NABILA 2

Bab 7

“Zaida, aku takut,” kata aku nak menangis. “Istighfar banyak-banyak. Pakcik Musa akan keluarkan kita,” kata Zaida sambil memeluk aku. Rumah gelap, cuma diterangi cahaya lampu dari luar rumah je. Pintu bilik Farhana berdentum-dentam diketuk dari dalam seolah-olah ada sesuatu yang sedang berusaha untuk keluar dari bilik tu. Aku pejam mata, pegang tangan Zaida kuat. Menggeletar jangan kiralah, rasa macam nak mati dah kot.

Tiba-tiba berdentum pintu rumah kami di tepuk kuat oleh Pakcik Musa dari luar. Melompat lagi aku dan Zaida akibat terkejut. Tapi bunyi ketukan dari bilik Farhana terhenti serta-merta.

“Sudah ku beri amaran kepadamu, jangan kau ganggu mereka lagi. Ingat batasanmu. Kau hanya hamba yang lebih rendah dari kami. Jangan sampai aku binasakan kamu sebelum kamu menemui ‘barang’ yang kau cari!” aku dengar Pakcik Musa seperti memarahi seseorang. Dan seketika kemudian terdengar Pakcik Musa membaca Suratul Qursi dan tak lama lepas tu pintu rumah kami terbuka. Aku memang dah tak lalu nak jalan. Zaida papah aku keluar dari rumah tu dan terus ke rumah Mak Senah. Malam tu kami tidur di rumah Mak Senah.

Seawal pagi keesokan harinya, kami semua tak kerja. Nak kerja macammana kalau dah keadaan macam ni. Semua ambil cuti kecemasan.

Aku telefon Ustaz Zahari. Ustaz Zahari kata dia akan datang ke rumah kami hari tu.

“Duduklah di sini dulu. Tunggu Ustaz Zahari tu sampai. Dia lebih tahu asal usul kejadian kat rumah kamu tu. Pakcik pun bukannya pandai sangat. Setakat nak kunci ‘dia’ sekejap boleh la,” kata Pakcik Musa ketika kami bersarapan di rumahnya.

Pagi tadi aku dan Aina pergi beli nasi lemak kat tingkat bawah untuk kami semua termasuk Pakcik Musa dan Makcik Senah. Mereka memang tinggal berdua je sebab dua anak mereka dah berkeluarga dan tinggal di Sabah dan Negeri Sembilan.

Makcik jual nasi lemak tu pun ada tegur kami pagi tadi. Katanya kecoh kat kawasan flat kami ni semalam. Mereka dengar bunyi bising dan dari malam sampai subuh terdengar bunyi mendayu-dayu seseorang menangis, sedih ada, seram pun ada. Aku dan Aina cuma berpandangan sesama sendiri. Iyelah, nak kata apa lagi kan. Takkan nak kata itu hantu yang menangis. Ada ke orang yang akan percaya? Dah la kecoh pasal mereka nampak Farhana berdiri kat pagar semalam, kononnya dia nak bunuh diri. Adoi, bunuh diri apa tingkat 5? Kalau tingat 10 tu mungkin la.

Jadi, aku dan Aina diamkan saja. Kami cuma katakan ada sikit masalah dan panjang kisahnya. Malaslah nak sembang banyak, nanti entah apa pulak cerita yang tersebar. Banyak buruk dari baiknya. Kami pun harap masalah ni cepat selesai.

Ustaz Zahari sampai dalam pukul 10 pagi, bersama Nabila dan ayahnya. Kami semua berkumpul di rumah Pakcik Musa.

Menurut Ustaz Zahari, pada malam mereka keluar dari rumah kami, dalam perjalanan mereka singgah di sebuah masjid untuk solat maghrib. Di sana mereka bergilir solat kerana seseorang perlu tunggu Nabila yang tak sedarkan diri di dalam kereta. Maka Ustaz Zahari dan mak Nabila pergi solat dahulu sementara ayah Nabila menemani Nabila kat dalam kereta.

Entah macammana Nabila tersedar dan terus berlari keluar kereta. Ayahnya mengejar dan sempat memegang erat Nabila. Tapi tenaga Nabila sangat kuat membuatkan kudrat tua ayahnya tak mampu bertahan. Nabila terlepas dari pegangan ayahnya dan berlari laju entah ke mana.

Ayah Nabila berlari ke masjid dan minta bantuan. Beberapa kariah masjid turut membantu. Mak Nabila menangis lagi. Nazira dah lepas, sekarang Nabila pula. Mak mana yang boleh menahan hati? Dah lah itu bukan tempat mereka, bukan tempat Nabila, ke manalah dia pergi.

Hampir sejam mereka mencari Nabila tapi tak jumpa. Akhirnya Ustaz Zahari melaungkan azan di tengah halaman masjid. Mereka yang berada di situ ternampak sesuatu berwarna putih terbang melayang laju di udara sekilas pandang. Dan lepas itu, Nabila ditemui di tepi kawasan perkuburan yang terletak bersebelahan dengan masjid. Nabila kelihatan pucat dan lesu. Ayah Nabila segera memapah Nabila membawanya masuk ke dalam masjid. Mata Nabila asyik memandang ke atas dan badannya menggeletar.

Akhirnya Imam masjid berkenaan mengambil air dan dibacakan beberapa surah lalu disapukan ke wajah Nabila. Barulah Nabila tidak menggeletar dan meracau lagi. Dan pada masa itulah Ustaz Zahari perasan bahawa ‘anak’ Nazira sudah tak bersama Nabila lagi.

Ustaz Zahari memandang setiap wajah yang berada di situ, mana tahu kalau-kalau ‘anak’ itu telah memasuki badan salah seorang dari mereka di situ. Tapi tak nampak tanda-tanda ‘anak’ itu ada dalam kalangan mereka.

“Dia tiada di sini. Dia tetap mencari gadis kerana ‘dia’ adalah seorang gadis,” kata Tok Imam membuatkan Ustaz Zahari tersentak. Tok Iman senyum memandang wajah Ustaz Zahari dan ayah Nabila. Nabila ketika itu masih di dalam dakapan ibunya.

“Kamu bukan dari sini kan?” tanya Tok Imam.

“Bukan. Kami dari kampung sebelah. Menumpang solat maghrib. Minta maaf jika kehadiran kami mengganggu ketenangan masjid ini,” jawab Ustaz Zahari.

“Masjid ini rumah Allah. Tiada istilah menumpang untuk solat.” Jawab Tok Imam.

“Iye Tok Imam. Cuma kehadiran kami ditemani ‘sesuatu’ yang tak patut berada di dalam kawasan masjid,” jawab Ustaz Zahari kesal.

“Apa benda tu?” tanya Tok Imam.

“Sesuatu yang bukan dari alam kita. Saya sedang cuba menghantarnya kembali kepada tuan asal. Tapi saya pindahkan dulu kepada tubuh dia,” kata Ustaz Zahari sambil menunjukkan ke arah Nabila.

“Tapi sekarang nampaknya ‘benda’ tu dah takde. Saya rasa dia dah pergi kepada tuan asalnya kerana tak berdaya duduk di dalam badan gadis ini kerana gadis ini agak kuat beribadah,” cerita Ustaz Zahari.

“Itu kalau betul dia balik kepada tuan asal takpelah. Tapi kalau ‘dia’ lari balik kepada ‘tubuh’ tumpangan yang sebelum ini, macammana?” tanya Tok Imam tu lagi. Dan Ustaz Zahari terdiam. Dan masa itulah dia teringatkan kami. Tapi dia taknak telefon kami dulu sebab taknak kami takut.

Ustaz Zahari balik ke kampung mereka dan berusaha untuk mencari tuan asal ‘anak’ Nazira.

Keesokan harinya Ustaz Zahari dan ayah Nabila masuk ke dalam hutan di hujung kampung, kembali ke pondok tempat kakak sulung Nabila ditemui mati. Ustaz Zahari mengelilingi kawasan pondok tersebut, mencari-cari sesuatu. Begitu juga ayah Nabila.

Sedang mereka berpusing-pusing di kawasan pondok tersebut, tiba-tiba terdengar bunyi suara garau berdehem. Ustaz Zahari dan ayah Nabila menoleh ke arah suara itu. Bomoh Tukiman berdiri memeluk tubuh sambil memerhatikan mereka berdua.

“Kamu cari apa kat sini?” tanyanya.

“Kami mencari sesuatu untuk dipulangkan ke tempat asalnya,” jawab Ustaz Zahari.

“Maksud kamu?” tanya Bomoh Tukiman.

“Kami ada urusan kami. Apa pula bomoh buat kat sini?” tanya ayah Nabila.

“Ini tempat pertapaan aku. Takde siapa yang perlu jejakkan kaki di sini selagi dia bukan anak murid aku,” jawab Bomoh Tukiman dengan agak angkuh.

“Tanah ini milik Allah. Sesiapa saja boleh berlalu di atasnya jika tahu had sebagai manusia. Bomoh mengajar ajaran salah kepada anak kampung, tak perlu nafikan. Saya tahu dah lama tapi saya selalu doakan agar bomoh kembali ke jalan Allah.” sahut Ustaz Zahari.

“Apa bukti kamu wahai ustaz muda bahawa aku mengajar ajaran salah kepada anak kampung? Kamu hanya belajar agama dan duduk di masjid menantikan orang kampung datang kepada kamu. Tapi aku keluar mencari mereka di saat mereka kesusahan. Aku bantu mereka untuk dapat apa yang mereka idamkan dalam hidup. Adakah aku masih mengajar perkara salah? Kamu masih setahun jagung, belum mengerti segalanya. Lebih baik kamu keluar dari tempat aku sekarang,” kata Bomoh Tukiman lagi.

“Apa kau dah buat pada anak-anak aku?” ayah Nabila tiba-tiba bersuara.

“Aku bantu mereka.” sahut Bomoh Tukiman sambil senyum.

Ayah Nabila dah melangkah setapak ke depan Bomoh Tukiman tapi dihalang oleh Ustaz Zahari.

“Nazira yang datang kepada aku. Dia minta aku beri dia sesuatu agar dia disayangi lebih dari adiknya dan disayangi oleh semua orang. Katanya kamu dah sering melebihkan adiknya setelah adiknya lahir. Aku beri dia tambahan lagi, aku beri dia sesuatu yang boleh menjaganya dan membuatkannya berjaya tanpa pertolongan dari keluarganya. Dengan itu dia mampu berdikari. Dia tak perlukan sesiapa lagi. Tapi semua orang yang akan mencari-carinya. Itulah yang dia nak. Tapi setiap ilmu takkan datang begitu saja. Ada pengorbanan yang perlu dilakukan namun dia tak mampu melakukannya. Dia dah separuh jalan, dia tak boleh berpatah balik. Dia perlu korbankan sesuatu yang dia sayang. Dia mula nak mengkhianati aku. Sedangkan di masa itu aku telah serahkan dia seorang ‘anak’ untuk menjaganya. Aku pun tak boleh berpatah balik. Aku dah menyeru ‘dia’, dan ‘dia’ telah datang. Masa itu pilihan dah tiada. Kebetulan anak sulung kau datang. Aku dah kata, ini kawasan aku. Dia datang tepat pada masanya untuk dia dijadikan korban kepada ‘anak’ Nazira. Walau Nazira cuba menyelamatkan kakaknya, tapi kuasa ‘anak’ itu lebih buas. Maka, anak sulung kamu menjadi korban. Darahnya disedut membuatkan jantungnya berhenti berdenyut. Aku tak buat semua tu, segalanya jadi luar kawalan bila Nazira mula mengkhianati aku dengan mahu pergi meninggalkan ‘anak’ yang aku dapatkan untuknya. Nazira yang memungkiri janjinya dengan ‘anak’ itu.” Bomoh Tukiman merungkaikan punca kekusutan.

Ayah Nabila duduk terjelepok. Ustaz Zahari membiarkan. Masa ini dia tak boleh lalai walau sesaat. Dia perlu bertentang mata dengan Bomoh Tukiman setiap saat agar Bomoh Tukiman tiada peluang untuk mengambil kesempatan jahat ke atas dia dan ayah Nabila.

“Sekarang Nazira pun dah mati. Semua orang ingat dia membunuh diri kerana malu dipukul oleh ayahnya di khalayak ramai. Tapi sebenarnya dia menggantung diri kerana tak mahu memikul beban ‘anak’ itu. Dia ingat semudah itu dia mahu mengkhianati aku? Tidak semudah itu. Walau dia dah mati, ‘anak’ itu masih mengikutinya. Dia takkan boleh ke alamnya selagi ‘anak’ itu tak diserahkan kepada orang lain. Dan aku dah lepaskan ‘anak’ itu untuk mencari tuannya sendiri,” kata Bomoh Tukiman lagi.

“Dari mana asalnya ‘anak’ itu?” tanya Ustaz Zahari.

“Dari mayat gadis yang mati akibat bunuh diri. Aku ambil hati mayat dari kubur yang masih merah, aku perahkan limau dan dia tiada pilihan lain selain dari mengikuti kata-kataku.” Sahut Bomoh Tukiman.

“Kau korek kubur mayat yang mati bunuh diri?” tanya ayah Nabila.

“Ya. Itu syaratnya. Kau bayangkan setelah aku menyeru dan ‘dia’ pun dah tunduk kepada aku, tiba-tiba Nazira taknak ambil ‘anak’ itu. Tidakkah kau rasa dia dah mengkhianati aku?” kata Bomoh Tukiman dengan wajah yang mula marah.

“Tapi tidakkah kau rasa bahawa kau telah mengkhianati Tuhanmu? Ya Allah Tukiman, aku tak sangka kau sesesat ini. Orang kampung amat mempercayai kamu tapi kamu mengkhianati mereka,” sahut ayah Nabila.

“Aku pernah rasa tidak dipedulikan. Aku pernah rasa dihina. Aku dah lalui semuanya. Aku taknak terus begitu. Jika aku ada jalan untuk memperbaiki diri aku, kenapa aku nak buang? Sekarang semua orang menyanjung aku. Hormat aku. Itu yang aku nak,” kata Bomoh Tukiman lagi.

“Saya minta bomoh ambil semula ‘anak’ Nazira walau di mana dia berada sebelum saya musnahkan ‘dia’. Bomoh pun tahu apa akibatnya jika saya musnahkan ‘dia’. Bomoh sekali akan termusnah. Jadi, saya harap bomoh ambil ‘dia’ secepat mungkin.” Kata Ustaz Zahari.

“Itu bukan urusan aku. Itu urusan Nazira dengan ‘anak’nya.” Sahut Bomoh Tukiman sambil ketawa dan berlalu pergi meninggalkan mereka.

“Kau Ustaz muda, jangan cabar aku. Kau keluar dari kawasan aku sebelum aku panggil ‘anak’ aku yang lain.” Kata Bomoh Tukiman.

Ustaz Zahari tak menjawab. Dia mengajak ayah Nabila keluar dari kawasan itu.

“Jadi Ustaz keluar begitu saja?” tanya Pakcik Musa.

“Saya fikirkan lebih baik kami keluar dulu dari kawasan dia. Kita tak boleh tergopoh gapah dlm hal sebegini. Takut kita tersilap niat bila emosi menguasai diri. Bumi Allah ini luas. Kita boleh usahakan dari luar. Saya akan pastikan ‘anak’ Nazira balik kepadanya,” sahut Ustaz Zahari.

Pakcik Musa menganggukkan kepala tanda setuju.

“Masa kami keluar dari hutan tu, hari dah senja. Saya dan ayah Nabila terus solat maghrib dan isya’ di masjid dalam kampung. Sesampai saya di rumah itulah saya terus telefon Fika untuk memaklumkan hal ini tapi telefon tak berjawab. Saya pun taknak call lagi sebab masa tu dah jauh malam. Risau nanti orang kata apa pula kan. Jadi saya memang ingat hari ini nak datang sini walaupun Fika tak telefon saya semalam,” kata Ustaz Zahari mengakhiri ceritanya.

Pakcik Musa menganggukkan kepalanya lagi tanda faham dengan kisah dari awal hingga kini. Aina, Adibah dan Zaida melopong mendengar cerita Ustaz Zahari. Cuma aku saja yang tersenyum dari awal aku nampak Ustaz Zahari tadi hinggalah sekarang. Cerita yang sepatutnya menakutkan pun dah jadi menenangkan bila aku tengok Ustaz Zahari.

“Jadi, hari ini kita kena selesaikan hal ‘benda’ kat rumah mereka,” kata Ustaz Zahari lagi. Pakcik Musa menggosok wajahnya dan menggaru kepalanya yang penuh uban.

-Bersambung-

11 thoughts on “NABILA 2

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s