KEKASIH JELMAAN

Bab 10 (Akhir)

Sesampainya aku di rumah, aku ceritakan segalanya kepada mak. Samada mak nak percaya atau tidak, itu perkara kedua. Sebab aku tahu, untuk usia aku dan keadaan aku, aku tak mampu bertindak sendirian.

“Kamu pergi rumah Dayat sorang-sorang? Dan kamu tengok semua tu?” tanya mak menjegilkan matanya kepada aku.

“Iye mak. Hati Murni tergerak nak cari dia. Murni tahu dia masih ada, Cuma tiada siapa yang peduli dengan kehilangannya dan keluarganya juga. Mak, minta tolong kat ayah supaya carikan orang untuk tolong keluarkan Dayat dan mak ayah dari kurungan Jamilah. Memang susah nak percaya tapi apa kata kita cuba sekali ye mak,” rayuku dengan penuh harapan.

“Nantilah mak tanya ayah kamu,” jawab mak sambil menyambung melipat kain.

Pagi esoknya, masa sarapan, ayah pandang aku. “Nanti tunjukkan ayah rumah Hidayat tu. Ayah bawakan ustaz untuk tengokkan. Tapi sekali je tau. Kalau takde apa-apa, ayah takkan hiraukan permintaan kamu lagi tau,” kata ayah membuatkan aku tersenyum puas. Takpe, sekali pun takpe, sekurang-kurang aku mencuba.

Lepas sarapan, ayah bawa aku ke rumah Ustaz Ehsan yg juga Tok Imam masjid kat kawasan kami tu. Dan Ustaz Ehsan itu pun turut mengikut kami ke rumah Hidayat. Bersemangat betul aku pagi tu. Lupa dah aku dengan kejadian semalam, lupa dah pada Jamilah, lupa dah pada lembaga hitam yang menyerang aku.

Sampai di rumah Jamilah, suasana sunyi. Aku lihat jam tangan baru pukul 10.30 pagi. Ada ke hantu waktu begini? Desis hati kecilku.

“Mana ada orang? Tanya ayah memandang aku dengan pandangan yang agak menyeramkan juga.

“Ada ayah. Kita kena masuk ke dalam kawasan rumah tu dulu,” jawabku.

“Mana boleh masuk ke rumah orang tanpa izin,” kata ayah lagi, tegas.

“Mereka semua dah terkurung ayah. Jamilah yang kawal mereka. Kita kena masuk dan cari Jamilah.” Kataku lagi bersungguh-sungguh. Geram pun ada kat ayah aku ni. Dah alang-alang sampai, masuk je la. Tunggu kat pintu pagar tu memang la takde orang sambut. Haishhhh…..!

Ayah menghampiri Ustaz Ehsan yang sedang meninjau-ninjau keadaan banglo itu.

“Macammana ustaz? Nak masuk atau nak balik?” tanya ayah membuatkan aku gelengkan kepala. Geram kat ayah aku.

“Kita masuk,” kata Ustaz Ehsan. Hah… Aku gembira. Lega mendengarnya. Aku pandang ayah aku dengan riak muka aku menang. Ayah jeling aku.

Ayah menolak pintu pagar yang tak berkunci. Berkeriut bunyi pintu pagar besi itu. Dan sekilas itu, aku nampak sesuatu yang lalu amat pantas, tak sempat nak nampak apa itu dan ke mana arah dia pergi.

Aku rasa Ustaz Ehsan nampak apa yang aku nampak. Sebab dia berhenti melangkah bila benda tu lalu depan kami. Tapi aku tak rasa ayah nampak sebab ayah jalan terus.

“Murni, kat mana kamu jumpa anak patung dalam kotak tu?” tanya Ustaz Ehsan.

Tanpa bersuara aku bawa Ustaz Ehsan dan diikuti oleh ayah ke pondok belakang banglo tu. Namun kotak tu tiada di sana. Tapi aku nampak lembaga hitam semalam tu melekat kat dinding banglo, sama seperti yang aku lihat semalam.

“Ustaz,” panggilku. Ayah memandang aku. Ustaz pun sama. Aku tunjukkan ke arah lembaga hitam itu.

“Astaghfirullahal azim,” ucap Ustaz Ehsan. Kali ni aku yakin Ustaz Ehsan nampak apa yang aku nampak. Dan aku rasa ayah pun nampak sebab ayah terdiam melihat ke arah lembaga itu sambil mulutnya terbuka dan matanya terbeliak.

Ustaz Ehsan berdiri sambil memeluk tubuh dengan matanya yang terpejam. Aku dapat dengar Ustaz Ehsan membaca beberapa ayat suci Al-Quran. Al-Fatihah, Qursi, dan beberapa lagi. Seketika kemudian, aku dengar suara jeritan seorang perempuan. Dan bila aku pandang ke arah lembaga hitam itu tadi, dia dah tiada di situ.

Dan tiba-tiba Ustaz Ehsan berlari. “Kita masuk rumah ni,” katanya. Ayah ikut berlari sama. Tapi aku masih teragak-agak nak ikut atau tak. Tiba-tiba je aku rasa takut. Melihatkan aku teragak-agak tu, ayah tarik aku. Dan aku ikut berlari sekali.

Masuk ke dalam banglo tu membuatkan bulu roma meremang, telinga aku rasa kebas dan jantung aku berdegup laju sampai badan aku bergerak mengikut degup jantung aku sendiri. Aku menoleh ke sana sini mencari Pak Deris dan Mak Limah, tapi tak nampak mereka.

Ustaz Ehsan berhenti di ruang tamu. Dia membacakan beberapa surah di situ. Dan sekali lagi terdengar bunyi raungan seorang perempuan.

“Buka semua tingkap dan pintu termasuk pintu bilik. Bagi cahaya matahari masuk,” kata Ustaz Ehsan.

Ayah dan aku pantas membuka semua tingkap dan pintu. Di salah satu pintu bilik kecil di bahagian dapur, aku nampak Pak Deris dan Mak Limah dalam keadaan ketakutan. Pak Deris kelihatan tak bermaya, nampak pucat dan seperti sedang sakit. Mak Limah pula menggeletar. Aku merapati Mak Limah dan Pak Deris.

Mak Limah meraung sebaik sahaja nampak aku. Dengan tangan terketar-ketar, dia memegang tangan aku sambil menangis tersedu-sedan. “Kenapa Mak Limah? Apa dah jadi? Kenapa dengan Pak Deris?” tanyaku sambil memeluk Mak Limah.

“Jamilah campak Pak Deris dari atas bumbung. Lepas tu dia kurung kami kat sini. Semalaman Pak Deris menahan sakit,” kata Mak Limah. Ya Allah!

Aku panggil ayah. Ustaz Ehsan pun datang sekali. “Jangan gerakkan dia. Biar dia berbaring dilantai yang lurus. Cuba bertahan seketika. Nanti kita panggil ambulan. Tapi sementara itu, kita kena halau syaitan tu dulu,” kata Ustaz Ehsan.

“Nak buat macammana Ustaz?” Tanya ayah.

“Ikut saya. Kita pergi ke bilik Hidayat. Saya dah nampak dia di sana,” kata Ustaz Ehsan.

Kami bertiga naik ke tingkat atas banglo. Dan masa itulah aku nampak beberapa bayang hitam berterbangan di siling banglo tersebut. Dan diikuti bunyi hilaian dan tangisan bersilih ganti.

“Jangan pedulikan semua tu. Itu cuma tipu daya syaitan. Ingat! Kedudukan kita sebagai manusia adalah lebih tinggi dari syaitan. Jangan biar dia menguasai hati kamu. Dia yang sebenarnya kena takut kepada kita, bukan kita yang takut kepada dia. Jangan pandang tepat pada matanya. Zikir jangan putus, sebab itulah pagar antara kita dengan syaitan tu,” kata Ustaz Ehsan.

Aku dan ayah ikut Ustaz Ehsan. Sampai di pintu bilik Hidayat Ustaz Ehsan menolak pintunya. Kotak yang berisi anak patung tu ada di atas katil. Ustaz Ehsan merapati kotak tersebut. Ada 4 anak patung di situ. Ustas Ehsan mengambil anak patung ‘barbie’, memegang di bahagian kakinya sambil membacakan sesuatu. Dan kedengaran jeritan kuat dari salah satu lembaga hitam yang berterbangan di siling. Salah satu darinya turun ke lantai dengan berjalan terdengkot-dengkot seperti kesakitan yang amat sangat sambil merintih minta dikasihani.

“Kau syaitan yang direjam. Lepaskan apa yang bukan milikmu. Kalau tak, usiamu takkan sampai ke sengkakala pertama,” kata Ustaz Ehsan mula berbicara dengan lembaga hitam itu tanpa melepaskan kaki anak patung ‘barbie’.

“Mereka milik aku. Mereka sayangkan aku. Aku juga sayangkan mereka. Kami tak boleh terpisah.” Sahut lembaga hitam itu dalam kesakitan.

“Mereka bukan milikmu, mereka milik Pencipta mereka yang turut mencipta kamu. Kamu tiada hak ke atas manusia. Kamu tiada kuasa.” Jawab Ustaz Ehsan.

“Telah bertahun aku bersama mereka tanpa gangguan. Kami tidak mengganggu sesiapa. Kami hidup bersama bagai satu keluarga. Kehadiran gadis ini yang mengganggu kami,” kata lembaga hitam itu sambil cuba menerkam aku. Seram weh bila mata aku berpandangan dengan matanya. Aku nampak matanya terpelohong berlubang di dalam mukanya.

Ustaz Ehsan menyentak kaki anak patung itu membuatkan lembaga hitam tadi terjatuh dan tak sempat menerkam aku.

“Aku bagi kau peluang sekali lagi. Kau pergi dan lepaskan apa yang bukan milikmu. Aku tak punya banyak masa untuk bergurau dengan syaitan seperti kamu,” kata Ustaz Ehsan dengan lebih tegas dari tadi.

“Tidak. Mereka milik aku. Jika aku pergi, aku akan bawa mereka bersama,” kata lembaga hitam itu lagi sambil merintih menahan kesakitan.

“Baik, kalau itu yang kamu mahu. Aku terpaksa bunuh kamu dengan kalimah Allah yang Maha Suci. Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah, hanya Dia yang berkuasa di atas setiap sesuatu. Lailahaillallah, Muhammadarrasulullah,” Ustaz Ehsan menekan bahagian dada anak patung itu dan sambil membacakan beberapa surah.

Lembaga hitam itu meraung kuat, bergema suaranya di dalam banglo itu dan aku yakin bunyi raungannya dapat didengar hingga kejauhan. Lembaga hitam lain dah hilang entah ke mana. Dan tak semena-mena, lembaga hitam yang berada di depan Ustaz Ehsan terbakar! Aku bergerak ke tepi. Bagaimana satu bayangan boleh terbakar, itulah kuasa Allah.

Ustaz Ehsan mengambil 3 lagi anak patung yang berada di dalam kotak tadi dan membawanya ke bilik air lalu merendamkannya ke dalam baldi yang berisi air di situ. Setelah itu, Ustaz Ehsan memerah anak patung yang basah itu, dengan urutan dari kepala ke kaki. Tak lama kemudian aku terdengar bunyi seseorang batuk seperti kelemasan.

Aku dan ayah mencari arah bunyinya orang batuk itu dan aku jumpa Hidayat! Bersama Hidayat ada lagi dua orang, seorang perempuan dan seorang lelaki. Aku yakin itu adalah ibu dan ayahnya.

Aku dan ayah mendapatkan Hidayat dan ibu dan ayahnya. Mereka kelihatan lemah tak berdaya.

Ustaz Ehsan menghampiri ketiga-tiga mereka. Membacakan sesuatu dan menyapu muka kesemua mereka. Mengambil secawan air dan membacakan sesuatu ke air tersebut lalu menyuruh kesemuanya minum.

“Papah mereka keluar dari bilik ini segera. Panggilkan ambulan. Banyak yang perlu diubati. Rumah ini juga perlu dipulihkan. Supaya syaitan tu tak tau jalan ke rumah ini lagi.” Kata Ustaz Ehsan.

“Dia tak mati lagi ke ustaz?” tanyaku dalam tak sedar dan dijeling tajam oleh ayah.

“Syaitan takkan mati sampai hari akhirat. Itu janji dia dengan Allah,” sahut Ustaz Ehsan.

“Maknanya dia akan datang balik?” tanyaku tak puas hati. Dan kali ni ayah ketuk kepala aku. Aku gosok kepala aku. Sakit ooo….

“Dia pasti datang kepada sesiapa sahaja yang dia boleh sesatkan. Kita sebagai manusia yang perlu jauhkan diri dan hati kita dari syaitan.” Jawab Ustaz Ehsan. Dan kali ni ayah pandang aku dengan isyarat DIAM! Ok, aku diam.

Tak lama kemudian ambulan datang mengambil kesemua mereka yang berada di situ. Pak Deris patah kaki kanan dan tulang bahu. Hidayat dan ibu ayahnya kehilangan nutrisi. Mak Limah dah ok sikit. Mungkin masih trauma.

Kami pulang ke rumah. Dalam kereta, aku tanya Ustaz Ehsan walaupun aku tahu ayah pasti marah.

“Ustaz, siapa Jamilah tu?”

“Jamilah ni adalah satu roh yang tak aman kerana mati dalam keadaan yang tak diredhai Allah. Dia membunuh dirinya sendiri kerana kesal dengan hidupnya yang tidak pernah mendapat kasih sayang. Dia diabaikan ketika hidup dan mati. Walaupuan dia dah mati, tapi masih tiada siapa yang mengambil tahu tentang dirinya. Kerana itulah dia merayau mencari kasih dari siapa yang sudi. Kerana itulah kita dilarang menyayangi manusia lebih dari Allah. Kasih sayang ini juga adalah ujian. Untuk kita buktikan bahawa kasih kita kepada Allah takkan kurang walau kita mempunyai beribu kasih sayang dari manusia lain.” Terang Ustaz Ehsan panjang lebar.

“Boleh tak kita buatkan tahlil untuknya di masjid nanti Ustaz?” tanya ayah.

“Itulah sebaiknya. Biar dia tahu masih ada yang sayang padanya. Moga rohnya tenang dan kembali ke alamnya yang sebenar,” kata Ustaz Ehsan.

Keadaan kembali pulih. Hidayat dan ibu ayahnya serta Pak Deris dan Mak Limah kembali sihat. Mengikut kata Hidayat, sepanjang masa dia dlm kurungan Jamilah, mereka dihidangkan makanan yg berupa lipas, katak dan haiwan yg sama jenis begitu. Mereka juga diberi minum air berwarna hijau lumut yg berasa pahit. Mereka boleh nampak semua orang, termasuk Mak Limah dan Pak Deris, dan aku juga. Cuma mereka tak berdaya memanggil.

Setelah pulih dan keluar dari hospital, mak ayah Hidayat menjual banglo mereka. Mereka trauma. Mereka berpindah ke rumah rehat milik mereka di kampung. Dan lepas tu aku tak jumpa dengan mereka lagi.

Sampailah satu hari tu, mungkin lepas 5 tahun dari masa kejadian. Ketika aku sedang membeli belah kat satu shopping mall ni. Ada seorang jejaka menegur aku. Hensem orangnya. Manis senyumnya, buat aku bisa tergoda. Sejuk mata memandang, dengan kemeja kosong berlengan panjang butang di hujung, seluar slack warna hitam, berkumis, memakai kopiah di kepalanya dan memakai spek hitam. Fuh! Nasib baik aku dah ada boifren, kalau tak, memang ku ayat jejaka ni sampai dapat. Biarlah perigi cari timba ke apa… Hahaha….

“Kamu Murni kan?” tanyanya. Aku tak jawab terus. Macammana dia kenal aku? Aku perhatikan dia atas ke bawah, bawah ke atas. Dia buka spek mata hitamnya. Dan aku rasa macam aku kenal dia.

“Dayat!!!!!” tak sedar aku menjerit kat tengah orang ramai tu. Aku rasa macam nak melompat, betapa gembiranya aku nampak dia. Memang dia kelihatan lain macam betul, langsung tak sama dengan Hidayat yang aku kenal dulu.

“Nasib baik kau masih kenal aku,” jawab Hidayat sambil senyum manis memperlihatkan lesung pipit di kedua pipinya. Hanya itu yang tak berubah.

“Kau sihat ke? Mak ayah kau apa khabar?” tanyaku.

“Alhamdulillah semua sihat. Lama dah aku dan mak ayah aku berhajat nak cari kau. Tapi belum berkesampaian. Mana tahu hari ni kita berjumpa,” sahut Hidayat.

“Kau buat apa di sini Dayat? Butik pengantin ni. Kau nak kahwin ke?” tanyaku mengusik sambil memerhati nama kedai yang Hidayat sedang berdiri di hadapannya.

“Iye, aku nak kahwin. Nanti aku bagi kau kad jemputan,” sahut Hidayat.

“Hah! Kau nak kahwin dah? Tak sempat la aku mengayat kau kan?” gurauku lagi.

“Kau ni Murni, tak berubah dari dulu suka sangat usik aku. Sebab tu aku suka kawan dengan kau,” sahut Hidayat.

“Kau nak kahwin dengan siapa?” tanyaku ingin tahu.

“Dengan Jamilah,” sahut Hidayat membuatkan senyumku hilang, bulu roma meremang semula dan mataku terlopong, memandangnya tanpa berkedip.

“Jamilah masih ada dengan kau ke Dayat?” tanyaku. Aku ingat aku takkan dengar nama Jamilah ni lagi.

Tiba-tiba datang seorang gadis manis, berjubah biru bertudung merah jambu memegang plastik di tangannya. Dia menghampiri Hidayat sambil diperhatikan aku.

“Haa.. kenalkan, ini Jamilah. Milah, inilah Murni yang selalu saya kata nak cari tu,” kata Hidayat memperkenalkan kami.

Gadis itu menghulurkan tangan bersalaman denganku. Lembut, sejuk je hati aku melihatnya. Tak berkedip mata aku memandangnya sampaikan merah pipinya menahan malu diperhatikan begitu.

“Kau janganlah pandang dia macam tu Murni. Dia ni anak Ustaz Ehsan. Lepas kejadian kat banglo ayah aku haritu, Ustaz Ehsan datang setiap minggu untuk memulihkan kami dan mengajar agama kepada aku dan mak ayah. Itu yang aku jadi macam ni sekarang. Dan mana tahu, Ustaz Ehsan berkenan nak satukan aku dengan anak gadisnya. Dan mak ayah aku juga setuju. Maka, In Shaa Allah kami akan berkahwin. Nanti datang tau. Jemput mak ayah kau sekali. Bagi nombor telefon mereka, nanti aku suruh ayah aku jemputkan. Kau jangan lupa, wajib datang tau.” Kata Hidayat lagi.

“Aku pasti datang Dayat. Aku tumpang gembira hidup kau dah berubah lebih baik dari dulu, bahkan mungkin lebih baik dari aku,” kataku berbaur gembira dengan kehidupan Hidayat sekarang.

“Tanpa kau, aku tak jadi macam hari ini. Aku terhutang budi pada kau. Sampai mati aku takkan mampu balas. Hanya Allah yang mampu membalasnya,” sahut Hidayat di akhir pertemuan kami.

Akhirnya, Hidayat kahwin dengan Jamilah.

-T A M A T-

17 thoughts on “KEKASIH JELMAAN

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s