GROUP WHATSAPP SE

Bab 6 (Akhir)

Kami memandang wajah ayah Azura, menanti kata-kata yang akan keluar dari mulutnya. Dari riak wajah ayahnya, begitu berat masalahnya.

“Kamu bukan yang pertama dapat gangguan macam ni. Sebelum ni beberapa orang pun ada datang menemui pakcik mengadu perkara yang sama.” Kata-kata ayah Azura membuatkan kami berpandangan sesama sendiri.

“Maksud pakcik? Maaf, kami tak begitu faham. Azura kan dah takde?” tanya Damia.

Ayah Azura memandang keluar rumah.

“Sebenarnya ada masa pakcik sendiri tak tahu apa yang terjadi sebenarnya. Segalanya seperti tak masuk akal. Pakcik nak terangkan pada kamu pun tak tahu macammana. Kamu takkan faham,” kata ayah Azura lagi.

Kami diam. Tapi masih memandang ayah Azura, memohon agar bicaranya disambung lagi.

Lepas Azura meninggal dunia, kami temui diarinya. Dia menulis segala tentang hidupnya. Bagaimana dia tidak pernah merasai disayangi. Bagaimana dia terlalu ingin disayangi seperti orang lain. Dia menceritakan hasratnya ingin mendapat pekerjaan dan menjaga keluarga. Dia meluahkan perasaan cemburu bila melihat kawan-kawannya gembira. Dia menceritakan segalanya perasaan hatinya.

Hinggalah pada hari kematiannya, dia masih menceritakan bahawa kelahirannya di dunia adalah satu kesilapan. Syurga di bawah tapak kaki ibu, tapi ibu tak pernah gembira dengan kehadirannya. Maka katanya lebih baik dia mati, dia tetap akan ke neraka.

Ayat itu membuatkan maknya rebah. Menangis meraung macam orang gila masa tu. Menyesal kemudian tak berguna, segalanya dah terjadi, tak mungkin boleh berpatah balik. Dan sejak itu, mak Azura kemurungan. Dia sering duduk terperap dalam bilik. Kami takde anak lain. Pakcik dah bawa dia jumpa doktor psikitari. Doktor nasihatkan supaya bagi dia sesuatu yang boleh buat dia lupa pada kejadian yang menimpa Azura dan adiknya. Pakcik cuba bawa dia berjumpa kawan-kawan dia, berbual hingga dia lupa. Tapi takkanlah sepanjang masa dia nak berbual dengan kawan-kawannya kan. Bila balik rumah, dia akan kembali teringat kepada anak-anaknya. Satu hari pakcik belikan dia tablet, untuk buatkan dia lupa dengan segala kisah lamanya. Mula-mula semua ok, dia pun nampak makin lupakan kisah hitam tu.

Tapi lain pulak yang jadi. Katanya Azura hantar whatsapp kat dia. Azura berbual dengan dia. Tapi bila pakcik tengok whatsapp dia, takde apa pula. Kadang-kadang dia keluar rumah. Bila pakcik tanya, katanya nak belikan barang untuk Azura. Pakcik bawa dia jumpa doktor lagi, doktor kata dia kena rawatan susulan. Nasihat doktor supaya kami berpindah rumah, supaya suasana yang lain tu nanti akan buatkan dia lupa tentang kisah yang pernah terjadi di rumah ni. Yang itu pakcik tak sanggup. Pakcik sendiri sayangkan rumah ni. Banyak kenangan kami di sini.

Sehingga hari ini, dia masih berbual dengan Azura katanya. Tapi dia sihat, tak sakit. Dan nampak seperti normal. Jadi pakcik biarkanlah.

“Maksud pakcik, Makcik masih berhubungan dengan Azura?” tanya Amira.

“Azura dah mati, takkanlah boleh berhubung dengan maknya lagi. Pakcik yakin itu cuma imaginasinya kerana terlalu ingatkan Azura. Dia mungkin menyesal dengan apa yang telah dia lakukan kepada Azura.” Kata Ayah Azura.

“Tapi ada satu hari tu saya jumpa makcik kat pasar malam, makcik yg bagitahu saya bahawa Azura dah meninggal masa usia 18 tahun,” kata Zaiyanah.

“Mak Azura tahu dan sedar bahawa Azura dah meninggal. Cuma dia kata Azura datang menemuinya dan atas rasa bersalah yang tak sudah, mak Azura ni melayan tanpa fikir itu realiti atau sekadar fantasi. Maka terjadilah hubungan tu walaupun kita tak nampak dengan mata kasar,” sahut ayah Azura.

“Dan pakcik biarkan saja?” tanya aku pula, rasa tak puas hati.

“Pakcik dah ikhtiar macam-macam. Sampai ustaz pun pakcik dah panggil. Mereka kata ini makcik ada masalah mental. Kalau ikut doktor, mereka minta agar makcik dihantar ke wad psikitari. Kami ni tinggal berdua je. Takde saudara mara, anak pun dah meninggal. Biarlah pakcik je jaga makcik. Lagipun dia tak sakit, dia boleh uruskan diri sendiri. Dia tak kacau sesiapa,” sahut ayah Azura.

“Tapi bagaimana pula Azura boleh whatsapp kami, masuk group kami semua,” tanya Fatin pula.

“Itu pakcik tak tahu. Mungkin syaitan yang cuba menyesatkan.” Sahut ayah Azura ringkas.

“Takkanlah syaitan pandai main media sosial,” rungut Fatin.

Ayah Azura diam. Mungkin dia tiada jawapan untuk soalan tu. Seketika kemudian, mak Azura keluar dari bilik. Dia seperti terkejut melihat kami di sana.

“Ada tetamu rupanya. Kamu semua ni kawan Azura kan?” Tanyanya. Kami angguk dan masing-masing bangun menyalami mak Azura.

“Zaiyanah, Aqilah, Damia, Fatin dan Amira kan?” kata mak Azura tepat sekali menyebut nama kami semua. Kami kagum mak Azura masih mengenali kami.

“Kuat ingatan makcik sebab boleh kenal kami semua lagi,” kata Amira.

“Azura yang bagitahu,” sahut mak Azura selamba.

“Azura?” tanya Zaiyanah.

“Iye, dia ada duduk kat sebelah Aqilah tu.” Mak Azura menjawab selamba sambil duduk di sebelah ayah Azura. Aku pula yang bangun berubah tempat sambil memandang keliling. Meremang bulu roma aku bila dia kata Azura ada kat sebelah aku.

“Azura kata dia rindukan kamu semua. Dia ingin nak bermain dengan kamu semua seperti dulu-dulu. Tadi dia suruh makcik belikan kentang goreng KfC untuk kamu. Tapi dia kata jangan sampai kamu tahu. Sebab dia nak buat surprise,” kata mak Azura sambil tersenyum.

“Sudahlah tu Mah. Jangan takutkan budak-budak ni lagi. Azura dah takde. Berapa kali abang dah cakap,” kata ayah Azura seperti tak selesa dengan apa yang dibicarakan oleh isterinya.

“Azura ada lagi. Dia tidur dengan saya setiap malam,” kata mak Azura bertegas. Dan ayah Azura diam sambil gelengkan kepala.

Aku cuit tangan Zaiyanah, bagi isyarat ajak balik. Jam pun dah nak pukul 6 petang.

“Kami minta diri dulu pakcik, makcik. Dah lewat ni, nanti mak kami risau pula,” kata Zaiyanah sambil bangun dari duduknya dan diikuti oleh kami yang lain.

“Azura kata, lain kali datanglah lagi. Dia rindu nak main dengan kamu semua. Dan katanya lain kali kalau nak berjumpa ramai-ramai, ajaklah dia sekali.” Kata mak Azura. Kami diam sambil pandang ayah Azura yang diam tenang.

“Dia pesan, jangan lupakan dia,” kata mak Azura lagi.

“Baiklah makcik.” Sahut Damia membuatkan kami semua memandangnya.

“Azura kata dia nak ikut kamu semua. Tapi makcik kata lain kalilah. Sebab sekarang dah lewat. Azura kata, nanti dia cari kamu semua bila dia rindu. Dia harap kamu sudi berkawan dengan dia,” kata mak Azura lagi tapi kami tak jawab dah. Kami cuma nak keluar segera dari rumah tu.

Kami semua terus balik ke rumah masing-masing. Tiada kata-kata yang mampu kami bicarakan. Lama juga kami tak berhubung. Azura masih di group ‘Teman Selamanya’. Kami tak pernah berbual di dalam group itu dan di group lain juga. Tapi Azura masih berbual dengan kami di sana. Berterima kasih kerana sudi melawatnya. Dan akhirnya bila kami tak tahan lagi, kami semua tukar nombor telefon.

Lepas sebulan, kami berpakat untuk berjumpa seorang ustaz di kawasan kejiranan Fatin. Ayah Fatin yang membawa kami berjumpa ustaz tu lepas kami sering bertanyakan soal Azura. Ustaz tu hanya tersenyum bila kami ajukan soalan, bagaimana hantu boleh main whatsapp.

“Hantu tak wujud. Yang ada cuma jin dan syaitan. Syaitan tu dah dicipta sebelum kamu di cipta. Dan dia akan mati lepas kita semua mati juga. Dia pernah masuk syurga sedangkan kita belum tentu. Al Quran pun dah diturunkan kepada Nabi Muhammad dan itulah kitab terakhir. Bagaimana kitab yang diturunkan pada zaman dulu, boleh menceritakan segala yang bakal terjadi di alam dunia hingga ke alam akhirat nanti? Ini adalah kerana Allah dah tahu segala kejadian dari awal hingga akhir. Bermakna segala kejadian hari ini, teknologi hari ini, peperangan hari ini, segalanya adalah apa yang Allah dah tulis dalam Al-Quran. Iblis dah bersumpah untuk sesatkan seluruh keturunan Nabi Adam. Jadi, bagaimana kita nak menolak kenyataaan bahawa syaitan boleh sesatkan kita melalui media sosial? Atau kamu ingat dia masih nak sesatkan manusia dengan cara dia sesatkan manusia di zaman Nabi? Mestilah dia akan sesatkan kita dengan cara kita sekarang.” Ringkas penerangan ustaz tu.

“Tapi kenapa dia ganggu kami? Adakah kerana rohnya tak tenang?”

“Yang mati tetap mati. Dia tetap pergi ke tempatnya walau bagaimana cara matinya. Yang tinggal hanyalah syaitan yang mahu menyesatkan kita. Bagaimana dia nak sesatkan kita? Ada masa diluar akal pemikiran kita. Syaitan itu licik. Tapi kita perlu lebih licik darinya. Azura dah mati, tapi kita percaya Azura boleh hantar whatsapp? Tidakkah kepercayaan kita dah menyimpang?” kata ustaz tu.

“Jadi, apa yang kita perlu lakukan supaya dia tak kacau kami?”

“Solat, berdoa kepada Allah. Jangan lalai, jangan cuai dalam menunaikan perintah Allah. Tinggalkan perkara lagho. Tinggalkan perkara yang boleh buatkan diri kita makin jauh dari mempercayai Allah. Doakan rohnya tenang dan diampunkan. Tak semua perkara perlukan pakar untuk selesaikan. Kita semua mampu. Dengan syarat letakkan kepercayaan 100% kepada Allah, kerana hanya Dia yang mampu merubah segalanya.” Tenang je ustaz tu menjawab soalan kami sambil senyum.

Walaupun masih banyak kemusykilan yang berlegar dalam kepala kami, tapi kami berhenti bertanya. Kerana kami faham satu perkara yang cuba disampaikan oleh ustaz tu. Jangan pernah percaya dengan muslihat iblis, tapi sentiasalah berpegang teguh bahawa segala yang terjadi, tak kira betapa mustahilnya perkara itu, ia adalah kerana Allah nak tunjukkan kekuasaan-Nya. Bahawa Dia mampu buat segalanya. Kun Faya Kun.

Kami dapat berita bahawa ayah Azura akhirnya menghantar mak Azura ke wad psikitari untuk rawatan lanjut. Mungkin penyesalannya membuatkan Azura masih bersamanya, kononnya dia dapat menebus dosanya kerana menyisihkan anak yang selama ini tak pernah jemu mendambakan kasih sayang dari keluarga dan kawan-kawan, yang dia tak dapat hingga ke akhir hayatnya. Mungkin Azura hanya mendapat kasih yang didambakan setelah dia masuk ke alam roh. Moga-moga mak Azura sembuh dari sakitnya yang tak dapat diilhat dengan mata kasar.

Kami tak masuk mana-mana group whatsapp. Kami serik dengan group whatsapp. Tak tahu sebenarnya kami takut, atau kami sedih bila mengenangkan Azura. Moga Azura tenang di sisi Penciptanya. Tak semua perkara dapat dijelaskan dengan kata-kata. Adakala ia berada di luar akal fikiran manusia. Barulah kita akan sedar, sehebat manapun kita mencari penyelesaian dalam sesuatu perkara, sesungguhnya hanya Allah lebih mengetahui segalanya.

– T A M A T –

One thought on “GROUP WHATSAPP SE

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s