KAMI MAHU PULANG

Bab 5

Keesokan harinya, setelah diminta oleh Cikgu Suraya, aku keluar bersama dengan Cikgu Suraya dan Cikgu Norma. Sampai di pondok pengawal, aku menjeling ke arah kerusi di tempat duduk pengawal di dalam pondok. Tiada orang. Aku berjalan terus. Dan hatiku tergerak untuk menoleh ke belakang. Dan gerak hatiku betul! Aku nampak lelaki pengawal tu! Dia berdiri di dalam pondok dan memerhatikan kami bertiga yang melangkah masuk ke kawasan sekolah.

Kelas aku yang pertama hari ini ialah kelas 1A. Aku melangkah tenang ke kelas itu. Sebaik sampai di pintu kelas, aku jenguk ke dalam kelas. Kelas yang tadinya bising macam pasar pagi, tiba-tiba diam bila aku menjenguk.

“Bangun! Selamat pagi Cikgu!” ketua kelas memberi arahan dan yang lain mengikut.

“Selamat pagi murid-murid. Sila duduk di tempat masing-masing,” kataku sambil melangkah ke meja guru di hadapan kelas.

Selepas meletakkan buku dan beg aku di meja, aku berdiri di hadapan kelas, memerhati seorang demi seorang murid di dalam kelas. Ada 15 orang murid sedang terkebil-kebil memandang aku. Aku mencari juga kalau ada murid yang kelihatan pelik seperti yang kulihat semalam. Mujur tiada.

Aku mengambil buku kedatangan, mencatat nama murid yang hadir dan meletakkan kembali buku tersebut di tempatnya.

“Baik murid semua. Buka buku teks Bahasa Melayu muka surat 36. Hari ini cikgu nak dengar kamu membaca,” kataku sambil berpaling ke papan hitam, mengambil kapur dan menulis perkataan “Buku Teks MS 36 – Bercerita” di papan hitam. Sedang aku menulis, tiba-tiba seluruh kelas menjerit ketakutan. Aku menoleh ke arah mereka. Separuh dari mereka telah berlari keluar kelas. Tinggal lagi 5 orang masih di kerusi masing-masing dengan wajah pucat ketakutan.

“Kenapa ni?” tanyaku.

“Cikgu! Kat belakang cikgu ada hantu!” sahut mereka membuatkan aku terasa seram sejuk. Aduhai, aku nak menoleh pun takut. Aku keras kat situ, tak berani menoleh. Dah terbayang di fikiran aku, jika budak kata hantu, mestilah rupanya amat menakutkan. Takkanlah dengan rupa yang aku tengok tu, sebab rupa pelik yang aku nampak tu masih berupa manusia.

“Dekat mana?” tanyaku memberanikan diri. Murid-murid di hadapan aku memandang ke arah belakang aku sambil mendongak seolah-olah ‘benda’ yang berada di belakang aku sangat tinggi hingga mencecah siling. Muka aku dah rasa panas.

Aku beranikan diri menoleh ke belakang, takde apapun. Aku pandang semula ke arah anak murid aku, mereka masih dalam keadaan tadi, pucat dan menggeletar ketakutan. Aku melangkah merapati mereka kononnya nak memujuk dan mengurangkan ketakutan mereka, tapi mana tahu semakin aku rapat dengan mereka, makin kuat mereka menjerit dan kemudian bertempiran lari keluar kelas. Akhirnya aku ditinggalkan seorang diri di dalam kelas.

Aku berpaling, duduk di kerusi aku. Aku termenung di kerusi. Hantu? Aku betul-betul buntu masa tu. Apa aku perlu buat sekarang? Cari murid aku ke? Pergi buat aduan ke pejabat ke? Takkanlah aku kena pergi cari hantu yang murid aku nampak tadi pulak?

Aku ambil telefon. Sebelum on telefon, cermin telefon aku gelap. Aku nampak bayangan sesuatu yang bergerak di situ. Aku amatinya, aku tengok betul-betul cermin telefon aku. Ada budak atas bahu aku! Dan kali ini aku betul-betul terkejut. Agaknya itulah hantu yang murid aku katakan.

Aku diam kaku di situ. Aku nak menangis. Aku rasa ada sesuatu yang bergerak perlahan di bahu aku, menggelongsor turun ke kaki aku. Aku jeling ke arah benda itu, aku nampak budak lelaki dalam usia 8 tahun, dengan rambut kerinting, matanya hitam, memanjat meja dan merangkak ke depan aku, menghadap muka aku. Pandangan aku terus jadi kabur, dan aku tak tahu apa jadi lepas tu.

Sedar-sedar, Cikgu Suraya sedang menepuk-nepuk pipi aku sambil memanggil-manggil nama aku. Aku dah terbaring di lantai. Guru besar pun ada sekali, dan beberapa guru lain. Aku bangun duduk. Aku memandang keliling.

“Kenapa ni Jue?” tanya Cikgu Suraya perlahan sambil mengusap bahu aku. Aku tak menjawab tapi mata aku masih melilau mencari budak lelaki tadi.

“Jue, saya rasa awak boleh balik berehat. Mungkin awak stress berada di tempat baru,” kata guru besar.

“Tadi ada hantu duduk kat belakang cikgu,” tiba-tiba ada satu suara budak. Masing-masing menoleh ke arah suara itu. Kelihatan Jueta, salah seorang anak murid aku berdiri di pintu sambil memandang kami semua.

“Hantu? Mana ada hantu siang hari,” kata Cikgu Hafizah yang turut berada di situ. Rupanya mereka tergesa-gesa berlari ke bilik darjah aku bila terdengar bunyi jeritan anak-anak murid aku tadi.

“Ada, tadi hantu tu duduk kat bahu cikgu,” kata Jueta bersungguh-sungguh.

“Dah, dah, kamu pergi ke kantin dengan kawan lain,” kata guru besar kepada Jueta. Dan Jueta berlalu pergi dengan wajah murung bila aduannya tak dipeduli sambil menjeling ke arah aku.

Aku bangun. Menyapu-nyapu bajuku yang kotor kerana berbaring di lantai. Aku tak cakap apa-apa. Aku ambil beg dan buku aku di meja dan melangkah keluar dari kelas, meninggalkan guru besar dan tiga guru lain yang masih terpinga-pinga memandang aku.

Aku melangkah ke bilik guru. Aku tinggalkan buku-buku di meja aku. Dan aku melangkah keluar dari kawasan sekolah. Aku balik ke kuarters aku. Tanpa bercakap dengan sesiapa. Hari ini baru hari kedua aku di sini, kalau keadaan masih begini, bagaimana aku boleh bertahan lagi seminggu, sebulan, setahun… Argghhh… Aku tak boleh fikir. Ada sedikit kekesalan di hati aku kerana cikgu-cikgu lain tak percaya dengan apa yang aku cakap, lagi sedih tak percaya apa yang murid cakap. Patutlah murid-murid sekolah itu taknak datang sekolah dah. Mereka nampak semua makhluk pelik ni tapi tiada yang percaya dengan kata-kata mereka.

Bagi cikgu pula, murid-murid ni masih budak. Tambahan anak-anak orang asli, banyak kepercayaan karut yang dah ditanam dalam fikiran mereka kononnya. Budak kan, sejauh mana sangat la mereka nak menipu atau berimaginasi. Kalau seorang dua yang bercakap pelik takpelah lagi, ini dah hampir separuh sekolah mengadu perkara yang sama, takkanlah tak boleh ambil tindakan?

Sambil aku berfikir, dalam tak sedar aku dah sampai kuarters aku. Aku masuk rumah, aku masuk bilik aku. Aku rebahkan diri di katil. Aku pejamkan mata. Aku cuba tidur. Tapi tak boleh. Otak aku masih membayangkan budak lelaki tadi. Membayangkan budak perempuan yang terjun sungai semalam, membayangkan budak lelaki yang lengkap berpakaian seragam di subuh semalan dan pengawal yang duduk di pondok guard sekolah. Siapa mereka semua?

Aku bangun. Aku cuba nak lupakan semua itu. Aku tukar baju. Aku tolak katil dan almari. Aku nak ubah susunan dalam bilik aku. Semua tu aku buat demi nak mengalih perhatian aku. Masa aku nak tolak almari, sesuatu jatuh dari atas almari. Aku ambil. Ianya sebuah buku tulis sekolah. Aku buka.

Aku nampak ada banyak tulisan di dalamnya.

‘Aku nampak lagi budak itu. Aku nampak lagi kawanan anjing liar itu. Aku cuba mengadu tapi semua kata aku dah gila, mereka nasihatkan aku untuk mendapatkan rawatan psikologi. Dan yang lebih menyedihkan, kawan serumah aku yang amat aku percaya pun tak percayakan aku.’

‘Hari ini aku dapat keputusan untuk mohon bertukar sekolah. Permohonan aku ditolak atas alasan aku masih bujang, tiada yang memudaratkan untuk aku bertukar sekolah. Aku kecewa. Ini bermakna aku perlu ke sekolah berhantu itu lagi.’

‘Hari ini aku nampak budak perempuan itu lagi. Kali ni aku nampak dia berdiri di bawah pokok besar di belakang sekolah. Aku tekad, aku nak pergi ikut budak itu. Aku memang nak tahu, siapa dia? Kalau hantu, kenapa aku boleh nampak dia? Masa aku merapatinya, dia melangkah menjauhkan diri dari aku. Aku ikut. Sampai di sungai, dia terjun. Aku terkejut. Nyaris-nyaris aku tak tergelincir sekali kerana tak perasan kaki aku dah pijak tebing sungai!’

Aku tutup buku itu. Aku termenung. Aku dapat rasakan apa saja yang tertulis di dalam buku itu telah terjadi kepada aku. Aku buka buku itu di muka surat belakang sekali. Aku baca nama ‘CIKGU MARIA’ tertera di sana. Mungkin ini buku coretan Cikgu Maria yang tinggal di bilik ini sebelum dia berhenti kerja dan selepas itu aku datang menggantikannya.

Aku buka lagi buku itu.

‘Hari ini perkara lebih menyeramkan terjadi. Masa aku pergi ke tandas guru di tingkat 1, aku nampak seorang budak perempuan. Aku tegur dia. Dia memandang aku. Kepalanya berdarah seperti cedera terkena benda keras. Aku terkejut dan risau melihat keadaannya. Macammana budak tu boleh masuk tandas guru? Aku cuba merapatinya. Aku tanya dia kenapa. Dia pandang aku sambil merengus marah. Matanya hitam. Dia melangkah menghampiriku tapi masa ni aku betul-betul takut. Tiba-tiba Cikgu Hanim masuk ke dalam tandas tersebut, budak perempuan tadi terangkat di awangan dan hilang seperti meresap ke dalam dinding. Aku nampak jelas. Bila aku tanya Cikgu Hanim, dia kata dia cuma nampak aku terduduk di tepi sinki, tak nampak budak lain. Dan macam cikgu-cikgu lain, Cikgu Hanim menyarankan aku pergi berjumpa doktor psikiatri. Aku diam. Tapi aku yakin dengan apa yang aku lihat. Aku tak gila.’

‘Hari ini aku tekad untuk turun ke sungai itu. Aku nak lihat kalau-kalau ada sebarang tanda di sana. Aku meredah air sungai yang jernih separas lutut. Sedang aku meninjau-ninjau ke dalam sungai, aku nampak lelaki pengawal di seberang sana sungai. Aku panggil dia. Tapi dia hanya memandang aku dengan wajah peliknya. Dan tiba-tiba aku rasa ada sesuatu yang memegang kaki aku. Aku tunduk. Ada dua orang budak lelaki dan seorang budak perempuan berada di dalam air dan mencengkam kaki aku. Aku cuba menjerit. Tapi tak sempat, cengkaman mereka membuatkan aku jatuh ke dalam air sungai. Budak-budak itu menarik aku ke dalam air sungai yang lebih dalam. Aku tak mampu melawan. Dan aku tak sedar dah lepas tu. Masa aku sedar, aku dah berada di klinik.’

Aku tutup buku itu. Aku taknak teruskan membaca. Aku yakin budak-budak pelik yang aku nampak tu ada kena mengena dengan sungai tu. Petang nanti aku nak pergi ke sungai tu. Takkanlah aku nak pergi seorang diri? Nanti budak-budak tu tarik aku masuk ke dalam air sungai macammana? Tapi nak ajak siapa pula? Semua pun tak percaya cakap aku, cakap murid-murid tu, cakap Cikgu Maria dan cakap penduduk kampung.

-Bersambung-

One thought on “KAMI MAHU PULANG

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s