KAMI MAHU PULANG

Bab 4

Selepas waktu persekolahan di hari pertama, aku berjalan balik ke kuarters aku bersama dengan Cikgu Suraya dan Cikgu Norma. Kami membeli makanan dari kantin sekolah dan bawa balik makan kat rumah.

Masa kami makan tu, Cikgu Norma buka cerita tentang aku nampak murid dalam kelas 3A. Cikgu Suraya berhenti menyuap makanan dan memandang ke arah aku.

“Jue nampak berapa orang?” tanya Cikgu Suraya.

“Mula-mula nampak seorang di kelas 2B. Lepas tu nampak 5 orang di kelas 3A.” sahutku. Cikgu Suraya dan Cikgu Norma berpandangan sesama sendiri.

“Siapa lagi yang tahu Jue nampak semua tu?” tanya Cikgu Suraya.

“Yang ada di bilik guru tadi je la. Cikgu Norma, Cikgu Alif dan Cikgu Roziana,” jawabku.

“Jangan cerita kat sesiapa.” Kata Cikgu Suraya sambil menyambung suapannya. Tapi aku pula yang berhenti menyuap.

“Kenapa? Ada rahsia apa-apa ke?” tanyaku ingin tahu.

“Dulu, Cikgu Maria pun ada beritahu kami bahawa dia nampak murid dalam kelas yang tiada murid. Dia pun nampak macam-macam. Katanya kat pokok besar belakang sekolah ada hantu. Kat sungai belakang pokok besar ada orang lemas. Kat gelanggang badminton tempat perhimpunan tu ada orang main badminton waktu malam hari. Macam-macam lagilah. Lepas tu dah orang kata dia ada masalah mental. Dia kemurungan gak, bukan sebab nampak hantu tapi sebab disisihkan oleh cikgu lain sebab pada mereka dia ada masalah mental.” Terang Cikgu Norma panjang lebar membuatkan mulut aku terlopong.

“Maknanya memang ada orang yang pernah nampak hantu di sekolah ni?” tanyaku lagi.

“Perasaan kamu je tu,” sahut Cikgu Suraya sambil bangun membawa pinggannya ke sinki.

“Cikgu-cikgu yang datang dan pergi sebelum Cikgu Maria, mereka tak cakap apa-apa?” tanyaku lagi.

“Takde pun. Tapi memang pelik la sebab baru je bertukar ke sekolah ni, dah minta pindah. Bila kami tanya kenapa cepat sangat minta pindah, mereka kata tak serasi tinggal di sini. Maklumlah, kamu sendiri pun dah tengok kan, kemudahan di sini macammana,” kata Cikgu Norma sambil menyuap suapan terakhirnya. Aku juga yang tak habis makan lagi, masih terkuis-kuis nasi di pinggan.

“Tapi saya memang nampak murid-murid tu. Memang real. Cuma rupa mereka memang nampak pelik sikit. Cara mereka memandang saya pun agak menakutkan.” Aku masih gigih mempertahankan apa yang aku nampak.

“Apa yang kamu nampak tu tak salah. Cuma tak perlu ceritakan kepada sesiapa. Dan buat tak tahu je kalau nampak apa-apa,” kata Cikgu Suraya sambil berlalu pergi masuk ke biliknya. Tinggal aku dengan Cikgu Norma je yang masih di dapur.

Aku diam. Tapi hatiku terdetik seperti ada sesuatu yang cuba dirahsiakan oleh Cikgu Suraya dan Cikgu Norma.

“Dah, jangan fikir lagi. Jue pergi rehat. Lepas asar nanti ikut saya. Kita jalan keliling kampung,” kata Cikgu Norma seperti memujukku. Aku akur. Bangun dari kerusi, angkat pinggan yang masih bersisa makanan dan membasuh tangan. Lantas masuk ke bilik untuk menunaikan solat Zohor dan  berehat seketika.

Lepas asar, seperti yang dijanjikan, Cikgu Norma membawa aku berjalan-jalan di dalam perkampungan orang asli yang berhampiran di situ. Ramailah yang aku jumpa, penternak ayam kambing, petani, pengusaha lading kelapa sawit dan peniaga kecil-kecilan. Walaupun mereka orang asli tapi tanah mereka luas. Setiap keluarga pasti ada tanah sendiri. Jangan pandang rendah pada mereka. Mereka juga rajin. Walaupun masih ada yang tak faham berbahasa Melayu, tapi mereka tetap ramah melayan kita walaupun dengan bahasa isyarat. Terasa seperti dihargai pula berada di situ.

Setelah beberapa ketika berjalan, kami bertembung dengan Pak Anjang. Dia menegur kami dengan ramah.

“Macammana Cikgu Jue, hari pertama di sekolah?” tanya Pak Anjang sambil tersenyum dan menghisap rokok daunnya.

“Ok je. Tapi ramai murid tak hadir ke sekolah. Jadi belum sempat berkenalan dengan semua murid,” balasku.

“Memanglah, siapa yang berani datang ke sekolah tu, memang kuat betul semangatnya,” sahut Pak Anjang.

“Kenapa pula Pak Anjang? Sekolah ni kan penting, kenalah kuat semangat untuk menuntut ilmu,” balasku.

“Bukan kuat semangat untuk menuntut ilmu tu, tapi kena kuat semangat untuk menghadapi benda pelik yang datang ke sekolah tu,” sahut Pak Anjang.

“Benda pelik apa pula?” tanyaku lagi, masih tak faham maksud Pak Anjang.

“Dia belum tahu Pak Anjang. Biarkan dulu. Nanti dia tahu sendiri,” sahut Cikgu Norma seperti memotong perbualan Pak Anjang. Pak Anjang terus diam.

Cikgu Norma menarik tanganku untuk berjalan ke arah sekolah pula. Aku nampak beberapa orang murid sedang bermain sepak takraw bersama Cikgu Alif di gelanggang badminton. Kami melangkah ke arah mereka.

Masa kami hampir ke tempat mereka bermain, aku nampak seorang budak perempuan berdiri di sebelah sana gelanggang. Dia memakai baju gaun berwarna putih, rambutnya diikat dua dengan riben berwarna merah. Dia berdiri seorang diri di sana, sambil memandang ke arahku.

“Cikgu Norma, siapa budak perempuan tu?” tanyaku sambil menunjukkan budak perempuan tu kepada Cikgu Norma.

“Budak perempuan mana? Mana ada orang kat sebelah sana?” sahut Cikgu Norma sambil memanjangkan leher meninjau ke arah budak yang aku tunjuk tu.

Aku jadi hilang sabar. Aku terus melangkah ke arah budak perempuan tu. Semakin hampir aku kepada dia, dia pula berjalan meninggalkan aku dengan langkah perlahan. Tapi bila aku berhenti melangkah, dia juga berhenti dan memandangku kembali, seolah memberi isyarat supaya aku mengikutnya.

Aku teruskan langkah mengikutnya sampai ke pokok besar di belakang sekolah. Di sana aku nampak dia berdiri di tebing sungai dan memandang ke arah aku. Dan tak semena-mena dia melompat terjun ke sungai. Aku menjerit memanggilnya. Dan tiba-tiba tanganku dipegang kuat. Aku menoleh dan nampak Cikgu Norma sedang memegang tanganku dan ada Cikgu Alif di belakangnya.

“Kamu dah kenapa Jue? Nak terjun sungai ke?” kata Cikgu Norma dengan nada agak marah dan risau.

“Saya nampak ada budak perempuan terjun ke dalam sungai tu,” sahutku.

“Dah, jom balik.” Kata Cikgu Norma sambil menarik tanganku. Aku akur tapi mataku melirik memandang ke sungai. Tak nampak sesiapapun tapi di seberang sana sungai aku nampak lelaki yang duduk di pondok pengawal yang aku jumpa pagi tadi masa pergi ke sekolah. Tapi aku terus melangkah mengikuti Cikgu Norma yang masih tak melepaskan tangan aku. Aku dan Cikgu Norma berjalan melewati Cikgu Alif yang masih berdiri di situ dan memandang ke arah lelaki yang aku nampak di seberang sungai, membuatkan aku yakin bahawa Cikgu Arif pun nampak lelaki itu.

Cikgu Norma tak berkata sepatah pun sepanjang perjalanan singkat kami balik ke kuarters kami. Tapi dia tak melepaskan pegangan tangannya. Aku pun diam. Seperti budak kecil yang dah buat salah pula rasanya.

Sampai di rumah, jam menunjukkan pukul 6.30 petang.

“Kita tutup saja apa yang dah jadi petang ni. Pergilah mandi, bersiap untuk maghrib. Lepas tu kita masak ringkas untuk makan malam,” kata Cikgu Norma lembut sambil menepuk bahuku perlahan seperti memujuk. Aku tak menyahut tapi akur dengan katanya. Aku melangkah masuk ke bilik, mengambil tuala dan mandi. Aku tak nampak Cikgu Suraya, mungkin di biliknya.

Selesai solat maghrib, aku duduk sekejap di sejadah, termenung sendirian. Dalam hati aku, terdetik perasaan seperti memang ada sesuatu yang telah terjadi di sekolah tersebut, atau di kampung tersebut. Dan seperti ada sesuatu yang sedang cuba memberi isyarat kepada sesuatu. Cuma aku tak tahu apa itu. Dan aku tak tahu nak tanya siapa.

Aku bangun dari sejadah dan keluar bilik bila terdengar bunyi seseorang sedang menggoreng ikan. Aku terus ke dapur, semerbak bau ikan goreng dan kangkung belacan. Tiba-tiba je perut terasa lapar. Aku menjenguk ke dapur. Nampak Cikgu Norma sedang mengangkat ikan goreng dari kuali dan Cikgu Suraya sedang menyeduk nasi ke dalam pinggan.

“Mari makan. Jue makan ikan sungai tak?” tanya Cikgu Suraya sebaik ternampak aku.

“Saya makan semua ikan Kak Su,” balasku tapi mataku melihat ikan sepat goreng yang sedang dihidang oleh Cikgu Norma.

“Baguslah kalau tak memilih makanan. Kita kat tempat macam ni, kena belajar makan apa yang ada. Nak ke pekan dah la jauh. Harap ikan dan sayur hasil jualan orang asli di sini je,” kata Cikgu Norma menarik kerusi untuk duduk. Aku pun turut duduk di sebelah Cikgu Suraya. Kami makan bersama.

“Saya dengar, petang tadi Jue nampak budak perempuan kat sekolah ye. Sampai mengikut dia ke sungai,” tiba-tiba Cikgu Suraya bersuara membuatkan aku tersedak sikit. Cikgu Norma menghulurkan segelas air kepada aku.

“Sebenarnya, bukan Jue seorang yang nampak. Ramai lagi yang nampak. Kami pernah panggil Tok Batin untuk melihat-lihat kawasan ni. Kata Tok Batin, itu adalah roh-roh yang pernah dijadikan korban berpuluh tahun dulu yang mendiami kawasan ni. Kita jangan terpedaya, kalau tak, nanti jadi macam tadilah, Jue pun nak ikut terjun sungai kan?” kata Cikgu Suraya.

Aku diam. Aku rasa Cikgu Suraya dah terlalu lama tinggal bersama orang asli hingga dia pun terikut dengan kepercayaan orang asli di situ. Tapi aku rasa aku dah tahu bagaimana nak menyesuaikan diri. Mungkin aku masih baru di situ, tapi aku seorang yang senang menyesuaikan diri.

“Oooo…. Ini kisah lama la ye,” sahutku mengiyakan kata-kata Cikgu Suraya. Dan Cikgu Suraya mengangguk.

Aku menyambung makan. Rugi kalau mood makan tergugat disebabkan cerita hantu ni. Sedap sungguh makan ikan sepat goreng dengan kangkung belacan yang aku dan Cikgu Norma beli daripada orang asli petang tadi. Makan pula dengan nasi panas yang lembut. Pergghhhhh! Tak nampak dah hantu lalu depan mata sekalipun.

-Bersambung-

One thought on “KAMI MAHU PULANG

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s