DOSA SEMALAM

Bab 3

Hashimah memandang jauh ke arah lautan yang sedang berombak ganas di hadapannya. Setiap deruan ombak yang menderu ke arahnya bagaikan mahu menyambar dan menelannya ke dasar lautan. Namun Hashimah tetap di situ. Dia masih berdiri di situ memerhati ombak yang tidak kenal erti penat. Meskipun batu yang dihempas olehnya tidak pecah, namun ombak itu cuba menghakisnya. Begitu cekalnya si ombak.

Hashimah duduk di atas batuan pantai. Ombak yang datang menderu dan meghempas batuan yang didudukinya tidak dipedulikan. Percikan air merenjis ke wajah ayunya. Rambutnya yang ikal sengaja dilepaskan tidak diikat, membolehkan si angin menggerakkannya ke mana saja yang diingininya, ke pipi, mata, hidung dan melata di atas wajah gadis ayu itu.

Sesekali Hashimah seolah mengharap. Harapan yang disarankan oleh sang iblis. Harapan yang tidak pernah terlintas difikirannya selama hampir dua puluh lima tahun hayatnya di dunia yang fana ini. Harapan itu semakin menjadi suatu cita-cita. Cita-cita agar tubuh kecilnya ditarik oleh ombak yang sedang mengganas itu. Lalu jasadnya akan disemadikan di dalam perut lautan itu. Biarlah jasadnya tiada berkubur. Biarlah matinya tiada yang tahu. Biarlah hilangnya tiada yang cari. Biarlah. Biarlah dan biarlah segala-galanya berlaku tanpa pengetahuan sesiapa, tanpa penghormatan dari sesiapa kerana dirinya tidak perlu lagi dihormati. Kerana dirinya tiada lagi kehormatan.

Hashimah menggerakkan tangan kanannya dan secara spontan, jemarinya yang putih gebu itu mengusap perut yang sejak tadi tidak diisi dengan sebarang makanan. Sejak pagi tadi, setelah dia melangkah keluar dari pintu bilik Doktor Rosnah. Namun, sebenarnya sejak dua hari lepas dia tidak berselera untuk menjamah makanan. Termasuk Doktor Rosnah, sudah empat orang doktor yang ditemuinya dan kesemua mereka memberi keputusan yang sama tentang penyakitnya.

Kadangkala Hashimah merasakan bahawa tanggapan doktor-doktor itu adalah salah. Mereka semua mahu mengenakan dirinya, mahu menganiaya dirinya. Tapi semua itu hanyalah impiannya yang tidak mungkin terlaksana. Dia boleh mengatakan semua doktor itu pembohong, tapi mampukan dia menutup perutnya yang akan membesar tidak lama nanti. Mampukah dia menolak takdir sebagaimana dia menolak keputusan doktor-doktor itu.

Tanpa disedari, kelopak mata Hashimah digenangi air. Air itu semakin lama semakin banyak dan akhirnya melimpah keluar dari kolam matanya. Walaupun telah melimpah, namun air itu masih belum berhenti, ia terus keluar seolah-oleh wujudnya mata air dari lubang mata Hashimah. Air matanya terus keluar, membasahi pipinya yang lembut dan halus. Memadam bedak yang disapu di wajahnya sejak pagi tadi.

“Ooohhhh….!” Hashimah mengeluh panjang. Dia menutup wajahnya dengan menggunakan kedua-dua belah tapak tangannya. Dia masih teringatkan kejadian tiga bulan lepas. Dia pun tidak tahu mengapa begitu mudah dia menyerahkan mahkota peliharaannya selama ini kepada Azhar. Mungkin kerana dia amat menyintai lelaki itu, maka tidak sanggup melihat lelaki itu merayu-rayu inginkan dirinya. Dia termakan dengan janji-janji lelaki itu. Janji untuk mengambilnya sebagai isteri secepat yang mungkin, janji untuk bertanggungjawab di atas apa jua yang telah dilakukannya, janji untuk itu, janji untuk ini.

Namun akhirnya, janji tinggal janji. Masih terngiang-ngiang lagi suara Azhar di telinganya pada hari pertama dia didapati mengandung hampir tiga bulan.

“Tapi aku belum bersedia untuk jadi ayah!” jeritnya. Hashimah tersentak.
“Azhar, Shima juga belum bersedia untuk jadi ibu. Tapi kita telah terlanjur.” Rayu Hashimah. Air mata mula bergenang dan mengalir lesu di pipinya. Kini telah terlihat olehnya Azhar tidak mahu memikul tanggungjawab yang telah dibentuk olehnya sendiri.
“Kalau begitu, gugurkan je lah kandungan tu!” putus Azhar.
“Tak boleh Azhar. Anak ini dah membentuk menjadi manusia. Jika kita gugurkan, kita sudah membunuh satu nyawa yang tidak berdosa. Cukuplah dengan dosa yang telah kita lakukan, janganlah kita tambah lagi satu dosa yang maha besar ini. Tolonglah Azhar.” Rayu Hashimah tanpa putus asa.
“Itu semua terpulang kepada kau. Aku tetap dengan keputusan aku. Siapa kau untuk mengubah pendirian aku?” jerkah Azhar, lebih tinggi suaranya.

Hashimah tersentak. “Azhar tanya siapa Shima? Shima ni tunangan Azhar, Shima bakal menjadi isteri Azhar. Dan yang paling penting yang Azhar perlu ingat, Shima adalah perempuan yang telah Azhar tiduri tanpa nikah. Azhar luah pelbagai janji sebelum Azhar dapat Shima tapi setelah itu, Azhar tidak mahu bertanggungjawab. Manusia apa Azhar ni?” Jerit Hashimah tanpa mempedulikan keadaan sekelilingnya lagi.

“Sekarang, aku tetap dengan keputusan aku. Apa yang perlu, kau pilih salah satu antara aku dan bayi dalam kandungan. Jika kau mahukan aku, gugurkan kandungan itu dan begitu juga sebaliknya.” Tegas Azhar.

“Kalau begitu, Azhar nak lepas tangan? Kenapa sama-sama membuat dosa, tapi Shima tanggung sendirian?” tanya Hashimah lagi. Walaupun cuba dikeraskan suaranya, namun hanya suara kesayuan yang terhambur dari mulutnya.

“Aku tak kata aku nak lepas tangan, tapi seperti yang aku katakan tadi, aku atau bayi itu? Keputusan di tangan kau sendiri.” Tegas Azhar tidak lari dari keputusannya.

Hashimah terduduk. Tiada lagi patah-patah kata yang terbit dari bibirnya. Dia hanya melihat langkah pantas Azhar menuju ke kereta sport merahnya dan melunjur laju di atas jalanraya meninggalkan Hashimah dengan linangan air mata dan penyesalan yang tidak berkesudahan.

Hashimah tersentak dari lamunan apabila bahunya ditepuk orang. Hashimah menoleh. Wajah Zuraida ditatapnya. Kemudian pandangannya kembali dilemparkan ke bidang lautan yang terhampar luas di hadapannya. Zuraida pelik lalu menggeleng-gelengkan kepala.

“Kenapa dengan kau ni Shima? Sejak pagi tadi aku cari, di pejabat kau tiada, di rumah pun kau ghaib. Kau ke mana?” tanya Zuraida sambil matanya tidak lepas-lepas daripada memandang wajah sayu sepupunya itu. Tiada sahutan. Suasana sunyi seketika.

“Hai… aku ni bercakap dengan batu ke?” Zuraida bersuara lagi dengan harapan Hashimah akan memandang ke arahnya dan menjawab soalannya. Namun hampa. Hashimah tetap memandang ke laut, termenung jauh.

“Shima, aku bercakap dengan kau ni. Tak dengar ke?” tanya Zuraida lagi. Nada suaranya sedikit meninggi. Geram juga dia melihat kelakuan Hashimah. Mana taknya, dari pagi tadi dia mencari Hashimah di pejabat. Mereka berdua bekerja di tempat yang sama, sebuah agensi pelancungan. Hanya bahagian mereka yang tidak sama kerana Zuraida di bahagian Akaun manakala Hashimah bertugas di bahagian Khidmat Pelanggan. Namun mereka masih berada di dalam sebuah bangunan yang sama.

Kebiasaannya, mereka akan makan tengahari bersama. Namun pada hari itu, apabila Zuraida mencari Hashimah, rakan sekerjanya memberitahu bahawa Hashimah mengambil cuti kecemasan. Zuraida pelik kerana mereka bersama-sama keluar dari rumah menaiki kereta yang sama selepas bersarapan pagi pada pagi tadi. Tapi Hashimah pula hilang tidak dapat dikesan. Hashimah tidak membawa kereta pada hari itu. Memang kebiasaan, mereka akan menaiki sebuah kereta sahaja untuk sampai ke pejabat walaupun masing-masing mempunyai kereta sendiri.

“Ya Allah, Shima, kau dengar tak aku cakap ni? Apa yang kau tenung di laut sana? Aku pun bercinta juga tapi taklah sampai tak dengar orang bercakap. Apasal ni? Kau nampak wajah Azhar di laut sana ke? Takkanlah baru tak jumpa tiga hari dah angau.” tanya Zuraida dengan nada geram. Kemudian dia duduk di sebelah Hashimah dan memandang ke laut.

Hashimah menoleh perlahan ke arah Zuraida. Zuraida tidak mempedulikannya. Dia hanya mendiamkan diri dan terus memandang ke arah laut. Hashimah tetap membisu tapi matanya memandang wajah Zuraida walaupun tidak dipedulikan olehnya. ‘Apakah aku perlu berterus terang kepadanya. Apa pula tanggapannya kepada aku nanti? Apakah dia akan faham? Tapi jika bukan dia tempat aku mengadu, kepada siapa lagi? Emak dan abah di kampung? Tidak! aku tidak akan memberitahu perkara ini kepada mereka. Abah sakit darah tinggi, Nanti, apa pula yang berlaku. Aaahhhh….’ Desis keluh hati kecil Hashimah. Matanya kembali memandang ke laut.

Suasana sunyi seketika. Masing-masing memandang ke kaki langit, melihat matahari tergelincir ke ufuk barat, memberi peluang kepada malam untuk mempersembahkan diri.

“Sudah. Jom balik. Aku tahu kau ada masalah. Seberat manapun masalah kau, kau tetap kena atasi juga. Jangan berselindung lagi. Kita balik, bersihkan diri, lepas tu, ceritakan semua masalah pada aku. Mungkin aku tidak boleh membantu tapi, kita boleh usahakan. Percayalah, tiada masalah yang tiada penyelesaian. Masalah yang datang adalah ujan dari Ilahi untuk melihat kekuatan kita. Masalah itu untuk dihadapi dan diselesaikan, bukan untuk kita lari darinya. Ayuh kita pulang,” kata Zuraida sambil bangun dan menarik tangan Hashimah yang masih duduk di atas batu.

Hashimah menurut. Langkahnya longlai mengikut langkah Zuraida. Sbentar kemudian, kereta Astina milik Zuraida meluncur laju di atas jalanraya meninggalkan lautan yang tidak pernah berhenti berkhidmat kepada manusia di muka bumi ini.

***********

“Apa?!” terjerit Zuraida sebaik sahaja perkara yang merunsingkan Hashimah terbongkar dari diari diri Hashimah. Lama juga dia terdiam. Dalam masa yang sama, Hashimah menangis teresak-esak. Mendayu-dayu dan begitu sayu tangisannya. Dia tidak lagi menahan tangisannya, Dia menangis sepuas-puas hatinya hinggakan wajahnya kelihatan bengkak dan matanya merah
“Tapi, macammana boleh jadi begini? Siapa ayah kepada bayi Shima tu?” tanya Zuraida sebaik sahaja denyutan jantungnya kembali normal. Hashimah diam. “Shima, kau tak boleh berterusan diam macam ni. Kau kena berterus terang. Kita mesti berikhtiar. Mungkin ada jalan untuk keluar dari masalah ini.” Pujuk Zuraida tanpa jemu. “Tapi aku tak sanggup untuk gugurkan kandungan ini.” Rintih Hashimah. “Kau tak perlu gugurkan kandungan tu kerana ia berdosa. Tapi kau boleh desak bapanya untuk menikahi kau secepat yang mungkin.” Pujuk Zuraida. “Aku dah bincang dan dia tak mahu bertanggungjawab. Aku kecewa Ida, aku kecewa,” keluh Hashimah. Sendunya reda sedikit. “Berapa lama kau kenal lelaki itu? Dan…. Bagaimana pula hubungan kau dengan Azhar?” pertanyaan Zuraidah itu membuatkan Hashimah mengangkat kepala. “Ops… sorry! Aku sebenarnya tak mahu masuk campur antara engkau dengan Azhar tapi setahu aku, engkau dan dia terlalu rapat dan tidak pernah bergaduh. Cuma sejak tiga hari lepas, aku tak nampak engkau tak keluar dengan dia. Ada masalah ke?” tanya Zuraidah ingin tahu.

“Ida, kau tahu tak siapa bapa kepada bayi dalam kandungan Shima ni?” tanya Hashimah semula. Dia bukan berkecil hati dengan soalan Zuraida. Dia juga tidak marah dengan soalannya. Dia tahu, semestinya Zuraidah tidak menduga bahawa Azhar adalah bapa kepada bayi di dalam kandungannya. Siapa yang tidak kenal keluarga Azhar. Ayahnya Datuk Iskandar, tuanpunya syarikat SEMANGAT CERDAS SDN BHD, seorang yang baik budi pekerti. Kejahilan agama bukanlah suatu masalah dalam keluarga tersebut. Ibunya Datin Salmah, seorang Kaunselor Bebas yang mempunyai syarikat kaunselingnya sendiri. Azhar punya seorang abang, Azman yang tua empat tahun darinya. Belum berkahwin tapi telah menjadi pengarah urusan di syarikat ayahnya. Semuanya baik-baik belaka. Cuma Azhar sahaja yang minatnya lebih terdorong ke arah seni. Meskipun baru sahaja menempatkan diri dibarisan para penyanyi baru, namun dia telah memperoleh ratusan peminat.

“Sorrylah. Aku bukan nak tuduh kau curang. Aku sekadar bertanya. Mungkin penyelesaiannya ada di sana.” Kata Zuraidah sambil memeluk bahu sepupunya itu. Dia turut bersimpati dengan masalah yang dihadapi oleh Hashimah. Dia merasakan bertanggungjawab di atas apa yang terjadi kepada Hashimah. Hashimah seorang gadis yang pemalu tapi periang, sopan dan penuh dengan ajaran agama. Ayahnya seorang Imam Masjid di kampungnya di Perlis. Ibunya seorang suri rumah yang menjaga enam lagi adiknya yang mana tiga masih bersekolah. Ibu dan ayah Hashimah membuka sebuah kedai makan. Hanya itulah punca pendapatan keluarga mereka.

Zuraida masih ingat lagi betapa sukarnya dia meyakinkan kedua ibu bapa Hashimah ketika dia mahu mengajak Hashimah ke Kuala Lumpur untuk bekerja bersama-sama dengannya. Ibu dan ayah Hashimah tidak begitu merelakan pemergian anak sulungnya itu.

“Shima tu tak biasa hidup di tempat orang lagi. Sejak kecil hinggalah sekarang, dah hampir dua puluh tiga tahun, dia tak pernah berenggang dengan kami. Pakcik risau dia tak dapat menyesuaikan diri di sana nanti.” Kata Pak Lang, ayah Hashimah.

“Iyelah Ida, nanti dia menyusahkan kamu pula,” sambung Mak Lang pula, ibu Hashimah yang merupakan emak saudara kepada Zuraidah.

“Janganlah risau sangat Pak Lang. Mak Lang. Ida dulu pun tak biasa juga tapi lama-kelamaan, pandailah Ida bawa diri di tempat orang. Itu Ida seorang, Shima tidak keseorangan. Ida akan jaga dia sehingga dia dapat menyesuaikan diri dengan orang sekeliling.” Zuraida cuba meyakinkan Pak Lang dan Mak Lang.

Mak Lang pandang wajah Pak Lang. Pak Lang memandang sebentar wajah isterinya dan kemudian beralih ke arah Zuraida dan seterusnya dia memandang jauh keluar halaman rumahnya. “Macammana Pak Lang. Esok saya dah nak balik ke Kuala Lumpur. Boleh tak saya bawa Shima? Lagipun dia ada kelulusan. Kerja kosong di tempat saya tu layak untuk diisi oleh Shima. Dia duduk di kampung ni pun, fikirannya tak berkembang. Berilah dia peluang untuk melihat tempat orang. Ida janji, Shima takkan tersalah haluan. Dia pun bukannya budak tak baik. Malah dia lebih baik dari Ida sendiri.” Zuraidah terus memberi harapan.

“Macammana bang? Nak lepaskan Shima tu pergi tak?” tanya Mak Lang pada suaminya. Pak Lang memandang ke luar rumahnya. Dia termenung panjang seolah-olah sedang berfikir sedalam-dalamnya. Memang sukar untuk melepaskan anak gadis kesayangannya itu. Hashimah seorang anak yang baik, bersopan santun, mendengar kata dan jarang sekali mendengar dia membantah kata-kata orang tua.

“Pak Lang, cepatlah. Boleh atau tidak? Bolehlah saya suruh Shima berkemas.” Tanya Zuraidah tidak sabar mendengar keputusan Pak Lang. “Kamu dah tanya Shima?” tanya Pak Lang memandang wajah Zuraidah. “Sudah,” jawab Zuraidah ringkas. “Dia nak pergi?” tanya Pak Lang lagi. “Dia kata kalau Pak Lang dan Mak Lang izinkan, dia nak pergi,” beritahu Zuraidah terus terang.

“Maknya macammana? Boleh dilepaskan budak tu?” tanya Pak Lang kepada Mak Lang. “Ikut abanglah. Kalau abang rasa selesa untuk melepaskannya, saya ikut saja,” jawab Mak Lang. Zuraidah menghirup kopi yang telah sejuk yang dihidangkan oleh Mak Lang ketika dia mula-mula tiba. Dia yakin, Pak Lang akan melepaskan anaknya pergi ke Kuala Lumpur.

“Baiklah, Pak Lang izinkan dia pergi ke sana. Tapi dengan syarat, kamu tidak akan berselindung apa saja kesalahan yang dibuatnya. Jangan kamu asyik menyebelahi memenangkan dia sehingga dia naik lemak. Kalau dia buat salah, tegur dia. Jangan biar dia hanyut di rantau orang. Maklumlah, dia tak biasa hidup tanpa emak ayah. Kalau di sini, waktu dia lalai, ada orang yang mengngatkannya. Pak Lang harap, kamu boleh tegur dia. Cuma Pak Lang risau seperkara, selama ini dia hidup di satu kelompok masyarakat iaitu kampung ini saja. Kalau dia pergi ke tempat yang masyarakatnya berbagai-bagai kaum, berbagai-bagai ragam, berbagai-bagai kerenah, Pak Lang risau dia akan hanyut. Harap Idah faham maksud Pak Lang,” terang Pak Lang panjang lebar. Mak Lang disebelahnya hanya menganggukkan kepala tanda setuju dengan kata-kata Pak Lang.

“Baiklah Pak Lang. Kalau itu yang Pak Lang risaukan. Ida akan cuba sedaya upaya untuk menjaga dia sebagaimana Ida menjaga diri Ida sendiri. Dan Ida berjanji untuk tidak berahsia apa-apa dengan Pak Lang dan Mak Lang. Dan sekiranya Idah lihat dia berubah, Ida akan suruh dia pulang semula ke kampung.” Janji Zuraidah.

Zuraidah tersentak tiba-tiba. Lamunannya terhenti apabila dikejutkan dengan sendu Hashimah yang semakin kuat. Zuraida mengurut dadanya akibat tersentak tadi.

“Baiklah, Shima. Janganlah Shima menangis lagi begini. Cuba beritahu terus terang kepada aku, siapa bapa kepada bayi dalam kandungan kau ni? Walau siapapun dia, kau tak boleh selindung. Kita mesti minta dia bertanggungjawab. Dia tak boleh lepas tangan begitu,” kata Zuraida dengan nada suara yang agak tegas. Sambil tangannya mengusap belakang Hashimah yang meniarap sambil menekupkan wajahnya ke bantal.

Sendu Hashimah berkurangan sedikit. Dan lama kelamaan, sendunya kian mereda. Hashimah duduk sambil memeluk bantal yang hampir basah dengan air matanya sejak Maghrib tadi.

“Kau nak tahu siapa anak dalam kandungan ini?” tanya Hashimah dengan suara perlaha. Zuraida menganggukkan kepalanya. “Kau takkan percaya,” kata Hashimah lagi seolah-olah amat berat untuknya menyebut nama bapa kepada bayi dalam kandungannya. “Sebut saja namanya. Samada aku percaya atau tidak, itu soal kedua.” Kata Zuraida tidak sabar menunggu nama lelaki yang menghancurkan masa depan sepupunya itu.

“Azhar,” terpacul juga nama itu dari mulut Hashimah. Zuraida terdiam sejenak. Namun dia tidak terus melatah. “Azhar mana?” tanyanya ingin kepastian. Hashimah memandang wajah Zuraida. “Azhar mana lagi yang Shima kenal selain daripada tunang Shima sendiri. Dia tunduk kembali dan sendunya kembali kedengaran, tetapi perlahan dan lembut dari tadi.

Zuraida terpaku. Dia kenal sangat perangai Hashimah. Dia gadis kampung. Dia tidak pandai untuk berdampingan dengan banyak lelaki. Di kota besar ini, hanya Azharlah lelaki yang biasa keluar dengannya, tiada lelaki lain. Zuraida tahu sangat tentang itu.

Timbul pula rasa menyesal di hatinya. Dia masih ingat ketika mula-mula Azhar bertanyakan tentang Hashimah kepadanya. Zuraida tahu, pemuda itu terlalu baik dan datang dari keluarga baik. Apabila dia menyatakan hasrat hatinya untuk mengenali Hashimah dengan lebih rapat, Zuraida pun tumpang gembira. Dialah yang memberitahu kepada Pak Lang dan Mak Lang, emak dan ayah Hashimah tentang hal itu. Dan Mak lang dan Pak Lang juga bersetuju. Maka Hashimah dan Azhar pun ditunangkan. Sejak itu, barulah Hashimah keluar dengan lelaki. Itulah kali pertama.

Zuraida tahu, Hashimah pernah bercinta dengan rakan sekampungnya. Tapi lelaki itu telah meninggalkannya tanpa berita apabila berjaya melanjutkan pelajaran di United Kingdom , lima tahun yang lepas. Puas Zuraida memujuk supaya tidak menanti kepulangannya. Namun Zuraida tetap setia menanti kepulangannya. Dan Zuraida yakin, dengan pertunangan antara Hashimah dan Ahzar, akan membuatkan Hashimah lupakan tentang bekas teman lelaki sekampungnya itu.

Zuraida tersentak apabila jam di dinding berbunyi sebanyak dua belas kali menunjukkan waktu itu telahpun masuk ke hari yang baru. Sendu Hashimah sudah tidak kedengaran. Zuraida memandang ke arah Hashimah. Dia telahpun terlena. Zuraida mengusap rambut Hashimah. Timbul rasa simpati dan menyesal dengan apa yang telah terjadi. Zuraida bangun lalu menyelimutkan tubuh Hashimah. Dia kemudiannya memadam suis lampu dan seterusnya melangkah lemah masuk ke biliknya.

One thought on “DOSA SEMALAM

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s