NABILA 2

Bab 3

Kami berempat perlahan-lahan naik tangga ke tingkat 5. Memang penat betul badan ni. Pergi berzumba pun tak sepenat ini rasanya. Walaupun dah lega sebab kes Farhana dah selesai, tapi hati masing-masing masih tak tenang. Sebab terlalu banyak perkara yang masih tergantung, tak tahu penghujung.

Sampai je kat tingkat 5, masa Aina nak buka pintu masuk, Adibah tegur, “Eh, tadi masa kat bawah kita tengok lampu bilik Hana ni berpasang kan?” membuatkan kami semua melihat ke arah bilik Farhana yang boleh dilihat dari luar rumah.

“Haah, iyelah. Tadi menyala,” sahut aku diikuti oleh Aina yang terhenti membuka kunci pintu.

“Salah tengoklah tu. Mungkin korang nampak lampu kat tingkat 4 kot. Dah la weh, jangan fikir apa-apa dah. Buka la pintu tu. Aku penat, aku mengantuk ni. Kang aku tidur kat kaki lima ni kang,” kata Zaida membuatkan Aina cepat-cepat buka pintu. Kami masuk rumah.

Mataku terus ke pintu bilik Farhana. Pintu bilik tu terbuka! Dan aku yakin aku dah tutup pintu bilik tu tadi.

“Aku dah tutup pintu bilik Hana tu tadi. Kenapa sekarang terbuka pulak? Siapa bukak?” tanya aku dengan suara yang agak perlahan sambil menudingkan jari ke pintu bilik Farhana. Mata masing-masing tertumpu kepada pintu bilik Farhana.

“Angin la tu. Haish korang ni. Cubalah berfikir elok sikit. Jangan fikir yang bukan-bukan,” sahut Zaida lagi.

Dalam 4-5 langkah kami masuk rumah, pintu bilik Farhana seperti ditolak perlahan dari arah dalam bilik. Berkeriut bunyinya tapi perlahan. Melompat aku. Adibah dan Aina pun berhenti melangkah.

Zaida pula macam dah nak marah, cepat-cepat pergi tolak pintu bilik tu hingga terbuka luas dan terus pasangkan lampu. Terang bilik Farhana. Kami semua pun menjenguk sekali.

“Hah, tengok. Takde apa. Angin je. Dan kamu semua dah terbawa-bawa dengan kejadian hari ini. Jadi otak tu asyik nak fikir bukan-bukan je. Dah la. Jom kita tidur. Esok kerja. Balik kerja kita pergi tengok Hana kat hospital. Dan lepas balik rumah, kita tolong kemas bilik dia. Ok?” kata Zaida. Memang mukanya kelihatan keletihan.

Aku sempat menjeling lagi ke dalam bilik Farhana. Dan aku cuit tangan Adibah. “Diba, tadi bungkusan putih tu kita letak kat tepi almari tu kan? Kenapa sekarang ada kat penjuru hujung sana pulak?” bisikku perlahan, taknak bagi Zaida dengar, nanti dia marah.

“Haah la. Siapa ubah ke sana?” tanya Adibah juga berbisik.

“Dah dah dah… Tutup lampu tu. Siapa belum solat isya’ tu pergilah solat. Basuh kaki, baca doa, dan sila tidur ok. Jangan sesiapa kacau aku malam ni. Aku letih,” kata Zaida lagi terus berlalu masuk ke biliknya. Adibah pun ikut sekali. Aku dengan Aina masih kat luar bilik. Aina tarik tangan aku. “Jomlah. Aku pun meremang ni, kenapalah rasa tak sedap hati,” kata Aina.

“Sekejap la, aku tutup lampu bilik Hana ni,” kataku lagi. Nanti tak tutup lampu pun kena marah juga. Garang si Zaida tu.

Dan masa aku nak tutup lampu dan pintu bilik Farhana tu, walaupun hati tu takut tapi masih gatal nak menjenguk. Aku perasan sesuatu. Bilik Farhana tersusun rapi dan kemas, tak macam masa kami pergi tadi, bersepah. Aku seperti tertarik hati nak masuk dalam bilik tu, nak tengok dalam almarinya, nak tengok rak bajunya, nak tengok apa-apalah dalam bilik tu. Baru selangkah aku masuk, Aina dah tarik aku.

“Dah la tu. Jomlah masuk bilik kita. Aku takut ni. Esoklah pulak kita tengok semua ni,” kata Aina. Dan aku menurut. Aku tutup lampu dan rapatkan pintu bilik Farhana lalu masuk ke bilik kami.

Masa kat dalam bilik, aku tak boleh nak lena. Aku gapai telefon. Nampak ada 1 missed call. Aku buka. Ustaz Zahari. Aku senyum sendiri. Lupa dah ketakutan, lupa dah pada mayat berkafan, lupa dah pada Farhana.

“Yang kau tersengih-sengih dalam gelap depan telefon ni dah kenapa? Aku terkejut tau tak?” tegur Aina.

“Ni ada missed call dari Ustaz Zahari.” Sahutku masih lagi tersenyum.

“Amboi, cepat sungguh kau save nombor dia,” perli Aina. Aku tersenyum simpul. Memang masa dia bagi nombor telefon dia tadi, aku terus save. Hahaha, fanatik betul aku kan.

“Kau rasa perlu ke aku telefon dia balik?” kataku masih melihat telefon.

“Hish, dah pukul 12 tengah malam kot. Kau tu anak dara, takkan nak call lelaki jauh malam macam ni. Nanti apa pulak kata dia. Elok-elok kau ada peluang, nanti langsung takde. Jangan gopoh sangat boleh? Esok je la,” kata Aina.

“Mana tau kot ada perkara penting dia nak beritahu,” sahutku lagi mencari alasan agar dapat bercakap dengan Ustaz Zahari tu.

“Kalau penting, mestilah dia call balik. Atau hantar message ke, whatsapp ke. Mungkin dia nak tanya pasal Farhana kot. Nak tahu samada kita dah bawa ke hospital,” kata Aina lagi. Dan aku diam. Mungkin juga. Haishhh, aku ni pun, yang melayang sangat teringat kat Ustaz Zahari tu dah kenapa. Padahal baru jumpa sekali je kot. Entah-entah Ustaz Zahari tu dah kahwin dan beranak pinak dah.

Aku tutup telefon. Cuba pejamkan mata.

Rasanya macam baru je aku nak terlelap , tiba-tiba ‘DUMMMM!!!!’ terdengar bunyi pintu bilik dihempas dengan kuat sekali. Bergegar la rumah tu. Aku bangun duduk, Aina pun terjaga juga, dia pun duduk sebelah aku sambil peluk aku. Aku tolak dia. “Kau ni Aina, tak payah la peluk-peluk, rimas la,” kataku nak marah. Tapi jantung aku memang berdegup pantas.

“Pintu bilik siapa terhempas tu? Jarang aku dengar Zaida atau Adibah hempas pintu bilik,” Kata Aina macam nak menangis.

“Jom kita tengok,” aku mengajak tapi Aina pegang tangan aku kuat.

“Janganlah Fika. Aku rasa tak sedap hati. Kita duduk je la dalam bilik ni. Kunci pintu,” kata Aina memang dah separuh menangis.

Aku capai telefon. Dail nombor Zaida.

“Hello,” aku dengar suara Zaida di talian.
“Zaida, kau dengar tak bunyi pintu terhempas tu?” tanyaku.

“Ya, aku dengar. Ni yang aku terbangun ni. Bukan bilik kau ke?” tanya Zaida.

“Bukan. Aku ingat bilik kau,” kataku lagi.

“Kalau bukan bilik korang, dan bukan jugak bilik aku, maknanya bilik Hana la. Rumah ni 3 bilik je. Tapi siapa pulak yang hempas pintu bilik tu. Bilik tu bukan ada orang pun. Nak kata angin, takkan begitu kuat hempasnya,” kata Zaida lagi.

“Habis tu, macammana ni? Nak keluar tengok ke?” tanyaku lagi.

“Aku pun seram jugak ni. Kalau kita biarkan saja dulu boleh tak? Aku nak tidur, esok aku ada appointment dengan klien awal pagi. Adibah ni pulak ada presentation dengan klien dari China,” kata Zaida lagi.

“Aku ok je. Tapi boleh ke korang lena selagi tak tahu apa yang ada kat luar tu?” Aku tanya. Aku ni dah sah lah takkan lena sampai pagi ni.

“Habis tu, nak pergi tengok jugak ke?” tanya Zaida balik.

“Jomlah tengok. Baru puas hati,” kataku lagi.

“Hish korang ni, tak payah lah,” sahut Aina terus peluk tangan aku kuat. Lagi aku tarik, lagi kuat dia peluk. Adoiii… Ada yang kena segung dengan aku ni karang.

“Jom,” sahut Zaida. Aku bangun. Dan Aina dah menangis sambil terus peluk aku. Hish.

-Bersambung-

5 thoughts on “NABILA 2

Leave a Reply to Merah Cancel reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s