DOSA SEMALAM

Bab 4

“Hello, Assalamualaikum,” sapa Hashimah sebaik sahaja telefon yang berdering hampir tujuh kali itu diangkatnya. “Wa’alaikumussalam. Kenapa lambat angkat telefon?” tanya Zuraida melalui corong telefon. Hashimah diam. Dia sebenarnya malas hendak mengangkat telefon. Dia sudah hilang keyakinan untuk melakukan segala-galanya. “Dah sarapan?” tanya Zuraida lagi. “Belum,” sahut Hashimah malas. “Kenapa tak sarapan lagi? Aku dah buatkan roti telur. Ada atas meja dapur. Makanlah. Sengaja aku tak kejutkan kau pagi tadi. Aku tahu kau belum bersedia untuk bekerja hari ini. Tak apalah, aku dah cakap dengan bahagian pentadbiran.” Beritahu Zuraida. “Thanks,” jawab Hashimah lagi. “Hai… takkanlah thanks aje. Jomlah belanja aku makan hari ini. Kita lunch sama-sama nak?” Zuraida tetap dengan suara cerianya.

“Tak payahlah. Nanti kau terlambat masuk kerja semula. Lunch sampai pukul dua, nanti terlajak ke pukul tiga,” dalih Hashimah. “Tak payah risau. aku dah minta cuti separuh hari,” beritahu Zuraidah. “Kau ambil cuti? Kenapa?” tanya Hashimah tak puas hati. “Itu bukan masalah besar. Cuti tahunan aku banyak lagi, bila lagi nak habiskan? Nanti, tepat jam satu setengah, aku sampai. Pastikan kau dah bersiap. Kita pergi makan di restoran Thailand.” Kata Zuraidah. “Tak payahlah, kita makan di rumah saja. Shima masak,” tolak Hashimah lagi. “Tidak. kau rehat di rumah. Tak payah masak. Bersiap sahaja. Nanti aku jemput. Bye!” Tup! Gagang telefon diletakkan tanpa sempat Hashimah menjawab. Hashimah meletakkan gagang telefon sambiil menggeleng-gelengkan kepala. Senyuman hambar terukir di bibirnya mengenangkan sepupunya yang lincah itu. Hanya dialah yang mampu membuatkannya tersenyum kini.

Tepat jam satu setengah tengahari, terdengar bunyi deruan enjin kereta Zuraida memasuki kawasan rumah sewa. Tidak sempat dia turun dari kereta, pintu rumah telah terkuak dan Hashimah muncul dari sebaliknya dengan senyuman tawar yang dibuat-buat.

“Ha… cepatlah. Kenapa tercegat di situ?” tegurnya. Dia tak turun dari kereta. Memang dia pulang hanya untuk menjemput Hashimah. Hashimah melangkah masuk ke dalam kereta. Dan kereta itu terus meluncur laju di atas jalanraya yang sibuk dengan kesesakan jalanraya walaupun di kala waktu bekerja pejabat. Itulah Kuala Lumpur. Walau di mana berada, pasti ada ramai manusia. Tidak kira waktu, masa, keadaan dan cuaca. Kadangkala, susah untuk menjangkakan, dari manakah datangnya semua manusia-manusia itu. Apakah semua manusia di muka bumi ini bertumpu di Kuala Lumpur semata-mata. Entahlah…

“Kita nak ke mana ni?” tanya Hashimah perlahan tanpa memandang wajah Zuraida ketika mereka tersekat dalam kessesakan. Matanya memerhati kesesakan di hadapan matanya. “Kita ke Restoran Thailand dekat Central market. Aku dengar, masakan di sana sedap. Aku pun tak pernah pergi lagi. Kita cubalah kali ini. Tempatnya pun sesuai.” Kata Zuraidah mula memasukkan gear kereta untuk meneruskan perjalanan yang tersekat sebentar tadi. Hashimah dia. Dia mengelamun sendiri. Dia malas nak bertanya lagi.

Akhirnya, mereka sampai ke Central Market dan masuk ke sebuah Restoran Thailand di tingkat satu bangunan itu. Memang benar, tempat itu sungguh sesuai untuk makan tengahari. Tidak panas kerana disediakan alat hawa dingin yang sempurna. Dindingnya dihiasi dengan lukisan trasional negara jiran Malaysia itu. Malah dihiasi dengan hiasan-hiasan yang menarik dan menenangkan mata yang memandang.

Zuraida menarik tangan Hashimah untuk duduk di meja yang terletak di suatu sudut dibahagian tepi dinding. Dinding kaca itu membolehkan mereka melihat suasana di luar. Tidak lama selepas mereka duduk di situ, seorang gadis melayu memakai uniform restoran itu menghampiri mereka. “Order?” tanyanya lemah lembut.

“Dua nasi kosong, kangkong masak belacan, sambal tumis udang, telur dadar sumbat dan emmmm…… tomyam seafood. Semua untuk dua orang ya!” pesan Zuraidah sambil menghulurkan buku menu kepada gadis pelayan itu. “Minum?” tanyanya lagi. “Shimah nak minum apa?” tanya Zuraidah. “Bagi air tembikai,” kata Hashimah. “Beri saya air tembikai susu dan segelas air kosong,” minta Zuraida pula. Pelayan itu meninggalkan mereka untuk menyediakan menu yang dipesan.

“Banyaknya kau pesan, Ida. Siapa yang nak makan tu nanti?” tanya Hashimah. “Siapa lagi? Kau dan aku lah. Aku nak kau makan puas-puas. Kenyang-kenyang. Tak payah nak fikir sangat masalah tu. Setiap masalah ada penyelesaiannya. Bukan kau seorang tapi kita akan atasinya bersama.” Kata Zuraidah tegas sambil memandang tepat wajah Hashimah. “Aku tak nak kau menanggung kesusahan sebab aku. Semua ni salah aku.” Kata Hashimah tunduk.

“Salah, memang salah kau Shima sebab mengikut nafsu. Tapi aku bertanggungjawab di atas apa yang terjadi. Kalau tidak aku yang paksa kau bertunang dengan Azhar, sudah pasti kau tidak terlalu bebas bersamanya. Aku sebenarnya tidak menyangka Azhar akan buat begitu. Sebab aku tahu dia baik dan berasal dari keluarga baik, kerana itulah aku suruh kau terima dia. Kau juga dari keluarga yang baik. Jadi sudah pasti, masalah begini sepatutnya tidak timbul. Tapi kita ni manusia biasa. Pak Imam sekalipun buat silap.” Kata Zuraida.

Suasana sunyi seketika. Hashimah memandang keluar. Sebentar kemudian, pelayan tadi datang semula membawa sedulang makanan yang telah dipesan tadi. “Okay, aku pohon kepada kau, boleh tak kita lupakan masalah ni sekejap. Sekarang waktu untuk makan. Kita mesti berada di dalam mood makan. Boleh?” kata Zuraidah sambil mengangkat tangannya selaku seorang rakyat berjumpa dengan rajanya. Hashimah ketawa. Dan mereka makan tengahari itu tanpa memikirkan masalah yang sedang melanda.

“Lepas ni nak ke mana pula?” tanya Hashimah setelah mereka selesai makan. “Kita balik ke rumah. Rehat” jawab Zuraidah endah tak endah. “Sekarang baru pukul satu lima puluh, Shima rasa sempat lagi kalau kau nak masuk kerja semula. Aku boleh balik naik bas,” kata Hashimah melihat jam tangannya. “Aku dah ambil cutilah,” beritahu Zuraida sambil bangun dari kerusinya untuk melangkah keluar dari restoran Thailand itu. “Boleh dibatalkan. Cuti tu boleh simpan untuk perkara yang lebih penting,” sahut Hashimah. “Memang ada perkara penting yang nak diselesaikan hari ini,” beritahu Zuraida melangkah turun dari tangga diikuti oleh Hashimah.

“Perkara penting? Perkara apa?” tanya Hashimah lagi tidak puas hati. “Aku nak ke rumah Datuk Iskandar,” sahut Zuraida sambil membuka pintu keretanya. Hashimah terhenti melangkah. Matanya terkaku memandang ke arah Zuraida yang telahpun berada di dalam kereta. “Ha. Apasal kau tercegat di situ? Naiklah cepat.” Panggil Zuraida. Hashimah masih terpaku.

Zuraida keluar dari kereta lalu menghampiri Hashimah. Bahu Hashimah disentuhnya. “Kenapa ni?” tanyanya lembut. “Sudah. Jom balik dan fikirkan langkah seterusnya. Walaubagaimanapun kau cuba mengelak, kau terpaksa hadapi semua ni. Perut kau akan membesar suatu hari nanti. Waktu itu, segalanya telah terlambat.” Pujuk Zuraida. Dia menarik tangan Hashimah dan membawanya masuk ke dalam kereta. Lalu kereta itu pun meluncur laju di atas jalanraya yang masih sesak seperti tadi.

Ketika mereka berhenti di sebuah lampu isyarat, Hashimah mendongakkan kepalanya melihat ke dalam kereta di sebelahnya. Kelihatan seorang lelaki muda memakai kot kelabu di dalamnya. “Ida!” suara Hashimah separuh menjerit membuatkan Zuraida berpaling ke arahnya. “Kenapa dengan kau ni? Macam nampak hantu,” kata Zuraida. Hashimah tidak bersuara tapi jari telunjuknya menghala ke arah pemuda di dalam kereta Proton Perdana di sebelahnya.

Belum sempat Zuraida melihat ke arah lelaki yang memandu kereta tersebut, lampu isyarat menunjukkan warna hijau. Kereta itu bergerak meninggalkan mereka. Kereta-kereta yang berada di belakang kereta Kancil milik Zuraida membunyikan hon yang panjang kerana kereta tersebut masih belum bergerak sedangkan lampu isyarat telahpun bertukar menjadi hijau. Kelam kabut Zuraida memasukkan gear keretanya dan memandu keretanya berlalu dari situ.

“Ini semua kau punya pasal. Semua kereta di belakang marahkan aku,” sungut Zuraida. Hashimah diam. Dia masih kelihatan terkejut. “Apasal kau ni Shima? Apa yang kau nampak?” tanya Zuraida lagi apabila Hashimah tidak mempedulikan rungutannya. Hashimah masih diam. “Hey! Shima. Kau ingat aku cakap dengan pintu kereta ke? Janganlah fikir sangat masalah kau tu. Nanti jadi sesuatu yang lain pula,” kata Zuraida sambil menggelengkan kepala melihat sikap Hashimah itu.

“Shima nampak Shahrul yang memandu kereta tu tadi,” beritahu Hashimah.

“Shahrul? Shahrul mana pula ni, Shima?” tanya Zuraida separuh terkejut. Seingatnya, Hashimah tiada kawan lelaki lain yang begitu istimewa di Kuala lumpur ini sehinggakan dia sebegitu terperanjat apabila melihatnya tadi.

“Shahrul, kawan kita masa di sekolah dulu yang dia pergi ke United Kingdom untuk lanjutkan pelajaran. Kau ingat tak?” tanya Zuraida beriya-iya. Zuraida diam cuba mengingatkan kata-kata Hashimah itu. “Ooohh…..” sahutnya apabila teringatkan Shahrul yang dimaksudkan oleh Hashimah.

“Merepeklah engkau ni. Kan dia di united Kingdom.” Beritahu Zuraida tidak percaya dengan kata-kata Hashimah.

“Mungkin dia sudah tamat pengajian,” kata Hashimah tetap yakin dengan apa yang dilihatnya. “Hish… Perasaaan kau saja tu. Orang lain agaknya. Mungkin pelanduk dua serupa. Sudahlah. Fikiran kau terlalu bercelaru. Jangan fikirkan benda yang bukan-bukan,” kata Zuraida lagi. Dia pun sebenarnya terperanjat. Bagaimana jika memang benar itu adalah Shahrul, bekas teman lelaki Hashimah dulu? Dan bagaimana jika Hashimah menemuinya lagi? Apakah yang akan terjadi selepas ini? Apakah Shahrul masih ada perasaan terhadap Hashimah?

*******************

“Eh, kenapa kau tak bersiap lagi, Shima?” tanya Zuraida apabila melihat Hashimah masih lagi meniarap di atas katilnya. “Aku tak nak pergilah,” sahut Hashimah. Entahlah, berat benar hatinya untuk pergi ke rumah bakal mertua yang mungkin tidak kesampaian itu. Memang tadi dia telah bersetuju untuk mengikut Zuraida ke rumah orang tua Azhar untuk membincangkan perkara serius yang sedang melanda dirinya. “Tak nak pergi? Aku tak kira, kau mesti pergi. Hari ini juga,” tegas Zuraida. “Tak payahlah Ida. aku dah cakap dengan Azhar, dia tak nak bertanggungjawab. Buat apa lagi nak cakap pada orang tuanya?” balas Hashimah lagi. Dia seperti sudah putus asa.

“Senang kau cakap. Apa pun yang terjadi, kau mesti ikut aku pergi ke rumah Datuk Iskandar, hari ini juga.” Paksa Zuraida dengan suara yang kian meninggi. Geram pula dia melihatkan sikap acuh tak acuh Hashimah itu. “Shima, aku faham perasaan kau. Tapi sampai bila kau nak begini? Sekurang-kurangnya kita mencuba. Tuhan suruh kita berikhtiar, bukannya berputus asa. Ini semua dugaannya. Janganlah kau anggap diri kau paling jahat. Mungkin ada orang lain yang lebih jahat. Tapi percayalah, segala-galanya telah ditakdirkan. Kalau usaha kita tidak mencapai kejayaan, barulah kita usahakan dengan cara lain.” Zuraida tidak putus asa memujuk. Suaranya dilembutkan kembali. Dia faham perasaan Hashimah. Di kala ini, bukanlah masa untuknya menengking atau memarahi Hashimah. Itu hanya akan menyakitkan dan menambah penderitaan Hashimah.

Hashimah mula menangis. Teresak-esak. “Shima, tolonglah. Aku rayu pada kau, kita pergi ya!” kata Zuraida. “Tolonglah katakan ya padaku,” rayu Zuraida seterusnya. Hashimah diam. Esakannya reda. “Bagaimana kalau keputusannya menghampakan?” tanyanya. “Seperti yang aku katakan tadi, kita berusaha untuk keluar dari masalah ini. Kalau cara begini tidak berjaya, barulah kita fikirkan pelan seterusnya.” Jelas Zuraida tanpa jemu. “Tapi aku bimbang, kalau-kalau aku yang akan dipersalahkan sepenuhnya,” kata Hashimah lagi. Tiada lagi bunyi esakannya. “Shima, sekarang jangan fikir apa-apa lagi. Kita pergi. Kau bersiap sekarang. Aku tunggu di kereta. Nak panaskan enjin kereta dulu,” kata Zuraida sambil berlalu pergi tanpa menunggu sebarang jawapan dari Hashimah.

Lima belas minit kemudian, Hashimah muncul di muka pintu memakai baju kurung berwarna biru muda. Zuraida tersenyum. “Ha… Macam itulah. Barulah cantik sikit. Ini tak, muka macam kucing hilang anak.” Usik Zuraida. Hashimah tersenyum lagi. Mungkin untuk menggembirakan hati Zuraida, atau mungkin juga untuk menenangkan hatinya, memberi kekuatan kepada rohaninya yang kian goyah.

Ketibaan mereka disambut oleh Datuk Iskandar yang kebetulan sedang duduk berehat di halaman rumahnya. “Assalamualaikum, Datuk,” sapa Zuraida. “Wa’alaikumsalam. Ni apahal berdatuk-datuk pula. Selalu boleh panggil Pakcik, hari panggil Datuk pula, ada apa-apa ke?” sahut Datuk Iskandar tersenyum lebar memandang Zuraida dan bakal menantunya. Hashimah cuba untuk tersenyum tapi tetap nampak hambar. “Kenapa ni Shima? Kamu tak sihat ke?” tanya Datuk Iskandar ketika bersalaman dengan Hashimah. “Dia kurang sihat sikit,” beritahu Zuraida bagi pihak Hashimah.

“Makcik Salmah mana?” tanya Hashimah. “Ada di dalam tu. Dia pun baru semalam menyebut nama kamu. Katanya dah lama tak datang ke sini. Rindulah agaknya tu,” beritahu Datuk Iskandar. Tiba-tiba Datin Salmah muncul dari arah dapur. “Eh, Shima, Ida. Bila sampai? Kenapa duduk di luar ni? Masuklah ke dalam. Macam tak biasa pula. Kenapa lama tak datang?” tanyanya bertubi-tubi. “Hah, itu dia Makcik kamu. Penatlah kamu nak jawab soalan-soalannya nanti.” Usik Datuk Iskandar.

Hashimah dan Zuraida berpandangan sesama sendiri. Mereka lalu mengikut Datin Salmah masuk ke rumah. Datuk Iskandar mengekori dari belakang. “Kak Siah, tolong bawakan air dan biskut-biskut untuk tetamu ni.” Beritahu Datin Salmah kepada seorang pembantu rumahnya yang sedang mengelap meja. Kak Siah mengangguk dan menghilangkan diri ke dapur.

“Lama tak datang? Kenapa? Tak sudi ke?” tanya Datin Salmah sambil duduk di sebelah suaminya. “Banyak kerja Makcik. Sekarang ni musim cuti sekolah. Ramai orang pergi melancong,” sahut Zuraida. “Shima, kamu nampak macam tak sihat saja. Janganlah sebab terlalu banyak kerja, kamu abaikan kesihatan pula, kamu tu berdarah manis. Nanti pada hari perkahwinan, jatuh sakit pula. Teruk nanti,” usik Datin Salmah sambil tersenyum memandang bakal menantunya. Datuk Iskandar tersenyum di sebelahnya.

“Makcik, sebenarnya kami datang ni ada hal,” Zuraida memulakan bicara membawa tujuan mereka ke rumah banglo itu. “Besar halnya tu,” usik Datuk Iskandar. “Apa halnya? Tak payahlah nak berselindung-selindung atau berbunga-bunga, cakaplah terus terang,” kata Datin Salmah. “Saya nak tanya Makcik, boleh tak kalau perkahwinan Shima dan Azhar dipercepatkan?” tanya Zuraida terus terang. Hashimah tersentak. Dia terkejut kerana dia tidak menyangka Zuraida akan membicarakan tentang hal itu. Dia menyangka bahawa Zuraida hanya akan memberitahu tentang perkara yang terjadi.

“Hai, dah tak sabar ke? Atau takut Azhar dikebas orang?” usik Datuk Iskandar sambil tersenyum memandang isterinya yang turut tersenyum. “Boleh tu memanglah boleh. Kalau nak ikutkan Pakcik dan Makcik, sememangnya kami nak mereka berdua disatukan. Kami pun dah tak sabar nak menimang cucu. Tapi kenapa emak dan abah Shima tak datang sendiri?” tanya Datin Salmah. Zuraida dan Hashimah berpandangan sesama sendiri. “Lagipun, kami mesti tanya Azhar dulu. Pelik juga, kenapa Azhar tidak pernah berkata apa-apa pun kepada kami,” kata Datuk Iskandar pula tanpa menunggu jawapan kepada soalan isterinya.

Suasana sunyi seketika. Kak Siah muncul dari arah dapur membawa sedulang air minuman panas bersama biskut krim. Tidak lama selepas itu, dia berlalu semula ke dapur. “Minumlah, jangan malu-malu.” Kata Datuk Iskandar sambil mencapai secawan teh tanpa yang disediakan khas untuknya.
Tiba-tiba terdengar enjin motor kuasa tinggi milik Azhar memasuki perkarangan rumah. “Ha, itupun Azhar baru balik. Bolehlah kita bincang bersama-sama,” kata Datin Salmah sambil bangun mendapatkan anaknya yang masih berada di atas motor. Zuraida dan Hashimah berpandangan sesama sendiri. Dada Hashimah berdebar kencang. Zuraida menganggukkan kepala menyuruhnya bertenang.

“Zaha, Shima dan Ida datang ni. Cepatlah masuk,” beritahu Datin Salmah. Azhar mematikan enjin motorsikalnya. Dahinya berkerut. Datin Salmah menarik tangannya masuk ke dalam rumah. Azhar berhenti melangkah apabila terlihat Hashimah yang sedang tunduk memandang lantai. “Apahal berhenti ni? Marilah ke sini. Jumpa tunang kamu ni,” panggil Datuk Iskandar.

“Zaha balik sekejap saja ni, nak ambil barang. Zaha ada sesi fotografi dengan wartawan. Zaha kena pergi cepat. Lain kali sajalah kita bincang,” kata Azhar tanpa memandang wajah Hashimah mahupun Zuraida. “Eh, kenapa dengan kau ni, Zaha? Bukannya lama sangat. Sekejap saja. Lagipun, bukan selalu Shima datang ke sini,” kata Datuk Iskandar.

“Apa-apa hal pun, duduklah sekejap. Lima belas minit pun cukuplah. Ada hal serius nak bincang ni,” kata Datin Salmah memujuk anak teruna bongsunya. Azhar diam. Dia memang tidak akan melawan kata-kata ibunya. Kerana itulah, Datin Salmah sentiasa akan memenangkannya walau apa jua kesalahan yang dilakukannya.

Azhar mengambil tempat di kerusi sebelah ibunya. “Cepat sikit. Apa hal yang nak dibincangkan? Zaha nak cepat ni,” gesanya. Dada Hashimah sebak. Sampai hati Azhar bersikap seperti tidak tahu apa yang telah terjadi. Zuraida memandang Azhar dengan pandangan yang amat benci. ’Sungguh tinggi egomu wahai lelaki!’ desis hati kecilnya. Kalau tidak kerana dia berada di rumah Azhar, mungkin lima jemarinya telah hinggap di pipi Azhar. Mahu saja rasanya direjamnya Azhar dengan batu-batu panas atau rendamkannya di dalam air, biar dia lemas, lemas dengan dosanya sendiri. Biar dibawanya egonya yang tidak bertepian itu.

“Begini, mereka minta supaya perkahwinan antara kamu dan Shima dipercepatkan,” beritahu Datuk Iskandar kepada anaknya. “Kenapa pula?” tanya Azhar seperti tidak tahu apa yang telah terjadi. Suasana sunyi seketika. “Tapi, emak suka juga kalau perkahwinan kamu berdua dipercepatkan. Maklumlah, emak dah tua. Entah esok atau lusa emak akan pejamkan mata selama-lamanya. Teringin jugalah emak nak lihat anak emak berumahtangga.” Pujuk Datin Salmah sambil mengusap kepala anaknya.

“Emak, ini bukan perkara main-main. Ini soal perkahwinan. Zaha ni pula bukan orang biasa. Zaha ada ramai peminat mak. Tambahan pula Zaha sekarang sibuk dengan pertunjukan pentas. Zaha baru saja nak menjinakkan diri di dalam bidang seni, takkan Zaha nak kahwin secepat mungkin. Kalau lewatkan mungkin boleh,” jawab Azhar tanpa memandang wajah orang-orang di hadapannya. Zuraida mengenggam penumbuknya menahan marah. Hashimah menahannya daripada bangun dari sofa yang didudukinya. Zuraida semakin marah manakala Hashimah pula semakin takut. Takut untuk menghadapi segala-galanya yang telah berlaku hampir separuh jalan itu. Air mula bergenang di dalam kolam matanya dan menanti masa untuk memuntahkan air tersebut. Hashimah cuba menahannya daripada mengalir keluar.

“Zaha, kalau kau kahwin sekalipun, takkan ada apa-apa yang mengganggu kau. Kau boleh teruskan karier kau. Malah kalau kau nak ayah rahsiakan, ayah boleh rahsiakan,” kata Datuk Iskandar bersungguh-sungguh. “Tidak, Zaha tidak akan kahwin dalam masa terdekat ini. Iut keputusan Azhar. Ia adalah muktamad.” Jawab Azhar dengan nada suara yang kian meninggi. Zuraida masih cuba bersabar. Datuk Iskandar dan Datin Salmah terdiam. Selama ini tidak pernah sekalipun Azhar meninggikan suara kepada mereka. Jiwa Hashimah semakin meruntun menahan sebak. Jiwa Zuraida pula meronta-ronta mahu melepaskan geram yang tidak terkawal lagi.

“Lagipun kenapa nak percepatkan perkahwinan ini? Takut Zaha dirampas orang ke? Tak perlu risau Shima. Kalau Shima ikut je cakap Zaha, Zaha takkan berubah hati. Tapi kalau Shima nak cari orang lain sebagai pengganti Zaha, Zaha tidak kisah. Zaha pun ramai peminat. Sepuluh malah seratus yang macam Shima, malah lebih baik dari Shima, Zaha boleh dapat,” kata Azhar dengan bongkaknya sambil memandang Hashimah dengan wajah benci.

“Zaha, kenapa cakap begini? Tak baik,” tegur Datuk Iskandar. Datin Salmiah tergamam. Air muka kedua-dua orang tua itu berubah. Mereka berpandangan sesama sendiri.

“Azhar! Kau sudah melampau,” Zuraidah menjerit sambil bangun dari sofanya. Hashimah tidak lagi menahannya kerana air matanya juga sudah melimpah keluar. Zuraida sudah tidak dapat menahan sabarnya. Azhar terlalu ego. Dia perlu diajar.

“Eh, kau ni siapa? Tak perlu masuk campur urusan orang lain. Kekasih kau tu jaga baik-baik agar tidak diambil orang.” Kata Azhar separuh menyindir sambil tersenyum mengejek. “Kekasih aku tidak pernah ambil kesempatan terhadap diri aku. Kekasih aku jaga aku baik-baik, dia bukannya pegar yang makan padi. Dia bukan buaya tembaga yang meratah manisnya tebu, lepas tu hampasnya dibuang ke dalam longkang!” jerit Zuraida. Hashimah semakin teresak-esak. Tangisannya semakin mendayu-dayu.

“Kenapa ni? Apa dah jadi?” Datin Salmah dan Datuk Isakndar terpinga-pinga. Mereka juga terperanjat melihatkan perkara yang terjadi di hadapan matanya. Tapi, sebagai orang tua yang telebih dahulu makan garam, mereka lebih arif. Mereka tahu bahawa sesuatu yang buruk telah terjadi dan akan terjadi lagi.

“Walau apa pun yang kau katakan pada aku, aku tetap tidak mahu percepatkan perkahwinan ini. Kalau putuskan sahaja pertunangan ini, lebih baik!” kata Azhar, masih dengan egonya yang tinggi menggunung. “Aku tak sangka langsung kau begini. Aku menyesal kerana mendesak Shima menerima kau. Aku sangkakan kau seorang insan yang mulia memandangkan kau berasal dari keluarga yang amat suci. Tapi tak sangka rupanya kau jauh lebih buruk daripada apa yang aku sangkakan. Kau seolah membaling batu lalu sembunyikan tangan. Azhar, tolonglah, kau rayu pada kau, tolonglah jangan buat Shima begini.” Zuraida bersuara dengan nada perlahan. Matanya mula digenangi air yang semakin bertambah dan akhirnya melimpah ruah keluar. Dia menggenggam jemari Hashimah seerat-eratnya.

Datuk Iskandar dan isterinya masih terpinga-pinga. Namun mereka mengambil langkah untuk berdiam diri buat sementara memandangkan ketiga-tiga anak muda di hadapan mereka kini sedang berada di dalam konflik yang teramat senget. Mereka tidak perlu mendesak sekarang. Pasti mereka akan tahu perkara yang telah terjadi.

“Emak, ayah. Ini keputusan Zaha. Zaha nak putuskan pertunangan ini. Zaha mahukan kebebasan. Zaha pergi dulu. Banyak lagi perkara lain yang lebih berfaedah yang Zaha nak buat. Zaha tiada masa untuk melayan perkara-perkara remeh macam ni,” kata Azhar sambil berlalu pergi dari situ. Semua yang berada di ruang tamu terdiam. Tiada sepatah kata yang terkeluar dari mulut masing-masing.

Zuraida terduduk. Hashimah diam. Tiada lagi esakannya kedengaran. Sudah habis air mata yang dititiskannya hari itu. Biarlah dia berhenti menangis buat sementara. Dia cuba kuatkan semangatnya untuk meneruskan usaha Zuraida itu. Dia tahu, sepupunya itu telah membantunya terlalu banyak. Kini, Zuraida telah terduduk hampa. Siapa lagi yang boleh membela dirinya sekiranya Zuraida sendiri telah putus asa. Dia mesti teruskan hidup. Dia tidak boleh terus-terusan ditindas orang. Namun apabila jemarinya tersentuh perutnya, dirinya kaku semula. Apa yang boleh dilakukannya lagi? Sememangnya dia tidak mampu berbuat apa-apa lagi.

Suasana sunyi dikejutkan dengan bunyi enjin motorsikal kuasa tinggi kepunyaan Azhar. Bunyi enjin kenderaan itu semakin lama semakin jauh meninggalkan rumah banglo yang kini suram dibendung kedukaan itu.

“Baiklah. Pakcik tahu sesuatu yang buruk telah terjadi antara kamu berdua. Bolehkah Pakcik dan Makcik tahu, apa yang telah terjadi? Mungkin kita boleh selesaikan perkara ini secara baik,” tutur Datuk Iskandar sebaik sahaja keadaan yang tadinya tegang kembali mengendur. Hashimah masih menundukkan kepala. Tidak tahu bagaimana dia mahu menuturkan kata memberi keterangan tentang apa yang telah terjadi.

Zuraida mengangkat kepalanya. Dia berdiri dan melangkah ke tingkap yang bersebelahan dengan sofa yang didudukinya. Jendela tingkap itu diselaknya dan pandangannya dilemparkan jauh ke tengah halaman. Satu keluhan panjang terbit dari bibirnya.

“Begini Pakcik, Makcik. Memang telah terjadi sesuatu yang terlalu buruk. Malah lebih buruk daripada apa yang Pakcik dan Makcik sangkakan.” Tutur Zuraida satu persatu memulakan bicara yang terlalu perit untuk didengar. Hashimah tidak berganjak. Zuraida kembali ke sofa dan duduk di situ. Datuk Iskandar dan Datin Salmah diam sambil memandang tepat ke wajah dua orang tetamu mereka itu silih berganti. Mereka nampaknya mendengar dengan tekun dan tidak sabar-sabar untuk mengetahui tutur bicara Zuraida yang seterusnya.

“Begini Pakcik, Makcik. Saya harap Pakcik dan Makcik tidak terkejut dengan apa yang akan saya bicarakan. Sebenarnya, hubungan antara Azhar dan Hashimah sudah terlalu jauh. Terlalu jauh.” Zuraida memberhentikan tuturnya. Dia memandang ke arah Hashimah. Jemari Hashmah digenggamnya erat memberi isyarat supaya gadis itu tabah menghadapi segala kemungkinan. Hashimah mengangkat wajahnya dan mengangguk memberi kebenaran kepada Zuraida untuk meberuskan kata-kata.

“Mereka berdua telah terlanjur melakukan dosa dan kini, Hashimah sedang mengandungkan anak Azhar. Tapi Azhar menyuruhnya menggugurkan kandungan tersebut kerana tidak mahu orang lain tahu tentang keterlajuran itu. Namun, Hashimah tidak mahu menggugurkannya. Dan Azhar memberi kata dua bahawa, Hashimah perlu memlihi samada dirinya atau anak dalam kandungan. Sekiranya Shima tidak menggugurkan kandungannya, bermakna dia akan kehilangan Azhar.” Kata Zuraida laju tanpa memandang wajah Datuk Iskandar dan Datin Salmah.

Datuk Iskandar dan Datin Salmah terpaku. Bumi seakan goyang dan mereka tidak berdaya berpaut. Suasana sunyi seketika. Kesemua insan di ruang tamu rumah banglo itu diam. Masing-masing tidak tahu apa yang perlu diucapkan.

“Begini sajalah, kami akan cuba tanya Azhar dulu,” kata Datuk Iskandar. “Pakcik nak tanya apa lagi? Dia takkan mengaku. Tengok sajalah sikapnya tadi,” kata Zuraida menggesa. Datuk Iskandar menganggukkan kepala. “Tapi, Makcik tak percaya Azhar lakukan perkara ini,” kata-kata Datin Salmah itu benar-benar membuatkan Zuraida dan Hashimah terperanjat. Kedua-dua mereka memandang tepat ke arahnya. “Apa maksud Makcik?” tanya Zuraida ingin kepastian. “Makcik kenal anak Makcik. Dia bukannya pemuda yang sebegitu. Sehingga kini, dia tidak pernah berbohong dengan Makcik. Dia tidak pernah tidak mengaku akan kesalahannya.” Kata Datin Salmah. “Jadi, Makcik menuduh Shima yang curang?” tanya Zuraida yang mula geram dengan tutur bicara Datin Salmah yang menyebelahi anaknya. Datin Salmah diam.

“Takpe. Kami akan cuba bincang dengan Azhar dan kemudian berbincang dengan orang tua Hashimah di kampung. Mungkin ada jalan penyelesaian.” Sambung Datuk Iskandar apabila melihat keadaan mula tegang. Dia kenal benar perangai isterinya. Anaknya itu mesti betul segala-galanya.

“Abang, apa yang Abang cakap ni? Kalau dah Zaha tak mengaku, takkanlah kita nak paksa dia pula?” kata Datin Salmah. “Kita tak paksa dia. Kita cuma berbincang dengannya. Lihat kalau dia benar-benar bersalah,” sahut Datuk Iskandar. “Tapi Abang dah lihat sikapnya tadi. Dia tidak menunjukkan yang dia bersalah. Jadi, untuk apa bincang lagi?” cabar Datin Salmah lagi. Zuraida dan Hashimah berpandangan sesama sendiri. Mereka tidak menyangka sama sekali, Datin Salmah sanggup berpendapat sebegitu.

“Awak ni dengan anak awak yang seorang tu, sama sahaja. Kita bincang dulu boleh tak? Bukannya kita nak paksa. Awak kena ingat, anak kesayangan awak itu pun, manusia biasa, ada nafsu dan ada kelemahan. Faham!” tegas Datuk Iskandar. Tinggi sedikit nada suaranya.

Jam di dinding menunjukkan pukul enam setengah petang. “Tak apalah Pakcik, Makcik. Kami minta diri dulu. Nanti kalau ada apa-apa berita, kami akan hubungi Pakcik,” kata Zuraida meminta diri untuk pulang. “Baiklah. Shima, jangan risau sangat. Pakcik akan uruskan, kalau betul anak Pakcik bersalah,” janji Datuk Iskandar. Hashimah menganggukkan kepala. “Makcik, kami pulang dulu.” Hashimah menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Datin Salmah tetapi tiada reaksi tindakbalas dari Datin Salmah. Datuk Iskandar berdehem. Barulah Datin Salmah mengangkat tangannya untuk bersalaman, namun wajahnya dipalingkan ke arah lain. Dada Hashimah sebak. Namun ditahannya agar dia tidak kelihatan tersinggung.

Datuk Iskandar menghantar mereka sehingga ke muka pintu. Tiba-tiba terdengar bunyi deruman enjin kereta memasuki perkarangan rumah banglo itu. Kelihatan kereta milik Azman, abang kepada Azhar memasuki kawasan rumah itu. Setelah kereta diberhentikan, Azman keluar dari kereta dan melangkah segak menuju ke arah mereka. “Dah nak balik? Kenapa cepat sangat? Makan malam di sini dulu,” pelawa Azman. “Tidak mengapalah. Kami ada hal mesti balik awal. Lagipun esok nak kerja,” tolak Zuraida. “Hai, Shima, lama tak datang ke sini. Maklumlah, tunangnya selalu berulang ke Kuala Lumpur. Kita ni di Seremban, siapa nak menjenguk,” usik Azman sambil memandang Hashimah. Hashimah sudah tidak dapat menahan sebak. Air matanya menitis lagi dan dia terus masuk ke dalam kereta. Azman terkedu. ‘Apa yang telah terjadi? Kenapa gadis itu menangis? Matanya bengkak seperti telah lama menangis.’ desis hati kecilnya. Azman memandang wajah ayahnya. Datuk Iskandar menundukkan kepala.

Zuraida masuk ke dalam kereta. Dia menghidupkan enjin kereta lalu melambaikan tangan ke arah tuan rumah memberi isyarat bahawa dia akan pergi dari situ. “Bawa kereta baik-baik. Jangan laju sangat” pesan Azman. “Shima, jaga diri baik-baik,” pesan Datuk Iskandar pula. Hashimah menganggukkan kepala. Dan kereta itu terus berlalu meninggalkan ruma banglo yang dirundung sepi itu.

“Maafkan aku, Shima,” tutur Zuraida ketika mereka dalam perjalanan pulang. “Kenapa pula kau nak minta maaf?” tanya Hashimah pelik. “Kerana aku tak dapat kawal perasaan semasa kita berada di rumah emak dan ayah Azhar tadi,” jawab Zuraida sambil memandu keretanya dengan tenang. “Tidak mengapalah. Aku tahu kau dah cuba sedaya upaya. Sepatutnya aku yang patut berterima kasih kerana kau berusaha untuk membantu aku. Memang masalah ini belum selesai tapi hati aku terasa lega. Lega kerana aku mempunyai seorang sepupu merangkap teman yang terlalu mengambil berat tentang diri aku.” Tutur Hashimah lembut. Dia memandang ke arah Zuraida dan pandangannya dibalas oleh Zuraida. Hashimah tersenyum, penuh keikhlasan. Zuraida membalas senyuman itu. Dia lega kerana Hashimah semakin kuat kini.

Hampir satu jam perjalanan dari Seremban ke Kuala Lumpur, mereka tiba di rumah pada jam tujuh setengah lebih. Kedua-duanya segera masuk ke rumah, membersihkan diri dan menghambakan diri kepada Yang Esa. Hanya Dialah yang mampu menolong kini. Titisan air mata yang menitik di atas kain telekung dan sejadah membuktikan penyesalan yang tidak terhingga kerana terlalu mengikut emosi dan nafsu. Semoga pintu keampunan masih terbuka untuk insan-insan yang berdosa dan ingin bertaubat.

One thought on “DOSA SEMALAM

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s