KAMI MAHU PULANG

Bab 2

Lebih kurang 15 minit selepas itu, seseorang memberi salam dan pintu dibuka dari luar. Seorang wanita masuk ke dalam rumah.

“Cikgu Juliana?” tanyanya sebaik ternampak aku yang sedang duduk di ruang tamu. Aku menganggukkan kepala.

“Saya Cikgu Norma. Panggil Kak Norma je,” katanya memperkenalkan diri sambil menghulurkan salam perkenalan.

“Baru balik Norma?” tiba-tiba Cikgu Suraya muncul dari arah dapur membawa dulang berisi air teh panas dan sedikit biskut kering lalu menghidangkannya di hadapan aku dan Cikgu Norma yang dah duduk di sebelah aku sambil membuka tudungnya.

“Ramai ke budak yang datang?” tanya Cikgu Suraya lagi sambil menuangkan air teh ke dalam cawan.

“Ada enam orang je Kak Su. Anak Kedan dan Mulak langsung tak datang lepas kena rasuk minggu lepas. Ayahnya yang datang beritahu anaknya nak berhenti belajar kat sekolah ni. Yang datang ni pun mata tak berapa nak fokus. Mata dok melilau tengok keliling,” sahut Cikgu Norma.

“Tak tahu dah nak buat macammana untuk kembalikan keberanian budak-budak ni,” kata Cikgu Suraya dengan suara seperti satu keluhan.

“Kena rasuk?” tanyaku ingin tahu.

“Entahlah Jue. Biasalah orang asli ni, ada yang jenis masih percaya dengan perkara tahyul ni. Mereka percaya ada roh jahat dalam sekolah ni,” sahut Cikgu Suraya membuatkan aku kecut perut sekejap.

“Kawasan ni dalam hutan. Dan jauh di pedalaman. Adalah gangguan sikit-sikit. Sedangkan sekolah atau bangunan yang kat tengah bandar tu pun ada juga gangguan, inikan pula kawasan macam tempat jin bertendang ni,” kata Cikgu Norma sambil meneguk air teh yang dihidang oleh Cikgu Suraya sekejap tadi.

Aku diam. Taknaklah bertanya banyak sangat sebab aku baru je sampai. Aku pun tak tahu apa kisah sebenar. Mungkin masalah dalaman antara sekolah dengan penduduk kampung. Jadi sebaiknya aku tak masuk campur sangat.

Keesokan harinya, aku bersiap awal. Semangat aku berkobar-kobar untuk memulakan hari pertama aku sebagai seorang guru di sekolah. Sebelum pukul 7 pagi aku dah keluar dari rumah tu. Semalam Cikgu Suraya dah beritahu bahawa aku perlu melapor diri di pejabat guru besar sekolah sebelum perhimpunan sekolah bermula pada jam 7.20 pagi.

Ketika aku keluar, Cikgu Suraya dan Cikgu Norma masih bersiap di bilik mereka. Aku sengaja keluar awal, nak melihat-lihat sekeliling walaupun keadaan masih gelap. Aku seorang yang suka pada sekeliling yang natural, seperti di kampung orang asli tu. Ada banyak pokok, ada sungai dan suasana kampung masih terasa.

Sebaik sahaja aku keluar dari pagar kuarters, aku nampak seorang budak lelaki dengan pakai seragam sekolah lengkap dengan beg galas berjalan di hadapanku. Aku melangkah pantas cuba menyamakan laras langkahku dengannya.

“Adik nak pergi sekolah ke? Awalnya?” tegurku memulakan perbualan.

Budak lelaki itu berhenti melangkah. Tapi masih dengan posisinya yang membelakangkan aku. Seolah terkejut kerana aku menegurnya.

“Ayuh kita jalan sekali pergi sekolah. Saya cikgu baru kat sekolah adik ni,” kataku lagi bila budak tu tak bersuara.

Tiba-tiba aku dengar bunyi salakan anjing. Aku menoleh mencari bunyi anjing tu. Baru aku teringat kata-kata mak aku bahawa selalunya perkampungan orang asli dijaga oleh anjing peliharaan untuk menjaga kebun dan haiwan ternakan. Tapi sejak aku sampai semalam, aku belum nampak seekor pun anjing di kampung itu.

Aku menoleh mencari bunyi salakan anjing yang aku rasakan agak rapat dengan kami. Tapi aku tak nampak anjing juga. Dan aku kembali memandang ke arah budak tadi. Dan budak itu tiada di situ. Aku pelik, kalau dia lari sekalipun, takkanlah cepat sangat dan takkan aku tak dengar bunyi tapak kakinya. ‘Ah, mungkin dia takut melihat orang luar kot’ desis hati kecilku cuba menjawab persoalanku sendiri.

Aku teruskan melangkah ke sekolah yang tak jauh dari kuarters guru. Ketika aku nak melangkah masuk ke pagar sekolah, aku nampak seseorang di pondok guard. Aku pun melangkah menghampiri pondok tersebut dan menjenguk mencari-cari kelibat orang yang aku nampak tadi. Aku nampak seorang lelaki berkulit gelap dengan rambut kerinting lengkap dengan baju pengawal sedang duduk di kerusi. Nak bagi salam pun aku tak tahu samada orang itu beragama islam atau bukan sebab daripada rupanya aku rasa dia orang asli di situ.

“Selamat pagi encik. Saya guru baru di sini. Hari ini hari pertama di sini. Saya nak melapor diri di pejabat guru besar. Di mana pejabat guru besar ye?” tanyaku sambil tersenyum kepadanya.

Lelaki itu memandang aku dengan wajah tanpa perasaan. Dia tak menjawab soalan aku tetapi memalingkan wajahnya ke arah lain. Aku pula yang rasa pelik.

“Encik, pejabat guru besar di mana?” tanyaku lagi. Lelaki tadi bangun dari kerusinya dan bergerak keluar dari pondok pengawal dan bergerak menghampiriku. Aku masih memandangnya. Tiba-tiba je aku rasa meremang bulu roma bila dia memandang aku tajam sekali, atas ke bawah, bawah ke atas dia tengok aku. Macam tak pernah tengok orang pulak. Kalau kat bandar orang tengok aku macam tu, memang dah kena sound dah dengan aku.

Tiba-tiba lelaki tu mengangkat tangannya menunjukkan ke arah tingkat 1 blok bangunan sekolah yang paling hampir dengan pondok pengawal tu.

“Terima kasih,” kataku kepadanya.

Dan tanpa berlengah aku meninggalkan pondok pengawal dengan lelaki yang padaku kelihatan pelik. Aku terus melangkah masuk ke kawasan sekolah. Masuk ke dalam blok bangunan yang ditunjukkan oleh pengawal tadi dan menaiki tangga ke tingkat 1. Aku melangkah ke bilik paling hujung yang ada papan tanda tertulis ‘BILIK GURU BESAR’.

Masa aku sampai di pintu bilik guru besar tu, aku memandang semula ke arah pondok pengawal tadi. Lelaki tu masih berdiri di situ dan memandang ke arahku. Pelik sungguh pandangannya. Aku mengangkat tangan ke arahnya. Namun tak dibalasnya. Aku cuba mengikis perasaan curiga terhadapnya. Mungkin dia jarang melihat orang luar datang ke kampungnya.

Aku masuk ke bilik guru besar. Belum ada orang di dalam bilik tu. Aku melihat jam di tanganku, menunjukkan jam 7.05 pagi. Aku lihat pula jam di dinding bilik tu, sama dengan jam di tangan aku. ‘Takkan guru besar tak sampai sekolah lagi?’ desis hati kecilku.

Aku melihat keliling. Penuh dengan buku dan fail. Aku nampak papan tanda nama di atas meja tertulis nama “Haji Karim bin Ahmad – Guru Besar”.

“Assalamualaikum,” tiba-tiba aku terdengar suara orang memberi salam. Aku menjawab salam dan memandang ke arah datangnya suara itu. Kelihatan seorang lelaki dalam usia 50 tahun berpakaian kemas kemeja tangan panjang berwarna biru laut dan seluar slack hitam dan memakai songkok di kepalanya. Aku syak dialah guru besar sekolah tu.

“Cikgu Juliana dari Kuala Lumpur?” tanyanya sambil melangkah ke kerusinya.

“Ya saya. Saya nak melapor diri,” kataku setelah lelaki tadi duduk di kerusinya. Lelaki tu mempersilakan aku duduk di kerusi di hadapannya.

“Saya Tuan Haji Karim, guru besar sekolah ni. Saya telah dimaklumkan minggu lepas oleh pihak JPN bahawa akan ada guru baru masuk sekolah ni minggu ini. Selamat datang ke sekolah ni. Buat masa ni, saya tempatkan cikgu di kelas Tahun 2B, menggantikan Cikgu Maria yang berhenti mengejut dua minggu yang lepas. Nanti saya tunjukkan kelasnya. Sekarang jom kita ke gelanggang badminton sebab perhimpunan akan diadakan sekejap lagi.” Kata Tn Haji Karim. Aku mengangguk tanda faham dan bangun dari duduk mengekori Tn Haji Karim ke tempat perhimpunan.

Di tapak perhimpunan aku lihat beberapa orang murid telah berkumpul di gelanggang badminton dan terdapat beberapa orang guru lelaki dan wanita yang telah bersiap sedia di sana. Aku nampak Cikgu Suraya melambai ke arahku. Aku melangkah ke arah Cikgu Suraya.

“Cepatnya Jue keluar pagi tadi? Saya dan Norma biasanya keluar 7.15 macam tu. Taknak sampai sini awal, tak berapa selesa,” kata Cikgu Norma.

“Saya sengaja keluar awal, nak lihat sekeliling.” Jawabku ringkas sambil mataku memandang suasana di tempat perhimpunan.

“Pandai cari pejabat guru besar?” tanya Cikgu Suraya.

“Guard yang tunjuk,” beritahuku lagi.

“Guard?” tanya Cikgu Suraya lagi dengan wajah penuh tanda tanya.

“Haah, guard kat pondok pengawal tu la. Saya tanya dia masa nak masuk kawasan sekolah. Dia yang tunjukkan bilik guru besar,” sahutku.

“Tapi sekolah ni dah lama takde guard,” kata Cikgu Norma.

“Habis tu siapa kat pondok pengawal tu?” tanyaku keliru.

Cikgu Suraya tak sempat menjawab sebab pengacara perhimpunan pagi telah memulakan ucapannya.

-Bersambung-

One thought on “KAMI MAHU PULANG

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s