KAMI MAHU PULANG

Bab 6

Lepas solat zohor, aku dengar Cikgu Suraya dan Cikgu Norma masuk ke rumah. Aku dengar Cikgu Suraya memanggil nama aku. Aku keluar dari bilik.

“Jue ok ke?” tanya Cikgu Suraya sebaik sahaja dia ternampak aku di pintu bilik.

“Ok Kak Sue. Minta maaf sebab saya terus balik tadi. Saya tak boleh nak berfikir dah tadi,” sahutku.

“Takpelah, kami faham,” sahut Cikgu Norma.

“Jue ubah katil dengan almari ke?” tanya Cikgu Norma lepas dia menjeling ke dalam bilik aku.

“Haah. Tadi macam tak tahu nak buat apa. Takpe kan kalau saya tukar?” tanyaku.

“Takpe, takde masalah. Ikut selera masing-masing,” sahut Cikgu Norma.

“Jue dah makan ke?” tanya Cikgu Suraya.

“Dah. Saya pun masak lebih tu. Kak Su dan Kak Norma pergilah makan. Saya masak apa yang ada dalam peti sejuk je. Tak tahulah sedap ke tak,” sahutku sambil tersenyum malu. Aku bukannya pandai masak. Habis sekolah masuk university, habis universiti terus dapat kerja. Bila masa nak belajar masak?

“Dah ada orang masakkan pun dah seribu rahmat dah Jue,” sahut Cikgu Norma sambil berlalu ke dapur dan diikuti oleh Cikgu Suraya.

Aku masuk ke bilik semula. Lebih kurang sejam lepas tu, aku menjenguk keluar bilik. Aku tak nampak Cikgu Suraya dan Cikgu Norma lagi. Sedang aku terjenguk-jenguk tu, tiba-tiba pintu rumah diketuk dari luar. Aku segera buka pintu. Sebaik pintu terbuka, tiada sesiapa di luar rumah. Aku menjenguk ke luar, memang takde sesiapa. Hanya cuaca panas yang membahang. Aku tutup pintu semula.

Sebenarnya aku bercadang nak keluar. Tapi bila melihat cuaca yang terik begitu, aku batalkan hasrat aku.

Tiba-tiba pintu rumah diketuk lagi. Aku buka pintu dan masih seperti tadi, tiada sesiapa di luar rumah. Aku tutup pintu semula. Mungkin ada budak-budak kampung yang bermain dan nak mengusik.

Aku masuk semula ke bilik. Aku meniarap di atas katil sambil membelek-belek novel cinta yang dah entah berapa kali aku baca. Sedang aku asyik dengan novel tu, tiba-tiba cermin tingkap aku pula diketuk bertalu-talu. Aku angkat kepala, memandang ke arah tingkap. Tiada siapa di situ.

Perasaan aku saja agaknya. Aku tunduk semula membelek novel tadi.

Tak sampai 5 minit, bilik aku gelap seolah tingkap aku dihadang dengan sesuatu. Aku angkat kepala. Meremang bulu roma aku. Aku nampak ada tiga orang budak berdiri di luar tingkap bilik aku. Aku nampak jelas. Ketiga-tiga mereka memandang tajam ke arah aku tanpa berkelip mata mereka. Aku bangun dari katil, merapati ke tingkap. Aku takut tapi semangat ingin tahu aku terlalu tinggi.

“Siapa kamu?” tanyaku. Mereka tak menjawab tapi masih memandang ke arah aku.

Tiba-tiba mereka menghulurkan tangan dari celah tingkap kaca dan memegang tanganku. Aku cuba lari tapi tangan mereka menjadi panjang dan terus memegang aku dengan kasar. Aku menjerit sekuat hati aku. Dan tiba-tiba aku rasa pipiku panas ditampar. Aku buka mata. Aku nampak Cikgu Suraya dan Cikgu Norma.

“Kamu mengigau Jue? Di siang hari begini?” tanya Cikgu Suraya. Aku diam. Aku pandang ke tingkap. Tiada sesiapa. Aku gosok mata aku, aku usap muka aku. Aku berfikir sejenak, aku bermimpi ke tadi? Kenapa rasa macam real je?

“Kamu jangan macam-macam Jue. Tadi kat sekolah lagi kamu dah mengelamun, sekarang dah sampai rumah pun masih mengigau.” kata Cikgu Suraya sambil memandang tepat ke arah ku.

“Saya minta maaf. Mungkin otak saya masih berserabut dan badan saya belum biasa dengan persekitaran di sini.” dalihku.

“Kamu betul takde apa-apa?” Tanya Cikgu Norma.

“Saya tak apa-apa. Mengigau je. Tidur banyak sangat hari ini,” jawabku.

Cikgu Suraya dan Cikgu Norma keluar dari bilik aku.

Aku bangun, menyarungkan tracksuit dan tshirt tangan panjang. Aku lihat jam tangan menunjukkan pukul 4 petang. Aku keluar dari bilik. Bila tak nampak Cikgu Suraya atau Cikgu Norma, aku buka pintu rumah dan keluar. Diluar pun aku tak nampak sesiapa. Memang ini waktu semua orang beristirehat di dalam rumah agaknya.

Aku melangkah masuk ke kawasan sekolah. Aku jeling pondok pengawal, tiada siapa di situ. Aku melangkah ke gelanggang badminton. Dari sana aku nampak seseorang di kawasan kantin. Aku melangkah ke kantin. Tiada siapa di sana. Dari sana pula, aku ternampak seseorang di padang sekolah. Aku pergi ke padang sekolah. Keadaan masih sama.

Tak tahu apa yang membuatkan aku berani sangat. Walaupun aku tak nampak sesiapa, tapi aku masih nak mengikut ‘seseorang’ yang aku nampak tapi sebenarnya tiada di situ. Macam dah terpukau, aku mengikut. Sebab aku yakin bahawa aku nampak seseorang.

Akhirnya langkah aku tiba di tandas sebelah pokok besar belakang sekolah. Masih tiada sesiapa di sana. Tiba-tiba pintu tandas tertutup dari dalam. Dan aku dengar suara budak menjerit minta tolong. Bukan seorang atau dua orang, suara itu seperti ramai. Seolah mereka terperangkap di dalam tandas.

Aku pandang ke kiri kanan, kalau-kalau ternampak sesiapa untuk aku minta tolong tapi tiada siapa. Aku pergi ke pintu tandas lalu membukanya. Senang saja aku buka, tak berkunci pun. Aku masuk ke dalam tandas bila aku tak nampak sesiapa atau tak dengar bunyi apa-apa. Dalam tandas tu ada tiga lagi tandas dengan pintunya tertutup rapat. Di lantai tandas itu penuh dengan daun-daun kering seolah-olah tandas tu dah lama tak digunakan.

Aku tolak pintu tandas, mana tahu kalau ada sesiapa terperangkap di dalam. Aku tolak pintu pertama, kedua dan ketiga, tiada sesiapa. Habis tu siapa yang menjerit tadi?

Aku melangkah ke sinki, nak basuh tangan. Aku pusing kepala paip, takde air. Kepala paip tu pun berkarat dan ketat, seperti dah lama tak digunakan. Aku berjaya pusing kepala paip tu tapi takde air. Aku pulas lagi. Sedang aku sibuk berusaha memusingkan kepala paip, tiba-tiba pintu utama tandas tertutup sendiri dengan kuatnya. Aku melompat. Terkejut aku. Angin takde, orang takde, tiba-tiba pintu tu boleh tertutup sendiri. Kalau pintu tu daunnya keluar, boleh juga aku fikir angin dari luar yang menolak. Tapi sekarang daun pintu tu dari dalam, siapa pula yang menolaknya sebab aku seorang je kat dalam tandas tu?

Aku melangkah ke pintu, nak keluar sebab hati aku dah mula rasa tak senang. Jantung aku dah berdegup laju bukan main macam baru lepas buat lompat bintang. Aku pegang tombol pintu. Aku pulas tapi tak boleh seolah terkunci dari sebelah luar. Sedangkan pintu tandas tu kalau nak kunci pun dari sebelah dalam. Aku mula cuak.

Baru je aku buka mulut nak menjerit, tiba-tiba paip di sinki mengeluarkan air. Aku menoleh melihat ke sinki. Aku nampak kepala paip berpusing sendiri. Dan air keluar dengan laju sedangkan tadi aku pulas bagai nak rak, takde setitis air yang keluar. Aku dah mula menggeletar. Nak menjerit pun tak boleh sebab tekak terasa macam ada benda tajam yang tersekat, menghalang suaraku dari keluar.

Tiba-tiba ketiga-tiga pintu tandas terbuka dan tertutup sendiri. Terdengar bunyi air dari setiap tandas. Tedengar bunyi seseorang flush air. Aku tak bergerak. Aku takut, takut sangat. Nak menyesal pun tak guna dah sekarang ni.

Aku duduk di tepi pintu utama tandas. Melihat keliling tapi tak nampak sesiapa. Cuma air paip dipasang, kepala paip dipulas sekejap laju sekejap perlahan dan pintu ketiga-tiga tandas  terbuka dan tertutup sendiri. Keadaan sebegitu lebih kurang tiga minit.

Lepas tu, paip air terhenti. Segala bunyi dan aktiviti tadi pun tiada. Tapi aku masih terduduk di situ. Menanti apa pula yang akan terjadi. Aku jadi takut nak membuat sebarang bunyi apatah lagi nak menjerit. Aku menanti dalam ketakutan.

Suasana sunyi seketika. Tiba-tiba telinga aku menangkap suatu bunyi. Bunyi sesuatu sedang diseret. Allahu, apa pula sekarang ni? Bunyi tu datang dari arah tandas ketiga, iaitu tandas yang paling jauh dari aku. Bunyi seretan tu makin kuat. Dan pintu tandas ketiga tu terbuka. Aku terus kaku.

Aku nampak tangan, aku nampak rambut dan aku nampak kepala budak. Budak itu merangkak sambil menyeret kakinya yang kelihatan seperti telah patah kerana nampak terkulai. Dia terus merangkak sambil menyeret kakinya, menghala ke arah aku.

Aku takut sampai rasa nak pengsan. Tapi malangnya aku tak pengsan.

Aku pejamkan mata. Tapi telingaku mendengar bunyi rengusan dengan seretan semakin hampir kepada aku. Dan aku dapat dengar, bunyian itu seperti makin bertambah. Seperti ada beberapa orang budak dalam keadaan yang sama dalam tandas tu. Aku tak berani buka mata. Tapi aku dapat rasakan sesuatu yang sejuk memegang kakiku, memegang tanganku dan mengusap pipi aku.

Nak taknak, aku mesti buka mata. Kalau mereka semua tu ialah syaitan, bermakna aku lebih kuat dari mereka. Aku cuba ingatkan beberapa surah tapi semua berterabur. Semua surah dah bercampur aduk dalam kepala aku.

Aku beranikan diri buka mata. Ada seorang budak yang sedang melihat aku dalam keadaan tertonggeng, kakinya yang terkulai di atas dan dia seakan terapung hingga mukanya betul-betul di hadapan muka aku. Rapat sekali.

Dan kali ini doa aku tadi menjadi kenyataan. Aku pengsan!

-Bersambung-

One thought on “KAMI MAHU PULANG

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s