DOSA SEMALAM

Bab 9 (Akhir)

“Apa yang kau fikirkan, Man?” tanya Datuk Iskandar pada sebelah malamnya apabila dilihatnya anaknya itu termenung jauh. Azman tersentak dari lamunan yang panjang. Dia duduk di atas sofa menghadap ayahnya.

“Ayah, Man sudah tiada jalan untuk keluar dari masalah ini. Man pasrah, Man mengaku Man telah gagal,” keluh Azman. Datuk Iskandar merapati anaknya.

“Bukankah Man harapan ayah. Jika Man telah mengaku kalah, bagaimana dengan ayah?” tanyanya menguji.

“Tapi ayah, Man sudah tidak mampu. Man sayangkan Shima sebagai isteri Man dan dalam masa yang sama, Man juga tidak mahu kehilangan adik. Hanya dialah adik Man, ayah,” terdengar suara Azman merintih.

Datuk Iskandar tunduk. Dia faham kedudukan Azman sekarang. Tetapi apalah dayanya juga kini? Segala-galanya hanya diserahkan kepada Tuhan.

“Sudahlah, pergilah tidur. Ingatlah Tuhan selalu. Semoga Dia akan memberi jalannya kepada kita,” sahut Datuk Iskandar. Azman akur. Dia bangun lalu melangkah menuju ke biliknya. Daun pintu diselaknya. Kelihatan Hashimah sedang tidur. ‘Adakah dia lena?’ desis hati.

Azman merapati tubuh isterinya. Wajah Hashimah ditatapnya. Tenang, seperti tiada gelodak perasaan dijiwanya.

Azman mencium dahi isterinya. “Apakah yang akan terjadi selepas ini sayang?” ucapnya dalam sendu. Azman bangun. Dia ke bilik air mengambil wudhu. Kepada Allah juga dia mengadap untuk mencari ketenangan.

Hashimah bangun. Ketika suaminya masih berzikir, dia menghampiri. Dia duduk di hadapan sejadah membuatkan Azman terperanjat.
“Apa Shima buat di sini? Kenapa tak tidur lagi?” tanyanya terperanjat.

“Abang, Shima bimbang. Apa akan terjadi selepas ini? Adakah Shima akan…,” kata-katanya mati di situ.
“Shima janganlah bimbang. Segala-galanya akan selesai secara baik.” Tutur Azman.

“Tapi bagaimana jika Azhar masih juga begitu. Abang takkan biarkannya bukan?” tanya Hashimah lagi ingin tahu tentang kedudukan dirinya. Azman diam.

“Tidak mengapalah, bang. Esok biarlah Shima berjumpa dengannya. Tak perlulah abang risau bagaimana untuk memberi alasan lagi,” kata Hashimah. Azman terkedu dengan kata-kata isterinya. Dia tidak berdaya lagi untuk membalas kata-kata itu kerana hanya itu jalan sebaiknya untuk memulihkan Azhar.

Keesokan harinya di bilik Azhar, dia kelihatan begitu riang. Jemarinya Hashimah tidak pernah dilepaskan sejak Hashimah mula-mula tiba tadi. Hashimah membiarkannya. Azman memandang cemburu. Datuk Iskandar dan Datin Salmah tenggelam punca. Keadaan dibiarkan seketika. Azhar tidak berhenti berkata-kata, melepaskan rindunya sejak sekian lama dia mengingati Hashimah.

Memang sejak dia meninggalkan Hashimah, dia sering terkenangkan gadis itu. Dia sering didatangi mimpi-mimpi yang menakutkan. Sehinggalah pada hari dia kemalangan, rindunya kepada Hashimah semakin memuncak. Dia masih ingat lagi, ketika dia lalu di kawasan berbukit di mana tempat dia kemalangan. Matanya begitu jelas melihat Hashimah melambai-lambai ke arahnya. Dan Azhar menjadi seperti tidak menentu. Hatinya girang kerana wajah yang dirinduinya selama ini berada di depan mata.

Namun apa yang dilihatnya hanya khayalan. Azhar terjatuh ke dalam gaung. Dia tidak sedarkan diri sehinggalah pada petang yang mana Azman menyentuh jemarinya. Ketika itu fikirannya hanya pada Hashimah, bukan pada orang lain yang lebih berhak ke atas dirinya.

“Shima, bagaimana anak kita?” tanya Azhar dikeheningan petang. Hashimah tidak menyahut sebaliknya pandangan matanya diarahkan kepada suaminya.

“Shima, kenapa ni? Janganlah pandang orang lain. Azhar sudah ada di sini dan kita akan berkahwin.” Kata-kata Azhar benar-benar membuatkan Azman semakin merintih.

Dia melangkah keluar meninggalkan bilik Azhar. Dia tidak sanggup melihat wanita yang disayanginya kini berada di dalam pangkuan adiknya sendiri.

“Azhar, waktu melawat telah tamat. Kami terpaksa balik dulu. Esok kami datang lagi ya, nak,” kata-kata Datuk Iskandar memecahkan kebuntuan yang melanda. Azhar mengeluh panjang. Namun jemari Hashimah tetap tidak dilepaskannya.

“Esok datang lagi sayang,” katanya kepada Hashimah sebelum melepaskan gadis itu pergi. Hashimah hanya mengangguk lemah. Mereka melangkah keluar dari bilik itu. Azman masih berdiri di luar. Azman tunduk tidak memandang wajah sesiapa pun mahupun isterinya. Perjalanan pulang ke rumah tidak membicarakan apa-apa. Masing-masing diam. Setibanya di rumah, Azman memohon untuk keluar semula.

“Kamu nak ke mana, Man?” tanya Datuk Iskandar.

“Man keluar sekejap ayah,” sahut Azman endah tak endah. Hashimah merapati suaminya. Tangan Azman disentuhnya namun Azman menarik tangannya semula.
“Kenapa ni, bang?” tanya Hashimah lembut. Azman diam. Dia masih buat-buat membetulkan sesuatu di keretanya.
“Masuklah ke dalam rumah dulu. Abang nak ke mana ni?” tanya Hashimah perlahan.

Azman tetap tidak menjawab soalan isterinya sebaliknya terus masuk ke dalam kereta dan menghidupkan enjinnya. Dia mula bergerak walaupun Hashimah masih berdiri di situ memandang ke arahnya. Hashimah terpempan dengan sikap suaminya.

Datuk Iskandar dan Datin Salmah yang menyedari ketegangan itu berpandangan sesama sendiri. Datuk Iskandar memberi isyarat kepada Datin Salmah supaya memujuk Hashimah. Datin Salmah akur. Dipimpinnya tangan menantunya itu menuju ke bilik. Hashimah menurut sahaja. Tubuhnya lemah. Tiada sebarang kata-kata yang lahir dari bibirnya yang kian pucat.

“Banyakkan bersabar Shima. Kami tetap bersamamu, nak,” kata Datin Salmah. Terhiris juga perasaannya melihat keadaan yang menimpa keluarganya kini.

Sudah hampir saminggu Azman tidak menjengahkan mukanya samada di rumah mahupun di pejabat. Datuk Iskandar telah mencuba sedaya upaya mencarinya.

Azhar telah kerapkali menyebut nama abangnya itu. Sejak dia keluar pada malam itu sehinggalah hari ini. Kerja-kerja dipejabatnya juga terbengkalai.

“Ring!” terdengar bunyi telefon di suatu petang. Memandangkan Datuk Iskandar dan Datin Salmah sedang berehat di halaman rumah, Hashimah segera mengangkatnya.

“Hello,” sapanya. Salam diberi dan disambut.
“Abang di mana ni?” tanya Hashimah girang apabila mendengar suara suaminya.
“Abang selamat dan tak perlulah bimbangkan abang.” Kata Azman lemah.
“Baliklah bang. Shima rindukan abang. Semua orang mencari abang di merata-rata,” kata
Hashimah.
“Bagaimana keadaan Azhar?” tanya Azman.
“Dia semakin pulih, Sudah boleh makan dan minum selain dari bubur,” beritahu Hashimah.
“Syukurlah. Semua tu kerana Shima,” kata Azman dihujung talian. Hashimah kaget.
“Apa maksud abang? Semua tu kerana ketentuan Tuhan, bukan sebab Shima,” sahut
Hashimah. Wajahnya mendung kembali.
“Memang segalanya atas ketentuan Allah tapi atas pertolongan Shima,” kata Azman. “Abang, janganlah cakap begini,” rayu Hashimah, sedih dengan ungkapan suaminya.
“Shima, kita hanya merancang tapi Tuhan yang menentukan. Mungkin telah ditakdirkan jodoh kita tidak panjang,” kata-kata Azman benar-benar menggetarkan seluruh tubuh Hashimah. Hashimah terduduk. Seluruh sendinya longlai.

“Shima, abang tetap sayangkan Shima walau di mana abang berada. Tapi abang tak sanggup untuk berdepan dengan Shima. Abang malu pada Shima kerana abang terpaksa mementingkan keluarga lebih daripada diri Shima. Shima, abang minta maaf. Kembalilah kepada Azhar kerana dia lebih memerlukan Shima.” Kata-kata Azman terhenti setakat itu. Hashimah menangis lagi. Air matanya kian deras mengalir membasahi pipinya.

“Abang, tolonglah jangan buat Shima begini. Shima dah sayangkan abang. Selepas Shima berkahwin dengan abang, hidup Shima hanya untuk abang. Janganlah abang buat begini pada Shima. Shima masih mengharapkan abang,” sayu sekali rintihan Hashimah. Azman kelu. Air mata lelakinya turut mengalir deras.

Hashimah masih dalam hatinya dan akan kekal di sana. Tetapi pada Azman, hanya itu jalan penyelesaian di dalam masalah keluarganya yang sedang melanda. Azman sayangkan isterinya. Azman juga sayangkan adiknya. Tambahan pula melihatkan keadaan Azhar yang
terlalu perit penderitaannya. Dan tidak boleh disangkal lagi bahawa Azhar lebih berhak ke atas diri Hashimah memandangkan Hashimah sedang mengandungkan anaknya.

“Shima, mungkin perkahwinan kita merupakan suatu kesilapan.” Sambung Azman lagi. Dia tekad, tekad untuk melepaskan Hashimah demi Azhar. Masih terngiang-ngiang lagi kata-¬kata doktor muda kepadanya dulu bahawa di saat Azhar begitu, banyak pengorbanan yang perlu dilakukan seandainya mahu Azhar pulih sepenuhnya. Azman tidak sanggup dituduh pentingkan diri sendiri hingga adik sendiri diketepikan. Azman bukanlah orang yang sebegitu.

“Shima!” panggil Azman apabila Hashimah tidak lagi menyahut kata-katanya. Tiada sahutan. Cuma terdengar suara riuh ibu dan ayahnya memanggil nama Hashimah. Azman kaget. ‘Apa yang telah terjadi?’ keluhnya. Gagang telefon diletaknya. Dia serba salah. Jantungnya berdebar kencang. Mahu tidak mahu, Azman mencapai kunci keretanya dan dengan tergesa¬-gesa dia keluar dari bilik hotel yang disewanya. Enjin keretanya segera dihidupkan dan meluncur laju di atas jalanraya.

Namun, kesesakan lalulintas menghalang perjalanannya memandangkan jam lima petang adalah waktu kakitangan kerajaan mahupun swasta balik dari tempat bekerja. Oleh itu, Azman hanya tiba di banglo ayahnya ketika matahari telah mengundurkan diri.

Azman bergegas masuk ke rumah. Sunyi sepi. Kelihatan Mak Siah, orang gaji ayahnya sedang membersihkan tangga. Azman merapati. Belum sempat ditegurnya Kak Siah, mata Azman terbeliak. Terbeliak melihat darah pekat disepanjang dua belas anak tangga.

“Apa dah jadi Mak Siah? Darah siapa ni?” tanya Azman.

“Cik Puan jatuh tangga petang tadi selepas bercakap di telefon.” Beritahu Mak Siah.

Azman kehilangan kata-kata. Dia terduduk. “Datuk dan Datin sudah bawa dia ke hospital. Mak Siah rasa lebih baik Encik Azman pergi ke hospital sekarang sebab tadi Mak Siah lihat, keadaan Cik Puan agak teruk, darah banyak keluar,” sambung Mak Siah lagi.

“Dia asyik sebut nama Encik Azman saja tadi,” kata-kata Mak Siah benar-benar menghiriskan perasaan Azman.

“Ya Allah, apa yang telah aku lakukan?” keluhnya sambil menutup mukanya dengan
kedua belah telapak tangannya.
“Cepatlah pergi Encik Azman. Mak Siah bimbang Encik Azman tidak sempat menemuinya.” Kata-kata itu lebih menakutkannya.

Azman bangun. Mendapatkan keretanya dan menghidupkan enjin kereta. Lalu kereta miliknya meluncur laju di atas jalanraya. Kali ini Azman hilang sabar, hampir-hampir dia kemalangan apabila dia tidak berhenti di lampu merah.

Namun akhirnya dia tiba di hospital. Ibu bapanya serta ibu bapa Hashimah telah berada
di sana.
“Ayah, macammana dengan Hashimah?” tanyanya tidak sabar. Datuk Iskandar tidak menyahut. Hanya menggeleng-gelengkan kepala.
“Emak, apa dah terjadi?” tanya Azman kepada Datin Salmah.

“Emak pun tak tahu. Petang tadi, sewaktu emak dan ayah duduk di halaman rumah telefon berbunyi. Dia yang angkat. Emak pun tak ambil pedulilah sebab mungkin Zuraida atau keluarganya dari kampung yang menelefon. Tidak lama lepas tu mak dengar Kak Siah menjerit memanggil nama Shima. Apabila mak masuk dia berada di tingkat bawah. Menurut Kak Siah, dia jatuh dari anak tangga yang teratas. Gagang telefon tak diletaknya. Apabila ayah kamu angkat telefon tu, talian telahpun putus. Mungkin dia terkejut dengan panggilan telefon tu. Tapi emak tak tahu siapa yang menelefon,” beritahu Datin Salmah. Azman terduduk. Tubuhnya lemah tidak berdaya.

“Bagaimana kau tahu Hashimah di sini?” tanya datuk Iskandar seterusnya. Dia geram juga dengan sikap -anaknya yang tidak ambil peduli tentang isterinya yang sedang sarat mengandung itu.

“Man mohon maaf yang tak terhingga. Sebenarnya, orang yang bercakap dengan Shima petang tadi adalah Man,” beritahu Azman. Empat pasang mata memandang tepat ke wajah Azman.

“Man tidak sangka akan jadi begini. Man ” kata-kata Azman terhenti. Semua yang ada telah mengerti. Azman menangis semahu-mahunya. Tiada siapa yang memujuknya kerana semuanya dengan perasaan masing-masing.

Sebentar kemudian, seorang jururawat keluar dari bilik rawatan kecemasan.

“Bagaimana keadaan anak kami nurse?” tanya bapa Hashimah.

“Saya tak boleh jawab lagi.Tunggu doktor yang buat pengesahan,” jawab jururawat tersebut. Pengesahan? Satu perkataan yang tidak sanggup didengar.

Tidak lama selepas itu, seorang doktor muncul dari pintu bilik rawatan kecemasan tersebut. Soalan yang sama diajukan.

“Terus terang saya katakan, keadaannya amat kritikal. Kami terpaksa membuat pembedahan kecemasan untuk mengeluarkan bayi dalam kandungannya bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini. Kita serahkan segalanya kepada Tuhan untuk menentukannya. Kami akan cuba sedaya upaya kami.” Kata doktor tersebut. Seketika kemudian masuk seorang lagi doktor ke dalam bilik tersebut. Keadaan doktor-doktor itu tenang tetapi ia cukup menjelaskan keadaan pesakit di dalamnya.

Suasana hening. Hanya terdengar suara esakan Azman. Entah mengapa amat sukar untuknya daripada berhenti menangis. Kekesalan yang amat sangat menerpa dijiwanya. Kalaulah dia tidak mengucapkan kalimah-kalimah pedih di talian telefon petang tadi, perkara begini sudah pasti tidak akan terjadi.

Selepas satu jam, lampu bilik rawatan kecemasan terpadam. Seorang demi seorang jururawat keluar dari bilik tersebut. Dan akhirnya keluarlah dua orang doktor.

Tiada soalan yang terpacul. Masing-masing hanya memandang wajah doktor yang turut berpandangan sesama sendiri. “Kami minta maaf. Kami telah mencuba sedaya upaya kami. Tapi Allah lebih kasihkannya. Anak encik telah meninggal dunia kerana kehilangan darah yang banyak.” Beritahu salah seorang doktor tersebut tanpa diminta.

Semua yang ada terdiam. Tubuh masing-masing kaku buat seketika. Otak berhenti berfikir sejenak. Degup jantung juga berhenti. Segala-galanya terhenti. Tiada patah-patah kata lagi yang keluar dari mulut masing-masing. Azman terus menangis sebagai orang gila layaknya.

“Shima, maafkan_ abang.” Jeritnya bagai orang hilang arah. Namun sekuat mana pun jeritannya, Hashimah sudah tidak mendengarnya lagi. Hashimah telah kaku. Kaku menanti saat-saat dibawa bertemu Tuhannya.

Belumpun reda ketegangan keadaan di hospital, sekali lagi berita duka disampaikan. Putera yang baru saja melihat dunia, menuruti langkah ibunya. Mahu menemani ibunya bermain di taman syurga barangkali. Azman meraung, tiada siapa yang mampu menghalangnya.
****************************

Ketika kedua-dua jenazah ibu dan anak siap dikafankan, Azman merapati jenazah isterinya. Dada berombak deras, kolam mata ditakungi air. Wajah Hashimah amat tenang, seperti telah terlepas dari segala kesusahan. Tiada lagi wajah sayu, tiada lagi air mata. Dia telah bersedia pergi membawa cinta hatinya yang mahu mengikutnya.

“Sabarlah Azman. Segalanya telah ditetapkan,” pujuk Zuraida ketika mereka berjalan
bersama-sama meninggalkan tanah perkuburan.

“Aku cuma kesal kerana aku menjadi penyebab kematiannya,” kata Azman. Zuraida “Dan aku cukup terkilan kerana aku tidak sempat bertemu dengannya sebelum
pemergiannya.” Kata Azman lagi. Matanya bengkak akibat menangis seharian.
“Jodoh dan ajal semuanya rahsia Allah. Tiada siapa di dunia ni yang tahu.” Sahut Zuraida.

“Dia menyebut-nyebut nama aku. Mungkin dia amat mengharapkan agar bertemu denganku,” kata Azman dengan nada penuh kekesalan.

Perbualan mereka terhenti apabila Shahrul muncul. Wajahnya sugul sekali.

“Ida, betul kata-kata Shima, cinta kami hanya akan diputuskan oleh kematian,” kata Shahrul sambil menundukkan kepala. Azman kaget.
“Apa maksud kamu?” tanyanya ingin tahu.
“Azman, untuk pengetahuan kau, sebelum Hashimah bertunang dengan Azhar, Shahrul adalah kekasih Hashimah. Mereka terpisah apabila Shahrul melanjutkan pelajaran ke luar negeri. Ida yang bersalah kerana mendesak Shima agar menerima Azhar kerana tidak mahu dia terus menanti Shahrul yang hilang tanpa khabar berita. Tapi tak sangka pula, setelah enam tahun berlalu, Shahrul masih menyayangi Shima. Tapi segala-galanya telah berubah. Pada waktu itu, Shima telahpun mengandungkan anak Azhar.” Cerita Zuraida.

“Tapi kenapa kau tak pernah beritahu aku, Shah?” tanya Azman.

“Sebenarnya aku tidak menyangka bahawa kaulah bakal suami Shima. Aku terperanjat pada hari kau memberiku kad jemputan perkahwinan. Setelah itu, barulah aku tidak mendesak Shima supaya menerimaku. Aku telah sanggup untuk berkahwin dengannya walaupun sudahku tahu tentang keterlanjurannya tetapi dia tetap berpegang kuat untuk berkahwin dengan kau, Man,” beritahu Shahrul. Dia tidak mahu menyimpan cerita lagi. Biarlah segala-galanya terlerai. Dan sememangnya segalanya telah musnah dengan kematian Hashimah.

Azman mengeluh lagi. “Kerana itulah, Hashimah pengsan pada hari perkahwinan kau. Dia pengsan apabila ternampak Shahrul di sisi kau. Dia tidak menjemput Shahrul kerana tidak mahu berdepan dengannya. Hatinya masih berbelah bagi hinggalah hari perkahwinannya dan sebaik sahaja dia sah menjadi isterimu, Azman, dia berubah. Segala-galanya diubah. Semua gambar kenangannya bersama Shahrul dan Azhar dibakarya. Dia kata mahu mulakan hidup baru bersamamu,” jelas Zuraida lagi.

Azman terdiam.Tiada apa yang perlu diucapkan lagi. Segala-galanya telah jelas kini. Hashimah menyayangi dirinya, teramat menyayangi dirinya. Azman kesal kerana dia menjadi asbab kematian Hashimah. Perkara yang akan disesali seumur hidupnya.

“Tapi, apa yang jelas, segala-galanya ini tak akan terjadi jika aku tidak menghilangkan diri tanpa khabar berita. Jika aku masih berhubungan dengannya, pasti tidak jadi begini,” sahut Shahrul pula.

“Sudahlah, segala-galanya telah terjadi. Jadikanlah semua ini pengajaran. Yang pergi, biarlah ia pergi dengan tenang. Kita yang hidup mesti teruskan hidup. Doakan agar rohnya selamat dan ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman,” sahut Datuk Iskandar yang sedari tadi mengikuti perbulan tiga anak muda di hadapannya. Ibu dan bapa Hashimah tersenyum. Azman terharu. Begitu cekalnya hati ibu bapa Hashimah. “Sudahlah. Mari kita pulang. Kamu sebagai suaminya, redhakanlah pemergiannya. Ampunkan segala dosanya. Suami yang redha kepada pemergian isterinya, menjanjikan syurga kepada si isteri,” kata bapa Hashimah sambil menepuk-nepuk bahu menantunya.

“Shima tiada dosa walau sebesar zarah terhadap Man. Man redha syurga adalah miliknya,” sahut Azman. Dia redha. Dia redha pemergian isterinya. Dia memohon ke hadrat Ilahi agar isterinya ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Dan semoga syurga adalah ganjaran bagi isterinya yang terlalu setia. Azman terima segalanya telah ditakdirkan. Namun nyawa Hashimah dianggap sebagai pengganti bagi menyelamatkan nyawa Azhar.

Azhar? Dia telah dimaklumkan segalanya. Lama juga dia menghadapi kemurungan hingga terpaksa dibawa bertemu dengan pakar psikologi. Namun, berkat kesabaran Datuk Iskandar dan Datin Salmah serta ketabahan Azman, Azhar telah sembuh tapi dia lumpuh dari pinggang ke kaki dan tidak boleh berjalan. Akhirnya dia juga terpaksa redha dengan ketentuan Ilahi. Dia mengakui kesilapan dirinya dan bersedia menerima hukuman daripada kesilapan yang lalu. Semoga hari-hari yang mendatang menjanjikan kebahagian dan pengajaran masa lalu menjadikannya lebih matang menghadapi liku-liku hidup yang kian mencabar.

Kita hanya merancang, tapi Allah yang menentukan.
Kita boleh berikhtiar, tapi Allah juga yang menentukan.
Semoga kita semua tidak terpesong dari ajaran Tuhan yang Esa. AAMIIN.

***********************************
ENAM BULAN KEMUDIAN
Shahrul tersentak dari lamunan bila Azman memanggilnya masuk ke pejabatnya. Lantas segera dia mengambil fail mesyuarat untuk projek syarikat mereka akan datang. Semua tender dicapainya. Lalu bergegas masuk ke bilik Azman.
Sebaik masuk ke bilik Azman, semuanya jatuh bersepah. Azman memandangnya kaget.
“Kau kenapa Shah? Kelam kabut je? Dan kenapa kau bawa semua fail tender bagai ni? Aku tak minta pun,” tanya Azman sambil membantu Shahrul mengutip semua fail dan dokumen yang jatuh.
“Bukankah kau panggil aku nak bincang pasal tender projek ni?” tanya Shahrul semula.
“Mesyuarat tu petang esok Shah. Dan semalam kau dah bagitahu aku bahawa kau dan siapkan semua presentation kan?” kata Azman lagi sambil melangkah ke kerusinya semula.
Shahrul masih berdiri dengan semua fail dipelukannya. Berfikir kebenaran kata-kata Azman. Dan dia sendiri seperti baru tersedar dari mimpi.
“Kau mengelamun sampai mana dah?” usik Azman.
“Takdelah. Kau tiba-tiba panggil aku kenapa?” tanya Shahrul.
“Aku tahu kerja kau banyak tapi kau masih komited dengan kerja kau. Syarikat amat sayangkan kau. Oleh itu, syarikat setuju untuk memberi seorang pembantu untuk kau,” kata Azman.
“Maksud kau?” tanya Shahrul lagi.
“Kau akan dinaikkan pangkat dan tempat kau akan dijawat oleh seorang pekerja yang baru graduat dari universiti di UK. Dia masih baru, jadi kau masih kena latih dia. Kamu berdua akan bekerja bersama untuk projek pembinaan kondominium di Sabah nanti.” Kata Azman.
“Wahh.. Terima kasih terima kasih. Aku tak tahu nak kata apa. Alhamdulillah,” sahut Shahrul dengan wajah penuh kesyukuran.
“Esok pembantu kau akan melapor diri. Jadi dia akan ikut kita masa mesyuarat dengan Permata Holding nanti. Moga berkat kau naik pangkat dan masuknya staf baru nanti, kita dapat projek pembinaan kolej di Singapura tu. In shaa Allah,” kata Azman.
“Siapa pembantu aku tu? Perempuan ke lelaki? Muda ke tua? Lawa?” tanya Shahrul dengan nada bergurau.
“Esok kau tengoklah,” kata Azman.
***************************
JODOH ITU RAHSIA ALLAH.
Pembantu Shahrul ialah Syakina, teman Shahrul semasa mereka belajar di UK. Andai dia milik kamu, janganlah kamu ragu atau gusar, dia akan datang kepada kamu bila masanya tiba. Itu dah tertulis ketika kamu berada di alam rahim lagi.

– T A M A T –

3 thoughts on “DOSA SEMALAM

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s