DIA MILIK AKU

Bab 5

Seketika kemudian Sabrina keluar dari bilik air. Melangkah lemah kembali duduk di katil.

“Kau kena pergi hospital ni Rina. Tak elok kalau dibiarkan macam ni. Tak elok untuk kau, tak elok untuk baby juga. Kalau di hospital, nanti doktor akan pantau. Tengok keadaan kau dan baby,” kataku memberi nasihat.

Aku tahu sangat rasanya alahan teruk ni atau bahasa hospitalnya high-prem. Setengah orang sebut morning sickness, tak tahulah kenapa morning sebab aku tak kira morning ke afternoon ke night ke, muntah je. Aku mengalaminya masa mengandungkan Arif dulu. Bahkan aku lagi teruk. Kalau orang lain alahannya tiga bulan tapi aku alahannya sampai bersalin. Muntah sepanjang mengandung. Bertahan dengan ubat je. Doktor pun kata kes aku satu dalam sejuta.

“Aku taknak menyusahkan mak mertua aku. Dah lah Amran sekarang sedang sibuk dengan projek baru. Kalau aku kena tahan di wad nanti, sian Iqbal.” Jawab Sabrina.

“Dah kau pun lemah macam ni, macammana kau nak jaga Iqbal. Diri sendiri pun tak terjaga. Bahaya juga kalau dibiarkan. Risau baby tak dapat zat yang secukupnya. Apa kau nak risau, masuk je wad swasta, senang nak satu bilik kau seorang pun boleh, Iqbal dan mak mertua kau pun boleh tidur sana sekali. Amran takkan larang. Dia sayangkan kau.” Pujuk aku lagi. Risau aku melihat keadaannya.

Sabrina diam. Mungkin memikirkan apa yang aku cakap.

Hampir sejam aku di rumah mak Amran tu. Lepas tu aku minta diri untuk balik sebab banyak lagi hal lain yang aku nak uruskan.

Seminggu lepas tu Amran message aku, beritahu bahawa Sabrina dah dimasukkan ke wad sebuah hospital swasta. Alahannya makin teruk. Aku rasa lega juga sebab memang aku risaukan keadaan dia.

Hari ahad aku pergi lawat dia. Alhamdulillah nampak dia makin sihat dan ceria. Masa aku melawat dia, mak mertuanya belum sampai.

“Kau apa khabar Rina?” tegurku sambil meletakkan bakul buah yang aku beli sebagai buah tangan. Suami aku dan Arif pun ikut sekali.

“Alhamdulillah, makin ok. Haritu sebenarnya aku jatuh kat dapur, tu yang Amran bawa aku ke sini.” Sahut Sabrina.

“Kau jatuh? Kat mana?” tanyaku terkejut. Aku memang ingat dia masuk wad sebab alahan je, tak sangka pula dia jatuh.

“Masa tu Amran baru je balik dari Johor. Dia ambil aku dengan Iqbal dari rumah mak mertua aku, terus bawa kami balik ke rumah kami. Masa kami sampai rumah kami, aku nampak ada perempuan berdiri di dalam bilik kami di tingkat atas. Aku beritahu Amran tapi Amran kata dia tak nampak. Kau bayangkan, aku nampak perempuan tu dalam bilik aku dengan Amran. Macammana dia masuk rumah aku? Dalam bilik utama kami pulak tu. Dengan keadaan aku sekarang, kalau kau, takkan takde rasa cemburu atau buruk sangka kan?” kata Sabrina semacam emosi pulak. Aku mendengar dengan teliti. Suami aku melayan Arif tapi aku tahu dia pasang telinga.

“Sebaik je masuk rumah, aku nampak kelibat budak kecil berlari terus ke bilik sebelah dapur dan aku dengar dengan jelas orang tutup pintu dengan kuat. Lagi la darah aku berderau. Tapi aku tengok Amran macam takde apa je. Bila aku tanya dia, dia kata dia tak nampak apa-apa pun. Katanya emosi aku tak begitu baik sebab aku aku tak sihat,” cerita Sabrina lagi.

“Aku tahu apa yang aku nampak,” rungut Sabrina lagi. Aku jeling ke arah suami aku. Suami aku bagi isyarat nak bawa Arif main kat luar dan aku anggukkan kepala. Aku faham sangat dengan suami aku tu. Dia memang tak suka mengganggu bila aku berbual dengan kawan-kawan aku. Dia suka memberi ruang samada kepada aku atau kawan-kawan aku bila mereka nak berbual hal peribadi.

“Malam tu, Amran panaskan makanan yang mak mertua aku bagi siangnya. Lepas makan aku rasa nak muntah. Aku muntah kat sinki dapur je pun. Masa tu aku nampak ada seorang perempuan berdiri di luar tingkat di hadapan sinki yang aku sedang muntah tu. Dia pandang aku dengan wajah marah. Menggeletar lutut aku. Aku nampak jelas. Kai aku dah melekat kat lantai dah masa tu. Aku tak boleh bergerak. Perempuan tu hulurkan tangannya dari tingkat yang terbuka sikit, panjang tangan dia, dia tolak aku sampai aku terjatuh. Dan aku semacam terdengar dia ada sebut sesuatu. Tapi tak jelas, suara seakan berbisik garau. Aku dengar macam dia ada kata dia milik aku.” Kata Sabrina lagi.

Aku kerutkan dahi. Seram sejuk aku dengar cerita Sabrina. Terbayang-bayang pula aku keadaan dia masa tu.

“Masa Amran datang, aku dah jatuh terjelepok di lantai. Tu yang dia terus bawa aku ke sini. Terus kena tahan wad.” kata Sabrina lagi.

“Kandungan kau macammana?” tanya aku risau.

“Doktor dah scan. Semua ok. Sebab aku sempat tahan dengan tangan aku supaya aku tak jatuh terduduk.” Sahut Sabrina sambil makan buah manga yang aku kupaskan.

“Aku tak tahu pulak kau jatuh. Amran message aku, dia beritahu kau masuk wad je. Aku ingat sebab alahan tu la,” kataku.

“Dayah, aku yakin sangat, perempuan dan budak kecil tu memang ada di rumah aku. Dah banyak kali aku nampak kelibat mereka ni. Kau rasa siapa mereka ni ye? Dia takde rupa hantu tu. Wajahnya macam perempuan biasa cuma pucat dan mata hitamnya besar. Dan anak tu pulak, aku tak nampak jelas wajahnya. Yang aku tahu, anak lelaki sebab dari cara dia perpakaian.” Cerita Sabrina.

“Aku pun tak tahu. Kena panggil ustaz la untuk tengokkan rumah kau tu. Tanyalah Amran,” kataku lagi sambil masih mengupas buah manga untuk Sabrina. Walaupun bercerita, dia macam berselera makan buah mangga tu. Aku pun rasa sikit, memang manis.

“Amran tu dia tak percaya benda ni semua. Katanya mainan perasaaan aku je.” Kata Sabrina.

“Mak kau?” tanyaku lagi.

“Aku pun serba salah nak cerita kat mak atau abah aku. Abah aku tu kalau cerita macam ni, dia akan suruh aku tanya Amran dulu. Iye jugak, kalau mak abah aku nak bawa ustaz sekalipun, mestilah aku kena minta izin Amran dulu kan? Kang dia kecil hati pulak sebab aku mengadu dekat mak abah aku,” kata Sabrina lagi. Aku diam, betul jugak katanya.

“Kalau macam tu, biar aku je minta tolong Kamal carikan ustaz, bawa ke rumah kau,” aku bagi pendapat.

“Kalau kau tanya aku, memang aku nak je. Aku cuma risau Amran tak suka je. Dah dia kata mainan perasaaan aku je. Macamlah kau tak tahu Amran tu. Kalau tak betul anginnya, nanti dia merajuk. Susah aku nak pujuk. Dah la dia selalu takde kat rumah, taknaklah dia keluar outstation dengan berkecil hati kat aku. Aku ni mengandungkan anak dia, kang entah apa pulak yang jadi kang,” kata Sabrina lagi.

Tiba-tiba pintu bilik wad ditolak dari luar. Mak dan ayah Amran masuk. Iqbal terus berlari mendapatkan maknya. Aku bangun lalu bersalaman dengan mak Amran.

“Lama dah sampai Dayah?” tanya ayah Amran.

“Dah dekat sejam juga. Saya pun dah nak balik ni. Kamal tunggu diluar tu dengan Arif,” sahutku.

“Haah, pakcik nampak dia kat taman bawah nun, Arif nak main katanya,” sahut ayah Amran.

“Rina, aku balik dulu. Nanti apa-apa hal kau message aku ye. Kita bincang kemudian,” kataku sambil bersalaman dan memeluk Sabrina.

“Kau jaga diri elok-elok. Jaga kandungan tu. Nanti kita cakap lagi. Jangan risau apa-apa,” bisikku ke telinga Sabrina. Sabrina mengangguk.

Aku keluar dari bilik wad Sabrina dengan fikiran yang bercelaru memikirkan cerita Sabrina tadi. Aku rasa aku yakin dengan cerita dia sebab aku sendiri pernah nampak perempuan lain di rumah tu. Tapi siapa dia? Kenapa Amran tak nampak dia? Sedangkan suami aku pun pernah nampak. Mak Amran dan mak Sabrina pun nampak masa kenduri haritu. Mungkinkah Amran pun nampak tapi dia buat tak tahu je?

“Laju je, nak ke mana tu?” tiba-tiba terdengar suara lelaki menyapa di tepi aku. Aku angkat kepala. Kamal pegang tangan aku sambil sebelah lagi tangannya memegang Arif.

“Jauh benar fikiran tu sampai tak nampak abang kat sini?” usik Kamal. Aku tersipu-sipu. Memang aku tak perasan aku dah langkah sampai mana. Arif berlari ke arah aku. Kami melangkah ke kereta.

“So, apa cerita Rina tadi?” tanya Kamal memecahkan keheningan. Memang aku diam je sejak keluar dari hospital tadi. Tak sangka pula Kamal berminat nak ambil tahu. Selalunya dia tak ambil tahu hal aku dgn kawan-kawan aku.

Maka aku ceritakan segala yang Sabrina beritahu aku tadi. Kamal mendengar dengan teliti sambil memandu. Tapi dia tak kata apa-apa sampailah kami tiba di rumah.

Selesai solat maghrib dan makan malam, aku duduk di sebelah Kamal yang sedang menonton tv. Aku tengok tv tapi kepala aku memikirkan cerita Sabrina tadi.

“Abang rasa siapa yang mengganggu kat rumah Sabrina tu?” tanyaku membuka bicara.

“Tak tahulah,” jawabnya ringkas sambil masih menonton tv.

“Orang bunian kot?” aku meneka.

“Hish, mana ada macam tu?” jawab Kamal.

“Habis tu? Kalau hantu, kenapa rupa dia macam orang biasa je. Cuma rupa dia pucat je. Dan kalau hantu kenapa dia tak takut masa orang baca Yassin kat rumah mereka dulu?” tanyaku bertalu.

Kamal diam.

“Apa kata kita bawa ustaz ke rumah mereka?” tanyaku lagi.

“Kena la bagitahu Amran dulu,” sahut Kamal.

“Masalahnya Amran tak percaya. Kalau dia percaya, bukanlah masalah namanya,” rungutku bila Kamal seperti tak endah dengan kata-kataku.

Kamal tutup tv. Dia pusingkan badannya dan memandang tepat ke arahku.

“Sayang, kita memang boleh tolong dia. Abg boleh je carikan ustaz semua tu. Tapi apapun yg kita nak buat, Amran sebagai suami Rina tu kena tahu. Mana boleh kita tolong tanpa pengetahuan dia. Berdosa Rina kalau dia membelakangkan suaminya dan kita pula bersubahat sekali. Nak tak nak Rina kena minta izin Amran,” kata Kamal.

“Kalau kita bawa ustaz tu masa Amran outstation, boleh?” tanyaku lagi tak putus asa.

“Tetap kena beritahu suaminya juga. Apa hukumnya seorang isteri membawa orang lain ke rumahnya tanpa izin suami?” kata Kamal lagi buatkan aku terdiam.

-Bersambung-

One thought on “DIA MILIK AKU

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s