NABILA 2

Bab 6

“Mana Hana?” tanyaku. Masing-masing angkat bahu sambil mata melilau melihat sekeliling.

“Woi! Buat apa tu?!” Tiba-tiba terdengar suara Pakcik Musa, jiran kami menjerit. Kami menjenguk keluar rumah melalui tingkap. Kami nampak Farhana sedang berdiri di atas pagar besi yang menjadi penghadang tingkat 5. Cepat-cepat kami keluar.

“Jangan rapat. Kalau kamu rapat aku terjun,” Aku sempat menjeling jam dinding. Masa tu pukul 11.00 malam dah.

“Kenapa Hana? Tiba-tiba saja kamu nak terjun?” kata Aina cuba memujuk.

“Aku takut dengan ‘benda’ tu. Aku dah tak tahan. Dia ikut aku dari hospital sampai rumah.” Kata Farhana lagi sambil terhoyong hayang mengawal badannya agar tak jatuh.

“Mana dia? Benda apa? Kami tak nampak apa pun. Perasaan kamu je kot,” kata Adibah lagi.

“Tuuuuu… ada berdiri kat belakang korang. Korang tak nampak ke?” kata Farhana membuatkan bulu roma kami masing-masing meremang. Dan kebetulan pulak masa tu aku yang berada di belakang sekali. Allahu, longgar sendi lutut aku dah.

Zaida, Adibah dan Aina menoleh memandang ke belakang, melihat apa yang Farhana sedang tunjuk. Aku tak berani menoleh weh. Aku keras kat situ. Terbayang dah aku lembaga mayat berkafan tu berdiri betul-betul belakang aku, tunggu masa je nak terkam aku. Eeeuuuuwwwww!!!!

Adibah, Zaida dan Aina menoleh kembali memandang Farhana. “Mana ada apa kat situ?” kata Aina lagi.

“Apa benda semua ni? Kenapa kamu berdiri di situ? Turun cepat, nanti kamu jatuh. Dah jauh malam ni, kenapa masih berlegar di luar ni? Tak malu ke tengok dek orang, anak dara melepak kat luar macam ni?” pakcik sebelah rumah menegur kami tanpa syak apa-apa yang buruk sedang terjadi kepada kami.

“Pakcik, kami rasa kawan kami ni sedang dirasuk,” Adibah berbisik kepada Pakcik Musa, jiran kami tu. Dan wajah Pakcik Musa berubah.

“Mana kamu tahu?” tanya Pakcik Musa.

“Panjang ceritanya pakcik. Sekarang ni kita kena turunkan dia dari atas agar tu dulu,” kata Adibah lagi.

“Siapa nama dia?” tanya Pakcik Musa.

“Farhana,” sahut Zaida.

Bila melihat Farhana di atas pagar tu, kepala aku terus teringat ketika dia berdiri di atas ampaian. Dan masa tu jugak la yang ‘benda’ tu keluar dari bilik dan panjat belakang aku. Dan aku tak sangka perkara tu boleh berulang lagi. Dengan hati yang berat, aku menoleh melihat ke belakang aku. Dan ternyata aku nampak ‘benda’ yang Farhana nampak. Mayat berkafan tu sedang berdiri betul-betul kat belakang aku!

Aku jatuh terjelepok. Aina pegang aku. “Kenapa Fika?” tanyanya. Aku tak mampu bersuara. Aku diam. Badanku berpeluh sejuk. ‘Benda’ tu masih berdiri di situ dan aku tak tahu kenapa dan macammana aku boleh nampak ‘dia’. Aku pejamkan mata.

“Kau dah kenapa pulak Fika? Adoiii, Hana tak setel lagi, kau pulak. Kalau kau nak main-main, ini bukan masanya. Tolonglah Fika,” kata Zaida. Dan aku masih tak mampu jawab. Badanku makin lemah, pandanganku makin kabur.

“Ambil air segelas,” aku dengar suara Pakcik Musa. Tak lama lepas tu aku terasa mukaku sejuk dibasahi air. Barulah pandanganku cerah semula. Aku menoleh keliling aku dan aku tak nampak dah ‘benda’ tu.

“Jangan biar ‘dia’ menguasai kamu. Ingat, dia juga hamba Allah seperti kita,” bisik Pakcik Musa. Aku diam, antara faham dengan tak faham tentang apa yang Pakcik Musa cakap.

Selepas itu Pakcik Musa merapati Farhana. “Farhana, pakcik tahu kamu tidak kerasukan. Tapi kamu cuma ketakutan kan?” kata Pakcik Musa kepada Farhana sambil tersenyum.

“Pakcik nampak ‘benda’ tu?” tanya Farhana.

“Pakcik nampak apa yang kamu nampak. Jangan takut. Sebenarnya ‘dia’ yang sedang takut.” Sahut Pakcik Musa.

“Tapi saya takut pakcik. Dari hospital dia ikut saya, sampai rumah ‘dia’ duduk kat bilik saya,” kata Farhana mula nak menangis.

“Takpe, turun dulu. Nanti kamu jatuh. Tingkat 5 ni kalau jatuh tak mati pun. Patah riuk nanti. Masa tu kalau ‘dia’ ikut kamu, kamu pun tak boleh nak lari kan,” pujuk Pakcik Musa.

Dan Farhana melompat turun dari pagar tu. Zaida pergi kepada Farhana, memegang tanganny, takut dia naik balik pagar tu. Pakcik Musa masuk ke dalam rumah kami. Aku masih terduduk di tepi dinding tapi aku tak nampak dah mayat berkafan tadi. Aku rasa Farhana masih nampak sebab tu dia memalingkan wajahnya dan memeluk Zaida. Beberapa orang lain yang masih berada di tingkat bawah mendongak melihat ke arah kami.

“Kamu semua pergi masuk rumah pakcik dulu. Makcik Senah ada kat dalam tu.” Kata Pakcik Musa dan tanpa segan silu ataupun berfikir panjang, kami berlima masuk ke rumah Pakcik Musa. Makcik Senah yang dari tadi melihat kami dari tingkap rumahnya menyapa dan mempelawa kami masuk ke rumahnya dengan lembut dan senyum manis.

“Tutup pintu tu.” Kata Makcik Senah sebaik sahaja kami masuk ke rumahnya.

“Terima kasih Makcik bagi kami tumpang,” kata Adibah.

“Sama-sama. Kenapa dengan rumah kamu tu?” Tanya Makcik Senah.

“Kami pun tak tahu Makcik. Farhana ni dulu dirasuk roh jahat. Sebulan dia hilang ingatan. Ni pun baru nak baik. Ada ustaz tolong haritu. Tapi kami ingat dia dah ok. Mana tahu ‘benda’ tu masih ada kat rumah kami. Cuma masalahnya sekarang, hanya Farhana yang nampak ‘benda’ tu.” Kata Zaida menerangkan. Dia tak tahu bahawa aku pun nampak sekejap tadi. Dan aku masih tak mampu bersuara pada masa ni. Aina masih peluk aku. Dulu masa dia takut, dia peluk aku tapi aku marah dia. Sekarang aku takut, dia juga yang peluk aku. Tiba-tiba aku rasa bersalah marah dia. Baru aku tahu apa itu sahabat.

“Kita ni, Rasulullah dah bagitahu, waktu senja, waktu maghrib, duduklah dalam rumah, jangan keluar. Masa tu syaitan sedang berkeliaran. Dia memang mencari mangsa. Dan bila dia dah dapat, susah dia nak lepaskan. Dari mana syaitan itu datang, itu cuma asbab je. Yang penting kita kena kuat agar tak mudah dipengaruhi.” Kata Makcik Senah.

“Zaman sekarang susah dah Makcik. Dengan jalan sesaknya, dengan terkejar sana-sini, susah dah kami nak hadkan masa. Kadang-kadang masa maghrib tu la kami baru sampai rumah.” Sahut Zaida.

“Kalau tak dapat elakkan, carilah pendinding diri. Solat jangan tinggal. Zikir kena selalu. Syaitan pun takut nak dekat,” kata Makcik Senah lagi. Kami semua diam.

Tiba-tiba terdengar sayup-sayup suara tangisan. Macam dari arah rumah kami. Zaida nak keluar tapi dihalang oleh Makcik Senah. “Biarkan Pakcik selesaikan kerjanya. Tunggu sampai dia panggil,” kata Makcik Senah. Dan Zaida akur.

“Fika, cuba kamu telefon balik Ustaz Zahari. Bagitahu apa yang terjadi,” kata Zaida perlahan.

“Tadi aku nak bagitahu kau kata jangan,” dalam keadaan masih lemah semangat tu aku masih nak balas balik.

“Kau call je la. Aku tak sangka sampai begini jadinya. Aku ingat boleh bertahan sampai hujung minggu, boleh kita pergi kampung Nabila,” kata Zaida, ada suara kekesalan dalam nadanya.

Aku mencari telefon aku. “Eh, telefon aku ada kat rumah kita la. Mana sempat aku ambil tadi.” Kataku baru teringat telefon aku terlepas dari tangan aku ketika lampu terpadam sekejap tadi. Zaida diam. Dan rupanya masing-masing tak bawa telefon. Jam menunjukkan pukul 12.30 tengah malam ketika Pakcik Musa balik ke rumahnya.

“Kamu semua boleh balik kalau nak,” Kata Pakcik Musa.

“Benda tu dah takde ke Pakcik?” tanya Farhana.

“Dia tak pergi lagi. Sepertinya ada sesuatu yang menghalang ‘dia’ daripada pergi. Tapi Pakcik dah ikat dia supaya dia tak ganggu kamu. Kamu takkan nampak dia,” Kata-kata Pakcik Musa membuatkan kami berpandangan sesama sendiri.

“Ada sesuatu yang perlu dipulangkan ke tempat asalnya. Baru ‘dia’ boleh pergi,” kata Pakcik Musa lagi.

“Hmmmm… Pakcik, Makcik… Saya tak rasa kami berani nak balik ke rumah tu malam ni. Kalaulah Pakcik dan Makcik tak keberatan, boleh tak kami tumpang tidur di rumah ni malam ni?” kata Aina tanpa segan silu dah. Tapi bagus juga, kalau Aina tak cakap macam tu pun, walau aku takde tempat nak tidur pun, aku takkan balik rumah tu malam ni.

“Boleh. Sebaiknya tidurlah di sini. Esok Pakcik carikan orang untuk tengok rumah tu ye,” kata Pakcik Musa dan Makcik Senah mengangguk tanda setuju.

“Rasanya kita perlu ambil telefon. Kalau boleh telefon Ustaz Zahari. Dia mungkin tahu apa yang menghalang ‘benda’ tu daripada pergi.” Kata Zaida.

“Masalahnya sekarang, siapa yang berani nak pergi ambil telefon kat rumah tu?” tanya aku bengang. Tadi aku nak cakap, dia tak bagi. Kononnya kuat sangat boleh setelkan.

“Jom Pakcik temankan,” pelawa Pakcik Musa.

Aku dan Zaida bangun mengikut belakang Pakcik Musa. Melangkah ke rumah kami yang berada di sebelah. Takutnya hanya Tuhan yang tahu. Aku seperti terdengar-dengar suara tangisan yang mendayu-dayu dari bilik Farhana.

Pakcik Musa menolak daun pintu dan memasangkan lampu.

“Masuklah, ambil barang kamu. Pakcik tunggu di sini saja,” kata Pakcik Musa.

Aku dan Zaida melangkah masuk. Tapi mata masing-masing melilau memandang keliling. Pintu bilik Farhana tertutup rapat. Aku masuk ke bilik aku, mengambil barangan aku dan Aina. Telefon aku ada kat dapur, pun aku ambil. Zaida masuk bilik dia dan ambil barangan dia dan Adibah.

Elok-elok kami nak melangkah ke pintu, dum!!! Pintu bilik Farhana seperti diketuk kuat dari arah dalam. Aku dan Zaida melompat. Terhenti jugaklah langkah kami sekejap. Dada berombak laju. Dan tak semena-mena pintu rumah kami pulak tertutup sendiri. Dan lampu padam. Aku pegang Zaida. Ya Tuhan.

-Bersambung-

One thought on “NABILA 2

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s