KAMI MAHU PULANG

Bab 9 – AKHIR

“Jadi, Cikgu Alif memang nampaklah apa yang saya nampak?” tanyaku ingin kepastian.

“Saya nampak. Cikgu lain pun nampak. Tapi untuk mereka yang dah lama, semakin mereka buat tak tahu, semakin kurang mereka nampak benda-benda ni semua.” Kata Cikgu Alif.

“Macammana nak buat tak tahu?” tanyaku lagi.

“Saya pun tak pasti. Mungkin sebab saya pun baru setahun dan belum pandai ‘buat tak tahu’ tu, jadi saya masih dapat lihat budak-budak ni. Paling selalu dalam kelas la. Dia tiba-tiba berdiri tepi saya masa saya menulis di papan hitam. Ada masa saya duduk di kerusi, dia memaut kaki saya dari bawah meja. Masa saya mengemas sekolah di hari cuti, saya nampak budak-budak ni bermain di bawah pokok besar. Mula-mula saya ingat anak-anak murid sekolah ni, bila saya menghampiri mereka, mereka makin membawa saya ke arah sungai. Dan saya nampak mereka bermain di sungai pula sambil diperhati oleh Pak Deraman.” Kata Cikgu Alif.

“Cikgu Suraya la yang paling selalu menasihatkan saya supaya buat tak tahu.” Kata Cikgu Alif membuatkan aku pandang dia.

“Kenapa pula Cikgu Suraya nak suruh kita buat tak tahu. Dia pun nampak macam tak suka bila saya kata saya nampak budak-budak pelik tu. Saya hairan dengan sikapnya, seperti dia menyembunyikan sesuatu,” kata aku, memang aku nak tahu sangat kenapa Cikgu Suraya begitu.

“Sebenarnya dia cuba menjaga kita. Dulu saya pun memberontak tapi bila melihat apa yang terjadi kepada Cikgu Maria, saya rasa saya faham kenapa Cikgu Suraya jadi begitu,” sahut Cikgu Alif.

“Kenapa?” tanyaku.

“Dua orang guru sebelum Cikgu Maria pun minta bertukar kerana masalah ini. Tapi mereka tak beritahu sesiapa. Alasan permohonan tukar sekolah adalah kerana jauh dari keluarga dan anak anak kecil yang perlukan jagaan ibu. Tapi Cikgu Maria pula berlainan. Dia bercerita secara terbuka tentang apa yang dia nampak. Guru besar dah memberi amaran kepadanya untuk tidak menghebahkan perkara ini. Pertama adalah untuk menjaga reputasi sekolah. Kedua, kita taknak masyarakat orang asli di sini mengatakan kita cuba melawan kepercayaan mereka yang mengatakan tapak sekolah ini adalah milik makhluk halus. Hinggalah satu hari Cikgu Maria meracau macam orang gila. Tok Batin sini mengatakan kerana dia dah mengganggu ketenteraman makhluk halus yang menjaga tapak sekolah ini. Hingga terjadi sedikit perselisihan faham antara pihak sekolah dengan penduduk kampung orang asli di sini. Mungkin ada antara orang asli yang marah dengan kelantangan Cikgu Maria bercerita pasal hantu kat sekolah ni, seseorang dah hantar santau kepadanya hingga muntah darah. Tahulah orang asli ni dengan kehebatan mereka. Dan lepas tu keluarga Cikgu Maria meminta untuk dia dibawa pulang ke tempat asalnya. Dan dengar cerita selepas dia keluar dari sekolah ni, dia beransur sembuh.” Kata Cikgu Alif.

“Maknanya Cikgu Maria bukan berhenti la. Tapi dia dibawa pergi sebab sakit?” tanyaku. Dan Cikgu Alif mengangguk.

“Patutlah beberapa barangnya masih tertinggal di dalam biliknya,” kataku perlahan.

“Cikgu Suraya taknak perkara yang terjadi kepada Cikgu Maria, terkena kepada orang lain. Sebab tu dia cuba sedaya upaya untuk tidak memanjangkan apa-apa cerita mengenai benda-benda pelik di sekolah ini. Dia sedang menjaga kita sebenarnya. Dan dia taknak kita menyinggung perasaan masyarakat orang asli di sini,” kata Cikgu Alif.

“Cikgu Alif rasa, kenapa semua ni terjadi? Maksud saya kenapa budak-budak pelik tu muncul? Tak ke rasa seperti merekalah anak-anak yang hilang tu?” tanyaku.

“Saya pernah bermimpi, atau mungkin juga petunjuk. Saya nampak papan tanda amaran yang diletakkan di kawasan tanah runtuh. Saya juga nampak sempadan yang dibuat oleh pihak berkuasa. Saya juga nampak beberapa orang anak-anak orang asli yang masih bermain melepasi tali sempadan amaran tu. Iyelah, ini kawasan mereka, kampung mereka. Bukan semua budak faham dan mendengar kata-kata biarpun ada sempadan dan papan tanda amaran dah diletak disitu. Tapi saya cuma nampak keadaan itu. Bukan sekali dua, tapi banyak kali. Ada masa pandangan itu berlegar di dalam kepala masa saya sedang mengajar. Saya tak percaya pada vision macam cerita orang putih tu, yang kita boleh nampak kejadian diluar pengetahuan kita. Jadi saya anggap itu cuma imaginasi saya,” kata Cikgu Alif.

“Saya tak rasa itu imaginasi Cikgu. Sebab saya pun mengalaminya semasa saya pengsan di tandas lama semalam dan lepas tu cikgu jumpa saya terbaring di sana kan. Saya pun terlihat suasana tanah runtuh yang sangat dahsyat. Dan paling dahsyat ialah, saya nampak beberapa orang anak-anak yang sedang bermain di tebing atas, jatuh dan tenggelam di dalam runtuhan tanah itu. Sekali dengan pengawal Pak Deraman tu,” sahutku membuatkan Cikgu Alif memandang tepat ke arah aku.

“Maknanya budak-budak tu tenggelam di dalam runtuhan tanah tu? Sejak sepuluh tahun lepas? Dan tiada pihak ambil tahu? Bahkan ibubapa anak yang hilang tu pun tak mencari mereka. Allahu Akbar!” kata Cikgu Alif seperti satu keluhan besar sambil menyapu mukanya.

Aku diam. Muka Cikgu Alif sangat serius.

“Hai, makan berdua nampak,” tiba-tiba terdengar suara Cikgu Norma menegur kami. Aku angkat kepala melihat Cikgu Norma yang tersenyum manis memandang kami.

“Ingatkan dah balik makan kat rumah. Rupanya kat sini lagi. Dating ke?” kata Cikgu Norma lagi sambil menggenyit mata kepada aku sambil tersenyum mengusik.

“Saya minta diri dulu,” kata Cikgu Alif tiba-tiba dan bangun dari kerusinya lalu pergi dengan tergesa-gesa.

“Cepatnya nak pergi Cikgu Alif. Saya bergurau je. Jangan ambil hati pula,” Cikgu Norma menegur dengan wajah serba salah.

“Takdelah kecil hati. Saya ada urusan lain,” sahut Cikgu Alif tersenyum kepada Cikgu Norma dan terus berlalu pergi.

Aku pun turut bangun dan berjalan pulang bersama Cikgu Norma.

“Kenapa Cikgu Alif tu tiba-tiba je tergesa-gesa nak balik bila saya muncul? Saya dah menggangu ke?” kata Cikgu Norma.

“Takdelah, kami dah lama kat situ. Memang dah nak balik masa Kak Norma sampai,” jawabku walaupun aku sendiri pelik bila melihat Cikgu Alif tiba-tiba bangun dan tergesa-gesa meninggalkan kami.

Keesokan harinya Cikgu Alif tak hadir ke sekolah. Panjang juga leher aku mencarinya sebab aku nak tahu kenapa dia bergegas nak balik semalam. Risau juga aku dah menyinggung perasaan dia ke. Tapi dia memang tiada. Dah aku pun tak nampak apa-apa yang pelik di sekolah.

Keesokan harinya lagi, guru besar membuat pengumuman bahawa sekolah akan ditutup selama sebulan untuk kerja-kerja menaiktaraf struktur sekolah yang dah lama. Semua guru-guru dinasihatkan pulang ke kampung mereka. Aku pun apa lagi, cepat je aku bersiap. Baru seminggu aku kat sini, dah boleh balik rumah mak aku. Siapa tak seronok? Dapat cuti percuma.

Tapi aku pelik juga. Tiba-tiba je sekolah ni nak dinaiktaraf, dah kenapa? Aku tanya Cikgu Suraya dan Cikgu Norma, mereka kata baru je dapat peruntukan. Tapi aku tak rasa itulah sebabnya.

Aku jumpa Cikgu Alif.

“Semalam saya dah bincang dengan guru besar tentang apa yang Cikgu Jue mimpi dan bayangan yang saya selalu nampak. Saya syak budak-budak pelik yang kita dan guru lain nampak tu adalah anak-anak yang tertimbus di dalam runtuhan tanah tebing sungai. Mula-mula guru besar agak keberatan kerana tiada peruntukan dan terpaksa tutup sekolah. Tapi saya berkeras untuk buat laporan polis pasal ni. Dan akhirnya dia mengalah. Bukan saya nak desak dia sebab saya faham dia juga dalam keadaan serba salah sebab banyak yang dia perlu berjawab dengan kementerian pendidikan nanti. Tapi untuk kepentingan jangka panjang, dia akur,” kata Cikgu Alif.

Petang itu memang ada beberapa kereta polis masuk ke kawasan sekolah di perkampungan orang asli di di situ. Kawasan sekolah telah dipagar dengan kain kuning yang melarang sesiapa pun masuk ke situ. Aku pulak excited nak balik rumah mak aku. Biarlah pihak polis uruskan segalanya di situ. Moga-moga lepas balik bercuti nanti, segalanya akan ok seperti sekolah-sekolah lain. Walaupun baru seminggu aku di situ, aku dapat rasakan bahawa aku suka sekolah itu. Dengan anak-anak yang naif, belum terjerumus dengan kehanyutan hidup di kota, dan yang penting sekolah itu adalah sekolah pertama aku bergelar pendidik.

Sebulan kemudian…..

Aku kembali ke sekolah. Perkhabaran yang sampai ke pengetahuan aku, pihak polis menjumpai tujuh rangka kanak-kanak dan satu rangka orang dewasa yang tersangkut pada akar pokok besar. Dalam tak sedar, air mata aku menitis. Aku terbayangkan suasana mereka tertimbus di bawah runtuhan tanah. Yang kemudiannya dimampatkan untuk dibina pagar batu untuk menjadi sempadan dari kawasan sekolah dengan sungai. Tiada pihak yang mencari mereka. Tapi mereka terpaksa keluar untuk mencari bantuan walaupun dalam keadaan alam yang tak sama. Pun tidak dipedulikan sejak sepuluh tahun lepas, hanya kerana nak menjaga nama sekolah dan demi nak menjaga keharmonian hubungan dengan masyarakat orang asli di situ.

Semoga roh anak-anak ini dibawa terus ke syurga Allah. Aaminn…

Selang sebulan, segalanya semakin baik di sekolah itu. Bahkan semakin ramai anak-anak orang asli yang datang ke sekolah. Dan sejak penemuan rangka di sekolah, makin ramai orang asli yang memeluk agama islam. Mungkin itu hidayah mereka, dan anak-anak itulah hero mereka.

Di suatu petang, aku bersiar-siar dalam kawasan sekolah sambil memerhati sekumpulan murid bermain di padang sekolah. Tak tahulah kenapa sejak kes tempoh hari, hatiku mudah tersentuh bila melihat anak-anak ini bergembira. Ada masa hingga menitis air mata. Betapa mereka sebenarnya gembira untuk ke sekolah tetapi kerana tiada orang dewasa yang mempercayai kata-kata mereka, bahkan lebih percayakan kepada kepercayaan karut, maka mereka diam. Kesian mereka.

Aku terkejut bila tiba-tiba Cikgu Alif berdiri di tepi aku. “Jauh mengelamun,” tegurnya membuatkan aku menyapu air mata yang menitis.

“Saya dapat kelulusan untuk bertukar sekolah. Bermula bulan depan,” kata Cikgu Alif.

“Seronoknya. Tahniah!” kataku. Tapi tak tahulah kenapa dalam hati aku tiba-tiba rasa kehilangan.

“Terima kasih. Dah lama saya minta tukar ni. Sejak sebulan saya masuk ke sekolah ini. Tapi baru sekarang lulus,” katanya.

“Rezki Cikgu Alif tu.” Sahutku.

“Cikgu Jue ada minta tukar sekolah tak?” tanyanya.

“Saya tak pernah minta, sebab saya dah mula sukakan sekolah ini dan masyarakat di sini. Yang banyak mengajar saya erti kehidupan. Tak semua orang sebertuah kita,” sahutku sambil memandang murid-murid yang sedang bermain bola sepak.

“Sebenarnya saya pun dah mula suka dengan sekolah ni. Rasa sedih pula nak tinggalkan. Kalau dulu saya tak sabar nak dapatkan kelulusan bertukar sekolah tapi hari ini bila dapat surat ni saya rasa macam sedih pulak. Rasa macam takde semangat,” sahut Cikgu Alif turut sama memandang murid-murid yang sedang bermain.

Aku diam, rasa macam berjauh hati.

“Kalau saya tolak kelulusan untuk bertukar ni, adakah berbaloi?” tiba-tiba je Cikgu Alif bertanya aku. Aku pandang dia. Tak faham dengan maksudnya.

“Berbaloi untuk apa? Sama je mengajar di mana-mana. Tugas kita mendidik. Asalkan kita berjaya mendidik anak bangsa, mana-mana sekolah pun berbaloi,” jawabku kembali memandang ke kawasan sekolah. Tak boleh nak tengok Cikgu Alif tu lama-lama, makin sedih nanti.

“Memang betullah tu. Tapi di sekolah lain takde Cikgu Jue,” Cikgu Alif berkata sambil tersenyum manis sekali. Kali ini aku pandang dia betul-betul dan aku rasa aku faham. Tiba-tiba je aku rasa muka aku panas. Merah padam kot muka aku. Tapi ada semacam rasa berbunga pula kat dalam hati aku. Rasa kehilangan tu dah terbang entah ke mana, diisi dengan rasa berbunga setaman la pulak.

“Berbaloi agaknya,” sahutku sambil tersenyum malu dan terus melangkah balik ke kuarters tanpa menoleh memandang ke arahnya lagi. Namun hati aku berbunga riang.

– T A M A T –

3 thoughts on “KAMI MAHU PULANG

Leave a Reply to siti maryam Cancel reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s