DOSA SEMALAM

Bab 2

“Ha, macammana? Seronok berjalan-jalan?” tegur Razif sebaik sahaja Shahrul menjejakkan kaki ke rumah sewaan mereka. “Boleh tahan,” sahut Shahrul sambil merebahkan diri di atas katil bujangnya. “Boleh tahan tu apa maknanya? Seronok ke?” tanya Razif tidak puas hati dengan jawapan Shahrul yang acuh tak acuh itu. “Seronok juga.” Sahut Shahrul lagi. Matanya dipejamkan. “Takkanlah tak seronok. Bukan senang ratu Malaysia tu nak mengajak lelaki keluar dengannya tahu tak?” kata Razif lagi.

Shahrul diam saja. Malas nak melayan kata-kata Razif. Dia memang tahu apa yang dimaksudkan dengan “ratu Malaysia” oleh Razif itu. Memang semua pelajar universiti tahu, Syakina adalah antara gadis dair Malaysia yang agak terkenal kerana kecantikannya di universiti itu. Bukan pelajar Malaysia sahaja, malah pelajar dari negara lain turut memuji kecantikan, kepandaian dan kelincahannya. Malah kepetahannya sebagai pemidato universiti itu sering mendapat perhatian daripada pelajar dan pensyarah-pensyarah di universiti itu.

Namun begitu, Syakina bukanlah seorang gadis yang sosial. Dia jarang keluar bersama pelajar lelaki. Dia lebih kerap kelihatan bersama-sama rakan-rakan rumah sewaannya. Bukan tiada yang mengajaknya keluar, tapi ditolaknya dengan baik. Tetapi jika dipaksa juga, dia akan mudah melenting. Sikapnya itulah yang membuatkan ramai yang tidak berani mendekatinya. “Garang bukan main, “ kata Fikri satu hari dulu apabila dia ditengking oleh Syakina ketika dia mengajak gadis itu keluar.

Pertemuan Shahrul dengan Syakina pun hanya kerana kebetulan. Ketika itu dia mula-mula menjejakkan kaki di universiti yang sedang didudukinya itu. Entah macammana, Syakina terlanggarnya menyebabkan Shahrul terjatuh dari tangga dan kesemua buku-bukunya terjatuh. Syakina terpempan. “Maafkan saya. Saya yang salah.” Katanya sambil mengutip buku-buku Shahrul dan bukunya yang terjatuh. “Tidak mengapa. Saya juga cuai,” sahut Shahrul sambil turut sama mengutip buku-buku yang berselerakan.

“Awak pelajar baru di sini?” tanya Syakina setelah semua buku-buku dikutip. Shahrul hanya mengangguk. “Dari mana?” tanya Syakina ramah. “Malaysia,” sahut Shahrul sepatah. “Emmm.. Kita sekapal,” sahut Syakina sambil menghulurkan tangan untuk berjabat salam dengan Shahrul. “Saya Syakina. Awak?” tanya. Shahrul menyambut tangan Syakina. “Shahrul.” Sahut Shahrul ringkas.

“Hari ini hari pertama?” tanya Syakina. Shahrul mengangguk. “Jurusan apa?” tanya Syakina lagi. “Business Administration,” jawab Shahrul ringkas. Syakina mengangguk. “Tak apalah. Moga jumpa lagi. Saya pergi dulu,” kata Syakina sambil tersenyum. Shahrul menganggukkan kepala. Syakina berlari anak keluar dari universiti.

Sesungguhnya pertemuan itu di tangan Tuhan. Entah macammana buku Syakina berada di tangan Shahrul. Mungkin terambil ketika mereka berlanggar tempoh hari. Shahrul bingung. Dia tidak tahu bagaimana hendak memulangkan buku tersebut kepada Syakina. Dia mengutuk diri sendiri. Syakina bertanya dia macam-macam sedangkan dia hanya diam, seperti orang gaji yang menerima arahan majikannya.

“Apa yang kau runsingkan, Shah?” tanya Fikri suatu hari apabila dia asyik merenung buku Syakina. Fikri pelik, bagaimana buku Architectual itu berada di tangan Shahrul sedangkan matapelajaran itu tidak diambilnya. “Buku siapa tu?” tanya Fikri. Shahrul hanya mengangkat bahu. “Macammana pula kau tak tahu? Bagaimana buku itu sampai ke tangan kau?” tanya Fikri lagi. “Semasa hari pertama aku masuk ke universiti ini, aku ada terlanggar seorang pelajar perempuan. Buku aku dan dia terjatuh berselerakan. Mungkin semasa itulah, aku terambil bukunya.” cerita Shahrul. “Habis tu, apa masalahnya? Pulangkan saja kepada tuannya. “Itulah masalahnya. Aku tak tahu macammana nak pulangkan buku ni,“ sahut Shahrul.

Fikri menggelengkan kepala. “Pelajar tu kelas mana?” tanya Fikri. “Aku tak tahu,” sahut Shahrul terus terang. Fikri mengeluh perlahan. “Kau tahu siapa namanya?” tanyanya. “Syakina,” jawab Shahrul sepatah. Fikri menoleh ke arah Shahrul lalu mengambil buku itu dari tangannya. Dia membelek-belek buku tersebut.

“Kau ni memang ketinggalan betullah, Shah. Aku pun masuk sama dengan kau tapi aku dah kenal beberapa famous student di sini.” Kata Fikri separuh mengejek. Shahrul hanya memandang ke arahnya. “Kau tahu tak siapa dia ni?” tanya Fikri lagi. Shahrul menggelengkan kepala.

“Dia ni best student di sini, kau tau? Dia ambil jurusan Architect Engineering. Sekarang ni sudah masuk tahun kedua.” Beritahu Fikri membuatkan Shahrul tersenyum berbunga harapan. “Baguslah kalau kau tahu. Nanti temankan aku pulangkan buku ini kepada dia, boleh?” tanya Shahrul mengharap. “Ah, tak berani aku. Mereka kata dia tu garang. Kau pergilah hantarnya sendiri. Aku boleh tunjukkan kelas dia.” Beritahu Fikri. Shahrul diam. Garang? Shahrul tak nampak pun Syakina seorang yang garang malah, dia yang ramah tamah menanya itu dan ini. Bahkan Shahrul merasakan dirinya pula yang terlalu sombong hingga tidak bertanya apa-apa pun kepada Syakina.

Keesokan harinya, Fikri menunjukkan kelas Syakina. Dengan langkah hati-hati dan dada berdebar-debar, Shahrul menemui Syakina. “Ya. Awak nak jumpa saya?” tanya Syakina sebaik saja tiba dekat Shahrul yang menggamitnya tadi. “Minta maaf kerana hanya menggamit awak,” kata Shahrul berbahasa basi. “Hari tu saya dah beritahu nama saya bukan?” kata Syakina menyindir. Shahrul menelan air liur. Barulah nampak sedikit kegarangannya.

“Saya nak pulangkan buku awak. Saya terambil tempoh hari semasa kita berlanggar di pintu besar universiti,” kata Shahrul sambil menyerahkan buku tersebut kepada Syakina. “Oh, dengan awak rupanya. Sya risau sungguh. Saya ingatkan buku tu sudah hilang. Sudahlah buku ini susah untuk didapati, mahal pula tu. Terima kasih banyak-banyak, err… Shah,” kata Syakina tersekat-sekat untuk menyebut nama Shahrul. “Boleh saya panggil Shah, kan?” tanyanya lagi sambil menjeling wajah Shahrul. “Boleh,” sahut Shahrul bersahaja sambil menundukkan kepalanya. Dia terasa rendah diri apabila berdepan dengan Syakina. Maklumlah, terlalu banyak yang diceritakan oleh Fikri tentang kehebatan Syakina “Saya pergi dulu,” kata Shahrul kemudiannya, tidak mahu lama-lama di situ. “Baiklah. Terima kasih banyak-banyak,” kata Syakina lagi.

Sebaik sahaja Shahrul melangkah meninggalkan Syakina, gadis itu memanggil namanya membuatkan Shahrul menoleh. “Boleh kita berkawan?” tanya Syakina lembut. “Apa salahnya? Bukankah kita memang sudah berkawan?” kata Shahrul lagi.

“Saya tahu sekarang kita sudah berkawan tapi kita cuma berkawan apabila bertemu. Kalau boleh mungkin kita boleh belajar bersama pada subjek yang berkaitan, makan bersama dan menghabiskan masa lapang bersama,” kata Syakina. Shahrul terdiam. Kata-kata Fikri terngiang-ngiang di telinganya. “Syakina tu lain sikit. Memang dia cantik tapi dia tu sombong. Ramai lelaki yang nak berkawan rapat dengannya tapi semua tu ditolaknya mentah-mentah. Engkau pun, jangan cuba nak jeling-jeling dia tu. Nanti tak pasal-pasal kau ditengkingnya. Dia tu anti kepada lelaki. Entahlah, nak kata lesbian, tak pula macam tu,” Shahrul tersenyum. Kenapa Syakina lain daripada apa yang didengarnya?

“Kenapa awak senyum seorang diri?” tanya Syakina membuatkan Shahrul tersentak. “Apa salahnya? Banyak faedah untuk saya kerana dapat berkawan dengan seorang best student macam awak ni,” kata Shahrul memberanikan diri memandang wajah Syakina. Pandangan mereka bersatu. “Kalau macam tu, awak setujulah,” kata Syakina riang. Shahrul menganggukkan kepala.

Sejak itulah Shahrul mengenali Syakina. Seorang gadis periang. Dia anak orang kaya tetapi dia tidak menonjolkan dirinya sebagai orang berada. Cara hidupnya sederhana dan bergaul rapat dengan teman-teman perempuannya. Memang jarang melihat Syakina bergaul mesra dengan pelajar-pelajar lelaki walaupun mereka adalah dari kelas yang sama dengannya. Entahlah. Malas Shahrul memikirkannya. Dia pun tidak mahu terlalu ambil tahu tentang Syakina. Itu adalah hak peribadinya.

******************

“Shah, aku lihat kau dengan Syakina tu bukan main rapat lagi sekarang ni. Kaa ada apa-apa dengan dia ke?” tanya Razif suatu hari, ketika mereka sedang makan malam bersama di rumah. “Kami cuma kawan biasa. Tak ada apa-apa yang istimewa. Kenapa kau tanya?” tanya Shahrul. “Aku bukan nak menyibuk, tapi aku tak mahu kau kecewa nanti. Aku nak cakap banyak pun aku risau sebab takut kau ingat aku cemburu. Tapi sebagai kawan, aku cuma nak mengingatkan, Syakina tu bukan sebarangan orang. Emak ayahnya orang berada dan terkenal di Malaysia. Malah kalau tak silap aku, perniagaan ayahnya bukan sahaja di Malaysia, tapi juga di luar negara.” Razif berhenti bersuara. Dia menyuapkan saki baki nasi ayam ke mulutnya.

“Kau janganlah risau Zif. Aku dan dia tak ada apa-apa. Lagipun, selepas semester ni, dia akan balik ke Malaysia. Pengajiannya dah tamat. Sedang aku pula, masih ada setahun lagi di sini,” kata Shahrul bersahaja. “Aku harap kau tak salah faham dengan aku. Aku minta maaf kalau kau terasa dengan kata-kata aku. Tapi sesungguhnya aku tak ada niat lain,” kata Razif memandang wajah Shahrul. Dia bimbang kalau-kalau Shahrul menaruh hati kepada Syakina. Syakina akam menamatkan pengajiannya beberapa bulan lagi sedangkan Shahrul masih ada setahun untuk tamat pengajiannya. Dia bimbang Shahrul tidak dapat menumpukan perhatian kepada pelajarannya jika Shahrul asyik teringatkan Syakina.

“Tidak mengapalah, Zif. Aku tahu niat kau baik. Itu pasallah aku sayang sangat pada kau,” kata Shahrul bergurau. Razif tertawa. Dia senang hati untuk menegur Shahrul kerana temannya itu tidak mudah tersinggung jika ditegur.

*******************

“Shah, Kina tak lama lagi di sini. Kita akan berpisah tak lama lagi,” kata Syakina kepada Shahrul pada suatu petang. Petang itu sengaja Syakina mengajak Shahrul keluar berjalan-jalan mengambil angin petang di penghujung musim luruh.

“Yalah Kina. Rasa macam terlalu cepat masa berjalan. Aku akan kehilangan seorang teman yang memahami dan berkebolehan seperti kau, Kina,” sahut Shahrul. Sebak pula dadanya apabila terdengar suara sayu Syakina. Tidak pernah selama mereka berkawan, Syakina berwajah duka dan melahirkan kata-kata dengan nada sebak. Sesungguhnya dia seorang yang periang, walau di saat dukanya.

“Aku akan merinduimu, Shah,” kata Syakina lesu. Bebola matanya mula berkaca. Shahrul sedar akan keadaan itu. “Kina, patah kan tumbuh dan yang hilang pasti berganti. Mungkin kau akan jumpa seorang sahabat yang lebih baik daripada aku kelak,” pujuk Shahrul.

Syakina melentokkan kepalanya ke bahu Shahrul. Dia kelihatan manja sekali pada petang itu. Shahrul membiarkannya. Mungkin inilah peluang terakhir untuk duduk berdua dengan Syakina. Selepas ini, mereka akan terpisah, terpisah jauh sementara Shahrul masih meneruskan pelajarannya. Shahrul memahami perasaan Syakina. Sememangnya sikap Syakina suka bermanja. Sepanjang berkawan dengan Syakina, Shahrul tidak nampak sikap yang tidak baik seperti yang pernah diperkatakan oleh rakan-rakannya ketika dia mula mengenali Syakina dulu.

“Kina, jangan risau. Shah yakin, Kina pasti akan jumpa sahabat lain. Entah-entah Shah di sini pun akan dilupakan,” usik Shahrul sambil mengusap lembut rambut Syakina yang separas bahu itu. Syakina mengangkat kepalanya. Dia memandang tepat ke wajah Shahrul. Shahrul turut memandang wajah putih bersih Syakina. Pandangan mereka bertembung. Tiba-tiba Shahrul terasa kelainan dengan sikap Syakina petang itu.

“Kina menangis?” tanya Shahrul. Setitis air jernih yang turun dari kelopak mata Syakina disapunya. Syakina diam. Pandangannya dilemparkan ke hadapannya, jauh ke tengah padang bola sepak. “Kenapa Kina?” tanya Shahrul tidak mengerti mengapa Syakin sanggup menumpahkan air matanya hanya kerana mereka akan berpisah.

“Shah, Kina sayangkan Shah,” kata Syakina perlahan. Suaranya tertekan-tekan menahan sebak. Shahrul tersenyum. “Shah pun sayangkan Kina,” sahut Shahrul, menggenggam erat tangan Syakina. “Tapi, Kina sayang lain. Kina……,” jawab Syakina terputus-putus. “Kenapa Kina? Kita masih berkawan. Lagipun, kita berdua dari Malaysia. Setelah Shah pulang ke Malaysia nanti, kita akan berjumpa lagi, betul tak?” pujuk Shahrul lagi.

“Tapi saat pertemuan itu terlalu jauh. Kina akan sentiasa merindui Shah. Kina… Kina rasa Kina tak boleh tinggalkan Shah.” Kata Syakina dalam sendunya yang bermula. Shahrul mula kebingungan. “Kenapa ni Kina? Apa maksud Kina? Kenapa sampai begitu sekali sedangkan Kina masih ramai teman-teman lain di sini? Lagipun, seperti yang Shah katakan, Kina pasti akan dapat sahabat baru malah yang lebih baik dari Shah,” tanya Shahrul.

Sendu Syakina kian ketara. “Memang Kina boleh dapat ramai sehabat tapi Kina takkan dapat seorang lelaki yang berjaya menambat hati Kina.” Kata Syakina berterus terang. Shahrul mengerutkan dahinya. “Apa maksud Kina?” Shahrul masih tidak faham situasi Syakina.

“Shah, Kina cintakan Shah,” kata Syakina sebaik sahaja sendunya kian mereda. Shahrul tergamam. Selama ini dia tidak pernah merasakan bahawa Syakina menyimpan perasaan terhadapnya. Memang Syakina selalu bermanja dengannya dan jarang sekali Syakina meninggikan suara kepadanya seperti yang biasa dilakukan kepada pelajar-pelajar lelaki yang lain. Shahrul teringatkan kata-kata Fikri tempohari. “Shah, aku rasa, Syakina tu dah jatuh cinta pada kau.” Katanya. “Merepeklah kau, Ri. Aku dan dia kawan biasa. Mungkin juga hubungan kami rapat tetapi hanya sebagai teman belajar dan bergembira. Bukan sebagai teman hidup,” sangkal Shahrul. “Itu perasaan kau, tapi kau pernah tanya perasaan dia?” sahut Fikri lagi. “Gila kau? Kau nak suruh aku tanya dia tentang perasaan dia terhadap aku? Kau nak aku malu. Dia pasti akan ketawakan aku. Dia pasti kata aku perasan. Ramai lagi pelajar lelaki lain yang lebih bagus yang juga meminatinya. Kenapa pula dia pilih aku?” Shahrul tetap menyanggah.

“Shah. Aku rakan sekelas dia. Aku lebih selalu bersama dia di kelas dan aku boleh lihat perubahannya. Dia tidak suka bergaul dengan pelajar lelaki, tetapi dengan kau? Bukan main rapat. Kalau dulu, dia seorang yang periang tetapi sejak kebelakangan ini, sejak dia mengenali kau, dia tidak begitu. Dia lebih suka mendiamkan diri. Kadang-kadang dia tersenyum sendiri.” Kata Fikri bersungguh-sungguh.

“Eh, Ri. Kau duduk dalam kelas tu asyik memandang Syakina saja ke?” gurau Shahrul. Fikri mengeluh. “Aku serius Shah. Terus terang aku katakan, Syakina seorang gadis yang baik. Memang aku kata dia sombong tapi sombongnya bertempat. Dia tidak sombong dan kedekut dalam pelajaran. Dia cuma tak mahu terikat rapat dengan mana-mana lelaki. Tapi dengan kau, dia tewas,” kata Fikri lagi masih cuba menerangkan keadaan sebenar.

Shahrul memandang wajah Fikri. “Ri, percayalah kata-kataku. Dia bukan meminatiku. Tapi dia cuma sayangkan aku tidak lebih dari seorang kawan.” Shahrul masih dengan pendapatnya. “Ikut suka kaulah, Shah. Tapi aku tahu, Syakina sudah jatuh hati kepada kau. Dan jika ini benar berlaku, aku harap kau tidak kecewakan dia. Dia terlalu baik. Dan dia sanggup memecahkan tembok keegoannya terhadap lelaki setelah bertemu dengan kau.” Kata Fikri lagi membuatkan Shahrul terdiam. Terdiam kerana dua perkara. Pertama, dia malas nak berfikir tentang kata-kata Fikri. Dan kedua, kerana memikirkan jika ada kebenaran di sebalik kata-kata Fikri.

Shahrul pelik. Razif, teman sebiliknya pula sering mengingatkan dia supaya tidak terlalu rapat dengan Syakina tetapi Fikri pula menyuruhnya agar tidak mengecewakan gadis ayu itu.

Shahrul tersentak apabila Syakina menyentuh jemarinya. “Kina, kita masih terlalu muda untuk memikirkan soal begini. Kita sepatutnya berfikir tentang masa depan pelajaran kita. Dan, Kina jangan terlalu cepat jatuh cinta dengan seseorang kerana setelah kita bercinta, kita akan terasa kesakitan yang amat sangat apabila kita kehilangannya. Dan Shah yakin dan teramat yakin, sebagai seorang gadis yang cantik, pandai, petah bercakap, Kina pasti akan berjumpa dengan lelaki yang baik, malah lebih baik dari Shah sendiri untuk dijadikan teman hidup.” Pujuk Shahrul lagi.

Syakina memandang wajah Shahrul. “Kina tahu, Shah pasti akan menolak cinta Kina. Kerana itulah Kina telah terasa sakitnya sejak sekarang. Kina sedar, Kina hanya bertepuk sebelah tangan, tapi apakan daya, Tuhan telah menciptakan manusia mempunyai perasaan yang terbit dari hati naluri sendiri. Begitu juga Kina, Kina tak dapat lari dari mencintai Shah walaupun Kina sedar bahawa Kina pasti tidak dapat memiliki Shah,” kata Syakina. Terdengar nada keluhan berat daripada suaranya itu.

Shahrul memandang wajah sayu Syakina. Tidak tahu bagaimana hendak dijawabnya gadis itu. Ternyata gadis itu benar-benar menyintainya. Shahrul akui, jika tidak kerana dia masih menyintai Hashimah, pasti dia juga akan jatuh hati kepada Syakina. Tetapi, Shahrul tidak berdaya. Hatinya telah diserahkan sepenuhnya kepada Hashimah. Dia yakin, Hashimah juga masih menyintainya sehingga kini walaupun tiada khabar berita yang dihantar kepada Hashimah. Dia harap Hashimah memahami situasinya.

“Shah, Kina tak nak paksa Shah. Kina tahu, cinta tak boleh dipaksa. Tapi ingatlah satu perkara bahawa seorang lelaki bernama Shahrul akan tetap bersemadi di dalam hati ini. Tiada yang boleh menggantikan tempat. Cinta Kina pada Shah adalah cinta pertama dan Kina amat mengharapkan agar ianya juga adalah cinta terakhir Kina. Kina akan tunggu sehingga Shah pulang ke Malaysia. Kina amat mengharapkan agar ada sinar bahagia untuk Kina. Kina akan tunggu. Kina janji,” kata Syakina lagi.

“Kina, jangan terlalu mengharap buah yang tidak gugur.” Kata Shahrul lagi. “Kenapa Shah? Apakah Kina tidak layak untuk menjadi teman hidup Shah?” tanya Syakina lagi. “Bukan begitu Kina. Malah, Shah rasa, Shah yang tidak layak bergandingan dengan Kina,” kata Shahrul. “Habis tu, kenapa? Shah sudah ada perempuan lain?” tanya Syakina.

Shahrul tunduk. “Jawablah Shah. Jika benar Shah sudah ada gadis lain, Kina akan jauhkan diri dari Shah. Cuma jauhkan diri tapi diri Shah tetap di hati Kina,” kata Syakina lagi. “Shah, jawablah terus terang. Shah sudah ada kekasih?” tanya Syakina. Shahrul mengangguk perlahan. “Siapa gadis bertuah itu?” tanya Syakina tida puas hati. “Gadis kampung Shah sendiri,” sahut Shahrul. “Siapa namanya?” Syakina lagi. “Hashimah,” sahut Shahrul sepatah. Wajah Hashimah segeran terbayang di matanya.

Shyakina terdiam. “Bertuahlah kau Hashimah. Dapat kekasih yang setia seperti Shahrul. Aku akan mencemburuinya,” kata Syakina perlahan. “Tapi Kina, siapa yang menjadi pasangan Kina juga adalah lelaki yang paling bertuah. Bukan senang nak dapat gadis macam Kina ni. Jinak-jinak merpati,” usik Shahrul sambil mencubit pipi gebu Syakina.

Syakina tunduk. Pandangannya kaku, lidahnya kelu, harapannya beku. Dia amat mengharapkan agar Shahrul menerimanya tetapi nampaknya dia hanya bertepuk sebelah tangan.

Syakina mengakui dia memang payah untuk menerima pujukan lelaki. Bukan Shahrul seorang kawan-kawan lelakinya malah ramai. Tetapi hatinya terbuka untuk Shahrul seorang. Dia telah mula jatuh hati kepada jejaka tampan itu sejak kali pertama mereka bertentang mata tetapi Syakina tidak mempedulikan hati dan perasaannya sendiri memandangkan masih belajar. Kini, setelah tiga tahun memendam perasaan, Syakina bertekad untuk menyuarakan perasaannya kepada Shahrul. Dia nekad di atas apa jua keputusan Shahrul yang bakal diterimanya.

“Kina, Shah minta maaf. Mungkin tiada jodoh antara kita.” tanya Shahrul. Syakina mengangkat wajahnya. “Tapi, kenapa Shah tak pernah memberitahu pasal Hashimah kepada Kina? Sedangkan Kina pernah bertanya Shah samada Shah punya kekasih atau tidak?” tanya Syakina tidak puas hati. Shahrul diam.

“Shah, kau kejam. Kau membiarkan Kina menaruh perasaan dan harapan yang tinggi terhadap kau. Kalau Kina tahu Shah telah punya kekasih, pasti Kina matikan perasaan ini sebelum ia menjadi suatu penyiksaan. Shah, Kina teramat menyintai Shah,” kata Syakina lemah lesu.

3 thoughts on “DOSA SEMALAM

Leave a Reply to kaklongakaijan Cancel reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s