DIA MILIK AKU

Bab 9 (AKHIR)

Keadaan Amran makin teruk. Dia meracau dan berlari ke sana sini sambil menjerit-jerit dan menghentak-hentakkan kakinya. Sehingga doktor terpaksa mengikat tangan dan kakinya di besi katil. Kesian aku melihatnya. Sabrina pula tak tahulah dah berapa kali dia menangis. Aku risaukan dia juga sebab dia sedang mengandung. Ayah Amran telah dimaklumkan tentang kejadian di rumah Sabrina dan Amran.

Permohonan kepada pihak berkuasa telah dibuat untuk menggeledah rumah Sabrina dan Amran. Dan pihak berkuasa mengambil masa tiga hari untuk mereka membuat tindakan susulan.

Ketika aku melawat Amran, aku lihat Sabrina duduk tenang di tepi katil suaminya. Aku duduk di sebelahnya. “Kau ok Rina?” Tanyaku. Sabrina tunduk. Kelihatan ada air menitis dari matanya. Aku mengusap bahunya perlahan.

“Menipulah kalau aku kata aku ok. Aku sedih sangat.” Kata Sabrina dengan suara yang serak.

“Aku faham Rina. Tapi kau kena jaga diri kau, untuk Iqbal dan baby dalam kandungan kau,” sahutku.

“Kesedihan aku tentang kekecewaan aku lebih tinggi dari kesedihan aku melihat keadaan Amran sekarang,” kata Sabrina membuatkan aku memandangkan dengan perasaan keliru.

“Apa maksud kau Rina?” tanyaku.

Sabrina menggeleng-gelengkan kepalanya perlahan. Aku masih tertanya-tanya dengan maksud kata-kata Sabrina sebentar tadi.

Belum sempat aku bertanya lagi, tiba-tiba ayah Amran masuk ke bilik Amran. Aku serta merta bangun dari dudukku di sebelah Sabrina lalu menyapa ayah Amran.

“Polis akan datang hari ini ke rumah kamu. Memandangkan Amran tak sihat macam ni, sebaiknya biarlah kamu sebagai tuan rumah ada di sana masa polis di sana,” Kata ayah Amran.

“Baiklah ayah, Rina faham,” sahut Sabrina.

“Dayah tolong temankan Rina boleh?” tanya ayah Amran sambil memandangku.

“Boleh pakcik.” Sahutku.

Sabrina bangun perlahan dari duduknya. Aku memegang bahunya. Dia mengambil begnya dan melangkah lemah keluar dari bilik Amran. Masa itulah Amran tiba-tiba menjerit. “Jangan dekat dengan aku. Kau bukan manusia! Kau bukan manusia!” kata Amran di atas katilnya. Ayah Amran merapatinya dan mengusap tangannya.

“Ayah, lepaskan Am. Lepaskan Am. Benda ni mengganggu Am.” Katanya sambil memandang ayahnya.

“Benda apa Am? Cuba beritahu ayah. Barulah senang ayah cakap dengan doktor,” sahut ayahnya.

“Ayah tak nampak ke benda yang sedang duduk di atas Am ni? Dia asyik berpaut dekat kaki Am. Tolonglah ayah, lepaskan Am,” kata Amran merayu.

“Siapa yang berpaut kat kaki Am? Ayah tak nampak apa-apapun,” kata ayah Amran dengan lembut sambil mengusap rambut anak lelaki tunggalnya. Nampak tenang tapi aku tahu, hatinya menangis.

Sabrina menarik tangan aku. Mengajak aku keluar dari bilik tu. Mungkin dia tak sampai hati melihat keadaan suaminya begitu. Aku pun taknak banyak tanya. Sebab pertanyaan aku akan lebih menyakitkan hatinya.

Sampai di rumah Sabrina, dia duduk di sofa. Keadaan dia memang nampak lemah. Lebih kurang jam 12 tengahari, kedengaran bunyi beberapa kereta memasuki perkarangan rumah Sabrina. Aku nampak ada dua kereta polis berserta kereta Kamal yang membawa Ustaz Alias dan ayah Amran bersama.

Tiga orang anggota polis bersama seekor anjing pengesan masuk ke dalam rumah Sabrina. Sabrina hanya memandang dari jauh. Tidak berganjak dari tempat duduknya sejak dia sampai di rumah tersebut. Setelah hampir sejam, anjing pengesan menyalak bertalu-talu ketika berada di dalam bilik kerja Amran.

Sabrina masih tenang di tempatnya.

“Kami terpaksa memecahkan lantai di bilik itu kerana mungkin ada sesuatu yang menyebabkan anjing pengesan kami menyalak.” Kata salah seorang anggota polis kepada ayah Amran. Ayah Amran memandang Sabrina. Sabrina hanya menganggukkan kepala perlahan menandakan memberi kebenaran.

Hampir sejam kerja-kerja mengorek tanah di dalam bilik kerja tersebut, akhirnya mereka menemukan sekujur mayat yang telah reput. Mayat seorang perempuan. Mayat tersebut dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut.

“Macammana mayat tu boleh berada di sana?” tanyaku perlahan kepada Kamal. Kamal diam dan beri isyarat supaya aku diam. Kenapa semua orang nampak tenang je? Cuma aku yang terlopong dan tertanya-tanya apa yang sedang terjadi.

Aku merapati Sabrina. “Rina, jom aku hantar kau balik ke rumah mak Amran. Atau kau nak pergi hospital?” tanyaku. Aku betul-betul bimbang melihatkan keadaan Sabrina.

“Aku nak balik rumah mak aku,” sahut Sabrina membuatkan aku sekali lagi melopong.

“Kalau boleh, kamu duduklah di rumah ayah dulu. Sementara kes Amran ni selesai. Mungkin pihak polis akan memanggil kamu juga untuk memberi keterangan. Kalau kamu balik ke rumah mak kamu, perjalanan kamu agak jauh. Dengan keadaan kamu begini, tak elok untuk kesihatan kamu. Kalau perlu, ayah bawakan mak kamu datang ke rumah ayah buat sementara waktu,” kata ayah Amran memujuk.

Sabrina tak menyahut. Dia bangun sambil memegang tangan aku.

“Hantar dia ke rumah pakcik ye. Jangan biar dia memandu,” kata ayah Amran dan aku mengangguk kepala tanda faham.

Selepas seminggu, Kamal beritahu aku bahawa hasil bedah siasat ke atas mayat perempuan yang ditemui tertanam di dalam lantai bilik kerja Amran tu dah diperolehi. Dan hasil siasatan mendapati bahawa perempuan itu sedang hamil berikutan dari penemuan janin di rahimnya.

“Siapa perempuan tu?” tanyaku ingin tahu. Dah lama aku nak tahu, dah acapkali aku bertanya semua orang, tapi tiada siapa yang mahu menjawab soalanku. Walaupun hatiku terdetik mengatakan bahawa Kamal dah tahu kisah sebenarnya.

Perempuan tu adalah perempuan simpanan Amran yang bernama Zulaikha. Zulaikha adalah salah seorang klien syarikat ayah Amran. Mereka mula berhubungan ketika Sabrina mula mengandungkan Iqbal. Perkara ini sampai ke pengetahuan ayah Amran. Amran dengan beraninya mengakui perkara ini dan menyatakan hasrat ingin berkahwin dengan Zulaikha. Namun ditentang oleh mak dan ayah Amran. Sabrina pun tahu dengan kisah ini. Tapi dia tak pernah menyuarakan perasaan hatinya. Bahkan dia tak pernah bercerita dengan aku. Dan kebetulan masa itulah Sabrina disahkan mengandung. Ayah Amran dah memberi kata dua kepada Amran, samada memilih Zulaikha atau keluarganya.

Andai memilih Zulaikha, Amran akan terputus segala hubungan dengan keluarganya. Termasuk segala hak Amran di syarikat ayahnya juga akan dilucutkan. Amran tidak mahu kehilangan semua ini, maka dia terpaksa membatalkan hasratnya untuk mengahwini Zulaikha. Dan dia telah memutuskan hubungannya dengan Zulaikha.

Namun begitu, satu hari Zulaikha datang menemui Amran dan memaklumkan bahawa dirinya telah mengandungkan anak Amran. Amran taknak mengaku dan taknak bertanggungjawab. Zulaikha mengugut untuk melaporkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa dan pihak media. Mereka bergaduh dan Zulaikha menampar Amran hingga Amran tak sedar telah menolak Zulaikha. Zulaikha jatuh dan kepalanya terhantuk ke batu. Amran panik. Dia pun tak pasti samada Zulaikha dah mati atau belum, dia terus memasukkan tubuh Zulaikha ke dalam guni dan membawanya ke tapak tanah kosong miliknya. Dia terlalu takut hingga menanamkan tubuh Zulaikha di situ dan terus membina rumah di atasnya dengan harapan tiada siapa yang akan menemui tubuh Zulaikha.

Kehilangan Zulaikha juga dilaporkan tapi pihak polis tidak menemui sebarang tanda penyelesaian memandangkan tiada siapa yang mengetahui bahawa Amran mempunyai hubungan sulit dengan Zulaikha. Semua maklum bahawa hubungan mereka adalah antara klien sahaja.

Sekian lama tubuh Zulaikha yang hamil ditanam di bawah rumah mereka. Hasil siasatan ke atas mayat Zulaikha mengatakan kemungkinan besar Zulaikha masih bernyawa ketika dia ditanam memandangkan punca kematiannya adalah akibat lemas dan bukannya kerana hentakan dikepalanya.

“Mana abang tahu semua cerita ni?” tanyaku setelah Kamal menyudahkan ceritanya.

“Amran yang beritahu masa mula-mula kita lawat dia di hospital sebab jatuh dari tangga. Katanya dia memang nampak Zulaikha. Dia selalu nampak Zulaikha datang kepadanya membawa seorang anak kecil. Tapi setiap kali Rina mengadu kepadanya bahawa dia ternampak perempuan dan budak kecil, dia akan menafikan. Kerana dia tak mahu rahsianya terbongkar.” Kata Kamal.

“Kalau macam tu, kenapa dia bersetuju untuk bawa ustaz tengokkan rumah tu? Sedangkan dia tahu ada ‘hantu’ dalam rumah tu?” tanyaku lagi.

“Dia berharap agar ustaz tu boleh menghalau ‘hantu’ tu. Tapi dia silap. Roh Zulaikha yang tak aman tetap mengikutnya selagi mayatnya tak dikeluarkan dari tempat Amran menanamnya.” Sahut Kamal.

“Sabrina tahu pasal ni?” tanyaku lagi. Kamal angkat bahu.

“Amran macammana sekarang?” tanyaku lagi.

“Dia akan disabitkan dengan kesalahan membunuh tanpa sengaja dan menyembunyikan kematian,” sahut Kamal.

“Tapi dia kan sakit?” tanyaku lagi.

“Entahlah. Abang pun tak tahu,” sahut Kamal dan mula memegang remote tv, itu isyarat dia dah malas nak berbual dengan aku la tu. Isyarat nak suruh aku diam.

Keesokan harinya, Sabrina telefon aku. Dia ajak aku berjumpa.

Kami berjumpa di café hospital je. Sebab Sabrina menjaga Amran. Sempatlah aku melawat Amran. Serabut dengan misai dah jambang yang dah penuh dimukanya. Dia dah tak meracau lagi tapi dia diam je. Tak bercakap sepatah pun. Dia tak pandang wajah orang lain. Manakala di luar bilik, ada dua orang polis berkawal. Menunggu kebenaran doktor untuk membawanya pergi. Namun menurut doktor, dia perlu dibawa kepada hospital psikiatri untuk rawatan lanjut. Kerana doktor biasa tak menemui punca dia meracau mengatakan ada sesuatu yang berpaut di kakinya. Menurut doktor, mungkin imaginasinya sahaja. Kerna itulah dia perlu dibawa berjumpa doktor psikiatri.

Ketika berjumpa dengan Sabrina, dia nampak ok walaupun matanya tak bersinar seperti dulu. Dia dah boleh tersenyum.

“Kau ok Rina?” tanyaku sambil memegang tangannya.

“Aku ok.” Sahutnya perlahan.

“Aku nak balik rumah mak aku kat Kedah. Aku akan bawa Iqbal bersama aku. Aku akan tinggal dengan mak aku sampai aku bersalin.” Katanya.

“Amran?” tanyaku.

“Biarlah dia di sini, mak dan ayahnya akan menjaga dia.” Sahut Sabrina.

“Kau nak tinggalkan dia?” tanyaku lagi.

“Aku pun tak tahu. Biarlah Zulaikha menjaga dia,” kata Sabrina lagi.

“Zulaikha? Kau tahu kisahnya ke?” tanya aku lagi.

“Aku tahu. Masa kita jumpa gambar perempuan tu di bilik kerja Amran, aku jumpa diari Amran. Aku bawa balik ke rumah ayahnya. Aku baca semuanya. Betapa Amran amat sayangkan Zulaikha. Amran menuliskan bahawa dia selalu berjumpa Zulaikha. Betapa dia amat bersedih kerana terpaksa berpisah dengan Zulaikha. Cara penulisannya seolah-olah Zulaikha masih hidup. Bersama anak lelaki mereka,” kata Sabrina.

“Dia tulis diari dia macam tu?” aku terus bertanya seperti cerita Sabrina macam tak masuk akal. Bagaimana Amran masih boleh berhubungan dengan Zulaikha sedangkan Zulaikha dah mati?

“Semalam masa aku jaga dia, aku nampak perempuan tu duduk di tepinya. Semasa dia berjalan aku nampak perempuan tu berpaut di kakinya. Mungkin sebab itulah bila doktor menimbang beratnya, beratnya seperti ada dua orang. Kerana perempuan itu berpaut di kakinya. Dan kerna itu jugalah kaki dia selalu sakit kerana terpaksa mengheret perempuan itu ke mana saja dia pergi,” kata Sabrina.

“Kau nampak?” tanyaku membeliakkan mata. Dan Sabrina mengangguk.

“Siapa lagi yang tahu?” tanyaku lagi. Dan Sabrina menggelengkan kepala.

“Maknanya perempuan tu masih bersama dia?” tanyaku lagi tak puas hati.

“Mungkin.” Sahut Sabrina perlahan.

“Kau tahu tak, aku sedih sangat masa aku tahu dia ada hubungan dengan Zulaikha ketika aku mengandungkan Iqbal. Tapi sekurang-kurangnya aku tahu Zulaikha itu manusia. Bila semua ni terbongkar, aku lebih sedih kerana selama ini Amran memadukan aku dengan roh kekasihnya. Aku bermadu dengan orang mati! Dan yang itu aku tak boleh terima,” sahut Sabrina tenang. Tiada air mata lagi yang keluar dari matanya.

“Kau buatlah yang mana terbaik untuk diri kau, Iqbal dan anak dalam kandungan ni. Cuma kau perlu ingat, Amran masih suami kau dan ayah kepada Iqbal dan baby dalam kandungan kau,” kataku. Aku pun takde cara untuk menasihatinya lagi kerana kepedihan yang ditanggungnya amat berat.

Lepas sebulan Sabrina berpindah ke rumah maknya di kampung, kami digemparkan dengan berita kematian Amran yang terjun dari tingkat 20 bangunan hospital mental yang dihuninya.

– T A M A T –

3 thoughts on “DIA MILIK AKU

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s