KAMI MAHU PULANG

Bab 7

Bila aku sedar, aku berada di satu tempat lain, bukan lagi di dalam tandas. Tapi aku berada di tepi sebuah sungai. Aku pandang sekeliling aku. Aku rasa macam aku pernah tengok tempat tu tapi dari sisi yang berbeza. Aku cuba melangkah tapi kaki aku seperti tersekat di pasir.

“Hello! Ada sesiapa di sini?” jeritku kuat. Tapi tiada sebarang gerakan atau bunyian lain selain dari bunyi air sungai yang mengalir.

Aku pandang keliling, cuba mengecam kawasan tersebut. Aku tercari-cari juga kalau terjumpa dengan budak-budak kecil dengan wajah menyeramkan yang membuatkan aku pengsan sekejap tadi. Mereka tiada. Siapa pula yang angkat aku ke sini? Dan rasanya masa aku pengsan tadi, aku berada di tandas kot dan hari pun dah petang. Kenapa sekarang suasananya seperti masih pagi? Aku betul-betul keliru sekarang.

Sedang aku berfikir, dengan kaki yang seperti tersekat di pasir tepian sungai, aku nampak beberapa budak sekolah sedang bermain-main di tebing sungai sebelah sana. Aku nampak pokok besar belakang sekolah. Dan baru aku dapat mengecam tempat aku berdiri itu adalah bahagian seberang sungai dari sekolah aku.

Kedudukan sungai itu adalah bercerun. Maknanya tebing sungai di belakang sekolah adalah tinggi. Sesiapa yang nak pergi ke sungai, mereka perlu menuruni cerun dari kawasan sekolah. Tapi setahu aku, cerun tersebut telah dipagar batu setinggi 6 kaki dan cuma ada satu pintu pagar kecil untuk mereka yang nak turun ke sungai. Dan untuk mereka turun ke sungai, dah ada tangga kecil yang elok. Pokok besar itu juga agak jauh dari pagar batu yang memagar sungai.

Tapi cerun sungai yang aku tengok sekarang tiada pagar batu mahupun tangga. Memang satu cerun curam dari atas iaitu kawasan sekolah, cuma berpagar dawai yang menanti masa untuk roboh. Pokok besar itu pun terlalu dekat dengan cerun.

Aku amati suasana itu betul-betul. Aku dapat lihat murid-murid sedang bermain mengelilingi pokok besar. Keadaan itu amat merbahaya. Aku cuba nak memanggil murid-murid berkenaan tapi tak seorang pun yang dengar panggilanku. Dengan bunyi air mengalir di sungai lagi, masakan mereka boleh dengar suara aku. Aku lambaikan tangan, tapi tiada siapa yang memandang aku. Mereka terlalu asyik bermain tanpa sedar bahaya yang menanti.

Masa berlalu begitu sahaja, hampir lima belas minit. Aku dah penat melambai dan menjerit. Aku pun tak pasti samada aku masih bermimpi atau apa. Sebab suasana itu sangat lain dari suasana sekolah aku walaupun nampak sama.

Tiba-tiba aku dengar bunyi kuat seperti tanah rebak. Aku terkejut dan takut. Aku dapat lihat murid-murid yang sedang bermain di atas tebing itu seperti tak menyedari. Mereka masih asyik bermain kejar-kejar dengan sesama mereka. Sedangkan aku yang berada di bawah sini dah tak keruan sebab nampak keadaan tanah yang seakan nak runtuh.

Kalau tanah itu runtuh, memang murid-murid tu akan jatuh dan tertanam di dalam runtuhan tanah. Aku menjerit memanggil mereka. Dan aku tak henti-henti melambai ke arah mereka. Aku cuba menarik kaki aku yang tersekat. Aku tunduk memandang kaki aku. Aku nampak ada tangan kecil yang keluar dari dalam tanah sedang memaut kaki itu menyebabkan kaki aku tak boleh bergerak. Aku tarik kaki aku. Aku takut, meremang bulu roma aku. Tapi aku lebih risaukan keadaan cerun yang nak runtuh.

Aku pandang semula ke bahagian atas cerun. Di bahagian bawah tanah memang dah runtuh sikit demi sedikit. Dalam tak sedar aku menangis, aku meraung kerana tiada siapa yang mendengar suara aku. Ya Allah, Tuhan je yang tahu perasaan aku masa tu. Dengan kaki aku sedang dipaut oleh dua tiga pasang tangan kecil yang keluar dari tanah, dengan keadaan tanah yang dah runtuh sedikit demi sedikit, dengan murid-murid di atas masih bermain-main di tanah runtuh.

Dan apa yang paling aku takutkan telah terjadi. Depan mata aku. Aku terduduk. Aku meraung. Tanah cerun sungai itu runtuh dan beberapa orang murid yang sedang bermain turut jatuh dan ditimbus dengan tanah merah yang kelihatan seperti jerlus. Aku dapat dengar suara mereka menjerit dan meraung. Aku nampak jelas tangan-tangan kecil itu tergapai-gapai cuba menyelamatkan diri masing-masing. Tapi bagaimanakah kudrat anak kecil seusia tujuh hingga 10 tahun itu nak melawan tanah merah dengan selut tebal yang runtuh menimpa mereka. Aku menjerit sekuat hati aku meminta tolong tapi ternyata tiada siapa di situ.

Tiba-tiba aku nampak seorang lelaki. Lelaki itu berpakaian seragam pengawal keselamatan. Aku ingat sangat rupa itu. Dialah lelaki yang duduk di dalam pondok pengawal yang menunjukkan aku bilik guru besar pada hari pertama aku bergelar pendidik di sekolah ini.

Aku menjerit dan melambaikan tangan sebaik sahaja ternampak lelaki itu. Tapi dia pun sama, tak mempedulikan aku. Aku dapat lihat wajah pengawal tersebut yang sangat risau. Mungkin dia mendengar bunyi jeritan dan tanah runtuh. Dia nampak tangan-tangan kecil yang tenggelam di dalam tanah merah. Ketika dia nak berpatah balik, barangkali untuk meminta pertolongan, kakinya tersangkut pada akar pokok besar yang telah terungkai dari dalam tanah akibat tanah runtuh. Dan dia turut jatuh ke dalam selut tanah merah bersama-sama anak-anak kecil itu.

Dan aku terduduk. Aku masih nampak tangan-tangan yang masih bergerak tapi makin lemah. Keadaan amat mengerikan. Tanah terus runtuh hingga nampak akar pokok besar yang berselirat. Dalam sekelip mata tubuh pengawal lelaki dan anak-anak kecil tadi dah tak kelihatan lagi. Aku menutup mukaku dengan tangan. Aku pejamkan mata aku. Aku tak mampu melihat semua keadaan ini. Aku berharap sangat bahawa aku sedang bermimpi, mimpi yang sangat dahsyat dalam seumur hidup aku.

Sejenak kemudian, bunyi tanah runtuh dah tiada lagi. Yang aku dapat dengar ialah bunyi air sungai yang mengalir. Aku membuka tangan yang menutup muka aku. Aku buka mata bila terdengar namaku dipanggil berkali-kali. Dan aku rasa seperti kakinya digerakkan seseorang.

“Cikgu Jue, Cikgu Jue,” Aku nampak Cikgu Alif. Aku terus bangun. Malu aku weh, bila nampak Cikgu Alif.

Aku pandang keliling, aku masih di dalam tandas tadi. Aku melihat sekeliling. Mencari-cari budak-budak yang tergantung, yang menyeret kaki patah, lihat paip air.

“Cikgu ok ke tak ni?” tanya Cikgu Alif.

Aku tak menyahut. Aku bangun berdiri. Hanya aku dengan Cikgu Alif di situ. Aku tengok jam tangan, pukul 7 malam, patutlah hari dah gelap.

“Macammana Cikgu boleh berada di sini di waktu senja macam ni?” tanya Cikgu Alif.

“Saya pun tak tahu,” jawabku. Aku tak dapat berfikir lagi. Fikiran aku bercelaru. Tak tahu yang mana betul dan tak betul dah. Ke aku yang dah tak waras?

“Cikgu mengikut langkah seorang budak kecil kan? Yang membawa Cikgu sampai sini?” tanya Cikgu Alif lagi.

Ya, baru aku teringat. Memang aku mengikut seorang budak sampailah aku terkunci dalam tandas ni tadi.

“Jom saya hantar Cikgu Jue balik dulu. Dah senja ni, tak elok berada di luar rumah. Dan tak manis juga bila kita dilihat berdua di sini nanti,” kata Cikgu Alif.

Waktu tu baru aku terasa malu. Aku terus melangkah laju dan Cikgu Alif mengikut langkahku.

“Saya minta maaf kalau Cikgu Jue tersinggung dengan kata-kata saya. Saya kebetulan datang ke sekolah ni tadi. Memang saya akan datang setiap petang. Kalau takde kawan bermain, saya akan mengemas kerusi meja dan mencuci sekolah ini. Maklumlah, sekolah ni tiada tukang kebun mahupun pengawal. Jadi saya buat kerja amal le kat sini. Mana tahu saya nampak Cikgu Jue terbaring di tandas ni. Tandas ni memang dah tak boleh digunakan. Sebab dah tak diselenggara dan perkakasannya dah rosak semua.” Cerita Cikgu Alif dalam keadaan serba salah.

Aku berhenti melangkah.

“Cikgu Alif, mana cikgu tahu bahawa saya mengikut langkah seorang budak sampailah saya sampai di tandas tu tadi?” tanyaku seperti baru teringat pada kata-katanya.

“Panjang ceritanya Cikgu Jue. Hari dah nak malam. Cikgu Jue balik rumah dulu, berehat. Esok kita jumpa. Saya memang nak bercakap dengan Cikgu Jue tapi belum berkesempatan lagi.” Kata Cikgu Alif. Aku diam dan teruskan melangkah. Cikgu Alif mengikut langkahku hingga sampai ke pintu rumah.

Aku masuk rumah. Cikgu Norma terus menerkam aku dengan wajah risau.

“Ya Allah, kamu pergi mana Jue sampai maghrib begini baru balik? Kenapa Cikgu Alif ada dengan kamu? Apa dah jadi? Cikgu Alif, kat mana jumpa dia ni? Kenapa baju seluar dia penuh daun kering ni?” bertalu-talu soalan keluar dari mulut Cikgu Norma.

“Saya jumpa dia terbaring tak sedarkan diri dekat tandas lama yang dah tak digunakan tu,” jawab Cikgu Alif.

“Sebelah pokok besar tu?” tanya Cikgu Norma sambil tangannya menarik-narik daun kering yang melekat di bajuku. Cikgu Alif mengangguk.

“Masuklah, tutup pintu. Dah maghrib ni. Terima kasih Cikgu Alif sebab hantarkan Juliana balik.” Tiba-tiba terdengar suara Cikgu Suraya.

“Saya balik dulu. Cikgu Jue sila berehat. Esok kita jumpa lagi.” Kata Cikgu Alif sambil melangkah meninggalkan rumah aku. Cikgu Norma menutup pintu.

“Jue pergi mandi, bersihkan diri, solat. Lepas tu kita makan sama-sama,” kata Cikgu Suraya sambil memandang lembut ke arahku. Aku dapat lihat wajah kerisauannya tapi aku pelik kenapa dia seperti menahan dirinya dari menyuarakan simpatinya kepada aku? Dia seperti taknak ambil tahu apa yang dah jadi pada aku. Dan itu membuatkan aku tertanya-tanya siapa Cikgu Suraya tu?

Aku masuk ke bilik aku. Bersihkan diri, solat memohon perlindungan dari Allah. Memohon petunjuk untuk diberikan jalan di atas apa yang aku alami sejak masuk ke sekolah ini. Aku diam sejenak di atas sejadah. Memikirkan apa yang aku lalui sebentar tadi. Yang mana mimpi, yang mana realiti.

-Bersambung-

One thought on “KAMI MAHU PULANG

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s