WHATSAPP GROUP SE

Part 4

Tiba-tiba aku rasa kaki aku dipegang sesuatu. Aku tarik kaki aku tapi pegangan tu lagi kuat. Aku nak jerit tapi suara tak keluar. Aku nak menangis tapi tekak aku seperti dah terhalang. Dengan susah payah aku cuba bangun tapi macam ada benda besar menghimpit badan aku sampai aku tak boleh bernafas.

Aku pusingkan badan aku. Aku buka mata. Dalam gelap tu aku nampak sesuatu yang bergerak dalam bilik aku. Benda tu macam seorang perempuan dengan rambut panjang dan mencangkung depan mata aku. Aku nak jerit tapi suara aku tak keluar. Perempuan tu merangkak perlahan-lahan sampai muka dia betul-betul depan muka aku. Aku nampak matanya berkelip-kelip pandang aku dalam kegelapan. Aku tak mampu bergerak. Hanya menunggu apa yang bakal terjadi.

Perempuan tu mengangkat tangannya, mengusap pipi aku.

“Akulah Azura. Yang selalu korang sisihkan dulu. Sekarang aku datang mencari korang. Kita akan jadi teman selamanya” Bisiknya dengan suara garau. Dan entah dari mana datangnya kekuatan, aku menjerit sekuat hati panggil mak aku. Aku rasa aku jerit macam orang gila kot.

Dan satu tamparan hinggap kat pipi aku. Aku buka mata.

“Kamu ni Qila. Dengan lampu terpasang macam ni, mengigau macam kena kejar dengan hantu. Astaghfirullah. Nak jadi apa dengan kamu ni Qila? Macam budak kecil.” Terdengar suara mak marahkan aku. Ayah aku pulak berdiri kat pintu sambil gelengkan kepala.

“Mak, Qila takut. Mak tidur dengan Qila malam ni ye,” Tanpa segan silu, aku yang dah berusia 23 tahun ajak mak aku tidur dengan aku. Mak kan…. Macammana dia marah, membebel macam nak tercabut cuping telinga kita mendengarnya, dia tetap ambil bantal dia dan baring kat tepi aku. Macam tak sedar pulak, aku tidur sambil peluk mak aku. “Tutup lampu tu. Tak payah nak peluk mak la Qila. Dah tua bangka pun penakut lagi.”

Aku dengar ayah aku tergelak kecil sambil tutup lampu bilik aku. Adoiii…. Malunya! Harap-harap adik-adik aku tak dengar aku mengigau. Paling penting, moga mereka tak tahu bahawa aku tidur dengan mak aku sambil peluk mak aku sebab takut hantu.

Pukul 6 pagi aku bangun terjaga. Mak dah takde kat tepi aku. Aku tutup muka aku dengan bantal, buka mata sikit je untuk lihat sekeliling.

“Dah tu Qila. Bangun cepat. Kejutkan adik-adik tu nak pergi sekolah. Kamu tu selalu je lambat pergi tempat kerja. Kamu tu baru je 6 bulan kerja kat situ, jangan sampai orang buang kamu pulak. Sekarang ni bukan senang nak cari kerja,” Mak aku start dah. Aku bangun, kemaskan katil. Sempat pulak aku jeling kat bawah katil, mana tau kot ada benda hidup kat bawah tu. Euww….!

Aku kejutkan Aqil dan Hafiz. Aqil tingkatan 3, nak ambil PT3 tahun ni. Hafiz 9 tahun. Memang jarak antara kami tiga beradik agak jauh. Tak tahulah kenapa. Yang aku tahu, mak aku keguguran 3 kali.
Masa sarapan, baru aku teringat kat telefon aku. Aku cari whatsapp aku sebab setiap pagi bos aku akan hantar arahan melalui whatsapp. Aku kerja kat sebuah pejabat pembinaan bangunan. Tapi aku bukanlah arkitek, aku lukis plan je. Aku sempat ambil diploma je tiga thuan lepas SPM. Ayah aku suruh sambung Ijazah tapi aku taknak. Aku betul-betul dah malas nak belajar. Aku cemburu dengan kawan-kawan aku yang dah bekerja dan ada duit sendiri, dah enjoy. Tak perlu sibuk buat assignment macam aku. Tapi aku pandai. Masa mula-mula masuk kerja kat sini dulu, aku jadi penyambut tetamu je. Tolong jawab telefon, ambil pesanan, bancuhkan air bos.

Tapi ada satu hari tu, aku boring sangat. Aku ambil kertas kosong, aku lukis gambar rumah idaman aku. Saja je. Tak dapat rumah betul pun, dapat lukis pun jadi le. Mana tahu bos aku nampak lukisan aku, dia kata aku ada bakat untuk idea pembinaan struktur rumah. Lepas tu la dia selalu panggil aku, suruh aku lukis gambar ruangan dapur la, ruangan bilik la. Sebab tu la ada masa aku sibuk. Bukan sibuk buat rumah tapi sibuk lukis gambar rumah. Bos aku ni pulak cerewet orangnya. Kiraan meter persegi tak betul sikit pun, semua kena lukis balik. Ada masa memang aku bengang, rasa nak berhenti kerja je. Tapi ayah aku pesan, timbalah pengalaman dulu. Aku ni takde kelulusan tinggi, tapi kalau ada pengalaman, aku pun senang dapat kerja kat tempat lain. Jadi, aku sabar je la.

Masa aku nak buka whatsapp, baru aku teringat aku dah uninstall whatsapp semalam. Aku tepuk dahi aku. Nampaknya aku kena install balik la kan. Takpe, sampai office nanti baru aku install. Kalau aku install sekarang, jawabnya lambat la aku sampai office nanti. Biarlah kena marah, bukan tak biasa kena.

Ada sms baru masuk. Aku buka. Zaiyanah sms aku. Dia tahu kot aku dah uninstall whatsapp. Mungkin dia whatsapp aku tapi satu tick je.

“Qila, sabtu ni kita jumpa kat KFC Taman Ria. Aku dan kawan-kawan lagi tunggu kau kat sana. Kau balik kerja pukul 1 kan. Kita berkumpul pukul 2. Jangan berbual di mana-mana group whatsapp yang kau tak kenal, atau group yang ada orang add kau masuk. Nanti kita jumpa, kita bincang hal ni.”

Aku tak balas. Aku makan sarapan bihun goreng mak aku. Lepas tu ambil beg dan kunci kereta kancil aku. Aku pergi kerja.

Sampai tempat kerja, Zalika dah tunggu kat pintu masuk dengan wajah bengang. Apa pula salah aku kali ni.

“Kenapa kau off whatsapp kau?” tanyanya.

“Aku uninstall whatsapp aku. Kenapa?” tanya aku balik tanpa rasa bersalah.

“Bos kata dia tak dapat whatsapp kau. Sekarang aku yang kena pergi rumah klien, ambil ukuran untuk buat renovation dapur. Sepatutnya kau yang kena pergi,” rungut Zalika sambil mengangkat begnya dan berlalu pergi. Aku masuk ke tempat duduk aku. Aku buka telefon, aku install whatsapp.

Pelik bin ajaib. Tiada whatsapp baru. Cuma ada satu group “Ganding Maju Sdn Bhd”, pejabat aku la tu. Selama hari ini personal whatsapp je kat staf, sekarang buat group pulak. Dah la aku fobia dengan whatsapp.

Aku letak telefon aku. Aku tarik fail yang aku tak sempat siapkan semalam. Baru je aku buka fail tu, telefon aku berbunyi notification facebook. Eh, rasanya aku dah off notification facebook, kenapa ada bunyi pulak. Aku buka semula telefon aku. Mujurlah bos aku belum masuk, kalau tak, memang takdelah aku pegang telefon aku tu.

Aku buka facebook aku. Ada 1 friend request. Aku buka profile orang tu. Dan tiba-tiba kepala aku rasa panas. Memori aku macam baru pulih. Mata aku terbuka luas. Itu gambar yang Azura hantar kat group ‘Teman Selamanya’ semalam. Aku tutup facebook. Aku buka whatsapp group ‘Teman Selamanya’. Dan macam dah dirancang-rancang, Azura is typing……. Aku tengok keliling aku, takde orang. Aduhai, siapa pulak aku nak harap temankan aku sekarang.

Sebab itulah mak aku selalu pesan, masa kerja, kerjalah elok-elok. Jangan buat kerja peribadi yang takde kena mengena dengan kerja. Itu tak amanah namanya.

Azura : Aku dah sent friend request kat facebook. Korang accept tau. Kalau korang tak accept, nanti aku datang cari korang, kacau korang sampai korang accept. Kita kan kawan….

Tiada siapa menjawab.

Di group ‘Geng Sekepala’.

Azura is recording audio…

Aku pulak boleh tunggu dia hantar audio tu.

“Terima friend request aku. Terima friend request aku. Kalau tak, aku cari kamu semua,” suara garau direkod dalam group ‘Geng Sekepala’. Padahal Azura takde dalam group tu. Tapi semalam dia dah masuk dalam group tu masa aku uninstall whatsapp.

Tiada yang menyahut.

Aku sms Zaiyanah.

Aku : Yana, kau tengok tak group whatsapp ‘Teman Selamanya’ dengan ‘Geng Sekepala’ tu? Azura ada hantar mesej.

Yana : Aku tahu. Biarkan je. Jangan accept friend request dia kat facebook.

Aku : Ok.

Baru je aku nak buka fail, whatsapp baru masuk.

Hish, tak jadi kerja aku hari ini.

Di kedua-dua group whatsapp, mesej yang sama dari Azura. “Aku tahu korang sedang abaikan aku. Aku dah kata, kita takkan terpisah.” Aku berpeluh-peluh di dalam bilik berhawa dingin.

Ada satu notification dari facebook. ‘Azura tagged you and 4 others in her post’! Bulat mata aku tengok skrin telefon aku.

“TEMAN SELAMANYA, KAMI KEKAL BERSAMA HINGGA TIADA YANG PERLU TINGGAL SENDIRIAN LAGI” berserta gambar lukisan tangan yang menunjukkan 5 orang gadis berpegangan tangan membentuk satu bulatan. Itu pos yang Azura tag kami di facebook. Hah! Kat facebook pun Azura kacau kami. Tapi aku tak approve pun friend request dia. Bahkan aku dah block dia. Macammana dia boleh jadi friendlist aku ni? Siap boleh tag aku, Zaiyanah, Fatin, Damia dan Amira.

Aku sms Zaiyanah pasal Azura dan Zaiyanah balas, “Aku tahu Qila. Biarkan je dia. Sabtu ni kita jumpa. Sebelum kita jumpa, jangan berhubung. Jangan whatsapp sesama kita ok.” Dan aku akur.

Aku tutup telefon, capai fail yang dari tadi kekal di atas meja aku tanpa aku buka. Aku buat kerja aku. Badan aku di pejabat, tapi hati dan otak aku entah di mana. Aku tahan diri aku supaya tak buka telefon. Biarlah siapapun yang cuba whatsapp aku. Biar bos sekalipun. Aku takkan buka whatsapp mahupun facebook.

Keadaan kekal hinggalah kami berjumpa pada hari sabtu.

Selepas masing-masing mengambil pesanan makanan masing-masing, kami duduk di bahagian tepi dinding.

Fatin : Dari rabu haritu aku tak boleh tidur lena. Asyik teringatkan Azura dan gambar profile dia. Tuhan je tahu betapa takutnya aku.

Damia : Aku pun sama. Aku cerita kat mak aku, mak aku kata aku kuat berangan.

Aku : Aku memang tak tengok langsung whatsapp selain dari bos dan mak aku. Lantaklah berapa banyak pun whatsapp masuk. Facebook pulak aku terus log out. Tak berani aku weh. Macammana dia boleh approve diri dia sendiri jadi friendlist aku sedangkan aku dah block dia. Dahsyat betul benda ni.

Zaiyanah : Aku tak tahulah apa benda semua ni. Aku pun tak pasti samada Azura ni betul wujud atau ada orang betul-betul nak mainkan kita. Ni yang aku panggil kita berkumpul ni. Tak boleh bincang dalam whatsapp dah. Dia macam tahu semua.

Sedang kami sembang sambil makan tu, tiba-tiba seorang staff KFC menghantar cheezy wedges kat meja kami. Kami semua berpandangan sesama sendiri sebab tiada siapa di antara kami yang pesan makanan tu.

“Bukan kami punya ni. Makanan kami semua dah ada,” kata Amira.

“Tadi ada orang pesan dan suruh hantar ke meja ni,” kata staff KFC tu.

“Siapa pesan?” aku tanya.

Staff KFC tu memandang keliling. Dan dia menunjukkan seseorang yang berpakaian serba hitam yang berdiri sambil membelakangkan kami di bahagian pengambilan sos. Kami dah mula cuak.

Zaiyanah bangun. Aku dan kawan lain cuba halang tapi dia betul-betul nekad nak pergi lihat siapa orang tu.

-Bersambung-

2 thoughts on “WHATSAPP GROUP SE

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s