DOSA SEMALAM

Bab 8

Di pejabat Semangat Cerdas Sdn Bhd., Azman sedang sibuk mengedarkan kad jemputan perkahwinan kepada kakitangannya.

“Tahniah, Encik Azman. Semoga sejahtera hingga ke akhir hayat,” ucap kakitangannya. Sememangnya Azman tidak meletakkan batasan yang tinggi antara dirinya dan kakitangan. Dia akan bergaul mesra seperti kawan, bukan seperti ketua dan pekerja.

Azman tersenyum memandang kad jemputan terakhir yang berada di tangannya. ‘Untuk seorang teman sejati’ desis hati kecilnya. Dia melangkah perlahan menuju ke sebuah bilik, bilik Eksekutif barunya. Walaupun baru, telah terlalu banyak jasa yang ditaburkan oleh eksekutif muda itu terhadap pembangunan syarikatnya. Azman terlalu rapat dengannya walaupun dia masih baru di situ.

Azman duduk di kerusi. Kad jemputan perkahwinan diletakkan di atas meja berhadapan dengan Shahrul, Eksekutif pemasaran yang berkaliber di syarikat tersebut.

“Kau mesti datang. Jangan tak datang pula,” kata Azman tersenyum sinis.
“Kau nak kahwin? Kenapa tak beritahu awal-awal?” kata Shahrul sambil bangun dan menepuk-nepuk bahu temannya. Azman tersenyum lebar berbunga riang.
“Siapa gadis bertuah tu?” tanya Shahrul.
“Bukalah kad tu dan baca sendiri,” kata Azman masih dalam senyumnya.

Shahrul membuka kad jemputan perkahwinan. Wajahnya berubah. Hatinya berdegup kencang. Denyutan nadinya seolah-olah berhenti buat seketika. Dia tergamam.

“Kenapa ni Shah?” tanya Azman yang perasan dengan perubahan wajah temannya itu. “Tiada apa-apa. Tiba-tiba rasa nak pitam,” sahut Shahrul berdalih.

Matanya tepat memandang ke arah tercatitnya nama bakal isteri Azman. HASHIMAH BINTI HASHIM.

“Siapa gadis ni? Di mana kau kenal dia?” tanya Shahrul ingin mengenalpasti.

“Panjang ceritanya. Tetapi cukuplah aku beritahu bahawa dia adalah kenalan adik aku. Dia tinggal di Kuala Lumpur dan bekerja di sebuah agensi pelancungan. Keluarga berasal dari Perlis.” Terang Azman tanpa mengesyaki apa-apa.

Shahrul diam. Tubuhnya kaku buat seketika. Denyut jantungnya seakan berhenti. ‘Shima! Apa dah jadi ni?’ desis hatinya.

“Kenapa Shah? Kau kenal diakah?” tanya Azman apabila menyedari perubahan wajah temannya.

“Tidaklah. Aku cuma terfikir betapa bertuahnya gadis itu menjadi isterimu, Man. Tahniah. Semoga kau berbahagia hingga ke akhir hayat kau,” sahut Shahrul apabila dirinya kembali tenang.
“Terima kasih, Shah. Kau janji bahawa kau akan datang di hari perkahwinan ku nanti,” kata Azman bernada~gembira.

Azman berlalu meninggalkan Shahrul. Shahrul masih seperti tadi. Terperanjat. Kad jemputan perkahwinan Azman-Hashimah, masih dalam tangannya. Dia sungguh tidak menyangka bahawa bakaf-suami Hashimah adalah ketua tempat kerjanya sendiri. “Ooohh !”
Shahrul mengeluh sendirian.

Kini terbongkarlah segalanya. Shahrul akur. Dia yakin bahawa Hashimah akan berbahagia hidup bersama Azman. Shahrul pasrah kepada ketentuan Ilahi.

**************************

Di hari perkahwinan. Hashimah berdebar-debar di dalam bilik pengantin. Berbagai usikan yang diterimanya daripada teman-teman dan jiran tetangga yang hadir. Zuraida setia duduk di sisi sepupunya di hari bahagia itu. Zuraida memandang wajah Hashimah. Wajah itu cukup cantik, lembut dan penuh daya tarikan. Namun dari jauh sudut hatinya, Zuraida sedar, Hashimah masih menangis. Menangisi nasibnya.

Masih terngiang-ngiang di telinganya, kata-kata Hashimah pada hari terakhir Hashimah
di rumahnya di Kuala Lumpur.
“Shima, kau tak jemput Shahrul ke kenduri kahwin kau?” tanya Zuraida. “Tidak,” jawab Hashimah.
“Kenapa?” tanya Zuraida pelik.
“Buat apa Shima jemput dia. Sudah tiada apa-apa makna lagi. Shima tak mahu hati Shima terluka pada hari perkahwinan itu nanti. Dan sudah pasti dia juga akari terasa sebegitu apabila melihat Shima bernikah dengan orang lain,” jawab Hashimah.

“Shima benar-benar mengharapkan agar Shah tidak akan datang pada hari’perkahwinan itu. Shima dah pesan kepada emak dan ayah supaya tidak menjemput Shahrul ke perkahwinan Shima nanti,” kata Hashimah lagi dengan nada sebak.

Begitu sekali penderitaan hati dua orang insan itu. Zuraida tunduk sendiri. Tiba-tiba lamunannya terhenti. “Pengantin lelaki dah sampai. Bersedia,” terdengar suara memberitahu. Hashimah berdebar, Zuraida tergamam.

“Ida, aku rasa tak sedap hati,” adu Hashimah. “Tiada apa-apa. Perasaan kau saja tu. Maklumlah, pengantin baru,” usik Zuraida untuk meredakan debaran Hashimah. Hashimah diam. Entah mengapa tiba-tiba sahaja jantungnya berdegup kencang, tidak dapat dikawal. Suara riuh orang ramai di rumahnya tidak di dengarnya jelas. Dadanya sesak, nafasnya tak teratur.

“Cepat! Ida, bawa Shima tu keluar. Pengantin lelaki dah sampai ke pintu pagar. Cepat pergi sambut,” arah seseorang. Dalam ramai-ramai manusia, sudah tidak diketahui siapa yang bersuara. Zuraida memegang tangan Hashimah mengajaknya keluar. Hashimah bangun perlahan. Mereka melangkah perlahan ke luar dari bilik dan terus ke pintu utama. Zuraida memimpin Hashimah menuruni tangga perlahan-lahan untuk menyambut kedatangan pengantin lelaki.

Zuraida mengangkat muka memandang ke arah pengantin lelaki. Zuraida tergamam. Langkahnya terhenti. Hashimah turut berhenti. Wajah Zuraida dipandangnya dengan penuh tanda tanya. Melihatkan mata Zuraida memandang tepat ke arah pengantin lelaki, Hashimah
turut berbuat sedemikian. Hashimah terdiam. Kaku seketika. Dunia dirasakan gelap. Suara riuh orang ramai menyakitkan telinganya. Pandangannya pudar. Tubuhnya dirasakan lemah. Zuraida yang tersentak dari gamamnya sebentar tadi, perasan dengan perubahan Hashimah. “Shima, kau tak apa-apa?” tanyanya. Hashimah tidak menjawab lagi. Tubuhnya telah jatuh ke lantai.

Orang ramai kelam kabut. Terkejut dengan kejadian tersebut. Bagaimana pula Hashimah boleh pengsan tatkala pengantin lelaki menanti untuk disambut? Azman berlari ke arah Hashimah yang telah sah menjadi isterinya setengah jam sebelumnya setelah lafaz akad nikah selesai disempurnakan dengan disaksikan oleh ayahnya sendiri dan dinikahkan oleh bapa Hashimah sendiri.

Tubuh Hashimah diangkatnya lalu dibawa masuk ke dalam bilik. Ibu Hashimah cemas lalu ditenteramkan oleh beberapa orang jirannya. “Sabarlah Kak Pah. Mungkin panas sangat cuaca di luar agaknya. Biasalah tu, pengantin baru, beserta dengan darah gemuruh lagi,” pujuk salah seorang jiran. Ibu Hashimah hanya memandang anaknya yang terbaring lesu di atas katil pengantin.

“Biarkan dia berehat dulu. Sekejap lagi sedarlah dia tu,” kata Datuk Iskandar masih lagi tenang. Bapa Hashimah tersenyum di sebelahnya. Semua orang yang ada di situ keluar dari bilik kecuali Azman yang masih duduk di sisi isterinya.

Zuraida keluar. Matanya liar mencari-cari orang yang membuatkan dirinya dan Hashimah tergamam. Dan wajah orang itu telah dapat dilihatnya, sedang duduk termenung di atas batu jalan. Tidak berlengah lagi, Zuraida mendapatkan orang itu.

“Shah, apa kau buat di sini?” tanyanya setelah bahu orang itu ditepuknya. Shahrul seolah tersentak dari menungan yang panjang.
“Kenapa pula aku tak boleh datang?” tanya Shahrul bersahaja.

“Tapi kenapa pula kau datang dari sebelah Azman? Dan bagaimana pula kau boleh manjadi pengapitnya?” tanya Zuraida hairan.
“Apa hubungan kau dengan keluarga Datuk Iskandar?” tanya Zuraida lagi.

“Aku pekerja Datuk Iskandar, Azman kawan rapat aku. Aku juga tidak menyangka bahawa bakal suami Shima adalah ketua tempat kerja aku sendiri. Ida, kau tak tahu, betapa terperanjatnya aku apabila mendapat kad jemputan daripada Encik Azman. Aku tergamam, Ida. Lidahku kelu pada kala itu,” kata Shahrul tanpa memandang wajah Zuraida. Kelopak matanya digenangi air yang menanti masa untuk jatuh menitis.

“Azman tahu?” tanya Zuraida.
“Tahu tentang apa?” tanya Shahrul.
“Tentang kau dan Shima?” tanya Zuraida lagi melengkapkan soalannya yang tadi. Shahrul sekadar menggeleng-gelengkan kepala.
“Kenapa kalau dia tahu?” tanya Shahrul seterusnya.
“Aku rasa, cukuplah sampai di sini. Janganlah keruhkan lagi keadaan. Biarlah Azman tidak tahu tentang kau dan Shima. Kesian Shima, dia telah terlalu banyak menderita.” Kata Zuraida, sebak.

Shahrul menganggukkan kepala tanda faham. “Nampaknya, Shima terpaksa menanggung dosanya begini dan Shah juga terpaksa menanggung dosa Shah kerana meninggalkannya dulu,” kata Shahrul. Air matanya menitis halus. Cepat-cepat disapunya air matanya yang kian deras. Zuraida tunduk terharu. ‘Bukan mudah untuk seorang lelaki menitiskan air mata’ desis hatinya.

Sementara itu, Hashimah mula menggerakkan jemarinya. Azman tersenyum. Jemari Hashimah digenggamnya erat. Hashimah membuka mata. Jelas di hadapannya seorang lelaki yang telah menjadi suaminya kini.

“Kenapa ni, sayang?” tanya Azman selembut suara.
“Entahlah. Tiba-tiba saja rasa pening,” jawab Hashimah cuba bangun dari baringnya. Azman membantunya menyandarkan tubuh di birai katil. Azman mengusap-usap ubun-ubun isterinya lalu diciumnya.

“Janganlah banyak fikir. Nanti abang yang susah hati,” katanya tersenyum sambil mencuit hidung mancung isterinya. Hashimah tersenyum. Bahagia. Dia terlupa terus kepada lelaki yang dilihatnya bersama-sama Azman yang membuatkan dia pengsan sebentar tadi.

“Ha, dah sedar pun,” tiba-tiba mereka dikejutkan dengan suara bapa Hashimah yang kebetulan temampak mereka dari celahan pintu yang tidak ditutup rapat.

“Kenapa Shima? Kau tak apa-apa?” tanya Datuk Iskandar menunjukkan wajah risau. Datin Salmah merapati menantunya. Ibu Hashimah turut berlarian dari dapur apabila mendengar suara suaminya.

“Cuaca panas di luar tadi. Maklumlah, puteri lilin, mana boleh kena terik matahari,” usik Datuk Iskandar. Jelas kegembiraan nampak diwajahnya.

“Sudahlah tu,_ Makanan pun dah sejuk. Kamu berdua mesti lapar. Pergilah makan dulu.” Arah ibu Hashimah. Memang diingat lagi, sejak semalam anak gadisya itu tidak makan.

Disebelah malamnya, setelah semua beredar ke bilik, Hashimah masih tidak dapat melelapkan matanya. Azman merapati isterinya.

“Kenapa? Tak boleh tidur?” tanyanya apabila melihat jam di dinding menunjukkan ke pukul satu pagi.
“Entahlah bang. Shima tak mengantuk pun. Padahal siang tadi, letih bukan main,” sahut Hashimah.
“Banyak fikir?” tanya Azman. Rambut Hashimah diusapnya perlahan. Hashimah diam.
“Tak perlulah difikirkan lagi. Segala-galanya telah selesai. Shima telah sah menjadi isteri abang. Selepas ini tiada air mata lagi,” kata Azman.
“Abang….” Panggil Hashimah. Azman memandang wajah isterinya tanda mengizinkan untuk meneruskan percakapannya.
“Tidakkah abang menyesal berkahwin dengan Shima?” tanya Hashimah, ingin kepastian. Wajah suaminya itu dipandang tepat.
“Kenapa Shima tanya begitu?” tanya Azman semula.
“Abang seorang yang ternama dan berasal dari keluarga yang baik-baik. Tiba-tiba berkahwin dengan Shima yang tidak sesempurna gadis lain,” kata Hashimah terus terang.

“Shima, abang tidak suka Shima bercakap begini lagi. Kita telah sah menjadi suami isteri. Kita harus fikirkan bagaimana untuk bahagia sehingga ke akhir hayat. Bukan untuk memikirkan perkara yang telah lepas.” Kata Azman. Satu keluhan berat lahir dari bibirnya. Hashimah terasa bersalah.
“Maafkan Shima kalau kata-kata Shima membuatkan abang tersinggung. Shima cuma tidak mahu abang menyesal Dan kalau boleh Shima tidak mahu menangis lagi. Bolehkah abang berjanji bahawa abang takkan biarkan Shima menangis lagi?” tanya Hashimah dengan nada manja.

Azman memandangnya. Wajah tenang isterinya ditatap puas. “Insya-Allah. Segala¬nya atas ketentuan Allah. Manalah tahu, pagi-pagi esok abang mati. Shima tentu menangis lagi, kan?” tanya Azman sekadar mengusik.
“Janganlah kata begitu,” rengek Hashimah. Gementar juga tubuhnya apabila Azman mengusiknya begitu. Azman tertawa perlahan. Tubuh Hashimah ditariknya perlahan lalu memeluknya. “Sayang juga Shima pada abang ya?” usiknya lagi.
Hashimah diam. Dia :tenang di dalam dakapan suaminya. Dan akhirnya malam juga berlalu dengan tenang. Semoga hari esok menjanjikan sesuatu yang membahagiakan sekalian umatnya.

********************

EMPAT BULAN BERLALU.

Kedengaran suara tangisan Datin Salmah dari rumah banglonya. Sesekali terdengar juga suara Datuk Iskandar memujuk agar bertenang. “Sabarlah Mah. Ayuh kita ke hospital. Menangis di sini pun tiada gunanya,” ajak Datuk Iskandar. Terlihat juga garis-garis cemas di wajah tuanya.

Hashimah duduk di tepi dinding. Termenung jauh. Perutnya yang sarat itu diusapnya perlahan-lahan. Azman telahpun berada di hospital menjengah adiknya yang kemalangan semalam dan kini dikhabarkan dalam keadaan kritikal.

Datuk Iskandar memimpin isterinya masuk ke kereta. “Shima, ayah pergi ke hospital dengan emak. Jaga diri baik-baik di rumah. Janganlah risau sangat.” Pesan Datuk Iskandar sebelum meninggalkan rumah. Hashimah menganggukkan kepala di muka pintu utama.

Sesampainya di hospital, Azman sedang menunggu di pintu hospital. Kedatangan ibu dan ayahnya disambut dan langkah segera diatur ke bilik pembedahan kecemasan. Datuk Iskandar berulang alik entah untuk ke berapa kali. Datin Salmah menangis teresak-esak sambil ditenangkan oleh Azman.

Setelah hampir empat jam, lampu merah bilik pembedahan dipadam. Pintu besar dibuka dan seorang doktor lelaki keluar. Datuk Iskandar segera mendapatkan doktor tersebut yang pada perkiraannya adalah doktor yang sedang merawat anaknya.

“Bagaimana keadaannya doktor?” tanyanya tidak sabar.

“Bawa bertenang Datuk. Saya masih belum boleh beri keputusannya sekarang memandangkan dia masih belum sedar. Kepalanya mengalami pendarahan yang teruk. Kaki kanannya patah dan tulang belakangnya retak. Dia jatuh terhentak pada batu.” Terang doktor muda tersebut membuatkan Datuk Iskandar terduduk lemah.

Sendu Datin Salmah semakin kuat. Azman terdiam. Lidahnya kelu. ‘Apakah dia akan kehilangan seorang adik buat selama-lamanya?’ desis hatinya. Sebak melanda. Sendu emaknya tidak dapat lagi ditenangkan. Suasana hening seketika. Pintu bilik pembedahan dibuka. Beberapa orang jururawat menolak ka,til roda keluar dari bilik tersebut. Kelihatan tubuh Azhar berbalut¬ balut dengan plaster putih. Darah kelihatan dimerata-rata tubuhnya.

Azman memeluk ibunya, menarik wajah Datin Salmah ke bahunya agar tidak melihat keadaan anak bongsunya itu. Jika tidak, mahu meraung ibunya itu. Azman sendiri menundukkan wajahnya apabila melihat keadaan adiknya. Memang dia pernah membuang adiknya tetapi bak kata orang, air cincang tidakkan putus. Carik-carik bulu ayam, disimbah air berkumpul juga.

“Emak dan ayah baliklah dulu. Biar Man saja yang tunggu Azhar. Man akan beritahu sekiranya ada perkembangan.” Kata Azman kepada ayahnya. Emaknya masih menjenguk ke bilik tempat anaknya ditempatkan, melihat-lihat seandainya Azhar tersedar. Mereka tidak dibenarkan masuk memandangkan Azhar ditempatkan di bilik kawalan rapi kerana keadaannya yang terlalu kritikal.

Datuk Iskandar menganggukkan kepala tanda setuju dengan cadangan anaknya. Dia menghampiri Datin Salmah dan mengajaknya pulang. Datin Salmah enggan. “Mah, kalau kita tunggu sekalipun, dia tetap begitu. Sabarlah. Nanti Azman akan beritahu kita. Awak tu pun bukannya sihat sangat. Nanti, Azhar tak apa-apa, awak pula yang sakit,” pujuk Datuk Iskandar. Datin Salmah mengalah.

Setelah Datuk Iskandar dan Datin Salmah berlalu, Azman mencapai telefon bimbitnya. Dia teringatkan isterinya di rumah. Telefon yang berdering segera diangkat oleh Hashimah. Tentunya khabar dari hospital.
“Assalamualaikum,” sela Azman.

“Wa’alaikumsalam,_bagaimana keadaan Azhar, bang?” tanya Hashimah tidak sabar.
“Tidak usah risau. Nanti kandungan terganggu. Kita serahkan segalanya pada Allah. Segalanya telah ditentukan. Doakan semoga Azhar cepat sedar dan sembuh.” Kata Azman menasihati isterinya.
“Abang, Shima risau,” Hashimah melahirkan kebimbangannya.
“Tiada apa yang perlu risau. Doakan dia selamat,” kata Azman lagi. Hashimah diam.

Gagang telefon diletak perlahan. Hashimah termenung. Dia tidak risau tentang Azhar tetapi dia risau tentang dirinya dan Azman. Sememangnya mereka berdua telah menjadi suami isteri tetapi anak yang masih dikandung oleh Hashimah tetap anak Azhar. Bagaimana jika tiba¬tiba Azhar berubah? Bagaimana jika Azhar ingin kembali kepadanya? Apakah yang akan dilakukan oleh keluarga itu? Hashimah bimbang.

Lamunannya terhenti apabila terdengar bunyi enjin kereta milik bapa mertuanya memasuki perkarangan rumah. Hashimah melangkah ke pintu besar. Datuk Iskandar memapah isterinya yang kelihatan tidak bermaya. “Shima, bawa emak kau ni ke biliknya,” arah Datuk Iskandar. Hashimah akur. Dia memegang tangan Datin Salmah lalu memapahnya ke bilik.

Seminggu berlalu. Azhar mula menggerakkan jemarinya. Ketika itu hanya Azman yang menantinya. Azman telah dibenarkan masuk ke biliknya memandangkan dia tidak lagi diletakkan di bilik kawalan rapi. Azman memegang tangan adiknya. Azhar mencelikkan mata.

“Azhar, syukurlah kau dah sedar.” Katanya. Tangan Azhar dilepaskannya dan dia segera memanggil doktor. Doktor muda yang merawatnya datang. Tubuh Azhar diperiksa.

Selesai sahaja memeriksa tubuh Azhar, doktor muda itu menggamit Azman. Azman menghampirinya. “Dia semakin baik. Tetapi tolong jangan berikan ruang untuknya susah hati.
Sentiasa gembirakan hatinya walau apapun. Kepalanya masih belum pulih sepenuhnya dan mungkin mengambil masa yang agak lama. Pengorbanan amat diperlukan di kala ini bagi memastikan ia sembuh sepenuhnya.” Nasihat doktor itu.

Azman menganggukkan kepala tanda faham. Dia berikrar sendiri akan menggembirakan adiknya. Memang tiada berita buruk yang hendak disampaikan kepada Azhar. Segala-galanya yang baik dan indah-indah. Jadi, tidak perlu risau untuk menggembirakannya. Azman tak sabar untuk keluarganya bersatu kembali seperti dulu-dulu.

Azman merapati katil adiknya semula. Tangan adiknya digenggam. Azhar membuka matanya, memandang wajah Azman. “Along, emak dan ayah mana?” tanyanya. Azman tersenyum, syukurlah, adiknya telah mengenali dirinya. “Emak dan ayah ada di rumah. Petang nanti mereka datang.” Balas Azman.

“Along ada jumpa Shima tak? Entah bagaimana dia sekarang, Zaha teringin nak jumpa dia,” kata Azhar lemah. Azman tersentak. ‘Kenapa Hashimah yang ditanyakan?’ desis hatinya. Dadanya mula berdebar-debar.

“Along, kenapa diam? Zaha teringin nak jumpa Shima. Zaha menyesal dengan perbuatan Zaha kepadanya. Tolonglah Along carikan dia. Zaha akan bertanggungjawab sepenuhnya. Zaha akan menikahinya. Terlalu banyak dosa Azhar terhadapnya. Tolonglah Along, carikan dia untuk Zaha. Zaha akan gembira apabila dapat menatap wajahnya.” Kata Azhar seakan merayu.

Azman tergamam. “Zaha berehat dulu. Jangan fikirkan apa-apa lagi. Zaha belum sembuh sepenuhnya,” pujuk Azman.
“Zaha hanya akan tenang setelah melihat wajah Shima. Tolonglah Along,” rayu Azhar lagi. “Abang akan usahakan,” janji Azman dalam keadaan serba salah. Azhar diam mendengar janji abangnya.
“Zaha rehat dulu. Along keluar sekejap. Along nak beritahu emak dan ayah bahawa kau sudah sedar. Jangan ke mana-mana,” Azman minta izin.

“Along, kalau mereka tahu Shima di mana, suruhlah mereka bawa Shima sekali ya,” pesan Azhar. Azman mengangguk lemah. Kini, kebimbangan Hashimah menjadi kebimbangannya pula.

“Emak, Azhar sudah sedar,” beritahu Azman dalam telefon.

“Syukur Alhamdulillah.” Sahut ibunya. Terasa gembira tak terkata mendengar perkhabaran itu.
“Emak, boleh Man bercakap dengan ayah sebentar?” pinta Azman. Datin Salmah memanggil suaminya. Datuk Iskandar menyambut telefon yang dihulurkan oleh isterinya.
“Ayah, Shima mana?” tanyanya.

“Ada di biliknya. Kenapa?” tanya Datuk Iskandar. Jika Azman ingin bercakap dengan Hashimah, kenapa pula dia yang dipanggil. Datuk Iskandar merasakan kelainan pada tutur bicara anak sulungnya itu.

“Ayah bercakap perlahan-lahan. Jangan sampai Shima dengar,” kata Azman membuatkan Datuk Iskandar semakin tertanya-tanya.
“Kenapa pula ni Azman?” tanyanya tidak sabar ingin tahu cerita selanjutnya.

“Tadi, sebaik sahaja Azhar sedar, doktor ada memesan kepada Man supaya menjaga perasaannya. Kepalanya masih parah, jadi, dia tidak boleh susah hati. Kita mesti lakukan apa saja menurut kemahuannya jika mahu dia pulih sepenuhnya. Jika tidak, harapannya untuk pulih kembali macam dulu agak tipis. Hentakan kuat membuatkan kepalanya agak lemah dan perlukan masa untuk kuat semula.” Beritahu Azman.

“Jadi, apa kena mengena dengan Shima?” tanya Datuk Iskandar lagi.

“Azhar begitu teringin untuk berjumpa dengan Shima. Dia kata hatinya takkan tenang selagi tidak berjumpa dengan Shima. Dan katanya lagi, dia mahu menikahi Shima untuk menebus kesalahannya,” beritahu Azman terus terang. Dia yakin ayahnya panjang akal, tidak akan panik tiba-tiba. Lagipun, jika tidak diberitahu sekarang, bila lagi. Perkara ini mesti diberitahu, tidak boleh dirahsiakan.
Datuk Iskandar terdiam. Apa lagi yang perlu dikatanya?
“Macammana ni ayah?” tanya Azman apabila ayahnya mendiamkan diri.
“Apa yang kau beritahu dia?” tanya Datuk Iskandar.
“Man belum beritahu apa-apa. Apabila dia merayu untuk mencari Shima, Man Cuma katakan yang Man akan usahakan,” kata Azman.
“Tidak mengapa. Petang ni emak dan ayah akan datang melawatnya. Kita fikirkan
tentang hal ini kemudian,” kata Datuk Iskandar.
“Tapi ayah, dia amat mengharapkan agar ayah datang bersama Shima petang ni,” kata Azman.
Satu keluhan berat keluar dari bibir Datuk Iskandar. Azman turut terdiam.

“Tak apalah. Ayah datang dengan emak dulu. Kita cakaplah pada dia bahawa Shima belum ditemui,” kata Datuk Iskandar.
“Baiklah ayah. Man ikut saja,” sahut Azman dipenghujung perbualan.

Gagang telefon diletakkan perlahan. Datuk Iskandar menarik nafas panjang. Dia berpaling dan denyutan jantungnya terhenti seketika. Hashimah memandang wajah Datuk Iskandar.
“Apa kau buat di sini, Shima?” tanya Datuk Iskandar, mengembalikan ketenangan dan buat-buat tidak ada hal yang terjadi. Hashimah diam.

“Kau dengar apa yang ayah bualkan tadi, Shima?” tanya Datuk Iskandar lagi apabila menyedari perubahan pada diri menantunya itu. Hashimah menganggukkan kepalanya sedikit.
“Bersabarlah Shima. Kita serahkan segala-galanya kepada Tuhan. Mungkin ada hikmahnya disebalik penderitaan ini,” kata Datuk Iskandar menyentuh perlahan bahu menantunya.

“Ayah mahu Shima ikut petang ni?” tanya Shima menyembunyikan kebimbangannya. “Shima nak pergi tak?” tanya Datuk Iskandar. “‘ Hashimah diam.
“Kalau Shima tak mahu ikut, tidak mengapalah. Nanti pandai-pandailah ayah selesaikannya dengan Azhar,” kata Datuk Iskandar.

“Tapi sampai bila?” tanya Hashimah lagi. Datuk Iskandar tunduk.
“Tidak mengapalah Shima. Biar ayah dan emak sahaja yang pergi petang ni. Kita tengok dulu bagaimana keadaannya. Kalau teruk. Kita sembunyikan dulu dan apabila kesihatannya bertambah pulih, barulah kita terangkan perkara sebenar,” putus Datuk Iskandar. Hashimah diam mendengar kata-kata bapa mertuanya.

Petang itu, di bilik Azhar. Datin Salmah menyuapkan bubur nasi ke dalam mulut Azhar. Azhar masih kurang berselera untuk makan. Datin Salmah berhenti menyuapkan makanan.

“Ayah, kenapa ayah tak bawa Shima?” tiba-tiba terpacul juga nama itu. Datuk Iskandar, Datin Salmah dan Azman berpandangan sesama sendiri.

“Kenapa ayah diam? Ayah, tolonglah jangan beri berita buruk tentang Shima. Barulah Zaha sedar, betapa berdosanya Zaha kepadanya. Zaha yakin dia masih menjaga anak Zaha yang masih dalam kandungannya dengan baik,” kata Azhar lagi dengan wajah yang mengharap.

“Kenapa semua orang diam ni? Apa dah jadi? Kenapa dengan Shima? Adakah dia Aaahhhhh!” Azhar menjerit sambil memegang kuat kepalanya. Dia meronta-ronta menahan kesakitan yang amat sangat. Keadaannya tidak terkawal lagi. Datuk Iskandar memanggil doktor. Berlarian doktor danjururawat datang apabila terdengar jeritan kuat Azhar.

Doktor dan jururawat juga tidak mampu menghentikan Azhar daripada terus menjerit kesakitan. “Mak, Zaha nak jumpa Shima. Tolonglah,” rintihnya walaupun dalam kesakitan yang amat sangat. Datin Salmah memalingkan mukanya, tidak sanggup memandang anaknya begitu.

Doktor tiada pilihan, Kelihatan doktor muda tersebut mengeluarkan jarum suntikan menyuntik lengan Azhar. Azhar terkulai lemah. Jeritan dan rontaannya terhenti. Jururawat membetulkan semula kedudukan Azhar dan menyelimutkannya. Azhar terlena dengan tenang.

“Bukankah sudah saya terangkan, dia tidak boleh dibiarkan berfikir buat sementara waktu. Pendarahan dalam kepalanya masih belum stabil.” Tegas doktor muda itu.

“Saya cuba mengelakkan untuk memberinya ubat pelali tapi hari ini, saya telah memberinya. Saya bimbang ubat pelali ini akan melambatkan proses pemulihan di kepalanya,” kata doktor muda itu lagi.

“Lagi satu, tadi saya dengar dia menyebut nama Shima. Siapa Shima tu? Kalau boleh, bawalah Shima berjumpa Azhar. Mungkin ini boleh memulihkan pendarahan dikepala dan ingatannya dengan cepat. Memang pesakit begini memerlukan seseorang yang boleh memulihkan ingatan dan keadaannya,” terang doctor muda itu panjang lebar.
Semua yang ada di situ hanya menganggukkan kepala.

Suasana sunyi seketika. Doktor muda itu beserta jururawat yang membantunya tadi berlalu pergi. Azman duduk tenang di kerusi. Datuk Iskandar memandang ke luar tingkap. Datin Salmah teresak-esak di sisi katil Azhar. Keluhan demi keluhan terbit dari mulut masing-masing. Tiada jalan untuk keluar daripada permasalahan ini. Hashimah bakal diseret lagi. Fikiran masing¬-masing telah buntu.

One thought on “DOSA SEMALAM

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s