DOSA SEMALAM

Bab 5

Tepat jam dua pagi, kelihatan motosikal kuasa tinggi milik Azhar memasuki perkarangan rumah banglo kepunyaan emak dan ayah yang bakali diwarisi oleh dua orang adik-beradik, Azman dan Azhar. Azhar mematikan enjin motorsikalnya dan masuk ke dalam rumah. Sengaja lampu tidak dipasang bagi mengelakkan emak atau ayahnya terjaga dari tidur. Namun, dari suatu sudut di ruang tamu, kelihatan kerusi malas milik ayahnya bergerak-gerak seperti sedang digunakan. Azhar melangkah perlahan untuk melihat siapakah yang masih berada di situ pada waktu-waktu begini.

“Eh, ayah! Kenapa tidak tidur lagi?” tanyanya separuh terperanjat apabila mendapati Datuk Iskandar masih belum tidur. “Ayah belum mengantuk,” jawab Datuk Iskandar tanpa memandang wajah ayahnya. “Kenapa ayah duduk di dalam gelap begini? Kenapa tak pasang lampu?” tanya Azhar lagi. Dia hairan dengan sikap ayahnya itu. “Sengaja ayah tak pasang lampu. Ayah nak lihat musang masuk reban ayam. Kalau pasang lampu, musang tak berani datang mengendap ayam,” sahut Datuk Iskandar lagi. Dahi Azhar berkedut. “Apa maksud ayah ni? Apa yang ayah nak cakap?” tanya Azhar apabila mendapati terdapat kelainan pada tutur kata ayahnya.

“Kamu dari mana?” tanya Datuk Iskandar tanpa menjawab soalan Azhar. Dia masih lagi duduk di atas kerusi malasnya memandang ke dinding yang gelap itu. “Azhar ada sesi fotografi. Dah malam baru habis. Lepas itu pergi makan dengan member. Kemudian barulah balik,” beritahu Azhar terus terang. Sememangnya dia jarang menipu.

“Takperlah ayah. Zaha masuk bilik dulu,” kata Azhar meminta diri untuk pergi ke biliknya, “Adakah kamu akan tidur sebelum ayah terlena?” tanya Datuk Iskandar pula. Langkah Azhar terhenti. Dahinya kembali berkedut. ‘Apa maksud ayah aku ni?’ tanya hati kecilnya. Dia kembali mendapatkan ayahnya. “Kenapa ayah?” tanyanya. Dia yakin, ada sesuatu yang ayahnya ingin katakan kepadanya.

“Ayah tanya kamu, adakah kamu akan tidur sebelum ayah terlena?” tanya Datuk Iskandar lagi. “Apa maksud ayah?” tanya Azhar kurang mengerti dengan maksud ayahnya. “Ayah belum lagi tidur, tapi kamu sudah dahulu terlena. Jadi, ayah dapat lihat kamu sedangkan kamu tidak dapat melihat ayah,” kata Datuk Iskandar masih berbunga kata-kata. Azhar diam. Sememangnya dia tidak faham dengan apa yang ayahnya cuba terangkan kepadanya. Datuk Iskandar bangun dari kerusi malasnya. Dia melangkah ke tingkap. Satu keluhan panjang lahir dari mulutnya.

Suasana sunyi seketika. Azhar setia menunggu bicara Datuk Iskandar seterusnya. “Kenapa kamu tak buka lampu apabila balik lewat?” tanya Datuk Iskandar. “Zaha tak mahu ganggu orang lain yang dah tidur. Nanti emak dan ayah terjaga pula.” Azhar memberi alasan. “Tidak mahu mengganggu orang lain atau untuk melarikan diri dari orang lain?” tanya Datuk Iskandar. Azhar diam. Dia tunduk ke lantai. Dia masih belum faham sepenuhnya, apa yang cuba disampaikan oleh ayahnya. Sememangnya sejak dia menjadi artis, dia sering pulang lewat dan tidak memasang lampu. Kenapa baru sekarang ayahnya menegur.

“Azhar. Ayah sayangkan anak-anak ayah. Dan anak-anak ayah hanya ada dua orang. Orang tua-tua sering berkata, dalam setandan kelapa yang berasal dari benih yang baik, pasti ada yang tidak elok. Seboleh-bolehnya ayah nak buktikan bahawa kata-kata itu tidak benar keseluruhannya. Ayah mahu buktikan bahawa setandan kelapa milik ayah adalah baik keseluruhannya. Adakah ayah berjaya?” tanya Datuk Iskandar. “Kenapa ayah cakap begitu?” tanya Azhar masih terpinga-pinga. “Adakah ayah berjaya mendidik anak ayah untuk menjadi manusia berguna?” tanya Datuk Iskandar dengan lebih tepat. “Ayah berkata-kata seperti ayah telah gagal menjadikan Zaha sebagai orang yang berguna,” sahut Azhar yang mula memahami pucuk pangkal persoalan ayahnya.

“Ayah tidak kata ayah telah gagal mendidik Azhar, tapi ayah nak Azhar fikir sendiri. Adakah ajaran ayah telah Azhar praktikkan?” tanya Datu Iskandar. “Baiklah. Cuba ayah beritahu Zaha, apa kesalahan yang telah Zaha lakukan?” tanya Azhar semula. “Itulah soalan yang hendak ayah ajukan kepada kamu,” sahut Datuk Iskandar.

“Maksud ayah, Hashimah?” tanya Azhar apabila telah berjaya memperolehi tajuk utama persoalan ayahnya. Datuk Iskandar diam. Azhar melangkah menghampiri ayahnya. Dia turut memandang keluar. “Ayah, itu bukan anak Zaha,” sahut beritahu Azhar. “Bagaimana kau begitu yakin?” tanya Datuk Iskandar lagi memandang tepat ke wajah anaknya. “Ayah, Zaha dah lama tak jumpa dia. Zaha sibuk dengan pertunjukan pentas. Ayah pun tahu tentang perkara ini kan?” kata Azhar tidak mengaku. “Kalau ayah katakan kamu menipu,” cabar Datuk Iskandar. “Ayah, percayalah kata-kata Zaha. Itu bukan anak Zaha,” tegas Azhar lagi. “Bila kali terakhir kamu berjumpa dengan Shima?” tanya Datuk Iskandar. “Eemmmm… hari raya dulu di rumah ini,” beritahu Azhar penuh yakin. “Penipu!” jerit Datuk Iskandar. Datin Salmah terperanjat. Dia bangun dari tidur dan berkejar ke ruang tamu untuk melihat apa yang telah terjadi.

Azhar kelihatan tergamam. Datin Salmah segera mendapatkan anaknya. “Kenapa dengan abang ni? Dah gila agaknya.” Katanya sambil memeluk anaknya. “Zaha tidak bersalah mak,” katanya. “Emak percayakan kamu. Jangan ikut sangat kehendak ayah kamu. Pergilah masuk tidur,” suruh Datin Salmah. Azhar melangkah masuk ke biliknya.

“Abang, kenapa ni? Takkanlah abang lebih percayakan orang lain daripada anak sendiri. Abang tidak yakin dengan didikan yang telah abang berikan kepada anak-anak. Takkanlah mereka berbuat salah pula.” Tegas Datin Salmah. Suaranya ditinggikan sedikit. Dia marah apabila suaminya menyebelahi orang lain. “Mah, Abang manusia biasa, anak-anak kita juga manusia biasa. Kita bukan malaikat yang tidak pernah berbuat dosa. Abang kenal anak-anak Abang.” Kata Datuk iskandar perlahan. “Habis, Abang fikir Mah tak kenal anak-anak Mah?” tanya Datin Salmah seterusnya mencabar Datuk Iskandar.

“Mah, cubalah berfikir sedikit. Hashimah tu bukannya perempuan kota yang sosial. Kita kenal keluarga dia. Abang kenal sangat dengan bapanya.” Kata Datuk Iskandar masih memperlahankan suaranya. “Habis tu, anak kita yang tidak baik?” tanya Datin Salmah. “Abang cuma nak penjelasan daripada Azhar. Abang bukan nak paksa dia. Tapi sehingga kini, Abang tidak dapat menerima segala alasannya.” Kata Datuk Iskandar dengan nada kesal. “Abang nak paksa dia mengaku? Biar anak kita tu jadi Pak Sanggup. Bertanggunjawab di atas kesilapan orang lain?” kata Datin Salmah lagi. Datuk Iskandar diam. Dia tidak mahu lagi bertegang urat berdebat dengan isterinya. Sememangnya Azhar akan menang di mata Datin Salmah.

“Hujung minggu ini kita ke rumah orang tua Hashimah,” beritahu Datuk Iskandar. “Nak buat apa?” tanya Datin Salmah masih dengan nada keras. “Itu keputusan Abang. Kita ke rumah Hashimah dan bincangkan tentang perkara ini,” kata Datuk Iskandar. “Mah tak mahu,” sahut Datin Salmah acuh tak acuh. “Mana satu awak nak ikut, suami atau anak awak?” tanya Datuk Iskandar. Suaranya sedikit meninggi. Datin Salmah diam. Dia bangun lalu melangkah masuk ke dalam biliknya.

Dalam masa yang sama, Azman tidak tidur lena di biliknya. Dia mendengar segala yang telah berlaku tapi dia mengambil sikap berdiam diri kerana pada pendapatnya, dia tidak perlu masuk campur dalam urusan itu. Tetapi perasaannya semakin berkecamuk apabila memikirkan sekiranya benar adiknya telah terlanjur sehingga menyebabkan terhasilnya janin di dalam kandungan Hashimah, dia tidak boleh berdiam diri.

Azman memusing-musingkan badannya di atas katil bertilam empuk. Dia melihat jam di dinding yang mana jarumnya menunjukkan tepat jam empat pagi. Tiba-tiba terdengar olehnya pintu bilik Azhar terbuka dan ditutup dengan kuat. Terdengar bunyi tapak kaki melangkah menuruni tangga.

“Kamu nak ke mana Azhar?” terdengar suara ayahnya bertanya. “Zaha nak keluar dari rumah ini.” Sahut Azhar sambil meletakkan beg yang telah penuh diisi dengan pakaian-pakaiannya. “Kenapa pula?” tanya Datuk Iskandar. “Zaha tak sanggup dituduh melakukan perkara yang tidak Zaha lakukan,” sahutnya tanpa memandang ke wajah ayahnya. “Kalau kau tidak lakukannya, kenapa mesti takut?” tanya Datuk iskandar mencabar anaknya. “Siapa kata Zaha takut?” sambut Azhar semakin tinggi suaranya. “Kalau kamu tidak takut, kenapa kamu mesti keluar dari rumah ini? Kita ada Tuhan. Kenapa tidak memohon petunjuk dari-Nya untuk membuktikan yang diri kau tidak bersalah?” tanya Datuk Iskandar lagi. Azhar diam.

Serentak dengan itu, Datin Salmah keluar dari biliknya. “Kamu nak ke mana ni Azhar? Jangan tinggalkan mak, nak,” rayu Datin Salmah sambil mengusap bahu Azhar. Azhar tetap membatukan diri. “Kami tidak akan paksa kamu berkahwin dengan Hashimah. Percayalah.” Pujuk Datin Salmah lagi. “Tidak mak. Zaha tetap akan pergi dari sini. Ayah seperti tidak mempercayai Zaha lagi. Dia lebih percayakan orang lain,” sahut Azhar mencabar ayahnya lagi. “Ayah tidak kata ayah tidak percayakan kamu. Tapi jawapan-jawapan kamu terhadap kemusykilan Ayah amatlah tidak memuaskan. Kamu tidak boleh lari dari masalah kerana masalah itu akan sentiasa memburu kamu. Jika kamu bersalah, mengaku sajalah. Perkara ini akan menjadi lebih mudah. Tidak semestinya dengan berkahwin, tapi mungkin ada cara lain untuk kita selesaikan masalah ini. Cuma Ayah tak mahu anak-anak Ayah menjadi orang yang tidak bertanggungjawab.” Terang Datuk Iskandar. Azhar mendiamkan diri. “Abang, sudahlah bang. Pujuklah dia. Kenapa Abang sanggup kehilangan anak demi menjaga kepentingan orang lain?” kata Datin Salmah separuh menengking.

“Zaha nak pergi sekarang!” kata Azhar sambil mengangkat begnya. “Jangan pergi, nak,” rayu Datin Salmah. “Biarkan dia pergi. Kalau dia tidak bersalah, dia tidak akan melangkah keluar dari rumah ini. Tapi kalau dia melangkah keluar juga, bermakna anak dalam kandungan Hashimah adalah anaknya,” tegas Datuk Iskandar tanpa memandang wajah Azhar. Azhar diam.

“Emak, kenapa dengan Ayah ni?” kata Azhar lagi. Suasana sunyi seketika. “Kalau Ayah masih mengatakan bayi dalam kandungan Hashimah itu adalah anak Azhar, lebih baik Ayah sahaja yang berkahwin dengannya!” jerit Azhar. Pang! Satu tamparan hinggap di pipinya. Azhar terduduk. Mengalir darah pelat dari bibir dan hidungnya.

“Kau ingat kau sedang bercakap dengan hamba abdi?” tengking Azman yang tidak tahan dengan kata-kata kesat adiknya itu. Dia sememangnya telah lama berdiri di sebalik dinding di ruang tamu untuk mendengar pertengkaran ahli keluarganya itu. Datin Salmah membantu Azhar bangun. “Azman, kenapa kau tampar adik kau?” tanya Datin Salmah. “Kerana dia kurang ajar,” jawab Azman spontan. “Tapi dia cuba membela dirinya,” kata Datin Salmah memihak kepada Azhar. Dia mengelap darah yang mengalir di hidung Azhar.

“Cuba membela dirinya atau cuba menegakkan benang yang basah?” tanya Azman seolah kecewa dengan sikap emaknya yang terlalu memanjakan Azhar. Azhar bangun menghadap abangnya. “Jadi, Abang pun percayalah dengan tuduhan ini?” tanya Azhar. “Ya, Abang percaya, bayi dalam kandungan Hashimah adalah bayi kau!” tegas Azman memandang tepat wajah Azhar. Azhar mengangkat bahu dan kening serentak. “Baiklah, kalau itu yang Abang dan Ayah katakan. Azhar mengaku, memang itu adalah bayi Azhar. Tapi Ayah dan Abang mesti akui, bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi. Lagipun pada masa itu, ada seseorang yang meletakkan ubat pelali ke dalam minuman kami. Jadi, bukan salah Zaha. Zaha pun tidak berniat untuk melakukannya,” cerita Azhar terus terang. Datun Iskandar diam. Datin Salmah terduduk. Azman turut terdiam.

“Sekarang, Zaha nak keluar dari rumah ini. Dan ini keputusan Zaha, Zaha takkan berkahwin dengan Hashimah.” Kata Azhar dengan pendiriannya. Datuk Iskandar dan Datin Salmah masih berdiam diri. Azhar mengangkat begnya. “Ingat Azhar, walau ke mana kau pergi, dosa ini akan memburu kau. Dosa kamu kepada Hashimah, pada emak dan ayah. Kau akan terima balasan dari-Nya. Aku tak anggap kau sebagai adikku lagi,” sahut Azman bertegas. Dadanya berombak kencang menahan marah yang keterlaluan. Dia cuba menahan dirinya sendiri daripada melakukan sesuatu yang di luar jangkaannya.

Azhar melangkah tenang menuju ke pintu. Sebentar kemudian, terdengar deruman enjin motorsikal kuasa tingginya meninggalkan perkarangan rumah banglo yang semakin dihimpit resah itu. Datuk Iskandar masih berdiri di tempatnya tadi. Datin Salmah menangis teresak-esak. Azman melangkah ke arah ibunya dan memapah ibunya bangun lalu menghantarnya ke bilik. “Sudahlah emak. Segala-galanya telah berlaku. Emak menangis air mata darah sekalipun, tetap nyata, bayi dalam kandungan Hashimah adalah cucu emak,” kata Azman sambil membaringkan emaknya di atas katil. Datin Salmah diam. Selepas menyelimutkan emaknya, Azman keluar dan menutup pintu bilik. Dia melangkah tenang ke ruang tamu dan melihat ayahnya. Datuk Iskandar sedang duduk di atas kerusi malasnya sebagaimana keadaannya ketika Azhar pulang ke rumah tadi.

Azman melangkah ke arah ayahnya. “Ayah,” panggilnya perlahan. Datuk Iskandar diam. Kerusi malasnya terus bergoyang. “Sudahlah ayah. Perkara dah terjadi. Nasi sudah menjadi bubur. Mungkin ada hikmah di sebalik kejadian ini,” kata Azman ingin menenangkan hati ayahnya. “Memang ada hikmahnya. Terlalu besar hikmahnya, Man. Kini baru ayah sedar, betapa silapnya langkah ayah. Ayah berjaya membina sebuah empayar perniagaan yang terkenal bukan sahaja di Malaysia, malah juga di Jepun, Korea dan Hong Kong. Tidak mustahil ayah akan berjaya memperkenalkan empayar perniagaan ayah ini ke seluruh pelosok dunia termasuklah di negara-negara dunia ketiga. Itulah perniagaan ayah. Yang paling besar berjaya ayah lakukan. Tapi seorang anak yang hanya ada sepotong hati, tidak berjaya ayah lengkapkan dengan ilmu dunia dan akhirat. Ayah tersilap. Ayah menyesal, Man. Ayah menyesal!” keluh Datuk Iskandar sambil menutup mukanya dengan kedua telapak tangannya. Azman tertunduk ke lantai. Dia tidak pernah melihat ayahnya bersedih sebegitu. Walaubagaimana besar masalah yang dihadapi, ayahnya tidak pernah mengeluh. Ayahnya tidak pernah merintih dan berputus asa sepertimana yang dilihatnya sekarang. Ayahnya berlainan sama sekali. Ayahnya seperti seorang buta yang kehilangan tongkatnya.

“Ayah malu, Man. Apa yang perlu ayah katakan kepada emak dan ayah Hashimah di kampung nanti. Dulu, ayah beriya-iya mahukan anaknya menjadi menantu rumah ini. Itupun atas kehendak Azhar. Walaupun ditolak, ayah tidak berputus asa kerana ayah kenal Hashimah. Budaknya baik dan sopan santun. Setelah harapan ayah diperkenankan oleh mereka, kini ayah pula terpaksa memberitahu kepada mereka bahawa pertunangan Azhar dan Hashimah bakal gagal menuju ke jinjang pelamin seperti yang diharapkan. Ayah malu, Man. Sebegini besar pangkat ayah, kini ayah malu kepada peniaga warung kecil dalam kampung.” Sayu sungguh bunyi rintihan Datuk Iskandar.

Azman terkaku. Dia bukan tidak tahu, memang Azhar beriya-iya memujuk emak dan ayahnya untuk meminang Hashimah. Pada mulanya, pinangan itu ditolak atas dua alasan. Pertama, Hashimah masih terlalu muda dan berlum bersedia untuk menjadi seorang isteri. Tambahan pula, Hashimah adalah anak sulung dalam keluarga. Dia mempunyai empat orang adik lagi yang mesti disara. Sekiranya Hashimah berkahwin dalam usia muda, mungkin dia tidak dapat membantu menyara keluarganya. Walaupuan bukan dalam jumlah yang besar tapi mungkin Hashimah boleh membantu serba sedikit dengan kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia yang diperolehinya. Kedua, Keluarga Hashimah terlalu berasa rendah diri untuk menerima pinangan daripada seorang insan yang bergelar Datuk untuk menjadi besan kepada keluarga yang hanya menoreh getah untuk mendapatkan sesuap nasi.

Namun Datuk Iskandar tidak mengira semua itu. Dia tidak pandang kepada kedudukan dan taraf. Katanya, walau sebesar mana pangkatnya, dan walau serendah mana pangkat orang tua Hashimah, jika jari terhiris, cecair yang keluar adalah berwarna merah, bukan lain-lain warnanya. Dengan itu, orang tua Hashimah menerima pinangan keluarga Datuk Iskandar.

Kini, segala-galanya telah hancur. Hancur berkecai sebagaimana hancurnya harapan Datuk Iskandar untuk bermenantukan Hashimah. Dan sebegitu juga hancurnya hati Hashimah yang terpaksa mengandungkan anak hasil hubungan yang tidak diredhai oleh-Nya.

Azman bangun. Tidak sanggup lagi dia melihat ayahnya yang dikenalnya sebagai seorang yang taba dan kuat semangat, kini meratap sayu dengan kegagalannya mendidik anaknya. Rintihan dan keluhan ayahnya membuatkan dia turut lemah. Dia tidak mahu mengikut kehendak hatinya itu. Dia mesti kuat. Jika ayahnya telah lemah, dia mesti kuat. Perkara ini tidak boleh dibiarkan. Tetapi, bagaimana? Azman masih ingat lagi, ketika dia dan Azhar masih kecil. Azhar berebut mainan dengan anak jiran sebelah rumah mereka. Mainan itu milik anak jiran mereka. Akhirnya Azhar tewas mengambil mainan itu. Namun oleh kerana sikapnya yang akan melakukan apa saja yang dikatakannya, pada waktu semua orang leka menonoton televisyen, Azhar mencuri masuk ke rumah jiran dan mengambil mainan tersebut. Apabila kejadian itu diketahui oleh emak dan ayah mereka, Azhar dipukul dengan teruk. Emaklah yang menahan dari ayah terus memukul Azhar. Pada ketika itu, Azman turut menarik kain ayahnya menyuruh ayahnya berhenti dari memukul adiknya.

Dengan tidak disangka, oleh kerana keinginannya tidak diperolehi, dia bertindak melarikan diri ke dalam hutan bersebelahan dengan rumah mereka. Puas dicari sehinggalah tukang kebun menemuinya tertidur di tepi anak sungai di dalam hutan tersebut.

Begitulah sikap Azhar. Sedangkan dalam usia mudanya, dia telah berani berbuat sedemikian, jadi, tidak mustahil dia tetap dengan niat hatinya tidak mahu mengahwini Hashimah. Jika dipaksa juga, entah apa pula yang akan dilakukannya. Azman tidak mahu keluarga mereka berpecah belah. Itulah doa yang dipanjatkannya ke hadrat Ilahi setiap kali dia selesai sembahyang.

Azman melangkah menuju ke biliknya meninggalkan ayahnya keseorangan di ruang tamu menangisi kesilapan diri sendiri. Azman melihat ke arah jam dinding yang menunjukkan pukul enam pagi. “Ooohhhh….” Terdengar keluhan halus dari bibirnya. Azman membaringkan dirinya di atas katil. Merehatkan diri buat sementara. Sebentar lagi dia perlu membersihkan diri, menunaikan kewajipan sebagai hamba dan seterusnya ke tempat kerja untuk melakukan tugas-tugas sebagai pengarah di syarikat ayahnya. Tugas sementara dia berada di dunia. Dia tekad. Dia akan menghubungi Hashimah dari tempat kerjanya nanti. Azman dapat membayangkan betapa sedihnya Hashimah apabila dirinya diperlakukan sedemikian. Sudahlah jauh dari emak ayah, kini, ada orang tersayang pula telah mengkhianati dirinya. Apalah daya seorang perempuan untuk melalui detik-detik yang amat menyakitkan itu.

“Allahu akbar, Allahu akbar!” tiba-tiba terdengar laungan azan Subuh memecah kesunyian dan kebuntuan. Azman bingkas bangun. Matanya terasa berat kerana tidak tidur semalaman. Pun, begitu, dikuatkan dirinya untuk meneruskan kehidupannya seperti biasa. Yang terjadi biarlah terjadi, sekiranya perlu ditempuh, perlu juga ditempuh. Sekiranya ia boleh berlalu pergi, biarlah ia berlalu pergi.

*********************************

“Hashimah, call for your, line three,” terdengar laungan Ms Kamala memanggil Hashimah yang berada bilik fax. Kelam kabut Hashimah menyudahkan kerjanya dan berlari-lari anak kembali ke mejanya. Gagang telefon diangkat dan talian di nombor tiga ditekannya perlahan. “Hello, Hashimah bercakap. Boleh saya bantu,” katanya lembut. Hati pelanggan mesti dijaga.

“Assalamualaikum, apa khabar?” terdengar suara lelaki dihujung talian. “Wa’alaikumsalam. Khabar baik. Siapa ni?” tanya Hashimah kaget. Dia tidak pernah menerima panggilan telefon dari lelaki lain selain daripada pelanggan. Jikla adapun, hanya Azhar. Tapi mustahillah Azhar menelefonnya setelah apa yang terjadi di banglo orang tuanya minggu lepas.

“Tidak kenal suara ini lagi?” tanya lelaki di dalam talian. Hashimah diam. Dahinya berkerut cuba mengingatkan suara lelaki itu. “Minta maaf. Saya tak begitu ingat. Lagipun, suara di dalam telefon tidak sama dengan suara di luar.” Sahut Hashimah. “Kau tidak merindui aku, Shima?” tanya lelaki dalam talian. Hashimah separuh menjerit. Dia masih ingat lagi ayat itu. Hanya ada seorang lelaki yang sering mengucapkan ayat itu. Azhar sekalipun tidak pernah menyebutnya dengan begitu romantik sekali. Hashimah yakin. Itulah suara yang dinanti-nantikannya sejak lima tahun yang lalu.

“Hai…. Kenapa terdiam? Lidah terkelu untuk berkata-kata atau sudah tiada kesudian untuk berbicara denganku wahai tuan puteri yang jelita?” sambut suara itu lagi. “Shahrul!” panggil Hashimah separuh menjerit. Dua tiga orang teman yang mendengarnya menoleh dan memandang hairan. Hashimah mengangkat tangannya memberi isyarat memohon maaf kerana mengganggu ketenteraman orang lain.

“Ingat lagi Shima pada Shahrul. Ingatkan dah lupa,” kata Shahrul manja. “Bila balik ke Malaysia?” tanya Hashimah. “Kenapa pula bertanya bila balik ke Malaysia? Bukankan lebih baik kalau Shima tanya bila Shahrul akan masuk meminang?” usik Shahrul. Hashimah tersenyum. Memang Shahrul terlalu suka mengusiknya.

“Cakaplah betul-betul. Bila balik?” tanya Hashimah lagi. “Bulan lepas,” sahut Shahrul sepatah. “Baru sekarang call?” tanya Hashimah membuat nada merajuk. “Panjang ceritanya. Shah pun ada kerja ni. Bila kita boleh berjumpa?” tanya Shahrul. Hashimah terdiam. Jumpa? “Kenapa diam ni? Tak nak jumpa Shah ke? Tak rindu pada Shah? Nampaknya Shah sajalah yang makan hati berulama jantung merindukan Shima. Sampai naik kurus badan Shah ni merindui Shima,” beritahu Shahrul. Sememangnya sebelum dia berangkat ke United Kingdom dulu, tubuhnya agak berisi.

“Hei.. Kenapa ni? Shima? Are you still there?” tanya Shahrul lagi apabila tiada sahutan daripada Hashimah. “Shima tak suka Shah call?” tanya Shahrul lagi. “Bukan begitu. Shima ada banyak kerja sekarang ni. Shima terlalu sibuk. Selalunya Shima akan balik malam, buat overtime. Jadi, Shima tak boleh janji, bila kita boleh berjumpa,” jawab Hashimah pantas. “Oooh, begitu, Lega sikit hati Shah. Kalau begitu, nanti Shah call Shima di rumah.” Kata Shahrul lagi. “Eh, macammana Shah tahu Shima kerja di sini?” tanya Hashimah lagi. “Ha… itulah yang Shah katakan panjang ceritanya. Shah akan ceritakan apabila kita berjumpa nanti. Kalau semua dah ceritakan di sini, bila dah jumpa nanti, tak ada cerita. Betul tak?” tanya Shahrul bernada mengusik. Hashimah tersenyum. ‘Kau tidak berubah Shahrul’ desis hati kecilnya. “Baiklah, Shah call malam nanti di rumah. Okay?” tanya Shahrul. “Okay. Shima tunggu,” sahut Hashimah lagi.

“Bye sayang,” kata Shahrul mengakhiri perbualan. “Bye,” sahut Hashimah. “Sekali saja, tolong sebutkan perkataan sayang pada Shah,” pinta Shahrul. “Tak mahulah,” sahut Hashimah. “Kalau tidak Shah takkan letak telefon.” Ugut Shahrul. “Iyelah. Bye sayang,” sahut Hashimah geram. Shahrul ketawa. Hatinya gembira, bahagia. Gagang telefon diletakkan.

Hashimah termenung. Dia tidak menyangka Shahrul akan menelefonnya hari ini. Setelah lima tahun menghilangkan diri, kini dia muncul kembali. Tapi, untuk apa? Segala-galanya telah berakhir. Dia tidak mungkin menerima cinta Shahrul kembali. Cintanya telah beralih kepada orang lain. Orang lain yang telah merosakkan hidupnya, menggelapkan masa depannya. Hashimah tersentak. Apakah yang bakal dihadapinya kali ini?

Malam menjelang. Selesai makan, Hashimah dan Zuraida menghadap televisyen menonton filem masa kini yang banyak menyentuh soal kehidupan manusia di kurun ke 19 ini. Persoalan keluarga, persoalan cinta hinggalah ke persoalan hidup dan mati. Semua itu hanya lakonan tetapi pada hakikatnya, sebarang persoalan adalah muncul dari realiti kehidupan sebenar manusia di atas dunia milik Tuhan ini. Di atas bumi yang hanya sementara. Sementara menunggu giliran ke tempat yang lebih abadi.
“Idah, kau nak tahu satu perkara yang menakjubkan tak?” tanya Hashimah memulakan perbualan malam mereka. “Apa dia?” tanya Suraida tanpa memandang wajah Hashimah. “Petang tadi di tempat kerja, ada seorang lelaki telefon aku,” beritahu Hashimah. “Siapa?” tanya Zuraida menunjukkan minat. “Cuba kau teka?” arah Hashimah. “Azhar?” teka Zuraida. “Dia dah lupakan Shima. Takkan dia nak call Shima lagi,” jawab Hashimah spontan. “Ops… Sorry. Kau yang suruh aku teka, aku tekalah,” sahut Zuraida. “Kau nak tahu siapa?” tanya Hashimah. Zuraida menganggukkan kepala.

“Kau ingat tak? Ada sekali semasa kita di dalam kereta selepas balik dari lunch di restoran Thailand di Central Market hari itu, aku kata aku ternampak seseorang.” Tanya Hashimah. Zuraida menganggukkan kepala tanda ingat peristiwa itu. “Orang itulah yang call Shima.” Jawab Hashimah dengan nada gembira. Zuraida terpaku. “Maksud kau, Shahrul?” tanya Zuraida inginkan kepastian. “Yalah. Siapa lagi lelaki yang Shima kenal?” sahut Hashimah lagi. “Bila dia balik ke sini?” tanya Zuraida. “Dia tak nak jawab. Tapi dia nak jumpa Shima. Shima beri alasan banyak kerja. Dia berjanji akan telefon malam ini.” Beritahu Hashimah. “Macammana dia tahu kau kerja di sini?” tanya Zuraida penuh minat. Belum sempat Hashimah menjawab, “Ring….!” Telefon berdering kuat. Zuraida dan Hashimah berpandangan sesama sendiri. “Mungkin itulah dia,” kata Hashimah. “Biar aku angkat,” kata Zuraida lalu mengangkat gagang telefon yang bersebelahan dengan sofa yang didudukinya.

Sebentar kemudian dia memanggil Hashimah. Hashimah segera mendapatkan telefon. Wajahnya nampak sedikit riang. Namun, Zuraida mula muram. Bukan muram tidak suka atau benci dengan nama Shahrul itu tetapi dia muram memikirkan perkara yang bakal terjadi. Sekiranya benar Shahrul masih menaruh hati terhadap Hashimah, bagaimana pula hubunga Hashimah dengan Azhar? Namun hubungan Hashimah dan Azhar sememangnya telah putus. Namun bagaimana pula dengan anak di dalam kandungan Hashimah, hasil hubungannya dengan Azhar.

Sekejap sahaja Hashimah bercakap di telefon. Dia duduk kembali di sisi Zuraida. Wajahnya tidak lagi seriang tadi. Terddapat riak-riak murung di wajahnya. Zuraida memandangnya pelik. “Hai… Sekejap saja? Lepas tu tarik muka pula. Takkanlah baru jumpa sehari dah nak bergaduh?” tegurnya. “Bukan Shahrul yang telefon,” beritahu Hashimah. “Kalau bukan Shahrul, siapa?” tanya Zuraida. “Azman,” beritahu Hashimah membuatkan Zuraida tersentak. “Azman mana?” tanyanya ingin kepastian. “Anak Datuk Iskandar.” Jawab Hashimah.”Abang Azhar?” tanya Zuraida. Hashimah anggukkan kepala. “Dia nak apa?” tanya Zuraida lagi tidak puas hati. Hashimah diam. Dia melangkah meninggalkan Zuraida keseorangan di ruang tamu. Zuraida terlopong. ‘Apa pula yang sudah terjadi?’ desis hati kecilnya.

Zuraida tidak puas hati. Dia menutup televisyen yang sedang ditontonnya. Dia berlari memanjat anak tangga dan terus masuk ke bilik Hashimah. Hashimah menangis teresak-esak sambil menutup mukanya dengan bantal. Zuraida segera mendapatkan Hashimah. Rambut Hashimah diusapnya perlahan. Pilu rasa hatinya. baru sebentar tadi sepupunya itu tertawa riang, tapi kini kembali bermuram. Terlalu banyak dugaan yang terpaksa dihadapinya seorang diri. Meskipun dia ada di sebelahnya, tetapi dia hanya boleh menguatkan semangat. Dia tidak boleh membantunya lebih dari itu.

“Kenapa ni Shima?” tanya Zuraida perlahan. Hashimah duduk. Matanya merah dan bengkak. Bengkak dari tangisan yang dulu pun belum pulih, kini timbul bengkak baru. “Ida, esok Shima nak balik kampung,” beritahu Hashimah. “Kenapa tiba-tiba saja?” tanya Zuraida. “Entahlah Ida. Terlalu banyak akibat dari dosa yang telah Shima lakukan. Shima yang telah lakukan dosa, Shima rela menghadapi segalanya ini sekiranya ini adalah jalan untuk Shima menebus dosa Shima.” Jelas Hashimah. Zuraida tunduk membisu. “Azhar tidak dapat dikesan. Hujung minggu ini, keluarga Azhar akan datang ke rumah orang tua Shima.” Beritahu Hashimah. Zuraida diam. Dia faham kini. Hubungan Hashimah dengan Azhar bakal diputuskan. Ini bermakna Hashimah terpaksa menjalani kehidupan yang penuh rintangan ini seorang diri. Malah, ibu bapa Hashimah juga akan tahu tentang perkara ini.

Sebenarnya Zuraida bukan sengaja untuk merahsiakan perkara ini daripada pengetahuan Mak Lang dan Pak Langnya. Dia cuma tidak mahu orang tua itu bersedih dengan kejadian yang menimpa anaknya. Tambahan pula, tanggungjawab untuk manjaga Hashimah adalah terletak dibahunya. Tapi kini, segala-galanya akan terbongkar. Segalanya akan hancur berkecai. Ibubapa Hashimah akan tahu tentang segala yang telah terjadi. Dirinya pasti dipersalahkan. Zuraida mengeluh panjang.

Tiba-tiba telefon berdering lagi. Hashimah memandang wajah Zuraida. “Jika Shahrul, katakan Shima belum balik kerja.” Pesan Hashimah. Zuraida menganggukkan kepala. Zuraida berlari-lari anak mendapatkan telefon yang berdering kencang minta diangkat. “Hello,” Zuraida bersuara. “Assalamualaikum,” sambut suara seorang lelaki di hujung talian. “Wa’alaikumussalam. Nak bercakap dengan siapa?” tanya Zuraida. “Hashimah ada?” tanya lelaki itu. “Siapa yang bercakap ni?” tanya Zuraida. “Shahrul,” beritahu lelaki itu. Zuraida tersentak. Jadi, memang benarlah Shahrul telah berada di Kuala Lumpur ini. “Hai Shahrul, kau tak kenal aku lagi?” tanya Zuraida dengan nada riang, cuba menutup segala kejadian. “Siapa ni?” tanya Shahrul. “Aku Idalah. Zuraida. Sepupu Hashimah. Bila dah dapat hajat di hati, terlupa pula pada orang yang bertanggungjawab memperkenalkan dia pada kau,” usik Zuraida. “Ha, Ida. Shah ingat lagi. Takkan terlupa. Cuma takut tersilap orang saja tadi. Apa khabar?” tanya Shahrul ramah.
“Baik. Kau dari mana ni?” tanya Zuraida.
“Shah ada di KL ni,” beritahu Shahrul.
“Aku tahulah kau di KL. Bila kau balik ke Malaysia?” tanya Zuraida.
“Belan lepas balik dah,”
“Lama tak dengar cerita. Macammana? Seronok duduk di rantau orang?”
“Seronok tu memanglah seronok, tapi hati masih di sini,”
Zuraidah terpaku. Apa yang disangkakan memang benar-benar akan berlaku.
“Wah! Kau dah dapat apa yang kau nak? PhD di bidang perniagaan, bukan?” tanya Zuraida mengubah tajuk perbualan.
“Ya, PhD. Bukankah itu nasihat Hashimah dulu. Dia mahukan aku belajar dan mendapat tempat tertinggi dalam pelajaran. Namun aku masih perlu banyak belajar.” Sahut Shahrul merendah diri.
“Kau kerja di mana sekarang ni?” tanya Zuraida ingin tahu.
“Aku kerja di sebuah syarikat perniagaan terbesar di sini sebagai eksekutif pemasaran.”
“Wah! Hebat kau sekarang,”
“Tidaklah sehebat mana. Banyak yang perlu dipelajari. Kau pula buat apa di sini?” tanya Shahrul.
“Aku kerani biasa sahaja,” sahut Zuraida.
“Tak apalah. Sekurang-kurangnya ada bidang yang engkau ceburi. Bidang pelancongan. Okay juga tu,” kata Shahrul.
“Hashimah bagaimana?” tanya Shahrul kembali ke tujuan asal dia menelefon tadi.
“Hashimah? Dia baik saja. Sekarang ni dia tiada di rumah. Dia masih belum balik kerja.” Bohong Zuraida.
“Banyak sangat kerja ke di situ?”
“Dia di bahagian Khidmat Pelanggan. Kadangkala pelanggan ni tidak kira siang atau malam. Ada saja kerja yang nak disuruhnya kita buat. Kau pun tahukan, Clients always right,” kata Zuraida.
“Baguslah kalau begitu. Sebenarnya aku teringin sangat nak mendengar suaranya. Aku terlalu merinduinya. Sepanjang enam tahun yang aku lalui tanpanya, begitu sukar untukku. Hanya peransang dan semangat yang diberikan oleh Hashimah menjadi tunggak kejayaanku. Kini aku ingin kembali kepadanya melalui hari-hari indah bersamanya. Aku yakin dia juga begitu, betul tak?” tanya Shahrul membuatkan lidah Zuraida kelu hilang perkataan.

“Ida, beritahu aku. Bagaimana Hashimah? Adakah dia juga merindui aku sebagiaman aku merinduinya?” tanya Shahrul. “Bukankah kau sudah bercakap dengannya di pejabat siang tadi?” tanya Zuraidah. “Betul. Tapi aku belum puas. Aku nak berbicara dengannya apabila aku bertemu dengannya. Aku tak mahu bercakap melalui telefon sahaja.” Kata Shahrul. “Shahrul, kenapa kau tidak pernah menghubunginya selama engkau di luar negeri?” tanya Zuraidah membuatkan Shahrul mengeluh panjang.

“Aku bukan tak nak menghubungi dia. Aku cuma nak memberi perhatian kepada pelajaran aku. Aku cuma mengingatkan dia apabila aku mula bosan. Tapi semangatku naik semula apabila teringatkan dia. Aku tak mahu pelajaranku terganggu kerana mengingatinya. Jika aku menghubunginya, aku pasti merinduinya. Aku pasti ingin menemuinya selalu. Jadi, aku tekadkan diri sendiri, hanya gambarnya yang aku renung seharian dan semalaman. Aku tidak akan menghubungi dia. Dan aku ingin buat kejutan apabila aku pulang dengan segulung ijazah hasil dari semangat yang ditiupkan olehnya. Aku yakin dia juga menanti kepulangan aku dengan sabar kerana aku telah berjanji kepadanya bahawa aku akan kembali kepadanya setelah cita-cita aku tercapai,” terang Shahrul panjang lebar.

“Kenapa Ida? Adakah dia telah melupakan aku dan menemui cinta yang baru?” tanya Shahrul kaget. Zuraidah diam. “Ida, katakan kepadaku. Apa yang telah terjadi?” tanya Shahrul. “Tidak mengapalah Shah. Kita semua di dunia ini hanya merancang. Tuhan Yang Esa sahaja yang boleh menentukannya. Kita tiada kuasa untuk menolak takdir,” kata Zuraidah. Shahrul semakin gementar. Dia keliru dengan ungkapan Zuraidah.

Hati kecilnya berkata-kata. Apakah Hashimah telah melupakannya? Atau telah menemui cinta yang baru yang lebih baik untuknya? Bak kata pepatah, pasir di pantai lagikan berubah, inikan pula hati manusia. Tapi, adakah Hashimah juga begitu. Segulung ijazah yang dibawanya pulang adalah atas kemenangan Hashimah. Hashimahlah sumber inspirasinya. Tapi, apa sudah terjadi kini?

“Tidak mengapalah Shah. Kita bincangkan hal ini kemudian. Memang ada benarnya kata-kata kau, kita patut bersua muka. Kadangkala ada perkara yang boleh diselesaikan melalui telefon dan adalakalanya tidak.” Pujuk Zuraidah. “Aku yakin, Shima juga ingin berbicara dengan kau, Shah. Janganlah kau risau sangat. Segala-galanya akan selamat,” pujuk Zuraidah lagi apabila Shahrul tidak berkata apa-apa. Dia tahu Shahrul tertanya-tanya dan terlalu ingin tahu atas perkara yang telah terjadi. “Tidak mengapalah jika begitu. Aku akan cuba hubungi Hashimah lagi.” Kata Shahrul mengakhiri perbualan.

Gagang telefon diletakkan. Zuraida termenung. Tanpa diduga, air matanya mengalir lesu di pipinya. Sedih dan pilu menusuk di jiwanya. Walaupun dia tiada di dalam permasalahan itu, tetapi Zuraidah amat merasainya, kerana dia terlibat di dalam pembentukan masalah itu.

Dia menyesal mendesak Hashimah menerima Azhar. Tetapi dia buat begitu untuk kepentingan Hashimah juga. Dia mahu Hashimah melupakan kisah silamnya bersama Shahrul. Bukan untuk menyakitkan hatinya tetapi untuk memberinya peluang untuk merasai hidup yang lebih bermakna. Lagipun, Shahrul tidak mengirim sebarang berita, jadi, untuk apa lagi dinanti sedangkan yang di hadapan mata lebih baik.

Begitulah manusia. Jangan disangka air yang tenang tiada buaya. Harimau yang jinak, jangan disangka tiada keinginan untuk memakan tuannya sendiri suatu hari nanti. Kini segala-galanya telah hancur. Apakah Hashimah akan menerima Shahrul kembali sedangkan dia telah mengandung dan sedang mengandungkan anak lelaki lain? Atau jika Hashimah menerima Shahrul sekalipun, apakah Shahrul akan tenang di sisinya? Zuraida bangun. Dia melangkah longlai menaiki anak tangga menuju ke bilik Hashimah yang masih terbuka. Tiada lagi bunyi sedu-sedan, tiada lagi esak tangisan. Hashimah telah terlena. Terlena sementara menanti hari esok. Hari esok yang membawa berita baru, hidup baru, kisah baru dan segala-gala yang baru. Mungkinkah esok akan cerah, secerah hari ini atau lebih cerah dari hari ini. Tapi bagaimana jika esok akan gelap, segelap hari ini atau lebih gelap dari hari ini?

One thought on “DOSA SEMALAM

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s