NABILA 2

Bab 8

Ustaz Zahari, Pakcik Musa dan ayah Nabila keluar dari rumah Pakcik Musa. Mereka melangkah perlahan ke rumah kami. Memandangkan hari siang, aku rasa aku nak ikut. Aku nak tengok apa benda sebenarnya yang berada di dalam bilik Farhana tu.

Dari arah luar, kat cermin kaca tingkap bilik Farhana yang terbuka sikit, aku nampak samar-samar, seperti ada seseorang atau sesuatu yang seperti melompat-lompat dan melanggar cermin tingkap dan pintu bilik. Bunyinya berdentum dentam. Sesekali terdengar suara tangisan perempuan mendayu-dayu. Seram wehhhh…..

“Kalau takut, jangan ikut. Pergi tunggu di rumah Pakcik,” kata Pakcik Musa bila melihat aku tercegat di tepi tingkap bilik Farhana. Zaida menolak bahu aku.

“Kau dah kenapa?” tanyanya.

“Kau tak nampak ke tu?” aku tanya sambil tunjuk ke arah benda yang ku nampak dari celahan tingkap bilik Farhana.

Zaida memandang tapi katanya dia tak nampak apapun. Tapi dia boleh dengar suara tangisan dan bunyi berdentum dentam di bilik Farhana tu.

Zaida membuka kunci rumah kami. Aku dengan Zaida je yang ikut. Adibah, Aina, Farhana dan Nabila tinggal di rumah Mak Senah. Sebab Pakcik Musa kata, takut Farhana dan Nabila masih lemah semangat dan risau juga kalau ‘benda’ tu masih mengenali Farhana sebagai jasad tumpangannya dan Nabila sebagai jasad persinggahannya.

Ustaz Zahari masuk ke dalam rumah diikuti Pakcik Musa dan ayah Nabila. Ustaz Zahari memegang daun pintu bilik Farhana yang berdentum dentam diketuk dari dalam. Dan seketika kemudian, bunyi ketukan itu berhenti. Ustaz Zahari membuka pintu bilik. Aku dan Zaida memerhati dari luar.

“Astaghfirullahal azimmmmmm….!” Aku dengar Pakcik Musa dan ayah Nabila beristighfar sebaik sahaja Ustaz Zahari membuka pintu bilik Farhana.

“Aku dah hantar kau balik ke tempatmu. Kenapa kau masih di sini? Apa yang menghalang kau dari pergi ke tempat asalmu?” tanya Ustaz Zahari, agak tenang. Aku tidak mendengar sebarang suara.

“Pergilah ke tempat asalmu. Tak perlu aku binasakan kamu. Apapun urusan kamu di dunia ini, itu adalah urusan kamu dengan Tuhan, bukan dengan sesiapa.” Kata Ustaz Zahari lagi.

Keadaan sunyi seketika. Aku masih memerhati. Tiba-tiba aku dengar suara Nabila menjerit dari rumah Mak Senah. Kelam kabut aku dan Zaida berlari ke rumah Mak Senah. Aku nampak Nabila melekat di siling! Adibah dan Aina dah duduk terjelepok menggeletar ketakutan di lantai. Mak Senah pula sedang memeluk Farhana yang juga menjerit ketakutan.

Ustaz Zahari cepat-cepat masuk ke rumah Mak Senah, melihat keadaan Nabila seketika. Nabila masih melekat di siling dengan matanya melilau melihat semua yang berada di situ. Air liurnya meleleh dan menitik-nitik ke lantai.

Ustaz Zahari memejamkan matanya, membaca sesuatu dan meniupkan ke arah Nabila. Nabila menjerit kesakitan tapi masih melekat di siling.

“Kenapa kau tak pergi lagi?” tanya Ustaz Zahari, kali ni dengan lebih tegas. Wajahnya pun menunjukkan dia sedang marah.

“Aku nak barang aku,” Nabila menyahut. Yang pasti itu bukan suara Nabila. Suara tu sangat garau, dan mendengus garang seperti marah sangat.

“Ini bukan lagi tempatmu, maka tiada lagi barangmu yang tertinggal. Pergilah,” kata Ustaz Zahari . Pakcik Musa dan ayah Nabila berdiri di bawah siling tempat Nabila melekat, berjaga-jaga jika tiba-tiba Nabila jatuh ke lantai.

“Aku mahu barang aku. Selagi barang aku tak dipulangkan, aku takkan pergi. Aku tak boleh pergi!” Nabila menjerit.

Pakcik Musa mendekati Ustaz Zahari dan berbisik sesuatu kepada Ustaz Zahari. Ustaz Zahari menganggukkan kepala tanda faham.

“Baiklah, kami akan cari barang kamu dan kembalikan kepada kamu. Biar kami yang uruskan. Kamu pergilah dulu.” Kata Ustaz Zahari.

“Aku tak percaya kata-kata manusia. Semua pembohong dan hanya mahu mengambil kesempatan. Bukan aku yang ganggu alam kamu tapi kamu yang ganggu alam aku,” Kata Nabila lagi dan kali ini dia berpusing-pusing di siling. Dia perpusing laju dan dum! Dia jatuh ke lantai. Mujur dah ada tilam tebal diletakkan di bawahnya sebagai langkah berjaga-jaga.

Ayah Nabila memegang Nabila. Nabila tak sedarkan diri. Dan tak semena-mena, Farhana pula menjerit. Mak Senah jatuh akibat ditolak oleh Farhana. Pakcik Musa cepat-cepat mendapatkan isterinya.

Farhana mencangkung seperti seeokor monyet, melihat sekeliling seolah-olah mahu melepaskan diri. Ustaz Zahari memejamkan mata dan membacakan sesuatu. Farhana menjerit dan dengan laju di berlari keluar rumah.

“Pegang dia!” kata Ustaz Zahari.

Dan entah dari mana datang keberanian, aku dan Zaida menangkap Farhana dan memeluknya erat. Rasanya kalau kami tak tangkap dia, memang dia dah jatuh ke tingkat bawah.

Ustaz Zahari merapati Farhana. Meletakkan jari telunjuknya di dahi Farhana. Aku memegang tangan kanan dan Zaida memegang tangan kiri. Beberapa orang jiran tetangga dah menjenguk keluar. Namun Pakcik Musa mengarahkan mereka masuk ke dalam rumah dan menutup pintu. Jangan keluar walau apapun terjadi. Memandangkan hari itu adalah hari bekerja, kebanyakan yang berada di rumah adalah para isteri dan anak-anak.

Farhana kelihatan lemah. Ustaz Zahari mengangkat jari telunjuknya dari dahi Farhana. Dan secara tiba-tiba Farhana bangun dan berlari masuk ke rumah kami. Ustaz Zahari dan ayah Nabila turut berlari mengejar. Aku dan Zaida melihat dari luar.

“Barang aku ada di sini. Barang aku ada di sini! Kembalikan barang aku!” Katanya Farhana sambil merangkak dan berpusing-pusing dalam biliknya.

Ustaz Zahari memandang aku dan Zaida.

“Kamu ada lihat apa-apa yang pelik dalam bilik tu ke?” tanya Ustaz Zahari.

“Kami belum sempat menggeledah bilik tu lagi Ustaz,” jawab Zaida.

“Tapi Farhana ada kata, masa dia mula-mula sampai sini, ada seorang gadis memberinya bungkusan kain putih, minta dia tolong jaga dan lepas tu gadis tu hilang entah ke mana.” Aku beritahu sebab tiba-tiba teringat dengan cerita Farhana.

“Mana bungkusan tu?” tanya Ustaz Zahari.

“Memang ada satu bungkusan kain putih dalam bilik tu tapi saya tak tahulah samada itukah bungkusan yang dimaksudkan. Kami buka bungkusan tu haritu sebab nak cari kad pengenalan Hana masa nak bawa dia ke hospital.” Jawabku.

Ustaz Zahari masuk semula ke dalam rumah dan terus masuk ke dalam bilik Farhana.

“Aku nak barang aku!” jerit Farhana lagi.

Seketika kemudian Ustaz Zahari keluar dari bilik Farhana sambil membawa satu bungkusan kain putih yang aku katakan tu. Bungkusan itu dibuka. Ada beberapa barang di dalamnya. Ada album gambar dan beg dompet. Ayah Nabila mengambil album gambar tu dan membukanya.

“Ini album gambar kami yang hilang dari rumah semasa arwah Nazira keluar dari rumah. Dan ini beg duit dia.” Kata ayah Nabila. Ada riak sedih di wajahnya, memeluk album gambar tersebut. Dan aku nampak ada titisan air mata yang jatuh.

Ustaz Zahari mengambil bungkusan kain putih yang telah terbuka. Memeriksanya jika ada barang lain. Dan terjumpa dengan satu bungkusan kain kuning kecil yang diikat ketat dengan benang tiga warna.

Dan Farhana yang berada di dalam bilik tiba-tiba menerkam Ustaz Zahari. Tersendeng ke tepi jugaklah aku tengok Ustaz Zahari dengan rempuhan Farhana. Ustaz Zahari memegang kuat bungkusan kecil tersebut.

“Ini barang kamu?” tanya Ustaz Zahari.

Farhana tidak menyahut tapi dia berpusing-pusing sambil mendengus seperti bunyi singa kelaparan.

“Tinggalkan tubuh yang sedang kau duduki. Yang empunya tubuh itu tidak bersalah. Kau kembali ke tempat asalmu dan aku akan pulangkan barang milik kamu ke tempat yg sepatutnya.” Kata Ustaz Zahari.

Tanpa diduga, Farhana menerkam ke arah Ustaz Zahari tapi sempat dielak oleh Ustaz Zahari. Malangnya Farhana terus berlari keluar dengan sangat laju dan terus terjun dari balkoni tingkat 5 tanpa sempat aku dan Zaida menahannya. Farhana jatuh ke tanah tingkat bawah. Aku dan Zaida menjerit.

Kami berlari menuruni tangga ke tingkat bawah. Aku dah menangis risau. Punyalah kami cuba bertahan agar dia tak jatuh, tapi dia jatuh juga dengan kuasa syaitan mana entah kat dalam badan dia. Dah lah dia baru nak sembuh.
Sambil berlari, sempat aku jerit kepada Adibah dan Aina memberitahu bahawa Farhana dah jatuh ke bawah. Adibah dan Aina ikut sama berlari ke tingkat bawah.

Sampai di bawah, aku menghampiri Farhana. Dia tak sedarkan diri. Baru je aku nak pegang dia, Ustaz Zahari menghalang. Jangan sentuh dia. Panggil ambulan cepat. Zaida dengan pantas menghubungi talian kecemasan. Lebih kurang setengah jam kemudian ambulan sampai. Kaki dan tangan Farhana patah dan terdapat luka di kepalanya. Dia diangkat ke atas ambulan dan dibawa ke hospital.Ustaz Zahari meminta Adibah dan Aina mengikut ambulan untuk menemani Farhana. Mereka akur setelah diyakinkan oleh Ustaz Zahari bahawa tiada lagi ‘benda’ lain di dalam tubuh Farhana.

“Benda tu takde dah kat dalam rumah tu,” Pakcik Musa memaklumkan kepada Ustaz Zahari.

“Iye saya tahu. Rasanya dia sedang mencari tuan asalnya untuk memohon pertolongan,” jawab Ustaz Zahari sambil membelek bungkusan kecil berkain kuning di tangannya.

“Apa benda tu Ustaz?” tanya ayah Nabila.

“Inilah yang dicari oleh roh yang tak aman itu. Dia mahukan ‘benda’ ini dikembalikan kepadanya,” jawab Ustaz Zahari.

“Apa dalam bungkusan kuning tu? Siapa tuan asalnya?” tanya aku tak sabar ingin tahu.

“Hati mayat yang membunuh diri yang dipuja oleh Bomoh Tukiman. Bomoh Tukiman adalah tuan asalnya.” Jawab Ustaz Zahari.

Aku terus terdiam. Ada hati mayat manusia kat dalam bungkusan itu yang dah sebulan berada di dalam rumah kami. Dan selama ini kami tidur di rumah yang ada hati mayat yang dah dipuja! Ok, aku tak dapat nak fikir lagi. Lagi aku fikir, fikiran aku makin kelam.

“Sekarang semua dah selesai ke Ustaz?” tanya Zaida pula. Ustaz Zahari tak jawab. Dia cuma menggelengkan kepala.

“Belum selesai. Kita kena kembalikan hati ini kepada pemiliknya. Selagi tak dipulangkan, ‘dia’ akan terus mencari,” jawab Ustaz Zahari. Aku dan Zaida diam.

-Bersambung-

2 thoughts on “NABILA 2

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s