KAMI MAHU PULANG

Bab 8

Masa makan malam, aku diam je. Tak banyak cakap. Tiap kali Cikgu Suraya dan Cikgu Norma bertanya, aku jawab acuh tak acuh je. Ada pertanyaan yang aku tak jawab pun. Bukan taknak jawab tapi otak aku asyik teringatkan kejadian siang tadi. Aku masih keliru dengan apa yang aku nampak di sungai tu. Aku mimpi ke? Itu realiti ke? Aku cuma pengsan kat tandas sebab ada hantu budak kacau aku, lepas tu boleh ke bermimpi dalam pengsan tu? Patutkah aku abaikan? Tapi kalaulah itu adalah suatu petunjuk, apa aku harus buat?

Selesai makan, aku masuk semula ke dalam bilik. Solat Isya’ aku terlena. Mungkin sebab aku letih sangat. Cikgu Suraya dan Cikgu Norma pun tak ganggu aku. Cuma Cikgu Suraya ada pesan suruh aku rehat banyak. Dia kata kena jaga diri, takut demam nanti. Kawasan ni agak pedalaman, jadi susah kalau sakit, kena pergi pekan yang agak jauh dan kena melalui jalan-jalan yang berlopak dan berselut.

Aku perasan, Cikgu Suraya tu sebenarnya ambil berat tapi dengan caranya sendiri. Dia agak tegas dengan setiap orang. Mungkin kerana pengalamannya yang agak lama berada di sekolah itu dan hidup di perkampungan orang asli membuatkan hatinya cekal dan mengharap orang lain pun sepertinya.

Aku sedar ketika terdengar bunyi ketukan di cermin tingkap bilik aku. Aku buka mata. Aku lihat ke cermin tingkap aku yang diketuk. Aku bangun, selak langsir tingkap. Tiada apa-apa. Aku tutup langsir tingkap kembali dan duduk di katil. Aku lihat jam, baru pukul 3 pagi. Aku baring semula. Baru aku nak pejamkan mata, bunyi ketukan di tingkap kembali. Aku pandang ke arah tingkap.

Kali ini aku nampak satu bayangan hitam bergerak-gerak di luar tingkap. Aku bingkas bangun dan bergerak ke tingkap. Aku selak langsir. Dari cermin, aku nampak bayangan hitam berdiri di tepi tingkap. Aku buka cermin sedikit. Opocot! Terkejut aku!

Ada seorang budak berdiri tak jauh dari tingkap aku, memandang ke arah aku. Cepat-cepat aku tutup tingkap itu kembali. Dan tingkap aku diketuk lagi, kali ini lebih kuat dan bertalu-talu. Aku tutup langsir. Tapi aku masih berdiri di situ.

“Pergi, jangan kacau aku. Aku tak buat apa-apa kepada kamu, kamu jangan kacau aku,” Dah macam orang tak betul aku jerit dari dalam bilik tu.

Bunyi ketukan berhenti. Diam lama. Aku selak langsir. Aku buka sedikit cermin tingkap. Tiada sesiapa. Cepat-cepat aku tutup tingkap semula. Semasa aku berpaling, aku dengar satu suara kecil dari luar tingkap, “Tolong kami, kami mahu pulang,” Aku berhenti melangkah. Aku pusing kembali ke tingkap lalu membukanya sedikit. Aku nampak budak tadi, tapi berdiri agak jauh dari kedudukan tadi. Dalam kesamaran malam, dengan hanya satu lampu jalan untuk jarak 700 meter, aku nampak budak itu melambai-lambaikan ke tangan ke arah aku.

“Tolong kami, kami mahu pulang,” dia mengulang ayat itu.

“Astaghfirullahal azim,” Aku tutup tingkap, tutup langsir. Aku rasa takut. Tapi aku tak tahu kenapa perasaan seram itu hadir sekali dengan sedih. Aku pun tak pasti kenapa perasaan sedih itu ada.

Aku  keluar bilik, mengambil wudhu’ dan sujud menyembah Pencipta seluruh makhluk di bumi ini. Hanya Dia yang Maha Tahu setiap sesuatu. Kerana Dialah Perancang terbaik bagi setiap umat manusia. Moga ada petunjuk untuk aku.

Keesokan harinya aku pergi ke sekolah seperti sebelumnya dengan Cikgu Suraya dan Cikgu Norma walaupun berkali-kali mereka menasihatkan agar aku berehat dulu di rumah. Sampai di sekolah, guru besar pula bertanya samada aku dah ok. Aku ok, tak demam atau sakit. Kalau aku duduk di rumah pun, bukannya aku boleh buat apa-apa. Nanti aku merayau lagi susah. Lebih baik aku pergi mengajar.

Tapi hari ini aku tak nampak apa-apa yang pelik. Dalam kelas, dalam perhimpunan, walau di mana, tiada apa-apa. Segalanya nampak normal. Cuma bilangan murid semakin kurang. Murid kelas aku 2B ada 5 orang je. Itupun semua yang tak datang semalam, jadi mereka tak tahu kejadian semalam.

Masa nak balik, aku terserempak dengan Cikgu Alif. Cikgu Alif menggamit aku, mengajak aku ke kantin sekolah. Aku mengikut langkahnya. Cikgu Suraya dan Cikgu Norma ada kelas tambahan lepas habis waktu sekolah, jadi mereka tak balik bersama aku.

Di kantin, aku dan Cikgu Alif makan sambil berbual.

“Cikgu Jue nampak apa sebenarnya semalam?” tanya Cikgu Alif memulakan cerita.

Dan macam orang mengantuk disorongkan bantal, aku bercerita dari A ke Z, dari 1 hingga 10, segalanya, terperinci tanpa ada ruang tertinggal. Sebab aku yakin Cikgu Alif percayakan cerita aku dan aku juga yakin bahawa Cikgu Alif tahu sesuatu pasal sekolah itu. Kalau tak, macammana dia tahu semalam aku mengikut langkah seorang budak hingga sampai ke tandas lama tu. Dan aku tahu Cikgu Alif nampak apa yang aku nampak. Lagipun, Cikgu Alif dah setahun di sekolah itu.

Cikgu Alif mendengar cerita aku dengan tekun sambil menyuap makanannya perlahan. Tiada kerutan di dahi, tiada wajah pelik, tiada rupa tak percaya, dia mendengar dengan tenang. Aku pula yang bercerita mengalahkan orang sedang berpidato. Huhuhu….

“Saya yakin Cikgu tahu sesuatu pasal sekolah ni kan?” tanyaku bila ceritaku tamat, dan baru aku terasa lapar. Aku baru nak menyuap suapan kedua di masa nasi di pinggan Cikgu Alif dah tinggal suku.

“Saya tahu apa Cikgu Jue nampak, sebab saya pun nampak.” Jawab Cikgu Alif ringkas, tak sepanjang lebar aku bercerita.

“Cikgu pun nampak? Cikgu nampak apa?” tanyaku semula tak sabar menunggu Cikgu Alif menyambung ceritanya. Slow sangat…

“Saya nampak budak-budak tu dalam kelas, bermain di padang. Saya juga nampak Pak Deraman, pengawal yang selalu duduk di pondok sekolah ni. Saya rasa mereka ni mungkin adalah roh yang tak tenang, sebab tu bayangan mereka masih ada di sini,” kata Cikgu Alif.

“Bayangan? Maknanya mereka dah mati?” tanyaku.

“Saya kata mungkin, saya pun tak pasti. Mungkin roh atau bayangan ni cuba memberitahu kita sesuatu,” sahut Cikgu Alif.

“Kalau betul, siapa mereka? Bila mereka mati? Bagaimana mereka mati? Kenapa roh mereka masih tak pergi ke tempat sepatutnya?” sahut aku lagi.

Cikgu Alif mengangkat bahu.

“Apa yang cikgu tahu mengenai sekolah ini?” tanyaku. Cikgu Alif menghela nafas panjang sambil merenung jauh ke padang sekolah.

Begini kisahnya. Dari apa yang saya tahu dari cikgu-cikgu sebelum saya, kejadian pelik ni dilalui oleh semua guru-guru yang mengajar di sini, bukan Cikgu Jue sahaja.

Dulu lebih kurang sepuluh tahun yang lepas, ada kejadian tanah runtuh yang sangat dahsyat kata mereka di tebing sungai kat belakang sekolah kita ni. Masa tu, sekolah ni cuma dipagarkan dengan pagar dawai sebab peruntukan yang tak mencukupi. Sampailah satu masa, terdapat sedikit runtuhan di tebing belakang. Pihak sekolah dah buat laporan, dan sementara mendapat peruntukan untuk membetulkan tebing yang runtuh, pihak berkuasa telah membuat sempadan untuk menutup kawasan di bahagian pokok besar tu. Bermakna tiada sesiapa dibenarkan untuk melepasi kawasan sempadan tersebut hingga keadaan tebing sungai dibaiki. Hinggalah pada suatu hari cuti, ketika tiada sesiapa di sekolah, tebing tu runtuh.

Lepas kejadian tanah runtuh itulah bermulanya mereka nampak benda-benda pelik ni. Tiada siapa yang pasti kenapa keadaan in berlaku. Menurut kepercayaan orang asli di sini, ada makhluk halus yang marah kerana mengganggu penempatan mereka. Maklumlah, tapak sekolah ni dulu adalah hutan. Dan mereka kata tebing tanah yang runtuh itu adalah bukti makhluk halus itu mengamuk.

Tapi dah tentulah bagi kita umat Islam tak percaya semua tu. Ini semua kuasa Allah.

Selepas kejadian tanah runtuh, barulah permohonan peruntukan untuk membetulkan tebing di belakang sekolah diluluskan. Setelah tiga bulan, tebing sungai tersebut telah menjadi seperti yang kita lihat sekarang, dipagar batu dan sungai juga telah ditambak dengan tanah supaya tak begitu rapat dengan pagar sekolah. Keadaan ini lebih selamat untuk anak-anak orang asli bermain di padang sekolah walaupun pada hari cuti.

Tapi, berkebetulan dengan kejadian tanah runtuh, pada masa yang sama, beberapa penduduk kampung telah mengadu bahawa anak mereka telah hilang. Seluruh kampung  mencari mereka di sungai, di hutan seberang sungai, tapi tak jumpa. Pengawal sekolah turut hilang. Lagi sekali mengikut kepercayaan mereka, anak-anak mereka telah diambil sebagai korban oleh makhluk halus yang marah dengan pembinaan sekolah ini.

Guru besar pada masa itu telah meminta mereka untuk membuat laporan polis mengenai kehilangan anak-anak mereka tapi mereka enggan kerana terlalu percaya dengan kata-kata ketua mereka. Tak tahulah kenapa tiada pihak yang mahu mengambil serius dengan perkara ini. Mentang-mentanglah mereka ni orang asli, tiada ilmu pengetahuan yang tinggi, mereka dibiarkan terpinggir dengan cerita-cerita tahyul rekaan orang-orang mereka terdahulu.

Selepas kejadian itu, guru besar pada masa itu telah memohon bertukar ke sekolah lain, dan beberapa guru yang berada di sekolah ini juga turut memohon bertukar. Tinggallah seorang dua cikgu lama yang masih mengajar di sekolah ini. Melalui inisiatif guru besar baru yang berada dengan kita sekarang ni, barulah pihak Jabatan Agama Islam datang ke perkampungan orang asli di sini untuk mengajar tentang agama islam. Ramai yang dah memeluk agama islam tapi masih ramai juga yang masih setia dengan agama dan kepercayaan nenek moyang mereka.

Cikgu Alif berhenti bercerita. Dia meneguk air sirap limau yang hampir kehabisan ais. Aku pula dah habiskan nasi dalam pinggan aku.

“Tiada siapa yang buat apa-apa tindakan ke dengan kehadiran budak-budak pelik di sekolah ini?” tanya aku.

“Guru besar cuba untuk tidak menghebahkan perkara ini demi reputasi sekolah. Dia bimbang kisah begini akan menyebabkan pihak luar tak berani datang ke sekolah ini bila ada jemputan untuk hadir ke apa-apa majlis di sekolah ini. Dan bila tiada pihak yang sudi hadir, kita akan kekurangan dana. Sebab sekolah ini kurang mendapat peruntukan, maka kita banyak bergantung dengan sumbangan-sumbangan pihak lain yang sudi membantu. Lihat saja kemudahan sekolah yang sangat terhad, tahu dah bagaimana kewangan sekolah ini kan,” kata Cikgu Alif. Aku anggukkan kepala.

-Bersambung-

One thought on “KAMI MAHU PULANG

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s