DIA MILIK AKU

BAB 4

Balik dari majlis di rumah Sabrina, hampir dua minggu aku tak berhubung dengan dia. Masuk minggu ke tiga suami aku tanya Sabrina macammana. Baru aku teringat kat dia. Aku call dia.

“Rina, kau ok ke? Rumah kau macammana? Masih ada yang mengganggu?” tanyaku.

“Alhamdulillah, ok dah. Mak aku pun ada kat rumah ni sejak seminggu lepas, teman aku,” sahut Sabrina. Suaranya macam gembira je. Aku pun tumpang gembira bila dia dah ok.

“Mak kau tak balik rumah dia ke? Nak pulak dia duduk kat rumah kau lama-lama? Ayah kau tak kata apa-apa ke?” tanyaku lagi.

“Aku alahan teruk. Tu yang mak aku teman ni. Sebab aku tinggal dengan Iqbal je. Amran selalu outstation,” kata Sabrina membuatkan aku mengerutkan dahi.

“Alahan teruk? Kau mengandung ke Rina?” tanya aku balik.

“Iye. Minggu lepas baru tahu.” Sahut Sabrina.

“Wah! Tahniah Rina! Aku tumpang gembira.” Sahutku girang.

“Terima kasih. Tu la Amran kata, patutlah aku merepek barang letak tempat lain la, ada orang usik barang aku la, ada orang dalam rumah ni la. Rupa-rupanya aku mengandung. Tu yang melalut je agaknya,” kata Sabrina. Aku ketawa.

“Kau jaga diri baik-baik Rina. Nanti bila mak kau dah balik, kau tinggal berdua dengan Iqbal lagi. Kalau nak aku bantu apa-apa, bagitahu la aku tau,” kataku mengakhiri perbualan dan memutuskan talian.

“Dia ok ke?” tanya suami aku sebaik aku letakkan telefon.

“Dia ok, dapat berita gembira lagi. Dia mengandung. Tu tengah alahan, mak dia ada teman seminggu ni,” aku beritahu. Suami aku senyum je.

Lebih kurang sebulan lepas tu, aku tergerak hati nak pergi ke rumah Sabrina. Sejak kenduri di rumah dia, aku tak jumpa dia pun. Telefon pun makin jarang. Aku dengan kesibukan aku, aku pun taknak ganggu dia sebab dia tak sihat. Tapi kali ni aku betul-betul rindukan dia. Aku pergi dengan Arif je, suami aku tak ikut.

Sampai di rumah Sabrina, aku dapat rasakan sesuatu yang pelik. Sampai di pintu pagarnya, aku tekan loceng. Sekali dua kali dan beberapa kali lagi. Aku bagi salam dengan kuat. Tiada sahutan.

Tiba-tiba aku nampak seseorang duduk di buaian besi dekat sebelah kolam di halaman rumah Sabrina. Aku cuba lihat siapa tu. Tak nampak seperti sosok tubuh Sabrina pun. Sabrina agak gempal tapi orang tu nampak kurus sikit. Dan aku nampak basikal anak Sabrina yang berada di tepi kolam juga bergerak sendiri seolah-oleh sedang dikayuh budak. Aku melangkah di luar pagar batu rumah tersebut hingga hampir di kolam itu. Masa aku jenguk ikut celahan corak dia pagar batu, aku nampak jelas ada seorang perempuan dan seorang budak lelaki lebih kurang sebaya Iqbal sedang bermain-main di tepi kolam. Seketika kemudian aku nampak perempuan tu bangun dan melangkah masuk ke rumah. Aku rasa itu Sabrina dan Iqbal. Mungkin dia dah kurus sikit sebab alahan mengandung kot. Tapi takkan dia tak dengar aku tekan loceng dan bagi salam tadi.

Aku berjalan kembali ke pintu pagar rumah tu. Aku tekan loceng lagi. Tak nampak apa-apa yang bergerak pun. Aku ambil telefon lalu menelefon Sabrina. Telefon tak berangkat. Tiba-tiba aku rasa macam tak sedap hati. Dengan rasa berat hati, aku dail nombor telefon Amran. Dua kali deringan, Amran jawab panggilan aku.

“Amran, Rina kat mana?” aku tanya.

“Rina kat rumah mak aku. Dia alahan teruk sangat. Aku tak sampai hati nak tinggalkan dia kat rumah sendirian. Aku kat Johor ni, ada projek baru. Minggu depan baru balik,” sahut Amran.

“Maknanya kat rumah kau ni takde orang la ye?” tanya aku lagi.

“Haah, takde orang. Kalau kau nak jumpa Rina, pergilah rumah mak aku,” sahut Amran.

Aku letak telefon. Aku termenung seketika. Kalau kat rumah ni takde orang, siapa yang aku nampak dua beranak tadi? Aku tak puas hati. Aku pegang tangan Arif yang sedang khusyuk bermain dengan patung ultraman. Aku berjalan keliling rumahnya. Dan aku nampak kelibat seseorang di bahagian dapur. Dari celahan tingkap yang tak begitu rapat, aku nampak seorang perempuan. Aku masih ingat itu ialah Sabrina. Mana tahu dia balik kat rumah dia sebab dah rasa sihat kot.

Aku bagi salam. Orang tu angkat mukanya dan memandang tepat ke arah aku. Aku tergamam sekejap. Itu adalah perempuan yang aku jumpa masa kenduri Sabrina dulu. Aku memandangnya tak berkelip. Dia berpusing ke arah lain dan bergerak meninggalkan bahagian dapur.

Tak semena-mena Arif meronta-ronta dan menangis macam digigit binatang berbisa. Aku angkat Arif dan memerhatikan bahagian badannya yang mungkin digigit semut sampai dia menangis macam tu. Tapi Arif masih menangis sampai tenggelam suaranya. Aku angkat Arif dan berlari ke kereta. Bagi Arif minum air masak, peluk dia dan tepuk dia sampai dia diam.

Aku hidupkan enjin kereta, dan pasang penghawa dingin. Arif terlena, mungkin dia panas kot. Aku pun salah sebab bawa dia sampai ke kaki gunung sana. Bahagian dapur rumah Sabrina memang terletak di tepi gunung.

Tapi aku memang tertanya-tanya siapa perempuan tu. Aku ingat lepas kenduri haritu, takde dah benda pelik kat rumah Sabrina. Dia pun takde bagitahu aku apa-apa. Aku tengok jam tangan pukul 11 pagi. Sempat lagi ni kalau aku nak pergi rumah mak Amran. Aku hantar message kepada suami aku, beritahu aku nak pergi rumah Mak Amran.

Perjalanan ambil masa hampir sejam untuk sampai di rumah mak Amran. Sampai saja di rumah mak Amran, aku disambut mesra oleh mak Amran.

“Masuklah, Rina ada di bilik. Tak begitu sihat. Teruk pulak alahannya kali ni,” kata mak Amran sambil bermain-main dengan Iqbal.

“Pergilah tengok dia. Tinggalkan aje Arif tu di sini. Biar dia bermain dengan Iqbal ni. Nanti makcik tengokkan mereka.” Kata mak Amran dan Arif pun memang suka sangatlah dapat jumpa kawan. Susah lah nak ajak balik tu nanti.

Aku melangkah masuk ke rumah itu. Aku nampak Mak Siti, orang gaji rumah tu sedang memasak di dapur. Aku tegur Mak Siti. Mak Siti senyum bila nampak aku. “Nak jumpa Rina ke?” tanyanya. “Iye Mak Siti, dia ada dibiliknya kan?” sahutku. “Haah, ada kat bilik dia. Makan tak lalu, asyik muntah je,” adu Mak Siti lagi. Aku senyum je.

Lalu aku menaiki tangga terus ke bilik Sabrina. Aku memang biasa sangat dengan keluarga Sabrina dan Amran. Mereka pun dah kenal aku sangat. Jadi aku tak kekok sangat dengan mereka.

Aku tolak pintu bilik Sabrina yang terbuka sedikit. Aku nampak Sabrina terbaring di atas katil. Dia menoleh sebaik sahaja terdengar bunyi pintu bilik ditolak orang.

“Dayah! Aku memang sedang teringat kat kau,”  katanya sebaik sahaja nampak aku. Dia nampak kurus sedikit dan wajahnya pucat.

Aku menghampirinya. Sabrina peluk aku kuat sambil menangis.

“Takkanlah rindukan aku sampai macam ni sekali?” usikku sambil mencuit dagunya. Wajahnya nampak cengkung sikit.

“Teruk alahan kau kali ni ye? Tak pergi hospital ke?” tanyaku sambil meleraikan pelukannya.

“Aku taknak pergi hospital. Takpelah, 3 bulan ni je. Nanti oklah,” sahut Sabrina.

Aku duduk di birai katil, memandang wajah Sabrina yang nampak sugul.

“Rina, kau ada masalah lain ke?” tanyaku inginkan kepastian. Sebab aku lihat diwajahnya bukan sekadar rupa menahan alahan mabuk mengandung tapi nampak seperti wajah kerisauan.

“Dayah, memang ada orang lain kat rumah aku,” kata Sabrina tiba-tiba. Dan terus terlintas kat kepala aku pasal perempuan yang aku nampak kat rumah Sabrina tadi.

“Kenapa kau cakap macam tu?” tanya aku lagi. Aku rasa tak perlulah aku beritahu apa yang aku nampak di rumahnya tadi. Dia pun tak tahu aku pergi ke rumahnya tadi. Dia ingat aku terus ke situ sebab aku beritahu dia aku telefon Amran tanya dia di mana.

“Dua minggu lepas kenduri tu, sampai hari kau telefon tu, memang takde apa. Tapi lepas tu aku dapat tahu aku mengandung. Bermula dari situ, aku dapat rasakan kehadiran orang lain dalam rumah tu. Bila aku beritahu Amran, dia kata aku banyak fikir sejak mengandung.” Kata Sabrina.

“Kau nampak orang ke? Atau kau rasa je macam ada orang?” tanya aku lagi.

“Aku rasa ada orang, dan aku nampak kelibat perempuan dan anak kecil dalam umur Iqbal atau Arif,” kata Sabrina. Aku diam membiarkan Sabrina meneruskan ceritanya. Tapi hati aku agak tak keruan bila dia sebut pasal perempuan dan anak kecil tu.

“Sebenarnya dari mula-mula pindah ke rumah tu aku dah rasa seperti diperhatikan. Tapi aku cuba buang perasaan tu. Tambahan pula Amran tu bukannya jenis percaya kat benda-benda macam ni. Kalau cakap kat dia nanti, ada je alasan dia untuk membuktikan itu cuma perasaan aku je,” kata Sabrina.

“Apa yang kau nampak?” aku tanya lagi.

“Dulu aku cuma rasa macam ada orang alihkan barang aku, mainan Iqbal. Tapi sejak aku mengandung ni, aku nampak budak kecil bermain dengan mainan Iqbal. Satu malam tu, aku dan Amran dah tidur kat tingkat atas tapi aku dengar bunyi dari tingkat bawah. Aku kejutkan Amran tapi dia tidur. Kebetulan masa tu dia memang penat, baru balik dari Johor. Aku pun bangun dan keluar dari bilik. Dari balkoni tingkat atas, aku dengar bunyi pinggan mangkuk dan paip air dipasang kat dapur. Aku pun nampak budak kecil tu sedang bermain dengan teddy bear Iqbal. Aku macam nak menjerit tapi suara tak keluar. Ya Allah, meremang bulu roma aku masa tu. Keadaan memang gelap tapi aku nampak kelibat budak tu.” Sabrina berhenti bercerita bila dia tiba-tiba rasa nak muntah. Dia berlari ke bilik air dan muntah.

Aku pula yang terkebil-kebil di birai katilnya, berkerut dahi memikirkan apa yang Sabrina beritahu. Meremang bulu roma aku bila membayangkan apa yang diceritakan oleh Sabrina tadi. Aku teringatkan basikal Iqbal yang bergerak sendiri di rumahnya tadi.

-Bersambung-

2 thoughts on “DIA MILIK AKU

Leave a Reply to mastura astnain Cancel reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s