DOSA SEMALAM

Bab 7

“Kenapa Shima tak beritahu emak dan ayah bahawa anak dalam kandungan Shima tu adalah anak Azhar?” tanya bapa Hashimah. Hashimah mendiamkan diri.
“Sudahlah bang. Perkara dah lepas. Sekarang ni, cakap tentang perkara yang bakal berlaku,” sahut ibu Hashimah sambil melipat kain yang telah dibasuh dan dikeringkan. Bapa Hashimah mengeluh perlahan.

“Ayah pun tak tahu mana nak letak muka ayah ni Shima. Ayah malu sangat dengan semua orang. Sekarang ni, adakah kamu terima Azman untuk menjadi suami kamu?” tanya bapa Hashimah. Hashimah masih tunduk membisu.

“Shima, segala-galanya terserah kepada kamu sekarang. Mak dan ayah tak nak paksa kamu. Kalau kamu rasa itu adalah jalan terbaik, emak dan ayah akan ikut kerana yang akan hidup seterusnya adalah kamu. Kamu yang akan menghadapi segalanya sendirian. Emak dan ayah, entah esok atau lusa, kami akan mengadap Tuhan buat selamanya.” Luah ibunya pula.

Hashimah masih tunduk membisu. Dia sendiri belum buat keputusan dan tidak tahu bagaimana untuk membuat keputusan. Jalan di hadapannya terlalu gelap sehingga dia tidak nampak simpang mana yang perlu diturutinya.

Hashimah tidak dapat menahan sebak. Air matanya mengalir lagi. Tetapi dia tidak bangun dari duduk. Dia tetap ctuduk sambil melipat kain membantu ibunya.

“Janganlah kamu menangis lagi Shima. Kamu menangis air mata darah sekalipun, takkan berubah apa-apa. Perkara dah jadi, nak buat macammana? Terpaksalah tanggung juga. Takkanlah kamu sanggup nak bunuh bayi tu,” kata ibu Hashimah.

“Emak, Ayah. Shima minta maaf, Shima sedar Shima yang bersalah dalam hal ini. Jadi, Shima serahkan kepada emak dan ayah untuk buat keputusan. Shima akan terima segala keputusan emak dan ayah dengan hati rela,” kata Hashimah. Masih terdengar sedunya. Ibu bapa Hashimah berpandangan sesama sendiri.

“Kalau kamu minta emak dan ayah buat keputusan, emak dan ayah akan terima sahaja pinangan mereka tadi. Lagipun, apa kurangnya Azman tu. Tahu jaga tanggungjawab keluarga.” Sahut bapa Hashimah memandang tepat wajah anak gadisnya. Hashimah diam.

“Bagaimana? Kamu setuju tak dengan keputusan kami?” tanya emak Hashimah pula.

“Kalau itu yang emak dan ayah rasa baik untuk Shima dan keluarga ini, Shima terima,” sahut Hashimah, masih dalam sendunya. Ibu bapa Hashimah menarik nafas lega.

************************************

“Shima, jadi tak_kau nak keluar dengan Azman petang ni?” tanya Zuraida kepada Hashimah yang masih menonton televisyen di ruang tamu. Dia masih ingat lagi, Hashimah memberitahunya bahawa Azman mengajaknya keluar untuk membeli barang-barang untuk dibuat hantaran.

“Lepas Asar,” jawab Hashimah tanpa memandang wajah Zuraida. Matanya tetap tertumpu kepada rancangan televisyen yang sedang ditontonnya.
Zuraida duduk di sebelah Hashimah.

“Macammana, boleh tak kau biasakan diri dengannya?””tanya Zuraida mengalihkan pandangan Hashimah. Hashimah masih mendiamkan diri tetapi tumpuan tidak lagi kepada rancangan yang sedang ditontonnya.
“Aku minta maaf kalau kau tersinggung,” kata Zuraida.

“Kalau aku nak tanya sikit boleh tak?” tanya Zuraida. Hashimah memandangnya sebagai tanda memberi keizinan.
“Azhar di mana sekarang?” tanya Zuraida.

“Aku tak tahulah, Ida. Kalau boleh aku tak nak ingatkan dia lagi. “jawab Hashimah. Zuraida menganggukkan kepala.

“Tapi, aku tak dapat bayangkan, bagaimana kalau aku terserempak dengan Azhar di rumah Datuk Iskandar. Bagaimana pula setelah anak ini lahir? Dia tetap anak Azhar walaupun aku berkahwin dengan orang lain,” luah Hashimah.

“Kalau begitu, jalan terbaik, selepas kau kahwin dengan Azman, ajaklah dia pindah ke rumah lain. Jangan tinggal di rumah itu kerana Azhar pasti akan balik ke rumah itu memandangkan emak dan ayahnya ada di sana,” saran Zuraida. Hashimah diam.

“Ring!” tiba-tiba telefon berdering. Nyaring sekali bunyinya. “Azman agaknya?” teka Zuraida.

“Pergilah kau angkat,” suruhnya. Hashimah bangun. Memang Azman telah berjanji akan menelefonnya untuk mengesahkan samada jadi atau tidak mereka keluar petang ini.
Gagang telefon diangkat. “Hello,” sapa Hashimah.
“Assalamualaikum. Hashimah ada?” sahut suara seorang perempuan di dalam telefon.

“Wa’alaikumussalam. Shima ni. Emak ya?” tanya Hashimah yang mengenali suara perempuan di dalam telefon.

“Yalah, emak ni._Emak ada hal nak cakap dengan kamu ni,” beritahu emaknya. Dada Hashimah berdegup kencang. Tidak pernah lagi ibunya menghubunginya dengan nada yang sebegitu resah.
“Kenapa mak?” tanya Hashimah tidak sabar.
“Kamu tahu tak? Shahrul, kawan kamu semasa di kampung dulu, telah tamat pengajiannya di United Kingdom dan sekarang berada di Kuala Lumpur,” beritahu emaknya. Hashimah tersenyum dengan gelagat emaknya yang mudah menggelabah itu.

“Ooohh…. Shima ingatkan apa halnya. Tentang Shahrul tu, Shima dah tahu. Dia pun pernah telefon Shima di sini,” beritahu Shima. Lega kerana perkara yang ingin diberitahu oleh ibunya, tidaklah berat sangat.
“Kenapa kamu tak beritahu emak?” tanya emaknya lagi.

“Entahlah, mak. Shima rasa perkara ini sudah lama berlalu. Shima fikir dia pun sudah lupakan Shima. Emak tak perlu risau lagi tentang dia. Shima tidak akan bercinta semula dengannya,” beritahu Hashimah menenangkan hati emaknya.

“Adakah kamu beritahu dia yang kamu sudah bertunang?” tanya emak Hashimah lagi.
“Tidak. Rasanya dia tidak perlu tahu,” jawab Hashimah.
“Shima, Shima. Kamu dah buat silap,” kata emaknya lagi seakan mengeluh.
“Silap? Apa yang silapnya, emak?” tanya Hashimah kembali kaget dengan tutur bicara emaknya.
“Sepatutnya kamu beritahu dia bahawa kamu sudah bertunang dan akan berkahwin tidak lama lagi,” kata emaknya lagi.
“Kenapa emak? Apa dah jadi?” tanya Hashimah lagi, tidak. sabar.

“Shahrul menghantar emak dan ayahnya datang ke rumah untuk meminang kamu,” tutur ibunya itu cukup melemahkan tubuh Hashimah. Hashimah terduduk di tepi meja telefon.

“Emak pun beritahulah emak dan ayahnya bahawa kamu telah bertunang dan akan berkahwin bulan depan,” sambung ibunya lagi. Hashimah kembali kepada tabiatnya iaitu menangis. Hanya itulah yang mampu dilakukannya kini.
“Shima, sabar, nak. Semua ini dugaan Ilahi. Jangan pula sebab emak beritahu kau hal ini,
hidup kau jadi kucar kacir.” Kata emaknya lagi.
“Tidak mengapalah, emak. Nanti kalau dia telefon Shima, Shima akan terangkan perkara
sebenar,” sahut Hashimah setelah sebaknya mereda.
“Tidak mengapalah. Hanya itu yang emak nak beritahu kamu. Banyakkan bersabar dan
ingat Tuhan selalu.” Pesan emaknya.
“Baiklah mak, Insya-Allah,” sahutnya.
Gagang telefon diletakkan. Hashimah termenung.

“Apasal Shima?” tanya Zuraida, hairan apabila melihat Hashimah menangis lagi.
“Shah hantar emak ayah dia untuk meminang aku di kampung,” beritahu Hashimah. Zuraida terperanjat.

“Shah meminang kau? Habis tu, apa emak ayah kau jawab?” tanya Zuraida ingin tahu. “Emak dan ayah beritahulah perkara sebenar.” Beritahu Hashimah.

Zuraida diam. Dia pun tidak berani untuk meluahkan pendapatnya kerana dia sendiri terperanjat. Dia tidak sangka Shahrul seberani itu masuk meminang Hashimah tanpa merisik atau bertanyakan dengan Hashimah sendiri.

“Salah Shima juga. Shima yang tidak berterus terang dengannya. Kalau Shima cakap awal-awal dengannya, sudah tentu dia tidak akan buat begini,” keluh Hashimah penuh kekesalan.

Kasihan juga dia:mengenangkan Shahrul. Sudah tentu emak dan ayah Shahrul malu dan Shahrul juga pasti akan kecewa.

“Sudahlah Shima. Bukan salah kau. Shah tu pun satu, terburu-buru meminang kau tanpa bertanya kau terlebih dahulu.” Kata Zuraida menenangkan hati sepupunya itu. Sudah
terlalu banyak bebanan masalah yang memberatkan fikirannya. Hashimah masih duduk di tepi meja telefon.

“Sudahlah Shima. Kau pergilah bersiap. Nanti Azman datang, kamu belum bersiap lagi. Jadilah agaknya tu. Mungkin dia terlupa nak telefon kamu,” kata Zuraida. Hashimah menguatkan dirinya untuk bangun. Dia melangkah lemah menuju ke biliknya. Dia bersiap ala kadar sahaja. Sedikit bedak dan lipstik untuk menutup bengkak di mata dan pucat di wajahnya.

Jam hampir menunjukkan pukul lima petang. Terdengar bunyi kereta memasuki perkarangan rumah mereka.

“Shima, Azman dah sampai,” panggil Zuraida. Hashimah keluar dari biliknya dan mencapai beg tangannya lalu melangkah turun ke ruang tamu. Pintu besar dibukanya. Zuraida hanya memandangnya. Perasaan Zuraida bercampur baur terhadap Hashimah. Kasihan melihat penderitaannya, sedih melihat tangisannya, gembira melihat senyumannya.

“Shima pergi dulu, Ida,” kata Hashimah memberitahu. Sememangnya dia akan memberitahu Zuraida walau ke mana dia akan pergi.

“Baiklah. Jaga diri baik-baik. Semoga bergembira ya!” kata Zuraida bernada mengusik. ^ Hashimah tersenyum memandangnya.

“Tapi mengapa Shima tidak berterus terang dengan Shah pada kali pertama Shah menghubungi Shima dulu?” tanya Shahrul ketika dia dan Hashimah bertemu. Memang Shahrul telah berusaha untuk mendapatkan alamat tempat tinggal Hashimah dan Zuraida di Kuala Lumpur. Dia pelik mengapa Hashimah seringkali mengelak apabila dia mengajaknya bertemu. Dia pasti ada sesuatu yang tidak kena di sebalik kata-kata Zuraida kepadanya tempohari bahawa permasalahan yang melanda sekarang tidak boleh dibicarakan melalui talian telefon.

Dan Hashimah pula tiada pilihan lain selain mengikutnya keluar untuk menjelaskan segala-gala yang telah terjadi kepada dirinya selama ia ditinggalkan oleh Shahrul. Namun segala-galanya adalah diluar pengetahuan Azman mahupun keluarganya. Menurut Zuraida, eloklah jika perkara itu dirahsiakan. Segala-galanya telah jelas kini. Hashimah tidak akan menerima Shahrul lagi, Dia cuma keluar untuk menjelaskan perkara sebenar.

“Bukan Shima tak nak beritahu tapi…” kata-kata Hashimah terhenti di situ.

“Tapi apa Shima? Janganlah berselindung lagi. Shah cukup terasa peritnya kini,” kata Shahrul dengan wajah dan suara yang amat kecewa.

“Shima tidak menyangka Shah akan masuk meminang tanpa memberitahu Shima terlebih dahulu. Dan Shima juga tidak menyangka bahawa Shah masih menyintai Shima setelah enam tahun menghilangkan diri tanpa khabar dan berita,” kata Hashimah satu persatu.

“Siapa kata Shah menghilangkan diri? Bukankah Shima sendiri tahu bahawa Shah ke UK untuk melanjutkan pelajaran? Bukankah Shima sendiri yang menyuruh Shah berbuat demikian?” tanya Shahrul lagi.

Hashimah sebak namun akan dikuatkan semangatnya pada hari itu. Dia mesti berdepan dengan kenyataan. Shahrul mesti diketepikan walaupun masih ada sekelumit perasaan kasih terhadap lelaki itu.

“Shah, enam tahun bukan sekejap. Bermacam-macam perkara boleh terjadi. Yang hidup boleh mati, yang susah boleh senang, yang sakit boleh sembuh. Begitu juga dengan hati dan perasaan kita. Shima tak nafikan, mungkin Shima berpaling tadah kerana membuang cinta Shah dan menerima cinta orang lain. Tetapi bagaimana dapat Shima pastikan bahawa dalam tempoh Shah di tempat orang, Shah tidak bertemu orang lain yang lebih menambat hati Shah. Tambahan pula Shima tiada di sisi, ada pula perempuan lain yang dapat mengisi kekosongan hati Shah di sana,” balas Hashimah. Dia semakin kuat untuk berdebat dengan Shahrul.

Namun wajah lelaki itu tidak dipandangnya. Wajah itu bisa mencairkan hatinya. Bisa menitiskan air matanya dan bisa membuat hatinya meronta-ronta memandangkan dia masih menyintai lelaki itu. Dia cuba menepis perasaan itu. Kerana dialah yang berdosa.

“Shima, Shah tak sangka sebegitu perasaan Shima terhadap cinta Shah. Bukankah Shah telah berjanji bahawa Shah akan kembali kepada Shima walau berapa lama Shah tinggalkan Shima?” tanya Shahrul lagi tidak puas hati.
“Shah, itu kata Shah. Shah tahu tak bagaimana perasaan Shima sepanjang Shah tiada di sini, tiada di sisi Shima? Shah sepatutnya fikirkan bagaimana Shima dapat melalui hidup ini tanpa Shah di sisi? Janganlah Shah meletakkan kesalahan ini hanya di bahu Shima, Shah harus fikir juga silap Shah.” Kata Hashimah masih tidak mahu mengaku kalah.
Shahrul diam. Pandangannya dilemparkan jauh ke permandangan di hadapannya. “Shah, segalanya telah tersurat. Jodoh pertemuan di tangan Tuhan. Mungkin antara kita ada pertemuan tetapi tiada jodoh. Terima sajalah suratan ini. Bukan Shah seorang dan bukan Shima seorang, kita sama-sama hadapinya.” Kata Hashimah sambil menatap wajah lelaki yang dirinduinya itu.
Shahrul muram. Dia diam tanpa sepatah kata. Mungkin kecewa atau tidak mahu berdebat dengan Hashimah. Namun, harapannya kian punah. Impiannya kian hancur.
“Baiklah, Shah terima_ketentuan ini. Tetapi, bolehkah Shima beritahu siapa lelaki yang berjaya merampas hati Shima dari Shah?” tanya Shahrul ingin tahu.
“Kalau boleh, Shima tidak mahu berbicara tentangnya,” kata Hashimah. Shahrul menganggukkan kepala tanda faham. Namun hatinya masih belum puas.

“Bagaimana Shima menemuinya? Bagaimana Shima boleh jatuh cinta kepadanya,” tanyanya.
“Bukankah sudah Shima katakan, Shima tidak mahu memperkatakan tentangnya,” kata
Hashimah.
“Kenapa? Takut untuk menerima kenyataan atau ada cerita lain disebaliknya?” tanya Shahrul membuatkan Hashimah tersentak.
“Kenapa diam Shima? Terangkanlah kepada Shah sejelas-jelasnya supaya Shah tidak
meraguinya.” Kata Shahrul seperti merayu.

Hashimah masih diam. Dia tidak tahu bagaimana untuk menerangkan perkara yang telah melanda dirinya sejak kebelakangan ini. Bagaimana hendak dia terangkan bahawa dia sedang mengandungkan anak lelaki bernama Azhar dan akan berkahwin dengan lelaki lain bernama Azman sedangkan hatinya masih merindu lelaki bernama Shahrul. Bagaimana? Bagaimana?

“Shima, Shah yakin kepada keteguhan cinta Shima kepada Shah. Hanya sesuatu kejadian yang mampu mengubah hati Shima daripada Shah kepada lelaki lain. Entah mengapa, Shah amat yakin dengan kenyataan ini,” kata Shahrul lagi apabila melihat Hashimah tetap měndiamkan diri. Dia yakin sesuatu telah terjadi, jika tidak, masakan Hashimah berpaling tadah daripada janji kepadanya.
Shahrul masih ingat pada hari terakhir mereka bertemu. Shima memberikan kepadanya sehelai saputangan yang dijahitnya sendiri. Di atas helaian saputangan itu, tertulis ayat, “Kejarlah ilmu itu. Shima akan sentiasa menantimu di sini. Hanya kematian yang akan memisahkan kita,” Begitu terharu hati Shahrul di kala membaca ayat itu.

Shahrul menjeling ke arah jari manis Hashimah. Cincin yang diberikannya masih dipakai oleh Hashimah sehingga ke hari ini. Shahrul bertambah yakin bahawa Hashimah masih menantikan kepulangannya.

“Shima, kenapa Shima masih memakai cincin yang Shah beri?” tanya Shahrul membuatkan Hashimah tersentak dari lamunan yang seketika cuma. Hashimah tetap diam. Lidahnya kelu sekali untuk meneruskan bicaranya sěbagaimana lantangnya dia menyuarakan debatnya sebentar tadi.

“Shima, saputangan yang Shima jahitkan kata-kata indah di atasnya yang Shima berikan kepada Shah enam tahun yang lepas, masih Shah simpan. Itulah yang sering mengingatkan Shah kepada Hashimah. Itulah yang menjadi peneman Shah setiap kali belajar di kala sunyi. Tatkala Shah memandang perempuan lain, wajah Shima akan melintas di hadapan Shah. Jadi, hati Shah kembali berbunga. Shima tetap di dalam hati Shah walau di mana Shah berada. Percayalah,” kata Shahrul lagi.

Namun Hashimah tetap membatu. Lidahnya semakin kelu untuk berkata-kata. Dadanya diburu sebak. Hatinya kembali berbunga untuk menerima Shahrul tetapi dia terpaksa melawan kata-kata hatinya itu. Dirinya telah dimiliki oleh orang lain. Shahrul terlalu baik. Hashimah merasakan dirinya tidak layak untuk Shahrul. Dirinya telah temoda. Dosa yang dibuatnya bukanlah untuk ditanggung oleh Shahrul.

“Shima, kenapa Shima diam? Tolonglah berkata-kata dengan Shah. Bukankah pertemuan kita ini untuk menjelaskan segalanya yang tersembunyi? Kenapa Shima? Apa yang telah terjadi kepada Shima?” tanya Shahrul lagi tanpa putus asa. Namun segalanya hampa. Hashimah masih membatukan diri.

“Baiklah Shima. Kalau Shima masih menyalahkan Shah. Shah minta maaf. Mungkin ini semua salah Shah. Shah akuinya. Tapi tolonglah berbicara dengan Shah. Shah akan lakukan apa saja untuk menebus salah Shah kepada Shima asalkan Shima sedia terima Shah kembali,” kata Shahrul masih mengharapkan Hashimah menerimanya.

“Kalau Shima masih berdiam diri begini, Shah akan bertanya kepada Ida. Apakah Shima mahu orang lain masuk campur dalam urusan kita?” tanya Shahrul. Hashimah mengangkat kepalanya.

“Bukan salah Shah. Shima yang bersalah. Shima yang berdosa. Dan dosa yang Shima lakukan membuatkan diri Shima tidak layak untuk Shah. Shah carilah perempuan lain yang lebih baik dan lebih suci daripada Shima,” kata Hashimah menahan sebak.
“Apa maksud Shima?” tanya Shahrul mula terasa kelainan pada tutur bicara gadis itu.

“Shima bukan gadis lagi. Shima telah mengandungkan anak luar nikah, Shah,” kata Hashimah berterus terang. Wajahnya sayu sekali. Air matanya mengalir lesu. Namun Hashimah tidak teresak-esak. Tiada sedu sedannya. Hanya air matanya sahaja yang mengalir membasahi pipi. Shahrul tergamam.

“Anak siapa?” tanyanya ingin tahu. Hashimah menggeleng-gelengkan kepala.

“Beritahu Shah, Shima. Adakah lelaki yang akan mengahwini Shima itu adalah bapa kepada bayi dalam kandungan Shima?” tanya Shahrul lagi. Hashimah menggeleng-gelengkan
“Kalau begitu, siapa bapanya? Dan kenapa Shima akan berkahwin dengan orang lain?” tanya Shahrul lagi. Dia hairan dengan cerita Hashimah.

“Shima, beritahu Shah, siapa yang bertanggungjawab ke atas kandungan Shima?” tanya Shahrul. Hashimah tidak dapat menahan sedunya. Dia kembali teresak-esak. Bagaimana Hashimah hendak memberitahu Shahrul? Sudah pastilah Shahrul mengenalinya memandangkan Azhar adalah barisan penyanyi baru yang boleh dikatakan terkenal. Cuma sekarang, cerita mengenainya berkurangan dan tidak dapat dikesan dimanakah dia berada. Tetapi sudah pasti Shahrul mengenalinya.

“Tidak mengapalah Shahrul. Walau siapapun dia, Shahrul tidak perlu ambil tahu. Ini dosa Shima, jadi Shima yang akan menanggungnya sendiri,” kata Hashimah tegas.

“Tapi, siapa pula yang akan berkahwin dengan Shima?” tanya Shahrul tidak puas hati.

“Itu juga tidak perlu Shahrul tahu. Antara kita kini sudah tiada pertalian. Kita tiada hubungan.” Kata Hashimah lagi masih dengan keputusannya.

Hashimah mencabut cincin pemberian Shahrul yang masih dipakainya, lalu meletakkan di atas meja tempat mereka sedang duduk minum. Tetapi Shahrul menolaknya.

“Cincin ini milik Shima dan tiada siapa-yang akan memakainya selain daripada Shima,” kata Shahrul. Shima diam.
“Shima, untuk menebus dosa Shah kepada Shima, Shah bersedia menerima Shima untuk
menjadi isteri Shah,” katanya Shahrul. Hashimah tersentak.

“Shah, Shah sedar tak apa yang Shah katakan ini?” tanya Hashimah, tidak percaya
dengan apa yang didengainya.

“Shah bersungguh-sungguh dan Shah amat berharap agar Shima tidak menghampakan Shah,” kata Sharhil memandang tepat wajah Hashimah. Wajah yang amat dirinduinya itu dan tidak akan lupakannya. Mereka berpandangan sesama sendiri.
Tiba-tiba Hashimah tersentak sendiri.Pandangannya dialihkan ke tempat lain.
“Kenapa Shima?” tanya Shahrul.
“Tidak Shah. Segalanya tidak mungkin. Kita tidak mungkin bersatu. Shima telah dimiliki oleh orang lain. Shima akan berkahwin dengannya tidak lama lagi.” Kata Hashimah menyedarkan dirinya sendiri dengan hakikat yang harus ditempuhnya.

Shahrul mengeluh panjang. ” Shima belum berkahwin dengannya. Shima masih bebas. Dan Shah yakin, Shima masih menyayangi Shah. Bukankah Shima sendiri pernah menyatakan bawah hanya kematian yang boleh memisahkan kita.” Kata Shahrul masih belum putus asa.
“Tidak Shah. Ini semua ketentuan Tuhan. Kita hanya merancang tapi sěgalanya telah ditentukan oleh-Nya.” Kata Hashimah lagi.

“Tidak mengapa. Shima jangan buat keputusan sekarang. Shima akan berkahwin bulan hadapan. Jadi, Shima masih ada masa sebulan untuk menentukan siapa suami Shima dan Shah harap, Shah tidak akan kecewa.” Kata Shahrul. Hashimah terus membatukan diri. Sukar untuknya menolak Shahrul lagi.

Mereka pulang ketika matahari hampir tenggelam. Shahrul menghantar Shima sehingga ke pintu rumah. “Shah akan sentiasa merindui Shima,” ucapnya sebelum Hashimah keluar dari kereta dan meninggalkannya. Hashimah diam sahaja. Namun hatiya berbunga riang. Dia bahagia apabila lelaki yang diidamkannya masih menyintai dirinya dan sanggup menanggung kesusahan bersamanya. Hashimah bahagia.

“Apa cerita kau dan Shah siang tadi? Lama betul kamu berdua keluar. Aku bimbang juga kalau-kalau Azman telefon,” kata Zuraida pada sebelah malamnya ketika mereka berdua berehat di ruang tamu selepas makan malam.

“Tiada apa-apa,” jawab Hashimah.

“Janganlah kau nak tipu aku Shima. Mata kau yang bengkak itu sahaja sudah menjelaskan sesuatu,” kata Zuraida menyangkal jawapan Hashimah.

“Tiada apa yang istimewa. Segala-galanya telah kau ketahui,” kata Hashimah lagi. “Bagaimana reaksinya?” tanya Zuraida lagi ingin tahu. Hashimah diam.
“Ceritalah padaku, Shima,” rayu Zuraida. Teringin juga dia mengetahui kejadian siang tadi.
Sebenarnya Zuraida masih kesal dengan segala yang telah terjadi. Kerana dialah, Shahrul dan Hashimah tidak dapat hidup bersama pada hari ini. Jika dia tidak beriya-iya menyuruh Hashimah menerima Azhar, tentu sekarang Shahrul dan Hashimah bahagia. Dia yang menghasut ibubapa Hashimah untuk menerima pinangan dari keluarga Azhar.
Tapi semua itu dilakukan kerana dia sayangkan Hashimah. Dia tidak mahu Hashimah seperti menanti buah yang tidak akan gugur. Namun siapa menyangka, tempoh lima tahun tidak berjaya mengubah hati Shahrul kepada Hashimah. Hanya Hashimah yang berubah, itupun atas kehendak ibubapa Hashimah yang telah didesak oleh Zuraida sendiri!
“Shah ingin mengambil aku menjadi isterinya,” beritahu Hashimah. Zuraida tersentak.
“Adakah dia tahu segala-galanya?” tanya Zuraida. Hashimah menganggukkan kepala sebagai isyarat mengiyakan kenyataan Zuraida. Zuraida tergamam. Sampai begitu sekali cinta Shahrul terhadap Hashimah.
“Shah tahu siapa bapa kepada bayi dalam kandungan Shima?” tanya Zuraida. Hashimah menggelengkan kepala.
“Dia tahu Shima nak kahwin dengan siapa?” tanyanya lagi dan Hashimah masih menggelengkan kepala.

Satu keluhan panjang terdengar jelas lahir dari bibir Zuraida. “Habis tu, macammana sekarang? Kau nak terima dia atau terus saja berkahwin dengan Azman?” tanya Zuraida memandang tepat wajah sepupunya. Hashimah kelihatan tenang. Dia sendiri tidak pasti apakah jawapan yang perlu diucapkan.

“Shima, bagaimana dengan kau sendiri? Adakah kau masih mengharapkan Shahrul untuk menjadi suamimu?” tanya Zuraida tidak puas hati dengan sikap berdiam diri Hashimah itu.

Giliran Hashimah pula melepaskan satu keluhan berat. Hashimah bangun. Melangkah lemah ke tingkap. Jendela diselaknya perlahan. Pandangan dilemparkanjauh ke halaman rumah.

“Entahlah, Ida. Terus terang aku katakan, aku masih menyayangi Shahrul dan amat merinduinya. Tapi Shima terbatas. Ada satu tembok tinggi yang menghalang antara Shima dan Shahrul. Shima tidak boleh menjadikan Shah sebagai tempat Shima melepaskan kesalahan Shima. Telah Shima jelaskan segalanya kepada Shahrul tetapi dia suruh Shima berfikir dahulu,” kata Hashimah. Zuraida tunduk.

“Bagaimana dengan Azman?” tanya Zuraida.

“Azman terlalu baik. Memang Shima tiada perasaan cinta terhadapnya tetapi Shima tidak sanggup mengecewakannya. Menghancurkan harapannya sama seperti dia melepaskan anjing yang tersepit.” Kata Hashimah.

“Shima tak tahu apa nak buat sekarang ni. Barang-barang hantaran telah dibeli dan segala persiapan untuk perkahwinan telah dibuat.” Kata Hashimah lagi. Zuraida masih berdiam diri.

“Mungkin cinta Shima adalah kepada Shahrul, tapi tetap akan teruskan perkahwinan dengan Azman. Shima telah berjanji kepada emak dan ayah yang Shima akan ikut kehendak mereka. Dan Shima takkan kecewakan mereka untuk kali kedua.” Balas Hashimah.

Zuraida terpempan. Lidahnya kelu untuk berkata-kata. Lagipun tiada apa yang perlu di luahkan olehnya. Segala-galanya telah tersurat dan Hashimah telah membuat keputusannya. Ekor matanya hanya memandang langkah longlai Hashimah menaiki anak tangga menuju ke biliknya. Mungkin hendak membersihkan diri dan menghambakan diri kepada Allah, di tengah malam nan dingin.

Keesokan harinya, ketika Hashimah melangkah turun dari pejabatnya, sebuah kereta meluncur laju dan barheijti di hadapannya. Hashimah tersentak. Shahrul keluar dari kereta lalu menjemputnya masuk untuk dihantar pulang.

Hashimah mengeluh. Dia telah cuba untuk tidak menyambut panggilan telefon, tapi kini, lelaki itu datang menjemputnya dari pejabat. Dia telah berusaha untuk mengambil kerja lebih masa agar dia tiada di rumah tatkala Shahrul menelefonnya ke rumah. Dia bernekad untuk menaiki bas untuk balik dari tempat kerja dan tidak lagi menaiki kereta bersama Zuraida bagi mengelakkan bertemunya dengan lelaki itu, tetapi lelaki itu masih mengekorinya.

“Takkan tak sudi naik kereta Shah?” pelawa Shahrul apabila Hashimah membatukan diri. “Silalah naik. Kenapa? Takut?” tanya Shahrul. Hashimah tiada pilihan. Dia melangkah masuk ke dalam kereta yang telah dibukakan pintunya oleh Shahrul.
“Apa kata kita pergi minum dulu?” ajak Shahrul memulakan perbualan.
“Tak payahlah, Shah. Shima nak balik cepat. Badan pun penat ni. Kerja banyak sangat.
Esok nak kena masuk awal ke pejabat.” Dalih Hashimah.
Shahrul menganggukkan kepalanya tanda mengikut kemahuan Hashimah. Kereta terus dipandu perlahan-lahan dan sungguh berhati-hati. Hashimah terpesona dengan cara pemanduan Shahrul. Tetapi dia buat endah tak endah saja. Namun hatinya tetap bergetar, jiwanya tetap bergelora. `Shahrul, Kau terlalu istimewa buat ku,” rintih hatinya.

“Bagaimana Shima? Apa keputusan Shima? Adakah Shima telah bersedia untuk menjadi isteri Shah?” tanya Shahrul di pertengahan jalan. Lamunan Hashimah terbantut. Namun dia tidak menjawab soalan Shahrul.

“Shima, berilah keputusan Shima. Shah akan terima apa saja keputusan Shima. Shah tidak akan paksa Shima. Namun terns terang Shah katakan, kalau keputusan yang Shima beri adalah menghampakan, Shah akan kecewa. Amat sukar untuk Shah melupakan Shima. Tetapi Shah mahu keputusan itu keluar dari mulut Shima sendiri. Bukan di atas pengaruh orang lain.” Kata Shahrul tenang.

“Shah, mungkin antara kita telah tersurat untuk berpisah di sini saja. Shima telah buat keputusan. Shima akan berkahwin dengan Azman,” kata Hashimah.

“Azman?” tanya Shahrul kerana inilah kali pertama Hashimah menyebut nama bakal suaminya.

“Ya, Azman. Dialah bakal suami Shima,” kata Hashimah tegas.
“Sudahlah Shah. Shima tidak mahu memperkatakan tentang apa jua perkara ini. Tolonglah,” rayu Hashimah. Dia tidak mahu lagi memikirkan tentang perkara itu. Dia tidak sanggup lagi menatap wajah Shahrul yang jelas menunjukkan kekecewaan. Hashimah sebak memandang wajah Shahrul yang begitu.

“Maafkan Shima, Shah,” ucap Hashimah perlahan, mungkin menahan sebak di dada.

Shahrul akur. Tiada lagi patah-patah kata yang terbit dari bibirnya. Harapannya hampa kini. Kecewa sekali. Ini keputusan Hashimah dan satu hakikat yang paling sukar untuk dia
menerimanya. Namun, Shahrul mengakui keesaaan Tuhan dan keadilan-Nya. Dia masih mengharap agar jodohnya masih ada bersama Hashimah. Dan dia akan berdoa, semoga mereka masih diizinkan untuk hidup bersama. Dia sedar dan yakin, Hashimah masih menyayanginya. Namun mereka terhalang oleh keadaan dan kejadian. Ujian Ilahi menimpa kini dan harus ditempuhi dengan hati yang cekal dan ketenangan.

One thought on “DOSA SEMALAM

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s