BAYANGKAN 2.0

Bab 1

Lepas mak aku mengamuk sakan marahkan aku sebab tulis cerita sampai terjerit-jerit macam kena rasuk haritu, dekat dua minggu jugak aku boleh jeling je laptop aku. Mana taknya, aku pandang je laptop aku, mak aku berdehem dah. Ayah aku ada jugak tanya, kenapa aku dah lama tak bukak laptop aku, laptop rosak ke?

Belum sempat aku jawab, mak aku dah serang aku dah. “Tak payah nak laptop laptop sangat, menganggur dah setahun lebih sejak dapat diploma, kerja sana kejap, kerja sini kejap. Sudahnya duduk mengadap laptop, kononnya buat cerita, tapi takde buku keluar pun.”

“Awak ni pun, cubalah jangan garang sangat dengan Wani ni. Dia kan satu-satunya anak perempuan kita, bongsu pulak tu. Biarkan la dia, kita mampu lagi nak bagi dia makan,” kata ayah. Ayah selalu membela aku, sayang ayah.

“Bukan pasal kita mampu atau tak. Kalau tiba-tiba kita mati malam ni? Tak tergapai-gapai ke nanti nak teruskan hidup?” tanya mak aku balik.

“Abang-abang dia kan ada. Tahulah mereka uruskan adiknya,” sahut ayah aku lagi.

“Itulah dia, bergantung selalu dengan orang. Abang kena bagi galakan untuk dia belajar berdikari. Bukan mengajar dia terus bergantung harap kepada orang lain.” Balas mak aku lagi, taknak kalah.

“Alaaahhh, bukan orang lain. Abang kandung dia,” ayah pun taknak kalah.

Mak diam. Malas dah nak bertikam lidah dengan ayah. Kalau nak terus bertikam lidah, memang sampai subuh esok tak sudah. Mak jeling aku.

“Untunglah, ada orang bela. Nanti mak ayah takde, masa tu kamu akan tahu sebab sayanglah mak berkeras dengan kamu. Tapi masa tu mak dah takde untuk kamu beritahu bahawa kamu faham apa yang mak cakap,” kata mak seakan merajuk.

Mak terus bangun dari duduknya. Berlalu ke dapur. Aku diam. ‘Merajuk kot’ desis hati kecilku.

Aku masuk bilik. Baring kat katil sambil belek novel Dosa Semalam yang belum habis aku baca. Tengah tercari-cari mukasurat terakhir aku berhenti baca, aku dengar bunyi motorsikal memasuki perkarangan rumah. Aku jenguk ikut tingkap. Ada posmen datang hantar surat. Aku baring balik.

Sejurus lepas tu aku dengar ayah aku panggil nama aku. Aku terus berlari ke luar bilik. Kalau ayah panggil, laju ke aku kan. Kalau mak panggil, aku boleh buat tak tahu je. Padahal sepatutnya lepas tiga kali mak, barulah aku kena sahut ayah. Adehh, aku ni dah terbalik. Mungkin sebab mak selalu membebel kat aku dan ayah pulak selalu bela aku.

“Ya Ayah,” sahutku.

“Ni ha ada surat untuk kamu.” Kata ayah sambil menunjukkan sekeping sampul surat yang diletakkan di atas meja.

Aku ambil sampul surat tu. Haah la, nama aku. Siapa pulak hantar surat kat aku ni. Rasanya takkan PTPTN dah hantar surat saman kot. Aku belum ada pendapatan tetap lagi, nak bayar macammana.

Aku buka sampul surat tu. “Tahniah! Anda telah lulus temuduga. Sila laporkan diri di pejabat kami pada tarikh yang tertera di bawah jika masih berminat”

Surat aku dapat kerja! Aku buka mata aku luas-luas. Iye, aku dipanggil bekerja. Terlompat-lompat aku. “Ayah, Wani dapat kerja! Makkkkkk! Wani dapat kerja!” Aku melompat macam nak roboh rumah papan ayah aku. Aku aku pandang aku. “Kerja kat mana? Pejabat apa?” tanya ayah aku.

Aku baca surat tu laju-laju. “Pejabat perakaunan ayah, kat pekan,” sahutku. Ayah aku anggukkan kepala, lepas tu dia baca balik surat khabar. Aku berlari cari mak aku kat dapur. Nampak mak aku tengah kupas pisang, nak buat cekodok la tu.

“Mak, wani dapat kerja mak.” Aku bersuara girang berlari mendapatkan mak aku.

Mak aku buat tak pandang je kat aku. Dia terus je kupas kulit pisang tu. Aku pergi rapat kat mak aku.

“Mak, dengar tak ni?” tanya aku lagi.

“Pergilah kongsi gembira dengan ayah kamu, kenapa cakap kat mak? Mak ni semua tak betul.” Sahut mak aku tanpa pandang aku. Alaaa, merajuk lagi ke pun mak aku ni. Merajuk dengan aku ke dengan ayah aku ni? Aduh, aku dapat berita gembira ni, dah merajuk pula. Ni aku nak bersedih ke aku nak bergumbira ni?

Aku melangkah perlahan tinggalkan mak aku yang masih lagi kupas kulit pisang. Tiba-tiba rasa macam tak dihargai pulak. Suruh aku cari kerja, dah dapat kerja, merajuk pulak. Kesian aku, excited la konon. Lepas tu orang tak layan, padan muka aku.

“Dapat kerja kat mana?” tiba-tiba mak aku bertanya masa aku dah naik ke anak tangga ke lima. Hati aku berbunga balik. Aku berlari turun tangga, terus pergi dekat mak aku, yang masih lagi kupas kulit pisang. Haihhhh……!

“Kat pekan mak. Pejabat perakaunan. Wani pun tak ingat dah office mana sebab banyak sangat yang Wani pergi interview dulu,” sahutku.

“Bila start?” tanya mak aku lagi.

“Minggu depan mak,” sahutku tersengih-sengih. Tapi mak aku masih dengan pisangnya. Aku dapat kerja ni macam takde makna kat mak aku. Pisang tu lagi menarik perhatiannya. Masa aku takde  kerja, suruh aku cari kerja, dah dapat kerja, dia buat acuh tak acuh je. Cekodok tu bila-bila pun boleh buat, bukannya nak buat meniaga pun, nak bagi aku dengan ayah aku makan je. Abang-abang aku semua dah berkeluarga, tak duduk sekali.

“Ni tempat kerja kelima untuk tempoh setahun ni. Mak harap kamu kerjalah lama sikit. Timba pengalaman. Jangan sikit-sikit nak berhenti kerja, sikit-sikit nak sentap dengan senior la, dengan bos la. kerja elok-elok,” kata mak aku. Aku diam. Dapat kerja pun kena bebel lagi.

“Mak ni bukan apa Wani. Mak risau bila mak dah takde nanti, kamu tak pandai berdikari. Memanglah kamu ada Abanglong dengan Abangah tapi kamu kena ingat, mereka tu dah ada isteri dan anak-anak. Mereka dah ada tanggungjawab kepada keluarga mereka sendiri. Bukan nak mengadap kamu je macam yang mak ayah buat sekarang ni. Kami bukannya budak kecil lagi, dah 23 tahun kan. Kalau zaman mak dulu, 23 tahun ni ada dua tiga anak dah,” kata mak. Kali ni mak berhenti kupas kulit pisang. Mak pandang aku, aku pulak yang sibuk tengok kulit pisang tu.

“Kamu faham tak apa mak cakap ni Wani?” tanya mak lagi.

“Wani faham mak. Tempat kerja dulu tu bukannya Wani yang buat hal, kakak tu yang….” Aku cuba berdalih tapi mak aku potong, “Sudah-sudahlah menyalahkan orang Wani. Kamu orang baru, biar je mereka kata apa. Kamu tu kena kuatkan hati, niat nak cari pengalaman. Bukan nak gaduh dengan orang. Selagi kamu tak cedera, biar je.” Kata mak lagi sambil bangun dan mengangkat besen berisi pisang yang dah dikupas lalu melenyeknya menggunakan gelas kaca.

“Baiklah mak. Wani cuba,” sahutku acuh tak acuh sambil melangkah semula ke tangga nak naik ke tingkat atas.

Aku masuk bilik. Buka almari pakaian aku. Banyak baju kurung aku. Sebab dulu masa aku dapat kerja yang mula-mula, mak aku excited sangat. Dia bawa aku ke pekan, belikan baju kurung untuk aku berhelai-helai. Sebab aku ni jenis pakai seluar. Aku jarang pakai baju kurung. Aku rimas. Aku dibesarkan dengan abang-abang aku, jadi perangai aku pun ikut macam abang-abang aku juga. Takde lembut femininnya macam gadis sebaya aku. Tapi bila kerja pejabat, aku kenalah pakai baju kurung kan.

Pagi esoknya aku terima panggilan telefon.

“Cik Huwaini bt Zakaria?” terdengar suara seorang perempuan di hujung talian.

“Ye saya,” sahutku.

“Saya Haiza dari pejabat Pengurusan Perakauan A to Z Sdn Bhd. Saya nak tanya cik dah terima ke surat tawaran kerja kami?” tanyanya.

“Oh, ya. Saya dah terima semalam.” Sahutku.

“Adakah cik akan melaporkan diri di pejabat kami minggu depan?” tanyanya.

“Ya, minggu depan saya akan laporkan diri,” sahutku.

“Ok. Begini, saya nak maklumkan bahawa pejabat kami baru je berpindah. Masa cik interview dulu kat pejabat lama. Jadi cik datang ke pejabat baru ye. Ikut alamat di letterhead surat tu. Tak jauh pun dari tempat lama,” katanya.

Oooo… Patutlah aku tak berapa ingat pejabat mana kalau ikut pada alamat kat surat tu. Rupanya aku interview tempat lain, dan sekarang dah pindah alamat lain. Baru aku faham sekarang.

“Ok. Saya faham. Nanti saya ikut alamat dalam surat ni,” sahutku.

Talian diputuskan. Aku kembali melihat-lihat pakaian dalam almari aku. Mencari-cari baju yang sesuai untuk aku di hari pertama bekerja isnin nanti.

– Bersambung –

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s