DIA MILIK AKU

Bab 1

Ini bukan kisah aku, ini kisah Sabrina kawan aku.

Aku ada seorang kawan ni. Dia ni memang kawan baik aku. Aku berkawan dengan dia sejak tadika lagi. Dia memang baik. Jaranglah dia cari gaduh dengan sesiapa. Lembut je orangnya, senyum tak kira dengan siapa, walau apa keadaannya. Nama dia Sabrina.

Kami berkawan hinggalah masing-masing berkahwin. Lepas masing-masing dah berkahwin, barulah hubungan kami renggang sikit. Tapi kami masih berhubungan. Ada juga sesekali kami keluar makan dan minum bersama. Nasib baik juga suami dia dan suami aku bukan jenis mengongkong.

Suami Sabrina bernama Amran, dia bekerja sebagai arkitek di pejabat pembangunan ayahnya. Jadi kehidupan mereka agak mewah. Suaminya pun tak kedekut. Senang kata, hidup Sabrina amat bahagia.

Selepas berkahwin mereka tinggal di rumah ibu dan ayah Amran. Sehinggalah mereka mempunyai seorang anak lelaki. Di masa ini ayah Amran menghadiahkan sebidang tanah lot banglo kepada mereka untuk dibina rumah mengikut kehendak mereka sendiri. Aku dapat lihat kegembiraan jelas terpancar di wajah Sabrina ketika menceritakan bagaimana dia dan Amran melukis pelan untuk banglo dua tingkat mereka. Aku sebagai kawan yang pernah melalui saat suka duka bersamanya di sepanjang masa kami membesar, turut merasa bersyukur dan tumpang bahagia dengan kehidupannya.

Selepas enam bulan, banglo dia tingkat mereka siap. Segalanya baru. Rumah baru, perkakasan baru, segalanya. Sabrina ajak aku datang tengok rumah baru dia. Aku pun pergilah dengan suami aku. Memang besar rumah mereka. Anak aku pun sibuk main tangga sampai tergolek ke lantai. Menangis, lepas tu naik balik tangga. Maklumlah rumah aku takde tangga.

Sedang kami bersembang-sembang tu, aku nampak sesusuk tubuh seorang perempuan di dapur, membelakangkan aku, mengadap sinki tapi tidak kedengaran pula bunyi air paip dipasang.

“Rina, kau dah ambil orang gaji ke?” tanyaku.

“Orang gaji? Takde lagi terfikir nak ambil orang gaji kot. Amran nak ambil orang gaji tapi aku taknak. Aku ni dah la tak kerja, kalau semua orang gaji buat, aku bosan pulak nanti. Takkanlah hari-hari aku nak kacau kau. Kau tu kerja, nanti kat stress pula nak layan aku je,” jawab Sabrina sambil tersenyum dengan lenggok manjanya yang tak berubah sejak dulu.

“Habis tu kat dapur tu siapa?” tanyaku lagi.

Sabrina menjenguk ke bahagian dapur basahnya. “Mana ada sesiapa. Dah seminggu aku duduk kat rumah ni, takde pulak orang lain dalam rumah ni selain dari aku, Amran dan anak aku. Kadang-kadang mak aku, mak Amran datang. Tapi mereka datang kejap-kejap je,” kata Sabrina.

Aku diam. Mungkin aku salah tengok kot, desis hati kecil aku.

Setelah hampir dua jam di rumah Sabrina, suami aku ajak balik. Hari pun dah lewat petang. Rumah aku dengan Sabrina taklah jauh sangat. Ambil masa 45 minit perjalanan je untuk aku sampai rumah aku kalau dari rumah Sabrina.

Setelah bersalaman dan minta diri untuk pulang, aku ajak anak aku, Arif, balik. Dia masih sibuk dengan tangga rumah tu. Bermain dengan anak Sabrina yang bernama Iqbal, muda setahun dari anak aku. Susah juga nak ajak dia balik, tapi memandangkan hari dah lewat, suami aku dukung je dia walaupun dia menangis-nangis taknak balik dan masih nak main tangga.

Masa aku dah masuk kereta, aku buka tingkap untuk melambai kepada Sabrina dan Amran. Dan masa itu, aku nampak susuk tubuh perempuan tadi sedang berdiri di dinding cermin di salah satu bilik tingkat atas banglo sedang memandang ke arah kami. Tapi aku tak nampak wajahnya dengan jelas kerana jarak yang agak jauh. Maklumlah, halaman rumah tu pun dah macam boleh buat sebiji banglo lagi. Lagipun masa aku nampak perempuan tu, kereta sedang bergerak. Jadi aku tak dapat fokus betul-betul.

Dalam perjalanan balik, aku diam memikirkan pasal perempuan yang aku nampak tadi. Aku yakin aku nampak perempuan tu di dapur dan di bilik. Tapi menurut Sabrina, tiada orang lain dalam rumah tu selain dari dia, suaminya dan anaknya.

“Tadi awak nampak perempuan tu?” tiba-tiba suami aku bertanya. Terkejut juga aku dari lamunan. Melompat jugak sikit sampai suami aku menjeling. “Berangan je, lepas tu terkejut bila orang tegur,” katanya.

“Abang tanya apa tadi?” tanya aku balik.

“Awak nampak perempuan kat rumah Rina tadi?” suami aku ulang soalannya.

“Perempuan mana?” tanyaku ingin kepastian.

“Tadi kan awak tanya Rina samada dia ada orang gaji ke? Tapi dia kata takde kan?” tanya suami aku lagi.

“Haah, saya nampak. Tapi mungkin perasaan saya saja agaknya,” kataku cuba untuk tidak memanjangkan cerita itu.

“Abang pun nampak,” kata suami aku lagi membuatkan aku terkejut dan menjegilkan mata aku kat dia.

“Abang nampak perempuan tu?” tanya aku. Dan suami aku mengangguk dengan yakin.

“Abang nampak kat mana?” tanya aku lagi.

“Mula-mula abang nampak kat bilik tidur utama mereka, masa mereka bawa kita mula-mula tu kan. Lepas tu bila kita minum kat dapur, abang nampak perempuan tu di tepi pagar rumah mereka. Abang cuba pandang tapi tak nampak wajahnya. Dua kali abang nampak, dua-dua pun dia membelakangkan kita,” sahut suami aku tenang sambil memandu.

“Maknanya tak salah la mata saya,” sahutku puas hati bila ada seseorang yang nampak benda yang aku nampak di masa orang lain kata benda tu takde.

“Siapa tu agaknya ye? Nampak macam baya-baya saya dengan Rina je,” kataku sendirian.

“Awak jangan tanya Rina atau suaminya. Sebab kita tak tahu mungkin ada sesuatu yang cuba dirahsiakan. Buat tak tahu je.” Pesan suami aku. Dia memang tak larang aku bergaul selagi tahu batasan tapi dia memang pantang kalau aku bercakap tentang keburukan orang lain apatah lagi nak menyibuk hal orang walaupun dia tahu aku dan Sabrina memang dah kawan sejak berumur 5 tahun. Walaupun dia tahu memang tiada rahsia antara kami.

“Baiklah. Tapi kalau saya nampak, dan abang pun nampak, bermakna memang wujudlah perempuan tu kat dalam rumah mereka kan?” tanyaku lagi.

Suami aku tak jawab dah. Dan kami pun sampai di rumah. Arif pula dah terlena di kerusinya di tempat duduk belakang. Penat sangat bermain dan menangis ketika diajak balik tadi agaknya.

Aku angkat Arif masuk ke dalam rumah, mandikan dan siapkan dia. Lepas tu aku ke dapur untuk sediakan makan malam kami. Tapi dalam kepala aku tetap memikirkan siapa perempuan di rumah Sabrina tadi. Takkan nak tanya Sabrina, sebab dia dah kata takde orang lain dalam rumah tu. Selama aku berkawan dengan Sabrina, tak pernah lagi dia menyembunyikan apa-apa dari aku. Hati aku memang tak senang selagi aku tak tahu siapa perempuan tu.

-Bersambung-

One thought on “DIA MILIK AKU

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s