengan baju kurung berwarna kuning air dengan tudung biru gelap, mak aku pun dah siapkan sarapan awal pada pagi tu. Mak dah siapkan bekal untuk aku bawa ke tempat kerja, maklumlah, tak tahu suasana di tempat baru tu lagi. Risau kalau aku tak tahu nak beli makanan untuk tengahari nanti. Ayah hantar aku naik kancilnya. Ayah aku memang tak kerja sebab dapat pencen ilat, ayah aku ada asma, selalu je MC. Dah la kerja kat kilang simen yang banyak habuk. Jadi memang aayah aku jadi pemandu aku dan mak la kalau nak kemana-mana.

Sampai di tempat seperti yang tertulis di letterhead surat tawaran tu, aku keluar dari kancil ayah aku. Aku pandang keliling. Tak tahulah kenapa aku rasa macam aku pernah tengok tempat tu, kawasan tu. Tapi aku tak ingat aku tengok kat mana.

“Nak ayah teman sampai pejabat kamu ke? Atau ayah hantar sampai sini je?” tiba-tiba aayah aku menegur sebab lama juga aku memandang keliling lepas keluar kereta.

“Takpelah ayah, Wani boleh naik ke pejabat tu sendiri. Ayah baliklah dulu. Apa-apa nanti Wani message ayah ye. Petang nanti jangan lupa ambil Wani tau ayah,” kataku.

“Iyelah. Jaga diri. Elok-elok kerja tu. Bagi mak kamu senyum sikit,” kata ayahku sambil masukkan gear dan berlalu pergi meninggalkan aku masih memandang keliling.

Bangunan di situ merupakan lot kedai pejabat 5 tingkat. Tingkat bawah sekali nampak macam kedai, banyak tak bukak lagi. Ada banyak pejabat, ada bank, bursa saham, klinik, macam-macamlah. Kat tingkat 1 hingga 5 adalah pejabat. Tapi aku masih yakin, tempat tu aku pernah tengok.

Aku masuk melalui satu pintu. Ada tangga kecil di situ. Tempat kerja aku kat tingkat 3. Sampai kat tingkat 3, aku jumpa pejabat tempat kerja aku. Aku nampak gelap je. Aku yang sampai awal ke? Aku tengok jam tangan, pukul 8.30 pagi. Kat dalam surat tu kata, waktu bekerja ialah pukul 8.30 pagi, tapi kenapa masih gelap? Aku tekan loceng.

Dari luar pintu tu, aku nampak sesuatu bergerak di dalam. Macam seseorang melintas kat pintu tu pun ada. Aku rasalah kan, cermin pintu tu berwarna gelap sebab tu aku nampak gelap tapi sebenarnya kat dalam tu cerah. Aku tekan loceng lagi, dan sekali lagi bayangan tu melintas kat pintu. Pelik gak aku, loceng tu rosak ke? Dah aku tekan dua kali, dan aku nampak ada orang kat dalam, takkan dia tak dengar aku tekan loceng. Aku berpusing kejap kat depan pintu tu. Dan perasaan aku masih merasakan bahawa aku pernah sampai kat tempat tu. Suasana tangga yang kecil, pintu cermin tu, lantai berkarpet  biru, lampu, semualah. Nak kat aku pernah interview kat sini, orang yang call aku semalam dah kata pejabat ni baru pindah. Masa aku interview dulu kat pejabat lain. Jadi, sah-sah la aku tak pernah datang pejabat ni.

Tiba-tiba aku dengar sesuatu melanggar pintu pejabat tu dari sebelah dalam. Terkejut aku. Haish, cuak betul aku. Diorang ni bergaduh ke apa kat dalam tu? Dah la aku tekan loceng takde orang dengar. Nak kata aku silap pejabat, tu tercongok papan tanda besar kemain kat atas pintu tu. Aku tekan loceng lagi. Dan aku nampak lagi bayangan seseorang melintas depan pintu. Masih lagi takde orang buka pintu.

Aku keluarkan telefon. Aku dail nombor telefon pejabat tu. Baru berdering dua kali dah ada orang jawab. Aku bagi salam, takde orang jawab.

“Cik, saya Huwaini yang nak masuk kerja hari ini. Saya dah berada di luar pintu pejabat ni tapi takde orang buka pintu walau saya dah tekan loceng banyak kali,” kataku. Tiada sahutan, cuma tedengar bunyi nafas di tarik dan dihembus. Tiba-tiba je aku rasa macam nak marah. Terasa macam dipermain-mainkan pulak. Aku letak telefon. Aku ketuk pintu. Tapi macam ada orang mengajuk pulak. Aku ketuk dari luar, dia ketuk dari dalam. Aduh.

Aku hilang sabar. Aku melangkah turun tangga. Baru sampai ke anak tangga tingkat 2 ada tiga orang perempuan melangkah naik tangga. Aku berhenti sejenak melihat tiga perempuan tu. Mereka pula sedang rancak bergosip nampaknya sampai tak terlihat aku kat tangga atas ni. Sampai kat aku, diorang menjerit terkejut nampak aku tercongok kat situ seorang diri dengan muka innocent tu.

“Kamu siapa? Cari siapa awal-awal macam ni?” tanya salah seorang perempuan tu.

“Saya sepatutnya masuk kerja hari ni tapi saya dah tekan loceng, orang kat dalam tu taknak buka pintu,” sahutku dengan rasa kecewa.

“Pejabat mana?” perempuan tu tanya lagi.

“A to Z Acccounting Management Sdn Bhd, kat tingkat 3,” jawabku.

“OOooooooooo…… Kamu Huwaini binti Zakaria?” seorang perempuan lagi pulak sebut nama penuh aku. Dan dah takde perasaan dah, aku mengangguk kepala.

“Kau kenal ke dia Haiza?” tanya seorang perempuan lagi. Aku dengar nama Haiza, terus aku teringat kat perempuan yang call aku Jumaat lepas yang beritahu aku bahawa pejabat ni dah pindah.

“Tak le aku kenal tapi dialah yang aku kata akan masuk kerja hari ini, ganti tempat Qistina,” sahut perempuan bernama Haiza tadi.

“Ooooooooo……..” sahut dua lagi perempuan bersamanya.

“Haa, jom jom. Kenapa datang awal? Office kita bukak pukul 9,” kata perempuan yang menegur aku mula-mula tadi.

“Surat kata pukul 8.30,” sahutku.

“Alamak, saya takde bagitahu ye office dah tukar masa bekerja? Sori sori, saya lupa la tu,” sahut perempuan yang bernama Haiza tu sambil menepuk dahinya.

“Sian dia kau ni Haiza. Selalu je lupa pasal benda penting macam ni. Dah la hari pertama, datang office takde orang, mesti dia ingat dah kena tipu ke apa,” kata perempuan tadi.

“Tapi kat dalam tu dah ada orang. Saya nampak dia lalu lalang kat pintu. Siap berlaga dengan pintu lagi. Tapi dia tak buka pintu. Saya tekan loceng, saya ketuk, tapi dia lalu je depan pintu.” Sahutku.

Ketiga-tiga perempuan tadi berhenti melangkah di depan pintu pejabat tu, mereka berpaling memandang ke arah aku dengan wajah terkejut. Aku cuak dah, aku dah salah cakap ke?

“Mana ada orang lagi kat dalam pejabat tu? Sekarang baru pukul 8.50 pagi. Bos selagi belum pukul 10 memang tak nampaklah batang hidungnya. Seorang lagi despatch, dia tu lagi la, masuk bila kita panggil je,” kata seorang perempuan lagi.

Aku diam. Habis yang aku nampak macam sibuk sangat ke hulu ke hilir masa aku tekan loceng tadi siapa? Aku yakin aku nampak seseorang tadi. Tiba-tiba aku terbayang muka mak aku. “Kamu tu masuk tempat baru, mulut tu jangan celupar sangat. Jangan nak tunjuk pandai, jangan tunjuk bodoh jugak. Diam je. Bila orang bercakap, diam je. Jangan nak menyampuk. Sedar kamu tu budak baru. Jangan baru hati pertama, orang dah menyampah dengan kamu. Faham?” Pesan mak aku. Tersentak gak aku sekejap. Haishh, sampai sini pun aku masih dapat dengar mak aku membebel.

Perempuan bernama Haiza tadi mengambil kunci dari begnya dan membuka pintu. Pintu terbuka, terasa ada angin sejuk keluar dari bilik tu. Ternyata di dalam tu gelap gelita. Serta merta badan aku rasa sejuk.

“Kenapa sejuk je pejabat ni? En Loqman lupa tutup aircond lagi la ni,” rungut salah seorang dari mereka.

Aku mengikut mereka masuk ke dalam pejabat tu. Mereka mengambil kerja masing-masing. Buka lampu, letak beg, pasang aircond, buka mesin fotostat, buka komputer. Dan sekali lagi aku terpegun. Kenapa pejabat ni nampak familiar sangat?

“Mana ada aircond En Loqman terpasang. Elok je tutup semua.” Kata salah seorang perempuan tadi.

“Habis tu angin sejuk tadi datang dari mana?” kata perempuan bernama Haiza tadi.

“Korang jangan macam-macam. Dah dah tu,” sahut seorang lagi perempuan. Dan terus yang dua orang lagi diam. Aku jadi pemerhati je.

“Huwaini. Hmm… Boleh panggil Wani je?” tanya perempuan bernama Haiza tadi. Aku anggukkan kepala.

“Saya Haiza, yang tu Hafizah dan seorang lagi tu Azie. Kita berempat je kat sini. Bos namanya En Lokman, mesti Wani pernah jumpa dia masa interview dulu. Dan ada seorang lagi despatch. Despatch tu pun baru, dia awal sebulan dari Wani. Dia akan masuk la kejap lagi tu. Dia memang masuk sharp on time, balik tak tahu time, sedar-sedar lepas lunch hilang terus.” Kata Haiza.

“Ni tempat Wani. Letak beg dan semua barang Wani di sini dulu. Jom saya tunjukkan keseluruhan pejabat ni,” kata Haiza. Aku akur. Aku letak beg, botol air dan bekalan mak aku kat atas meja.

Haiza tunjukkan aku tempat-tempat dalam pejabat tu. Pentri, bilik air, tempat solat, bilik bos semua. Dan aku betul-betul dejavu, Aku pernah datang tempat tu. Aku yakin, 200% aku yakin. Semua selok belok dalam pejabat tu memang berada dalam gambaran kepala aku.

Aku dan Haiza kembali ke tempat duduk aku. Haiza tunjuk aku cara buka komputer semua. Dia bagi aku password komputer.

“Semua komputer kat sini ada password. Kita buat kerja perakauan pejabat luar, jadi segalanya adalah sulit dan persendirian.” Kata Haiza. Aku anggukkan kepala.

“Ok, nanti Wani boleh tukar password. Tapi jangan lupa pula. Nanti nak buka tak boleh. Kalau rasa belum yakin, jangan tukar dulu. Dah pandai semua nanti baru tukar,” kata Haiza lagi. Dan aku masih anggukkan kepala.

“Ok, selesakan diri dulu. Nanti saya datang bagi fail yang perlu dikemaskini. Sementara tu, tengok-tengoklah dulu komputer ni, sistem dia, tempat bekerja ni, kalau ada apa-apa soalan, beritahu saja saya, ok?” kata Haiza. Dan aku mengangguk juga. Haiza melangkah pergi ke tempat duduknya di tepi dinding sebelah kanan aku. Depan aku Hafizah dan depan Haiza ialah Azie.

Aku memandang keliling. Masih terfikir-fikir bagaimana suasana pejabat ni seperti aku pernah datang. Aku memang nak tahu. Aku pernah mimpi ke?

Sedang mengelamun tu, tiba-tiba telefon berdering. Diangkat oleh Azie. “Nak cakap dengan Hafizah? Sekejap ye, saya sambungkan talian,” kata Azie lembut.

“Pija, jawab line 1,” Jerit Azie dan Hafizah yang berada di depan aku angkat telefon.

Tiba-tiba aku tersentak! Besar mata aku, melopong sekejap mulut aku. Aku gosok muka aku, aku gosok mata aku, keadaan pejabat itu masih sama.

HAIZA? AZIE? PIJA? EN LOQMAN?????

– Bersambung –

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s