NABILA 2

Bab 9

“Kita naik ke rumah mereka ni dulu. Cuba pulihkan sikit. Risau rumah dah ok nanti, mereka yang kat dalam tu pulak yang lemah semangat,” kata Pakcik Musa. Ustaz Zahari dan ayah Nabila akur. Semua naik ke rumah kami di tingkat 5 termasuk aku dan Zaida. Sampai di atas, Ustaz Zahari masuk ke dalam rumah, meminta sebatang paku dan penukul dari Pakcik Musa. Setelah itu, kelihatan Ustaz Zahari membacakan beberapa ayat suci, dan mengetuk paku di bingkai kayu pintu masuk ke rumah kami.

“Jangan cabut paku ini. Biarlah lama sikit di situ. Tak mengapa kalau nak letak perhiasan, cuma jangan cabut,” pesan Ustaz Zahari sebelum meninggalkan rumah kami. Aku dan Zaida mengangguk.

Ustaz Zahari pergi ke rumah Pakcik Musa bersama ayah Nabila. Manakala Nabila tinggal bersama kami. Katanya nak bantu kami kemaskan bilik Farhana yang bersepah.

Sebenarnya aku takut nak masuk rumah tu lagi. Aku macam tak boleh lupakan segala kejadian dalam rumah tu. Aku dah boleh terima Farhana walau rupanya tak berubah tapi aku masih tak boleh lupakan mayat berkafan yang berdiri di belakang aku, aku tak boleh lupakan yang aku telah membuka bungkusan putih yang mempunyai hati mayat yang dipuja tu. Aku memang tak boleh lupakan. Selangkah masuk ke dalam rumah tu, aku terbayangkan mayat berkafan tu di mana-mana, seolah mengikuti aku. Aku menggeletar. Badanku sejuk. Bulu roma meremang je.

“Zaida, aku masih takut,” aku luahkan pada Zaida. Nabila yang turut berada di dalam rumah tu turut memandang aku.

“Aku pun takut jugak Fika. Tapi ini rumah kita. Takkan sebab ini kita nak pindah rumah. Rumah ni dah selesa sangat untuk kita berulang-alik ke tempat kerja. Takpe, Ustaz Zahari dah pagarkan rumah ni. In Shaa Allah takkan ada yang mengganggu lagi.” Pujuk Zaida sambil mengusap perlahan bahuku.

Aku, Zaida dan Nabila masuk ke bilik Farhana. Segalanya bersepah. Kami menyusun barangan satu persatu. Di satu sudut, aku terjumpa sebentuk cincin delima. “Ni cincin Farhana ke?” tanyaku. Nabila menghampiri aku dan mengambil cincin delima tersebut.

“Ini cincin Kak Nazira. Ayah yang hadiahkan kepadanya.” Jawab Nabila sambil menundukkan wajahnya. Masa itu aku terasa sebak. Siapa yang tak sedih jika kejadian luarbiasa begini terjadi dalam keluarga mereka.

Tak lama kemudian, Ustaz Zahari dan ayah Nabila muncul, mengajak Nabila balik. Nabila merapati Ustaz Zahari dan membisikkan sesuatu. Ustaz Zahari memandang tepat ke arah aku. Tiba-tiba bergetar tulang rusuk aku. Cewaahhh…! Dalam takut tu sempat lagi aku ada perasaan begitu. Aduhh, malu weh…!

“Ambilkan saya sejag air kosong.” Kata Ustaz Zahari.

Zaida bangun lalu mendapatkan air yang diminta oleh Ustaz Zahari. Ustaz Zahari membacakan sesuatu kepada air tersebut dan menyerahkannya kepada aku.

“Minum air ni. Dan sapukan ke muka. In Shaa Allah semangat kamu akan pulih. Ingat, tiada yang lebih berkuasa daripada Allah. Tiada siapa,” ujarnya lembut.

Aku mengambil air berkenaan sambil anggukkan kepala.

“Sebaiknya, cubalah pulang ke kampung masing-masing buat seketika untuk melupakan kejadian ni. Jumpa keluarga masing-masing, kosongkan fikiran. Dan selepas tu balik ke rumah ini dengan rutin yang sama seperti dulu.” Sambungnya lagi.

“Baiklah Ustaz,” sahut Zaida.

“Kami nak balik dulu. Banyak urusan yang masih belum selesai. Sampaikan salam kami kepada Farhana. Moga dia cepat pulih. Apa yang berlaku hanya asbab untuk perjalanan hidupnya. Segalanya telah tertulis bersama hikmah disebalik semua ni. Itu rahsia Allah. Bagi dia minum air ni juga, dan sapukan ke wajahnya. Moga semangatnya kembali pulih setelah sebulan jasadnya disalahgunakan,” pesan Ustaz Zahari. Dan selepas itu mereka berlalu pergi.

Setelah selesai aku dan Zaida mengemas bilik Farhana, kami bergegas ke hospital. Farhana dah dimasukkan ke wad. Kaki dan tangannya patah tapi bukan kritikal kata doktor.

Aku merapati Farhana yang berbalut kaki kanan dan tangan kanannya. Kepalanya juga berbalut, ada sikit kesan darah di kain pembalut. Tapi dia sedar, wajahnya juga ceria. Cantik orangnya.

“Kau ok Hana?” tanyaku. Ada rasa simpati terhadapnya. Menanggung segalanya sendirian selama sebulan di perantauan demi nak mencari rezeki buat keluarga.

“Aku ok. Doktor pun kata tak teruk sangat. Takpelah, dah ini rezki aku kan. Redho je. Petang nanti mak aku datang, aku happy sangat,” katanya Farhana riang. Kami senyum melihatnya.

“Aku dah telefon maknya di kampung. Terkejut diorang bila tahu anaknya masih hidup. Mereka kata dah puas cari dia di merata. Mereka pun ada datang KL cari dia tapi tak jumpa.” Kata Adibah. Iyelah, macammana nak jumpa kalau dah dia duduk je dalam rumah menjaga ‘anak’ Nazira.

Selang 2 jam lepas tu, keluarga Farhana sampai. Sebak hati aku melihat maknya menangis. Ayahnya yang lelaki tu pun tak dapat menahan air mata, menangis berjumpa anak sulungnya yang diingat telah meninggal dunia.

“Terima kasih kerana menjaga dia selama ini. Kami tak tahu macammana kami tak dapat cari dia semasa ke KL dulu,” kata mak Farhana. Kami senyum je. Mak dan ayahnya belum diberitahu kisah sepenuhnnya. Dia cuma tahu bahawa Farhana cuma terjatuh dari tingkat 5 rumah kami. Tak lebih dari itu. Dan aku yakin Farhana juga tak dapat mengingati sepenuhnya apa yg terjadi kepada dirinya selama sebulan tu. Kami belum sempat menceritakan segalanya. Nantilah masa yg sesuai.

Banyak juga yang maknya tanya. Tapi ayahnya kata nantilah cerita kemudian. Tunggu Farhana sembuh dulu. Dan setelah disemak, Farhana tak melaporkan diri pun di tempat kerjanya di KL. Jadi, ayah Farhana memohon pihak hospital untuk memindahkan Farhana ke Hospital Ipoh untuk memudahkan urusan menjaga Farhana hingga betul² sembuh. Maka kami pun kehilangan seorang teman yang sangat istimewa. Moga kami akan berjumpa lagi satu hari nanti.

Selang sebulan dari hari kejadian, aku, Zaida, Adibah dan Aina pergi ke kampung Nabila. Kami disambut gembira oleh keluarga Nabila. Tapi itulah, tak jumpa Ustaz Zahari. Aku frust sikit.

Pada hari tu, setelah mereka balik dari rumah kami, ayah Nabila dan Ustaz Zahari terus ke rumah Bomoh Tukiman. Dan masa mereka sampai di rumah Bomoh Tukiman, ramai orang di rumahnya. Tapi Ustaz Zahari dan ayah Nabila tak hairan sebab memang selalu je rumah dia dipenuhi orang yang nak berubat. Puas dah Ustaz Zahari memberi nasihat agar tak berubat dengan Bomoh Tukiman dah tapi orang kampung berdegil. Menurut mereka bila berubat dengan Bomoh Tukiman, sakit segera hilang. Tak perlu makan ubat, tak perlu tunggu berhari-hari untuk sembuh jika pergi ke klinik. Begitu kuat pengaruh Bomoh Tukiman sedangkan ada di antara penyakit tu adalah kerana Bomoh Tukiman sendiri yang menghantarnya melalui ‘anak’ suruhannya.

Tapi Ustaz Zahari tak pernah memburukkan Bomoh Tukiman kerana Ustaz Zahari yakin satu hari nanti semuanya akan terbongkar. Dia pun tahu tiada siapa yang akan percaya kata-katanya. Tambahan dia cuma ustaz muda yang baru saja datang ke kampung itu. Kebanyakan orang kampung dah terpedaya. Hanya segelintir yang tidak terpengaruh.

Ustaz Zahari dan ayah Nabila masuk ke halaman rumah Bomoh Tukiman. Semua yang berada di situ berwajah terkejut, ada yang takut.

“Kenapa ni?” tanya ayah Nabila.

“Bomoh Tukiman, dia dah mati tapi…” kata Anas, anak muda itu menjawab soalan ayah Nabila tapi tak berani meneruskan kata-kata.

“Meninggal? Bila? Meninggal kenapa?” tanya ayah Nabila bertalu-talu. Dia terkejut sebab baru semalam dia berjumpa dengan Bomoh Tukiman di pondok dalam hutan hujung kampung.

“Masa tu dia sedang mengubat Mak Leha. Tiba-tiba je dia jatuh. Orang kampung yang berada di sini cuba bantu tapi dia dah tak bernafas. Mati begitu saja. Tengah kami kelam kabut dengan kematian dia, ada orang perasan ada satu makhluk kat atas bumbung rumah ni. Lembaga tu menyerupai seorang perempuan yang seolah berbalut dengan kain kafan yang telah lusuh dan koyak rabak, rambut mengerbang sampai menutup mukanya, kukunya panjang dan kulitnya hitam seperti di bakar. Ada yang lari tapi ada yang masih menunggu sebab kami fikir takkan hantu boleh muncul di siang hari. Takkanlah hantu boleh menampakkan diri kepada orang.” Cerita Anas dengan wajah yang agak keliru dan takut.

“Lepas tu?” Tanya Ustaz Zahari lagi.

“Kami menjauhi rumah ni tapi kami tak tinggalkan. Ada beberapa orang di dalam rumah sedangkan membetulkan keadaan jenazah yang agak lain rupanya. Matanya terbeliak memandang atas, kakinya tegak seperti ditarik kuat dari bawah. Dan tangannya melecur teruk.” Kata Anas.

“Kami yang diluar ni lihat lembaga tu terbang turun dari dari bumbung rumah dan masuk ke dalam rumah. Dia berdiri di belakang beberapa orang kampung yang sedang membetulkan mayat arwah yang tak sedar kehadiran lembaga misteri itu. Saya berlari ke tingkap sebelah tepi dan nampak jelas lembaga itu. Dari celahan rambutnya, dapat dilihat matanya yang melilau melihat semua orang yang berada di dalam rumah itu. Saya memanggil Pak Mail yang ketika itu sedang menyelimutkan jenazah. Lepas dimaklumkan tentang lembaga itu, masing-masing menoleh. Dan lembaga itupun tak lari. Dia berdiri di situ. Apa lagi, berteraburlah mereka semua lari tak cukup tanah.” Cerita Anas.

“Jadi dimana jenazah Bomoh Tukiman sekarang? Dan lembaga tu masih ada di dalam rumah tu ke?” Tanya ayah Nabila lagi.

“Iye, lembaga itu masih bersama jenazah kat dalam rumah tu. Ustaz pergilah tengokkan. Sian kat jenazah,” kata Anas lagi yang tak tahu kisah Bomoh Tukiman.

Ustaz Zahari dan ayah Nabila melangkah ke pintu masuk rumah Bomoh Tukiman. Ternyata betul apa yang dikatakan oleh Anas. Keadaan mayat Bomoh Tukiman amat mengerikan dan juga menyedihkan, seolah melecur di keseluruhan badannya. Dan matanya masih terbeliak memandang atas. Dan di bahagian atas kepalanya, kelihatan satu lembaga seperti yang diceritakan oleh Anas tadi.

“Astaghfirullah hal azim,” ucap Ustaz Zahari dan ayah Nabila serentak.

-Bersambung-

3 thoughts on “NABILA 2

  1. he he he he… “anak”ku…. weng gala gala jolmaen kang anok anok koe, bajaklah sendi sendi sibayang nyo anok anok iyang digusuh kala mai si sengngalagala anok anok yo…. darah ukum darah dijuang ateh darah anok adam hawo ..

    Liked by 1 person

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s