KAMI MAHU PULANG

Bab 1

Namaku Juliana. Cikgu Juliana. Aku berasal dari Kuala Lumpur. Baru je graduate jadi cikgu sekolah rendah. Hari ini adalah hari pertama aku mengajar di sebuah sekolah terpencil di Sungai Siput Perak. Sekolah ni agak pendalaman dan kebanyakan murid adalah anak orang asli yang tinggal berhampiran. Untuk masuk ke kawasan persekolahan tu, aku perlu menaiki kereta pacuan 4 roda yang telah sedia menunggu ketibaan aku. Mungkin telah dimaklumkan terlebih dahulu oleh pihak JPN. Dan aku dihantar ke rumah sewaan yang turut disewa oleh beberapa orang guru wanita lain di situ.

Semasa aku di dalam kereta pacuan 4 roda, ada dua orang lelaki orang asli yang berbual dengan ramah denganku. Pemandu lelaki dalam usia awal 50an yang memperkenalkan dirinya sebagai Pak Mulak dan seorang penumpang lain yang juga seorang lelaki dalam usia sebaya dengannya yang memperkenalkan dirinya sebagai Pak Anjang. Macam-macam mereka tanya. Datang dari mana, asal mana, semualah. Membuatkan rasa gemuruh aku berkurangan memandangkan ini merupakan kali pertama aku tinggal berjauhan dari keluarga aku, dan pertama kali nak bergelar pendidik.

Mereka nampak masih sihat dan kuat walau dalam usia begitu. Mungkin pekerjaan mereka yang membuatkan mereka masih sihat, maklumlah, kerja kampung, makanan pun semua yang bagus. Stamina mestilah kuat. Tak macam orang bandar yang kebanyakannya bekerja di dalam pejabat yang penghawa dingin, bekerja sambil duduk di kerusi. Kalau yang bekerja di luar pun, penuh dengan pencemaran alam sekitar, habuk, asap, matahari yang terik dengan lapisan ozon yang semakin menipis, tanpa pohon-pohon hijau yang meredupkan dan menyejukkan mata.

“Cikgu Jue ni adalah orang keempat dalam tahun ni saja yang masuk mengajar di sekolah ni. Harap-harap kali ni bertahan la lama sikit,” kat Pak Mulak sambil memandu.

“Maknanya ada 3 guru baru lain la yang masuk ke sekolah ni tahun ni ye?” tanyaku balik.

“Iye, ada 3 guru lain tapi semuanya dah berpindah ke sekolah lain,” sahut Pak Anjang pula.

“Berpindah sekolah lain?” tanyaku tak begitu faham.

“Dua orang dapat bertukar ke sekolah lain. Yang seorang lagi terus angkat beg balik ke negeri asal, tak sabar dah tunggu permohonan pertukaran diluluskan,” kata Pak Mulak lagi.

“Kenapa pula mereka minta tukar? Berapa lama je mereka mengajar?” tanyaku.
“Yang paling lama 3 bulan dan paling cepat sebulan dah keluar tinggalkan sekolah ni,” sahut Pak Anjang.
“Kenapa mereka minta tukar?” tanyaku kembali.
Pak Anjang dan Pak Mulak diam sambil berpandangan sesama sendiri tapi tak menjawab soalan aku. Kebetulan rumah sewaan aku pun dah sampai.

“Kita dah sampai cikgu. Ini rumah sewaannya. Sekejap saya panggilkan Cikgu Suraya.” Kata Pak Anjang mengangkat beg aku dan melangkah ke depan pintu rumah kecil berkembar dua sambil memberi salam. Kebanyakan orang asli di sini sudah memeluk agama islam. Rajin juga pihak Jabatan Agama Islam Perak hadir ke tempat-tempat penempatan orang asli untuk memberi tunjuk ajar sambil membantu mereka dalam pengurusan diri dan keluarga.

Setelah salam diberi, pintu terbuka dan keluar seorang wanita dalam lingkungan usia 30 tahun menjawab salam.

“Pak Anjang, apa khabar?” tanyanya ramah.

“Baik saja. Ni cikgu baru tu dah sampai,” kata Pak Anjang sambil memperkenalkan aku kepada wanita tersebut.

“Cikgu Juliana?” tanya wanita itu kepada aku sambil menghulurkan tangan bersalam.

“Ya, saya Cikgu Juliana. Panggil Jue saja cukup,” kataku sambil menyambut salamnya.

“Saya Cikgu Suraya. Orang panggil Cikgu Su. Marilah masuk, bawa barang-barang tu. Nanti kita sembang panjang di dalam,” kata Cikgu Suraya sambil membantu aku mengangkat 3 beg kecil.

Setelah mengucapkan terima kasih dan membayar sedikit upah sebagai wang saku kepada Pak Anjang dan Pak Mulak, aku masuk ke rumah sewaan aku.

“Beginilah kuarters cikgu di sini. Taklah sesempurna seperti kuarters cikgu di bandar tapi selesa jugalah untuk kita bertiga. Setiap rumah memang ada 3 bilik dan 1 bilik air. Bagi yang berkeluarga, andai mereka membawa keluarga mereka di sini, mereka akan diberikan sebiji rumah.” terang Cikgu Suraya. Aku menganggukkan kepala tanda faham.

“Bilik seorang satu tapi taklah besar. Ruang tamu besar ni je lah, ada tv radio. Boleh je kalau kita nak bawa peralatan Cuma takut ruang tak mencukupilah. Dapur pun ada, lengkap dengan peti sejuk, dapur gas dan peralatan memasak lain. Mula-mula memanglah rasa sukar sikit sebab tak sama dengan tempat asal kita tambahan Jue datang dari kota besar. Saya dari Kedah, dah 6 tahun di sini. Saya dah biasa dengan keadaan di sini. Saya dah banyak kali minta tukar ke Kedah sebab suami dan dua anak saya di sana tapi belum rezeki saya,” kata Cikgu Suraya. Dan aku tekun mendengar.

Aku perlu kenal rakan serumah aku. Kerana ini kali pertama aku berada di perantauan. Harap-harap aku berjumpa dengan orang yang baik dan boleh saling menjaga.

“Kita di sini pun bertiga. Ada seorang lagi Cikgu Norma. Sekarang dia pergi ke sekolah buat kelas tambahan mengajar anak orang asli yang lemah pembelajaran. Kami di sini nak enjoy tu memang tak bolehlah sebab pekan jauh. Dua minggu sekali kami ke pekan menaiki kereta pacuan 4 roda macam Cikgu Ju datang tadi, untuk beli barang keperluan. Untuk barang basah buat masakan, kami beli je dari orang asli di sini. Mereka ni ada yang bertani, ada yang menangkap ikan di sungai. Setiap hari mereka akan lalu di sini bawa apa-apa sayur atau ikan untuk kita masak buat makanan harian. Sesekali dapatlah makan ayam kampung. Kalau tak, bila ke pekan baru kita cari makanan sedap, beli banyak-banyak bekukan dalam peti ais. Line telefon kejap ada kejap takde, tengok keadaan. Elektrik pun selalu takde di sini. Bila hujan lebat, mulalah kita bergelap,” terang Cikgu Suraya satu persatu dan aku mendengarnya dengan teliti.

“Sekolah sini berapa sesi Cikgu Su?” tanyaku.

“Satu sessi je, kita ada sesi pagi je. Sebab masih ramai orang asli yang tak menghantar anaknya ke sekolah. Kita ada satu hingga dua kelas je untuk setiap peringkat umur. Satu kelas tu cuma ada 15 hingga 20 murid je. Sebelah petang kita beriadah. Masih ramai orang asli yang mementingkan pelajaran. Tapi sebab sekolah ni ada masalah sikit, jadi ramai ibubapa taknak menghantar anak mereka belajar,” kata Cikgu Suraya.

“Masalah ekonomi ke? Atau masalah kemudahan?” tanyaku ingin tahu.

“Susah saya nak cakap. Mungkin mereka masih di takuk lama, tak percaya pada pelajaran. Tapi lebih percaya kepada kepercayaan karut yang mengatakan sekolah ni berhantu,” kata Cikgu Suraya.

“Berhantu?” tanyaku.

“Takde apalah Jue. Jue gunakan bilik depan ni ye. Sebelum ni Cikgu Zarina yang duduk di bilik tu. Tapi lepas sebulan, dia dah keluar dari sini. Katanya tak tahan,” sahut Cikgu Suraya.

“Tak tahan kenapa?” tanyaku.

“Entahlah. Terpengaruh sangat dengan kepercayaan orang asli di sini. Tapi dia memang anak orang bandar, tak pernah susah. Mungkin tak tahan dengan kehidupan di sini kot,” sahut Cikgu Suraya. Aku diam. Angkat beg dan barang aku semua, masuk ke bilik tu.

Bilik tu kecil sahaja tapi taklah teruk sangat. Pada aku ok dah selagi aku ada bilik sendiri dan aku ada privasi. Ada satu katil bujang dengan dua biji bantal. Ada satu kipas meja dan satu lampu kalimantang pendek. Bilik air je yang kami perlu berkongsi tiga orang.

Setelah mengemas semua barang aku, aku bercadang nak keluar berjalan di luar melihat keadaan sekeliling tetapi Cikgu Suraya menyuruh aku berehat saja di rumah dulu, lepaskan lelah setelah seharian perjalanan. Esok dah nak mula mengajar. Jadi aku perlukan rehat secukupnya. Iye jugak, aku akur. Memandangkan masa pun dah hampir maghrib.

-Bersambung-

2 thoughts on “KAMI MAHU PULANG

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s