DIA MILIK AKU

Bab 2

Lama juga aku tak berhubungan dengan Sabrina. Aku ni bekerja, pagi dah sibuk uruskan hal Arif sampailah hantar dia ke rumah Makcik Rubiah. Dengan ragam dia lagi, setiap pagi merengek nak ikut aku pergi. Mujurlah Makcik Rubiah tu sabar dengan kerenah Arif. Makcik Rubiah menjaga Arif sejak aku lepas pantang lagi. Dia ada anak dua orang tapi kedua-duanya pun belum berkahwin. Makcik Rubiah kata dia rindu nak main dengan cucu tapi nak buat macammana. Belum rezki dia lagi. Sebab tu dia sayang sangat dengan Arif. Arif ni pulak, pagi-pagi je dia buat ragam. Petang nanti nak ambil dia, dia taknak balik pulak. Balik rumah aku sibuk dengan hal rumah pulak. Nak memasak, membasuh. Memanglah anak baru seorang. Aku memang pesan kat Makcik Rubiah supaya dia tak basuh pakaian Arif. Makanan Arif pun aku dah sediakan. Aku taknak meyusahkan dia. Dia nak tolong jaga Arif macam cucunya sendiri pun dah seribu rahmat buat aku. Risau juga nak hantar anak ke penjaga sebarangan sekarang ni, macam-macam hal dah terjadi.

Kesibukan aku membuatkan aku lupa seketika kepada Sabrina hinggalah dia menelefon aku pada satu petang tu. Masa tu adalah setelah sebulan sejak dari hari aku melawat rumah baru dia. Dia kata nak jumpa aku. Ada hal nak sembang katanya. Aku pun memang tak pernah menolak kalau Sabrina ajak berjumpa. Maka, kami berjanji untuk berjumpa hujung minggu nanti. Maka senang aku buat appointment dengan suami aku, supaya dia tak kemana-mana, boleh jaga Arif kat rumah.

Tiba hari yang dijanjikan, aku berjumpa dengan Sabrina di sebuah restoran makanan segera. Sabrina dah menunggu ketika aku sampai. Wajahnya sugul. Aku memerhati dia dari jauh. Ada riak kerisauan di wajahnya. Aku pun pelik. Sabrina yang aku kenal bukanlah begitu riak wajahnya. Walaubagaimana besar kesusahan yang dia sedang lalui, tak pernah lagi dia buat wajah begitu.

Aku duduk di hadapannya setelah memberi salam. Sabrina tersenyum bila nampak aku.

“Jauh kau mengelamun, dah sampai mana?” tanyaku mengusik. Sabrina tersenyum, seperti selalu.

“Nah, ni aku dah order minuman kegemaran kau. Coffee hazelnut. Cup besar aku belikan. Banyak kita nak sembang, lama kita tak jumpa kan,” katanyanya sambil menolak perlahan secawan besar kopi ke hadapan aku.

“Terima kasih. Kau tak pernah lupa kegemaran aku,” sahutku sambil menyedut kopi dari straw.

“Aku takkan lupa,” sahut Sabrina perlahan sambil turut menyedut kopinya.

“Kau apa khabar?” tanyaku sambil memandang tepat wajah Sabrina.

“Aku ok je. Kau pulak? Kerja semua ok?” tanyanya balik.

“Aku macam ni la. Siang malam kerja, tak habis-habis.” Sahutku.

Sabrina diam.

“Aku tengok muka kau lain macam je. Kau ada masalah ke?” tanyaku.

“Tujuan pertama aku nak jumpa kau, sebab aku dah lama tak jumpa kau. Tujuan kedua aku nak jumpa kau ialah aku rasa aku ada masalah,” sahut Sabrina.

Aku berhenti menyedut kopi.

“Masalah apa?” tanyaku terus.

“Aku pun tak tahu nak cakap masalah apa. Aku rasa ada yang tak kena dengan rumah baru aku tu. Tapi bila aku cakap dengan Amran, katanya dia takde pulak rasa macam apa yang aku rasa. Katanya aku yang berangan,” Sabrina memulakan ceritanya.

“Kenapa dengan rumah baru kau tu?” tanyaku ingin tahu.

“Masa mula-mula tu aku tak layankan sangat. Aku pun fikir mungkin sebab badan aku letih, kurang tidur sebab Iqbal banyak ragam. Tapi bila dah selalu jadi, aku pun perasan ada sesuatu dalam rumah tu.. Contohnya aku letak buku tempat lain, tapi lepas tu bila aku nak ambil buku tu, buku tu dah di tempat lain. Kalau aku memasak, aku letak pisau kat tempat lain, tak sampai pun seminit bila aku nak ambil balik pisau tu, dia dah berada di tempat lain. Paling aku perasan ada satu hari tu, aku tidurkan Iqbal di ruang tamu tingkat bawah. Masa tu aku nak memasak kat dapur. Aku taknak tidurkan dia kat bilik sebab takut nanti dia menangis aku tak dengar. Tapi bila aku pergi semula ke ruang tamu, Iqbal tiada di situ. Terjerit terlolong gak aku sekejap cari anak aku. Rasa nak sasau dah masa tu sebab Amran takde di rumah. Aku sorang je. Mungkin sebab aku jerit kuat sangat, Iqbal terjaga dari tidur dan terus menangis. Tapi masa tu dia berada dalam bilik utama kami di tingkat atas. Aku yakin sangat bahawa aku tidurkan di di ruang tamu tingkat bawah.” Cerita Sabrina panjang lebar. Aku terlopong mendengar ceritanya.

“Kau yakin kau tak lupa? Atau dejavu mungkin?” tanya aku ingin kepastian.

“Amran pun cakap aku yang lupa. Dan katanya aku dejavu. Tapi aku yakin apa yang aku buat. Letak barang tu mungkin la aku lupa. Tapi bila bab letak anak, aku takkan lupa. Bukan sekali dua terjadi. Boleh kata setiap hari. Ada sekali tu aku sengaja nak test. Aku letak patung teddy bear anak aku kat sofa kat ruang tamu. Aku letak remote kat bawah teddy bear tu untuk pastikan pagi esok keadaan masih sama. Tapi bila aku bangun pagi esoknya, teddy bear tu dah di tempat lain sedangkan remote tv masih di tempat yang aku letak semalam,” kata Sabrina sambil mengerutkan dahinya.

“Aku bukan taknak percayakan kau. Aku cuma nak pastikan bahawa kau tak berangan.” Kataku mengusik Sabrina. Tapi wajah Sabrina serius.

“Kalau kau pun tak percayakan aku, aku memang dah takde tempat lain nak mengadu. Amran memang terang-terangan kata aku mengelamun la, aku pelupa la. Geram pulak aku rasa,” keluh Sabrina.

“Janganlah merajuk. Tentulah aku percayakan kau. Kau ada ceritakan perkara ni kepada mak mertua kau tak? Atau kepada mak kau ke?” tanya aku lagi.

“Aku cerita kat mak aku. Mak aku kata perasaan aku je. Kat mak mertua aku tak beritahu pun. Sebab Amran dah kata jangan cerita perkara macam tu kat mak dia. Mereka kan orang bandar. Takkanlah nak percaya cerita karut marut aku ni walaupun aku tahu aku benar,” kata Sabrina.

Aku diam. Aku rasa macam aku nak buka semula cerita yang aku dan suami aku nampak perempuan lain kat rumah mereka masa kami melawat mereka haritu. Tapi aku teringat pesan suami aku supaya tak ceritakan hal itu kepada Sabrina atau Amran. Aku faham maksud suami aku, dia taknak mengeruhkan keadaan. Mungkin memang ada syaitan yang nakkan kami menyebarkan fitnah. Jadi aku batalkan niat aku.

“Haa, ada satu hari tu lagi best. Aku pening kepala, aku tertidur dengan Iqbal di bilik kami. Aku tersedar bila dengar Amran masuk ke bilik. Rupanya dia dah balik kerja. Dia tanya aku ok tak. Aku bagitahu dia bahawa aku pening. Lepas tu dia kata, kalau dah pening tak payahlah masak. Kenapa masak juga? Aku pun terkejut sebab aku memang tak memasak hari tu. Aku katalah bahawa aku belum masak. Lepas tu sambil tergelak-gelak Amran kata teruk dah penyakit aku sampai memasak pun aku lupa. Aku terus bangun dari katil dan melangkah turun ke dapur. Betullah apa yang Amran cakap, ada semangkuk bihun goreng di atas meja. Aku yakin sangat aku tak memasak hari tu,” cerita Sabrina bersungguh-sungguh.

Aku masih diam. Selama yang aku kenal Sabrina, dia bukan jenis pelupa. Atau dia juga bukan jenis penipu. Takkanlah sekarang dia ada penyakit mental pula. Tapi bila teringatkan perempuan asing yang aku nampak di rumahnya, membuatkan hati aku percaya dengan cerita Sabrina. Tapi apa yang aku boleh tolong?

“Kalau orang-orang tua dulu-dulu, tiap kali masuk rumah baru, mereka akan buat kenduri kecil. Panggil orang masjid bacakan doa selamat dan buat bacaan yassin. Kau belum buat kan? APa kata kau buat. Memanglah perkara ni tak wajib, tapi apa salahnya dengan niat sedekah, kan?” usulku memberi pendapat.

“Amran tu sentiasa sibuk. Bila masa pula aku nak buat kenduri. Kau pun tahu aku ni tak berdikari sangat macam kau. Dari dulu sampai sekarang, semua orang sediakan untuk aku,” sahut Sabrina.

“Itu perkara kecil. Apa kau perlu buat ialah cuma minta izin dari Amran je. Selebihnya aku tolong kau uruskan. Dan kau boleh panggil mak abah kau sekali. Mereka lebih arif,” kataku memberi pendapat dua puluh sen aku.

“Boleh juga. Nanti aku cakap dengan Amran dulu ye. Apa-apa hal nanti aku bagitahu kau balik. Terima kasih tau. Kau selalu ada di samping aku ketika susah dan senang. Walau suami sendiri tak percaya aku, kau tetap percaya aku. Lega sikit hati aku,” kata Sabrina sambil menyedut kopinya yang tertinggal lama tadi. Wajahnya nampak ceria sikit dari ketika aku mula-mula sampai tadi. Mungkin dia dah nampak ada jalan penyelesaian kepada masalahnya.

-Bersambung-

One thought on “DIA MILIK AKU

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s