DOSA SEMALAM

Bab 1

Shahrul memandang ke arah jam yang tergantung di biliknya. Tepat jam tiga pagi. Shahrul menggeliat sambil menguap kuat. Satu keluhan kepuasan terlepas dari bibirnya. Tugasan terakhir untuk semester pertama yang diamanatkan kepadanya. Dia lega. Tugasan itu telah berjaya diselesaikannya. Mulai esok, dia boleh bersiar-siar di Kota London ini. Sejak dia menjejakkan kaki di sini, dia tidak pernah bersiar-siar untuk menikmati keindahan musim bunga di negara orang.

Kebetulan pula, Syakina telah berjanji untuk menemaninya bersiar-siar ke Kota London esok. Shahrul terkenangkan Syakina, gadis itu muda setahun dari usianya tetapi dia telah menduduki universiti itu setahun lebih awal daripadanya.

Bukannya salah sesiapa tapi salah Shahrul sendiri. Dia yang melengah-lengahkan hasratnya untuk melanjutkan pelajaran. Kalau diikutkan hatinya, memang dia tidak mahu melanjutkan pelajaran lagi setelah tamat Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia di tanahairnya dulu. Tapi di atas desakan seorang gadis yang terlalu dicintainya, dia menurut.

Shahrul yakin, dia akan berjaya membawa balik segulung ijazah buat kekasihnya itu. Dia berjanji kepada dirinya sendiri, tempoh enam tahun yang mesti dilaluinya di Kota London itu akan digunakan semata-mata untuk mencapai cita-citanya yang juga merupakan cita-cita kekasihnya.

“Eh, kau tak tidur lagi, Shah?” Shahrul tersentak apabila Razif, teman sebiliknya menyapa. “Tidurlah Shah. Esok kau sakit lagi teruk. Aku tak pandai jaga orang sakit. Kau sakitlah seorang,” usik Razif. Shahrul tersenyum. “Aku siapkan tugasan yang Mr John beri.” Sahutnya sambil mengemaskan alatulisnya yang bersepah di atas meja. “Dah siap ke?” tanya Razif pula sambil berbaring semula dan menyelimuti tubuhnya. “Dah!” jawab Shahrul sepatah. “Habis tu, kenapa aku tengok kau mengelamun saja tadi?” tanya Razif lagi. “Tak ada apalah Zif. Kau tidurlah.” Sahut Shahrul sambil bangun menuju ke katilnya.

Razif tidak bersuara lagi.Dia kembali tidur. Shahrul berbaring di katilnya. Matanya terkebil-kebil memandang siling bilik. Kenangan lama kembali bertaut di ingatannya. Dia teringatkan Hashimah, gadis yang berjaya membuatnya berubah. Jika di zaman persekolahannya, dia suka berkawan dengan pelbagai perempuan. Mungkin kerana dia mempunyai paras wajah yang agak kacak itu, dia digilai oleh ramai perempuan. Shahrul juga mengakui, dia pun suka berpoya-poya dalam hidupnya. Boleh dikatakan setiap gadis yang mendekati dirinya akan dilayan tetapi apabila gadis-gadis itu mula menunjukkan kasih sayang terhadapnya, dia akan meninggalkan gadis-gadis berkenaan. Padanya, dia masih belum bersedia untuk menjalani kehidupan sebagai orang bercinta.

Sehinggalah pada suatu hari dia bertemu dengan Hashimah. Kali pertama memandang gadis itu, hatinya tersentak. Pandangannya kaku. Wajah Hashimah ayu semulajadi terutama ketika dia tersenyum. Hati Shahrul bergelora. Dia ingin mengetahui siapakah gadis itu. Dia tidak pernah mempunyai perasaan sebegitu apabila memandang gadis. Jika sebelum ini, dia biasa melihat gadis-gadis cantik malah lebih cantik dari Hashimah tetapi dia pelik, kenapa hatinya benar-benar terdetik untuk mengenali gadis itu.

Dari sehari ke sehari, Shahrul sering mengikuti Hashimah. Pernah sekali Shahrul mengikutinya pulang ke rumah. Hashimah menaiki basikal sedangkan dia menaiki motorsikal ketika itu. Mungkin kerana perasan ada motorsikal yang mengikutinya sejak dari sekolah lagi, Hashimah memberhentikan basikalnya. Shahrul juga memberhentikan motorsikalnya. “Kenapa kau ikut aku?” tanyanya tegas. Shahrul tidak menjawab. Namun matanya tidak putus memandang wajah Hashimah. “Aku tanya kau, kenapa ikut aku? Sejak dari sekolah tadi kau mengekori aku. Kau nak apa?” tanya Hashimah yang bengang apabila soalannya tidak dijawab.

“Aku nak mengenali dirimu,” sahut Shahrul pendek. “Mengarut!” sahut Hashimah pula. “Apa yang mengarutnya. Aku serius ni.” Jawab Shahrul berani. “Kau ingat aku tak kenal kau? Memang aku baru saja masuk ke sekolah ini tapi aku amat mengenalimu. Mungkin kau yang tidak mengenali aku.” Jawab Hashimah. Shahrul tersentak. Bagaimana Hashimah boleh mengenali dirinya?

“Shima! Apa hal?” tiba-tiba terdengar panggilan seorang gadis. Shahrul menoleh. Terlihat kelibat Zuraidah sedang mengayuh basikalnya dengan laju sekali menghampiri Shahrul dan Hashimah. “Dia ganggu kau Shima?” tanya Zuraida ketika dia sampai di tempat Hashimah. Hashimah tidak menjawab sebaliknya hanya memandang wajah Shahrul yang berkerut seperti memikirkan sesuatu.

“Kau kenal dia Ida?” tanya Shahrul. “Apa pula tak kenalnya? Dia ni sepupu aku,” sahut Zuraidah dengan wajah tidak senang dengan kehadiran Shahrul mengganggu Hashimah. “Sepupu kau? Tapi aku tak pernah pun tengok dia selama ini. Dia tinggal di mana?” tanya Shahrul lagi. “Kau banyak tanya ni apa hal? Ada masalahkah?” tanya Zuraidah lagi. “Jum Shima, kita balik. Jangan layan budak playboy ni. Nanti tak pasal-pasal, kau pula jadi mangsanya.” Ajak Zuraidah. “Nanti dulu.” Panggil Shahrul. “Kau nak apa lagi ni?” tanya Zuraidah tidak senang.

“Aku betul-betul ingin mengenalinya, Ida. Aku serius,” kata Shahrul bersungguh-sungguh. “Dengan semua gadis pun kau kata serius tapi semuanya kecewa. Sudahlah, dia sepupu aku jadi aku akan jaga dia.” Tegas Zuraida. “Ayuh, Shima. Jangan bertangguh lagi. Terus balik rumah.” Arah Zuraidah dan Hashimah menurut.

Shahrul tidak lagi menahan. Dia hanya melepaskan pemergiannya gadis yang membuatkannya terpaku seketika itu. Namun dia akan berusaha untuk mengenali gadis itu. Tambahan pula dia merupakan sepupu kepada Zuraida, teman sekelasnya. Tentu tidak susah untuk dia mengorek rahsia Hashimah.

Shahrul tersentak oleh bunyi dengkuran Razif. Shahrul tersenyum sendirian. Entah kenapa rindu di hatinya tidak tertahan lagi. Sejak dia ke Kota London, dia tidak pernah menghubungi Hashimah lagi. Dia bukan berniat untuk melupakan gadis itu, tetapi dia bimbang sekiranya dia melayan perasaan rindunya itu, pasti pelajarannya akan terabai. Cukuplah tempoh enam tahun untuk mencapai pangkat PhD dalam Sains Perniagaan. Dia tidak mahu tempoh enam tahu itu dipanjangkan kerana kegagalannya menaiki semester baru.

Shahrul tidak pasti adakah dia mampu untuk melupakan gadis itu di pandangan mata tetapi tetap kekal tersemat di sanubarinya. Shahrul memejamkan mata. Semoga dia dapat tidur nyenyak dan mimpikan yang indah-indah bersama Hashimah.

“Macammana Shah? Bagus tak Kota London ni?” tanya Syakina ketika mereka berehat di Restoran McDonalds setelah seharian bersiar-siar. “Bagus tu memang bagus. Kalau tidak takkanlah aku datang ke sini untuk lanjutkan pelajaran.” Sahut Shahrul sambil matanya memerhati beberapa anak muda yang sedang leka bermain roller blade di padang.

“Nanti boleh aku tunjukkan tempat yang lain pula. Kau nak tak?” tanya Syakina pula. “Untuk hari ini, cukuplah setakat ini. Aku penatlah Kina,” jawab Shahrul. Dia menghirup saki baki air coca-cola di hadapannya. “Nak balik?” tanya Syakina. Shahrul hanya mengangguk.

“Sudah berapa lama kau tak balik ke Malaysia?” tanya Shahrul setelah mereka keluar dari restoran makanan segera itu. “Kali terakhir aku balik, hari raya tahun lepas. Apasal kau tanya?” sahut Syakina. “Bagaimana perasaan kau ketika mula-mula tiba di sini? Tidakkah kau rindu kampung halaman?” tanya Shahrul membuatkan Syakina besar mendengarnya. Shahrul memandang wajah Syakina dengan penuh tanda tanya. “Kenapa kau ketawa? Apakah soalan aku terlalu lucu untuk kau ketawakan?” tanya Shahrul tidak puas hati. Ketawa Syakina reda.

“Come on Shah. Kita bukan budak kecil. Kita seorang dewasa. Sampi bila kau nak duduk di bawah ketiak emak dan ayah kau. Sudah tiba masanya kita berdikari. Suatu hari, kau akan tinggalkan emak dan ayah kau. Kalau kau tak ke sini pun, apabila kau kahwin nanti, kau pasti akan tinggalkan mereka, bukan?” sahut Syakina dengan senyum simpul masih lagi di bibirnya.

Shahrul diam. Dia faham maksud Syakina. Dia tahu Syakina tidak bermaksud untuk memperkecilkannya. Ada benarnya juga kata-kata Syakina itu. Entahlah, mungkin juga Shahrul tidak merindui kampung halaman tapi dia merindui gadis yang berjaya menembusi pintu hatinya. ‘Bagaimana keadaan Hashimah sekarang? Apakah dia juga merindui aku?’ tanya hati kecil Shahrul.

“Kau mengelamun, Shah? Dah sampai mana? Sampai rumah mak kau tak?” usik Syakina apabila Shahrul tidak bersuara menjawab kata-katanya. “Tak adalah. Aku cuma teringatkan seseorang,” sahut Shahrul. “Siapa?” tanya Syakina ingin mencungkil rahsia. Shahrul diam. “Cakaplah, Shah. Siapa?” desak Syakina sambil mencuit bahu Shahrul.

“Siapa lagi? Emak dan ayah akulah. Takkan aku nak ingat emak dan ayah kau pula,” sahut Shahrul sambil mengusik Syakina. “Aku ingatkan kau ingat pada makwe kau di sana. Eh, kau ada makwe, Shahrul?” tanya Syakina sambil menjeling tersenyum ke arah Shahrul. Dari raut wajah Shahrul, tentu sesiapa sahaja yang boleh terpikat. Tapi Shahrul seorang yang agak tegas dan jarang hendak bergaul dengan orang. Itulah sikap Shahrul yang diperhatikannya sejak dia mengenali lelaki itu.

Sememangnya sejak Shahrul mengenali Hashimah, sikapnya berubah serta merta. Dia tidak lagi suka lepak di kompleks beli belah bersama rakan-rakan seperti yang biasa dilakukan ketika di sekolah menengah dulu. Dia juga tidak lagi suka mengusik gadis-gadis. Walaupun ada yang berminat untuk berkawan dengan, namun semuanya ditolak dengan baik.

Shahrul benar-benar berubah. Itulah sebabnya Zuraidah mengizinkan Hashimah berkawan dengan Shahrul. Dan dalam masa setahun usia perkenalan mereka, Hashimah menerima Shahrul sebagai kekasihnya. Sebentuk cincin belah rotan yang dibelinya sejak sebulan mengenali gadis itu di pekan dekat kampung mereka, telah diterima oleh Hashimah dan Hashimah menyarungkannya ke jari manisnya.

“Eh, Shah!. Kau ni asyik berangan saja. Kau nak cakap dengan aku atau nak berangan?” tanya Syakina. Bengang juga dia dengan kelakuan Shahrul. “Alah, sorrylah Kina. Apa kau tanya tadi?” tanya Shahrul lagi. Syakina diam.Memasamkan muka. “Janganlah buat macam tu. Panjangnya muncung kau. Boleh ikat reben,” usik Shahrul sambil mencubit pipi Syakin membuatkan gadis itu menjeling ke arahnya dan ketawa.

“Tak apalah, Shah. Lupakan saja. Tak berapa penting.” Sahut Syakina masih dengan nada merajuk. “Kau merajuk Kina,” tanya Shahrul lagi. Syakina tidak menjawab.“Baru tadi kau kata, kita dah dewasa. Jadi kita mesti berfikiran dewasa, kan?” kata Shahrul lagi sambil menjeling ke arah temannya. Syakina memandang ke arahnya sambil tersenyum lalu menumbuk perlahan bahu kiri Shahrul. “Aku orang dewasalah. Tak mainlah merajuk-merajuk ni. Aku bukan jiwang macam kau. Sikit-sikit berangan,” sahutnya. Shahrul ketawa. Syakina turut ketawa.

Syakina seorang yang periang. Shahrul amat menyenanginya sejak berkawan dengannya. Dia seorang teman yang baik dan suka mendengar semua masalahnya. Shahrul sedar, sejak dia berada di Kota London ini, dia kurang bergaul rapat dengan teman-temannya. Entahlah kenapa. Tapi fikirannya terlalu merindui kampung halaman, membuatkan dia kurang berminat untuk bergaul mesra. Dia lebih suka berdiam dan memencilkan diri.

Dia keluar dengan Syakina ini pun atas desakan gadis itu sendiri. Dia masih ingat lagi bagaimana Syakina beriya-iya mengajaknya bersiar-siar setelah tamat semester.

“Aku malaslah Kina. Kau ajaklah orang lain,” tolaknya sopan. “Alah, jomlah Shah. Kita bukannya pergi ke tempat yang tidak elok. Kita cuma bersiar-siar menghirup udara di tempat orang. Kau kena lepaskan tekanan belajar kau. Nanti, bila kau masuk semester baru, otak kau dah tak serabut lagi. Kau dah release tension.” Ajak Syakina sungguh-sungguh.

“Kawan-kawan kau kan ramai. Kenapa ajak aku?” Shahrul masih cumba menolak. “Memang kawan-kawan aku ramai. Tapi aku nak ajak kau juga, tak boleh?” tanyanya lagi seakan bengang dengan sikap Shahrul. “Aku…ish…. Aku tak ada mood nak bersiar, Kina. Kau tak boleh paksa aku.” Jawab Shahrul. Syakina diam, menarik muka masam. Shahrul tersenyum melihat sikap Syakina. Kata dah dewasa, tapi perangai macam budak-budak.

Syakina bangun dari duduknya. Dia mula melangkah meninggalkan Shahrul. “Nak ke mana tu?” tanya Shahrul. “Ikut suka akulah nak ke mana. Kau sibuk kenapa?” tanya Syakina lagi. Geram apabila pelawaannya ditolak Shahrul hanya dengan alasan malas dan tiada mood bersiar. “Amboi, garangnya kau ni Kina. Takkanlah aku tolak pelawaan kau pun, kau dah nak meradang,”tegur Shahrul lagi.

“Lantak engkaulah Shah. Malas aku nak layan kau. Aku ni bukannya apa. Aku cuma nak tolong kau. Kau baru di sini, dan pula tu, tak ada ramai kawan. Esok-esok jangan kata aku tak pelawa kau. Kau jangan canangkan nama aku sebagai kawan yang pentingkan diri sendiri. Okaylah, aku pergi dulu. Kau layanlah perasaan kau sendiri,” sahut Syakina masih dengan wajah merah padamnya.

Shahrul mencuit bahu Syakina. “Baiklah, aku ikut kau. Kita nak ke mana?” tanya Shahrul. “Ah…. Aku malas dah nak keluar dengan kau. Mood aku dah hilang,” sahut Syakina. “Hai, tadi kata orang, ikut mood lah, pemalaslah. Sekarang ni macammana? Shah dah seronok nak bersiar-siar, Kina pula tak nak. Yelah… Siapalah Shah ni. Kawan ramai tapi tak ada siapa yang ambil berat.” Kata Shahrul cuba menguji Syakina.

Syakina masih diam. Shahrul memandang wajah Syakina yang tunduk memandang rerumput yang dikuis-kuis dengan hujung kasutnya. Shahrul mencuit pipi Syakina. “Senyumlah sikit. Ada petua mengatakan, senyum itu rahsia awet muda. Bermasam muka itu, mengundang kedut yang mempercepatkan proses penuaan,” kata Shahrul lagi, cuba memujuk. “Banyaklah kau punya petua. Pandai nasihat orang, diri sendiri tonggang langgang,” sahut Syakina memandang wajah Shahrul.

Shahrul ketawa. “Okay, aku angkat bendera putih. Aku kalah. Aku salah. Cukup?” sahutnya mengangkat kedua belah tangannya, seperti komunis menyerah kalah. Syakina mencubit perlahan tangan Shahrul, membuatkan Shahrul menjerit kecil.

Shahrul senyum sendiri. “Apahal senyum-senyum tu? Ingat siapa pula?” tanya Syakina. Shahrul hanya menggelengkan kepala. Senyuman masih terukir di bibirnya. “Okaylah, rumah aku dah sampai. Kita jumpa lagi di universiti pada semester baru nanti. Nanti senang-senang, call aku ye.” Kata Syakina lagi sebelum mereka berpisah. “Insya-Allah.” Sahut Shahrul perlahan.

One thought on “DOSA SEMALAM

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s