KAMI MAHU PULANG

Bab 3

Semasa perhimpunan, aku sempat menjeling ke arah pondok guard dan aku nampak lelaki pagi tadi berdiri di dalam pondok pengawal tu. Aku cuba amatinya. Dia seperti sedang memandang aku tanpa mata berkelip. Dan itu semakin buat aku resah, aku palingkan mukaku ke lain. Aku nak tahu, siapa lelaki itu. Kenapa dia berpakaian seperti pengawal jika dia bukan pengawal. Kenapa dia duduk di pondok pengawal jika dia bukan pengawal. Yang penting, kenapa aku nampak dia sedangkan Cikgu Suraya kata tiada pengawal di sekolah itu.

Selepas perhimpunan, aku ditunjukkan kelas 2B dimana aku perlu menjadi guru kelas menggantikan Cikgu Maria. Aku mengambil buku senarai nama murid di dalam kelas 2B. Ada 20 orang semuanya. Tapi dalam kelas tu aku nampak lebih kurang 12 orang je.

Aku memanggil nama seorang demi seorang. Semua nama yang aku panggil telah mengangkat tangan mereka. Tapi aku perasan ada seorang lagi murid lelaki yang duduk di bahagian kanan kelas di meja paling belakang belum mengangkat tangan. Dia duduk di meja di barisan paling akhir sedangkan dua barisan di hadapannya kosong.

Aku tak nampak mukanya sebab dia menundukkan muka sejak dari aku masuk kelas tadi. Aku melangkah menghampirinya. Murid lain memandang aku dengan wajah pelik.

“Kamu siapa nama? Tadi cikgu ada panggil nama kamu tak?” tanyaku ketika sampai kepada murid di meja paling belakang.

Murid lelaki itu mengangkat mukanya. Dia memandang aku dengan pandangan pelik. Dan aku tak tahu kenapa, bulu roma aku meremang. Wajah murid tu biasa je, cuma mata hitamnya sangat kecil seperti mata kucing, kulit wajahnya pucat dan jelas kelihatan urat-urat di bawah kulit wajahnya menimbul.

“Kenapa tak duduk di meja depan yang masih kosong?” tanyaku memberanikan diri. Murid tu tak menjawab tapi dia bangun dan melangkah keluar dari kelas.

“Kamu nak pergi mana? Kamu kena beritahu cikgu sebelum keluar kelas,” kataku lagi namun dia terus berjalan meninggalkan kelas. Aku melangkah mengekorinya sehingga seorang murid perempuan memanggil aku.

“Cikgu cakap dengan siapa?” tanyanya. Sekejap saja aku berpaling, tapi bila aku pusing balik kepada murid lelaki tu, aku dah tak nampak dia. Laju kemain dia menghilang.
“Cikgu cari apa?” tanya budak perempuan tadi lagi.

“Tadi kan ada kawan kamu duduk di sini. Siapa namanya?” tanyaku sambil menunjukkan meja yang aku nampak murid lelaki tadi.

“Mana ada orang duduk di situ cikgu,” sahut seorang murid lain.

“Tadi cikgu nampak. Lepas cikgu tegur dia, dia bangun dan terus berjalan keluar. Kamu semua tak nampak ke?” tanyaku tak puas hati. Semua murid dalam kelasku menggelengkan kepala.

Aku diam. Tapi aku yakin, aku nampak murid lelaki tadi. Aku kembali ke hadapan kelas, membuka buku teks Bahasa Melayu. Tapi hatiku tak tenang, aku masih teringatkan murid lelaki tadi. Dengan wajah yang agak menyeramkan.

Setelah tamat waktu aku mengajar di kelas 2B, jadual aku menunjukkan aku perlu ke kelas 3A yang berada di tingkat satu. Aku pun membawa beg dan buku-buku aku ke kelas tersebut. Sebaik masuk ke kelas 3A, aku lihat ada 5 orang murid sahaja. Semua pun diam melihat aku masuk ke dalam kelas mereka.

“Saya Cikgu Juliana. Saya cikgu Bahasa Melayu kamu yang baru menggantikan Cikgu Maria. Saya juga akan mengajar subjek Matematik,” kataku memperkenalkan diri.

Semua tak menjawab tapi terus memandangku dengan tekun. Aku pun naik cuak melihat gelagat mereka. ‘Kenapa semua murid di sini pelik-pelik belaka.’ Desis hati kecilku.

“Kelas ni memang ada 5 orang ni saja ke? Atau ada yang tak datang?” tanyaku memulakan bicara bila mereka semua membisu dan memandang aku seperti tak pernah melihat orang. Namun tiada jawapan.

“Baiklah, buka buku aktiviti Bahasa Melayu Jilid 2, cuba tunjukkan kepada cikgu, kamu dah belajar hingga mukasurat berapa semasa Cikgu Maria mengajar,” kataku sambil turut membuka buku aktiviti Bahasa Melayu tersebut.

Tiada pergerakan di dalam kelas itu, hanya aku. Aku memandang wajah setiap seorang murid di situ. Ada 3 lelaki dan 2 perempuan, semua pun terpaku memandang aku. Tiba-tiba aku teringat kepada murid lelaki yang kulihat di dalam kelas 2B tadi. Ada persamaan di wajah mereka. Mata hitam yang kecil dan wajah yang pucat. Meremang bulu roma aku sekejap.

Akhirnya aku bercakap seorang diri di depan kelas, tanpa ada tindakbalas dari murid-murid berkenaan yang tetap dengan kedudukan asal tadi hingga tamat sesi pengajaran aku. Aku ambil beg dan buku, terus keluar dari kelas. Aku melangkah ke bilik guru yang terletak bersebelahan dengan bilik guru besar.

Di bilik guru, aku nampak Cikgu Norma ditempatnya sedang memeriksa buku muridnya. Sebelah meja Cikgu Norma, ada Cikgu Alif. Aku melangkah ke mejaku yang telah ditunjukkan oleh guru besar pagi tadi.

Sedang aku menyusun buku di atas meja aku, Cikgu Roziana pula masuk ke dalam bilik guru. Dan dia melangkah ke meja sebelah aku.

“Sorang pun tak hadir kelas aku hari ini. Buku kehadiran semua kosong. Macammana nak buat dengan mereka ni,” katanya seperti merungut sendiri tapi jelas terdengar setiap bait kata-katanya.

Cikgu Norma dan Cikgu Alif mengangkat wajah mereka dan memandang Cikgu Roziana yang masih merungut sendirian.

“Sorang pun takde Cikgu Rozi?” tanya Cikgu Alif.

“Iye, sorang pun tak datang. Dah dua hari. Aku nak buat laporan kat guru besar, biar dia buat sesuatu.” Kata Cikgu Roziana lagi.
“Tapi kelas 3A tu kebanyakannya murid pandai. Sayang kalau mereka semua berhenti belajar,” kata Cikgu Norma.

“Tulah pasal. Sayang. Kelas aku 3A tu memang antara anak orang asli yang terpandai. Dan mereka rajin. Aku sayang kelas tu.” Sahut Cikgu Roziana.

Aku diam berfikir sejenak. Kelas 3A? Tadi aku masuk kelas tu ada 5 orang.

“Maaf Cikgu Rozi. Kelas cikgu 3A?” tanyaku mencelah membuatkan ketiga-tiga cikgu di dalam bilik guru itu memandangku.

“Haah Cikgu Jue. Saya guru kelas 3A. Tapi dah dua hari kelas tu kosong. Semua tak hadir,” sahut Cikgu Roziana.

“Tapi tadi saya masuk kelas tu sebab sesi pengajaran Bahasa Melayu, ada 5 orang kat dalam tu,” kataku dengan penuh yakin.

“Hah??? Ada 5 orang? Bila cikgu masuk kelas tu?” tanya Cikgu Roziana semula.

“Saya baru je balik dari kelas tu, terus datang bilik guru,” sahutku.

Cikgu Roziana, Cikgu Alif dan Cikgu Norma masing-masing berpandangan sesama sendiri. Dan mereka terus diam. Aku pula terasa pelik. Tak lama selepas tu, loceng berbunyi menandakan masuknya waktu rehat.

Cikgu Norma merapati aku. “Jom kita minum sekali di kantin guru,” ajaknya. Dan aku pun bangun mengikutinya.

“Jue yakin bahawa Jue ada nampak murid dalam kelas 3A tadi?” tanyanya ketika kami melangkan bersama ke kantin.

“Iye, saya yakin. Saya memang nampak dan mereka juga memandang saya,” balasku.

“Mereka semua bertindak balas?” tanya Cikgu Norma lagi.

“Tak. Semua diam je memandang saya di depan kelas. Kenapa cikgu?” tanyaku.

Masa tu kami dah sampai ke kantin. Kami beli air kopi dan duduk di bahagian tepi.

“Kenapa cikgu? Semuanya saya nampak seperti pelik di sekolah ni. Apa yang dah terjadi?” tanyaku tak puas hati kerana soalanku tadi tak berjawab.

“Jue, kelas 3A memang kosong sejak semalam. Semua guru dan guru besar dah maklum pasal hal ni,” kata Cikgu Norma membuatkan mataku terbeliak memandangnya.

“Habis tu, siapa yang saya nampak di kelas tu tadi?” tanyaku lagi.

“Saya pun tak pasti.” Sahut Cikgu Norma sambil meneguk air kopinya.

Selepas rehat, aku mengajar di dua kelas sahaja. Dan seperti biasa, setiap kelas tak ramai murid. Paling ramai pun 23 orang. Tapi yang buat aku semakin pelik dan tertanya-tanya, di setiap kelas yang aku masuk, mesti ada seorang dua murid yang hanya memandang aku tanpa tindakbalas. Bila aku bertanya kepadanya, dia hanya akan memandangku dengan wajah yang seram. Dan paling best, tiap kali aku bertanya dengan murid-murid pelik ini, pasti ada murid yang bertanya aku cakap dengan siapa? Ini membuatkan semangat ingin tahu aku semakin membara.

Adakah mata aku bermasalah? Adakah aku dah gila? Atau mungkinkah yang aku lihat itu hantu? Macammana hantu boleh tunjukkan diri kepada orang lain? Siang hari pula tu? Hantu bukan keluar waktu malam ke?

-Bersambung-

One thought on “KAMI MAHU PULANG

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s